29 September 2020

TANGGAL 28 HARIBULAN DALAM KARIER ROONEY



Pada 28 September 2004, Wayne Rooney melakukan penampilan pertama untuk Manchester United selepas beliau direkrut oleh Sir Alex Ferguson dari Everton menerusi nilai perpindahan sebanyak £25.6 juta. Jumlah yang dibayar United itu menyaksikan Wazza muncul pemain di bawah usia 20 tahun paling mahal di dunia ketika itu.

 

Wazza sepatutnya melakukan debut bersama United lebih awal iaitu pada 25 September 2004 ketika United berdepan Tottenham Hotspurs, namun kecederaan metatarsal yang dialaminya dalam kejohanan Euro menyaksikan nama Wazza tercicir dari senarai pemain yang di bawa Fergie ke White Hart Lane.

 

Akhirnya detik yang dinanti-nantikan oleh penyokong-penyokong United untuk menyaksikan kelibat Wazza tiba jua ketika barisan The Red Devils melayan kunjungan Fenerbahce dalam saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara. Mungkin kerana penampilan pertamanya yang tertunda selama tiga hari, Wazza seolah-olah melepaskan geramnya ketika berdepan Fenerbahce.

 

Di Old Trafford pada malam tanggal 28 September 2004 itu, Wazza memilih tempat yang tepat untuk `menggila’ menerusi hatrik yang diledak beliau ke gawang lawan yang dikawal Rustu Recber. Selepas Ryan Giggs menjaringkan gol pertama perlawanan di minit ke-7, Wazza mengambil giliran selaku penjaring gol untuk United menerusi jaringan yang dilakukannya di minit ke-17, 28 dan 54.    

 

Gol ketiga yang dihasilkan Wazza akan sentiasa diingati sampai bila-bila, kerana gol itu dihasilkan beliau menerusi satu sepakan percuma yang cukup cantik. Satu tragedi buat seorang penjaga gol yang sangat berpengalaman seperti Recber, kerana pada malam itu, beliau bukan sahaja tewas sebanyak enam kali, tetapi gawangnya juga menjadi `lubuk’ oleh seorang budak yang baru berusia 19 tahun untuk melepaskan geramnya.

 

“Untuk gol ketiga, saya melihat Ryan Giggs sebenarnya sudah bersedia untuk mengambil tendangan itu. Tetapi saya katakan kepadanya bahawa saya boleh menjaringkan gol dari situasi tersebut dan akhirnya gol itu berjaya dihasilkan. Menjaringkan tiga gol pada penampilan pertama tentunya sangat fantastik. Sudah tentu saya tidak akan lupakan malam itu sampai bila-bila” kata Wazza.

 

Dua tahun kemudian, Wazza melakar satu lagi sejarah apabila beliau menghasilkan satu lagi hatrik dan kali ini ia berlaku dalam saingan Liga Perdana pula. Pada tanggal 28 Oktober 2006, Wazza menjarikan tiga gol di sebalik kemenangan besar (4-0) yang dilakar United ke atas Bolton Wanderers di Stadium Reebok. Hatrik itu juga merupakan hatrik peribadi pertama Wazza di Liga Perdana.

 

Hatrik pertama Wazza di Liga Perdana itu berlaku hanya empat hari selepas beliau menyambut ulang tahun kelahiran ke-21nya. Di Stadium Reebok, Wazza cuma perlukan tempoh enam minit untuk beliau menjaringkan dua gol (minit ke-10 dan ke-16). Di separuh masa kedua, Wazza melengkapkan hatriknya apabila beliau menewaskan Jussi Jaaskelainen buat kali ketiga di minit ke-89.

 

“Tanpa ragu Rooney sudah membuktikan bahawa dia adalah pemain terbaik di Liga Perdana. Memang layak untuk dia mendapatkan tiga gol tersebut sekaligus membuktikan kepada para pengkritiknya bahawa mereka cuma cakap kosong selama ini. Sangat sukar untuk pemain-pemain saya menghentikannya kerana dia menjaringkan gol-gol yang sangat luarbiasa”, kata Sam Allardyce selepas tamat perlawanan.

 

Selain dari dua momen tersebut, tanggal 28 haribulan seolah-olah cukup akrab dalam karier Rooney. Pada 28 Disember 2003, Rooney melakukan penampilan ke-50 beliau di Liga Perdana, manakala jaringan hatrik keduanya di Liga Perdana berlaku pada 28 November 2009 ketika United mencatatkan kemenangan besar (4-1) ke atas Portsmouth dalam aksi yang dilangsungkan di gelanggang lawan.

 

Catatan unik yang dilakukan Wazza tidak terhenti setakat itu, kerana pada 28 Februari 2010, beliau menjaringkan gol menerusi tandukan buat kali kelima berturut-turut, manakala satu jaringan yang dihasilkannya ke gawang Sunderland pada 28 Februari 2015 meletakkan beliau sebagai pemain United pertama yang berhasil menjaringkan lebih 10 gol selama 11 musim berturut-turut. Akhir sekali jangan lupakan juga gol pertama beliau untuk DC United berlaku pada 28 Julai 2018. Glory Glory Manchester United!!!

 

28 September 2020

CUKUP DENGAN APA YANG ADA…KITA TIDAK PERLUKAN PERTAHANAN BAHARU?

 



Kemenangan yang sangat-sangat penting biarpun di Stadium Amex Manchester United sebenarnya bermain tidak sepertimana yang kita harapkan. Memang perit untuk kita akui, tetapi kemenangan yang dilakar barisan kendalian Ole Gunnar Solskjaer ke atas Brighton itu boleh dianggap sebagai `kemenangan nasib’ apatah lagi selepas kita melihat lima percubaan yang dilepaskan tuan rumah sekadar singgah di tiang gol.

 

Simpati untuk Brighton yang bermain dengan begitu baik, sentiasa memberikan tekanan ketika United menguasai bola dan mencipta lebih banyak peluang tetap akhirnya mereka berada di pihak yang kalah. Memang agak kejam untuk mereka tetapi akhirnya kita terpaksa mengakui bahawa keputusan perlawanan ditentukan dengan jumlah gol yang berjaya dijaringkan, bukan berapa banyak peluang yang berjaya anda cipta.

 

Di akhir perlawanan, Solskjaer mengakui bahawa United tidak berhak meraih kemenangan di Stadium Amex tetapi tiga mata yang berjaya di bawa pulang ke Old Trafford itu sebenarnya sudah cukup untuk meredakan tekanan buat sementara waktu. Gol kemenangan menerusi sepakan penalti Bruno Fernandes itu akan diingati sampai bila-bila, tetapi sorotan akhirnya tetap akan terarah kepada benteng pertahanan United yang sudah bolos lima gol, hanya dalam dua perlawanan awal liga mereka.

 

United sudah mengharungi tiga aksi kompetitif mereka musim ini, tetapi penampilan keseluruhan barisan The Red Devils masih lagi terlalu jauh dari kelompok pasukan pilihan untuk merebut kejuaraan liga. Ketika berdepan Luton Town dalam aksi Piala Liga dan kemudiannya Brighton, United belum menunjukkan tanda-tanda kebangkitan dari kekalahan yang dialami mereka kepada Crystal Palace dalam aksi pertama liga di Old Trafford pada 20 September lalu.

 

Paling menjadi tumpuan tentunya bagaimana cara United bertahan dalam dua aksi pertama liga mereka musim ini. Ketika berdepan Brighton, mereka membiarkan lawan melepaskan 18 percubaan ke arah David De Gea, jadi sangat ironi bila mengingatkan bahawa inilah empat pemain (Harry Maguire, Victor Lindelof, Aaron Wan-Bissaka dan Luke Shaw) penting di barisan belakang yang cuma membenarkan gawang United dibolosi sebanyak 36 kali dalam saingan liga musim lalu.

 

Dan untuk rekod juga, empat pemain ini jugalah yang membolehkan De Gea melakukan catatan clean sheet ketika mereka berdepan Brighton di gelanggang yang sama musim lalu. Jadi apakah sebenarnya yang berlaku? Adakah benteng United tidak lagi se `solid’ sepertimana musim lalu atau Brighton kini sudah berkembang menjadi kesebelasan yang jauh lebih baik hanya dalam tempoh tiga bulan?

 

Melihat bagaimana struggle nya benteng pertahanan United ketika barisan hadapan lawan memberikan tekanan, agak menghairankan apabila Solskjaer masih menolak sebarang kemungkinan untuk beliau menandatangani seorang lagi pertahanan baharu bagi meningkatkan kualiti barisan belakang skuadnya. Ketika desakan penyokong-penyokong semakin kuat kedengaran yang mahukan kelab menandatangani pertahanan baharu, Solskjaer pula nampaknya masih berpuashati dengan set pertahanan yang beliau miliki ketika ini.

 

Jika tiada sebarang tambahan pemain di benteng pertahanan sehingga jendela perpindahan pemain musim panas ditutup, apa yang boleh anda harapkan ialah sedikit rombakan dilakukan Solskjaer terutamanya membabitkan posisi bek tengah skuadnya. Keputusan beliau menggandingkan Harry Maguire dan Eric Bailly ketika berdepan Luton Town tempohari saya harap satu isyarat jelas bahawa dua pemain ini akan memikul peranan utama di benteng pertahanan United sepanjang musim ini.

 

Bukan menidakkan kemampuan Victor Lindelof, tetapi selepas empat musim beliau berada di Old Trafford, United sebenarnya perlukan seorang pertahanan yang lebih dominan, pantas, bijak membaca permainan dan tidak pernah teragak-agak dalam melakukan duel satu lawan satu dengan pemain lawan. Bailly memiliki ciri yang saya sebutkan tetapi agak malang beliau kerap berdepan isu kecederaan. Jika bukan kerana isu kecederaan yang kerap menimpa Bailly, saya akan bersetuju dengan Solskjaer bahawa United memang tidak perlukan tambahan seorang pertahanan tengah baharu. Glory Glory Manchester United!!!


20 September 2020

LANGKAH PERMULAAN YANG SUMBANG

 


Ini bukanlah permulaan yang kita inginkan di musim baharu, tetapi hakikatnya itulah yang berlaku di Old Trafford awal pagi tadi. United bermain dengan sangat buruk dan hakikat tersebut turut diakui oleh Ole Gunnar Solskjaer. Gol pembukaan menerusi Andros Townsend dan dua lagi jaringan menerusi Wilfried Zaha menyaksikan Crystal Palace sekali lagi pulang dari Old Trafford dengan tiga mata penuh buat musim kedua berturut-turut.

 

Di atas kertas segalanya milik United, tetapi di atas padang Palace ternyata kesebelasan yang lebih baik terutamanya dalam aspek menyudahkan peluang. Bermula dengan perlahan, gagal membina gerakan walaupun memiliki peratus penguasaan bola yang tinggi, ketandusan idea manakala pemain yang dilabel mampu memberikan perbezaan seperti Bruno Fernandes dan Anthony Martial hampir tenggelam sepanjang perlawanan.

 

Dominasi United hanya berkisar tentang penguasaan bola menerusi hantaran-hantaran pendek sesama pemain tetapi tidak diterjemahkan dengan umpanan-umpanan `vertical’ yang ditujukan ke dalam petak penalti lawan. Jadi tidak hairanlah dalam tempoh 17 minit pertama perlawanan, United hilang penguasaan bola sebanyak lapan kali. Dalam hal ini pujian wajar diberikan kepada Palace yang bijak dan sabar menunggu peluang ketika lawan melakukan kesilapan.

 

Meskipun dengan formasi 4-4-2, Palace tetap berhasil memberikan tekanan ketika United menguasai bola, malah dalam situasi defensif mereka memiliki sekurang-kurangnya lapan pemain di dalam petak penalti sendiri. Situasi ini menyaksikan barisan hadapan United beberapa kali terpaksa melepaskan percubaan dari jarak jauh kerana sukarnya untuk mereka masuk dan mencipta peluang di dalam petak penalti lawan. Akhirnya menerusi satu gerakan `counter attack’, Palace berjaya menjaringkan gol pertama perlawanan.

 

Ada sedikit perubahan selepas United ketinggalan menerusi tekanan demi tekanan yang diberikan mereka kepada benteng pertahanan Palace tetapi akhirnya kita juga terpaksa mengakui terdapat isu intensiti dalam aliran bola United yang menyaksikan setiap gerakan mereka mudah dipatahkan lawan. Tidak hairanlah jika hampir sepanjang perlawanan anda dapat menyaksikan pola permainan United mudah dibaca lawan, umpanan-umpanan yang kurang tepat dan binaan gerakan yang dilakukan mereka tidak teratur.

 

Masuknya Donny Van de Beek yang menggantikan Paul Pogba memberikan sedikit perbezaan, dan dalam tempoh beberapa minit beliau tampak berperanan sebagai `playmaker’ untuk United. Akhirnya `rekrut’ baharu The Red Devils itu menjaringkan gol pertama pada penampilan pertamanya di Liga Perdana untuk United tetapi agak malang gol tersebut gagal menghalang Palace dari pulang ke Selhurst Park dengan tiga mata penuh.

 

Selepas gol ketiga Palace yang dijaringkan oleh Wilfried Zaha ketika tempoh permainan sebenar berbaki lima minit sebelum ditamatkan, segalanya sudah berakhir buat United untuk cuba melakukan kebangkitan. Zaha merupakan pembelian terakhir yang dilakukan Sir Alex Ferguson ketika era pengurusan beliau, dan sudah tentu dua gol yang diledaknya ke gawang United meletakkan Zaha sebagai fokus utama selepas tamat perlawanan.

 

Bagaimanapun di kem United, prestasi Victor Lindelof di benteng pertahanan bakal menjadi topik perdebatan sepanjang minggu ini. Secara peribadi saya meletakkan tiga gol yang diledak Palace berpunca dari kelemahan Lindelof. Gol pertama Palace bermula dari kegagalan beliau menghalang Jeffrey Schlupp dari melakukan hantaran yang akhirnya berjaya disudahkan Andros Townsend. Bola yang terkena tangan beliau pula menyaksikan Palace dihadiahkan sepakan penalti dan kelemahan Lindelof ketika melakukan duel satu lawan satu membolehkan Wilfried Zaha menjaringkan gol peribadi keduanya dalam perlawanan ini.

 

Selepas tamat perlawanan, Gary Neville melabelkan Lindelof sebagai `bek yang lemah’ dan menggesa kelab supaya segera mencari pengganti kepada pertahanan antarabangsa Sweden itu di benteng mereka. Secara sinis, Neville turut mengatakan bahawa United tidak mampu `pergi jauh’ jika mereka tidak melakukan rombakan kepada pasangan Lindelof dan Harry Maguire.

 

“Jangan harap mereka akan menang trofi dengan pasangan pertahanan seperti itu. United harus mencari bek baharu yang pantas dan dominan sebagai pasangan kepada Lindelof atau Maguire”, kata Neville. `Barainya’ pertahanan United bukan satu-satunya isu yang perlu segera diselesaikan Solskjaer kerana selain itu beliau juga wajar mengambil peluang yang ada untuk mendapatkan seorang lagi rekrut baharu untuk diletakkan di barisan hadapan skuadnya.

 

Bukan Jadon Sancho, tetapi Solskjaer sepatutnya mendapatkan seorang pemain yang mampu berperanan sebagai `pemain nombor 9’ atau lebih tepatnya seorang `target man’ yang boleh menjaringkan lebih 20 hingga 30 gol semusim. Bukan menidakkan kemampuan Anthony Martial, tetapi percayalah jika Solskjaer mahu meletakkan United selaku pencabar serius kejuaraan liga, beliau tidak boleh melakukannya dengan meletakkan Martial sebagai `pemain nombor 9’.

 

Apa yang boleh anda rumuskan dalam perlawanan ini ialah United memulakan kempen liga mereka dengan prestasi yang begitu hambar hingga menyaksikan Palace kelihatan seperti sebuah kesebelasan yang sangat hebat. Mungkin persiapan pra musim yang kurang rapi boleh dijadikan alasan tetapi kekalahan ini sepatutnya menyedarkan pihak pengurusan bahawa United tidak mampu pergi jauh hanya dengan pembelian Donny Van de Beek.

 

Hanya ada dua pilihan yang boleh dilakukan mereka iaitu dapat pemain baharu mengikut keperluan pasukan atau lihat United terus ketinggalan di belakang pencabar-pencabar kejuaraan yang lain. Jadi sangat menarik untuk melihat apakah respons pihak pengurusan kelab sepanjang minggu ini. Gol jaringan Van de Beek mungkin satu-satunya hal yang boleh membuat anda sedikit tersenyum tetapi itu tidak cukup untuk menutup fakta bahawa United bermain persis kesebelasan `mid table’ dalam perlawanan ini. Glory Glory Manchester United!!!


18 September 2020

PREVIEW: MAN UNITED vs PALACE

 


Akhirnya detik yang ditunggu-tunggu tiba jua apabila Manchester United bakal memulakan aksi pertama mereka dalam kempen Liga Perdana musim 2020/21 menentang Crystal Palace di gelanggang sendiri pada Ahad jam 12.30 malam. Bagi Palace pula, kunjungan ke Old Trafford ini merupakan penampilan kedua mereka dalam saingan liga selepas kejayaan membenam Southampton di Selhurst Park minggu lalu. 

Masih ingat lagi dengan apa yang dilakukan Palace di Old Trafford musim lalu? Musim lalu meskipun United bermula dengan cukup baik selepas mereka mencatatkan kemenangan besar (4-0) ke atas Chelsea pada perlawanan pertama liga, barisan kendalian Ole Gunnar Solskjaer kemudiannya dikejutkan dengan kekalahan (1-2) kepada Palace dalam aksi yang dilangsungkan di Old Trafford. 

Perlawanan pertama untuk musim baharu, jadi sudah tentu anda mahu melihat Solskjaer menurunkan skuad terkuatnya dalam perlawanan ini meskipun beliau hilang sentuhan Paul Pogba di bahagian tengah. Untuk itu nama pertama yang `wajib’ ada dalam senarai kesebelasan utama yang bakal beliau turunkan nanti tentunya Donny Van de Beek, satu-satunya `rekrut’ baharu yang dibawa masuk ke Old Trafford setakat ini. 

Tanpa Pogba, anda sebenarnya sudah boleh meramalkan kesebelasan utama yang bakal diturunkan Solskjaer serta formasi yang akan digunakannya. Dan agak malang juga kerana tanpa Pogba, anda juga terlepas peluang untuk menyaksikan tiga `goal scoring midfielder’ membarisi jentera tengah United secara serentak sejak minit pertama perlawanan. 

Untuk melaksanakan tugas-tugas offensive, Bruno Fernandes dan Van de Beek akan melakukannya, manakala pilihan yang ada untuk melakukan tugas defensive pula tentunya terarah kepada Nemanja Matic, Fred atau Scott McTominay. Untuk itu, saya akan memilih Matic dalam kesebelasan utama dalam melakukan `kerja-kerja kotor’ ketika bertahan manakala trio Anthony Martial, Mason Greenwood dan Marcus Rashford bergerak di barisan hadapan bagi memburu gol. 

Musim panas kali ini mungkin musim yang agak aneh untuk United. Sejak musim lalu berakhir, mereka dikaitkan dengan beberapa pemain yang khabarnya bakal dibawa masuk untuk memperkuatkan pasukan. Saga perpindahan Jadon Sancho masih belum berakhir, Jack Grealish kekal di Villa Park selama lima tahun lagi, Gabriel Magalhaes menjadi milik Arsenal, Sergio Reguilon semakin hampir menyertai Spurs manakala aksi menentang Aston Villa pula merupakan satu-satunya aksi pra musim yang dihadapi mereka. 

United pastinya kesebelasan pilihan dalam perlawanan ini meskipun Palace pulang ke Selhurst Park dengan tiga mata penuh ketika kedua-dua pasukan bertembung di Old Trafford musim lalu. Hanya ada dua pasukan yang berjaya menewaskan United di Old Trafford musim lalu dan Palace adalah salah daripadanya selain Bournemouth. Jadi sudah tentu Solskjaer tidak mahu melihat kesebelasannya memulakan kempen kompetitif mereka musim ini dengan langkah kiri. 

Rekod pertemuan antara kedua-dua pasukan dalam saingan liga sejak 2017 jelas memihak United apabila mereka menang empat kali, seri sekali dan tewas sekali ketika berdepan The Eagles. Kemenangan Palace di Old Trafford musim lalu pula merupakan satu-satunya kemenangan yang diperolehi mereka ke atas United sepanjang era Liga Perdana. 

Palace tentunya mendambakan satu lagi kemenangan di Old Trafford, tetapi harus diingat bahawa United kini adalah kesebelasan yang jauh berbeza jika diambilkira peningkatan yang dipamerkan mereka sepanjang fasa kedua saingan liga musim lalu. Berbanding pertemuan di Old Trafford musim lalu, United kini memiliki pemain yang mampu memberikan perbezaan seperti Bruno Fernandes dan Donny Van de Beek. Glory Glory Manchester United!!! 

Kesebelasan Kemungkinan United (4-2-3-1): 

David De Gea, Aaron Wan-Bissaka, Harry Maguire, Victor Lindelof, Luke Shaw, Nemanja Matic, Donny Van de Beek, Bruno Fernandes, Marcus Rashford, Anthony Martial & Mason Greenwood.

 Kesebelasan Kemungkinan Palace (4-3-3): 

Vicente Guaita, Joel Ward, Cheikhou Kouyate, Scott Dann, Tyrick Mitchell, James McCharthy, James McArthur, Jeffrey Schlupp, Andros Townsend, Wilfried Zaha & Jordan Ayew



07 September 2020

SEBAGUS GIGGS, ATAU SENASIB JANUZAJ?



Beliau bermula dengan nombor 54, kemudian 26 dan kini 11. Perubahan nombor jersi yang bakal digunakan Mason Greenwood ini menyaksikan tiga penggempur di barisan hadapan akan menggunakan nombor berturutan iaitu nombor 9 (Anthony Martial), nombor 10 (Marcus Rashford) dan nombor 11 (Mason Greenwood). Apa yang menariknya tiga penggempur United ini mengubah nombor jersi mereka dalam tiga musim berturut-turut.

 

Bermula dengan Rashford yang bertukar dari nombor 19 kepada nombor 10 pada musim 2018/19, kemudian Martial dari nombor 11 kepada nombor 9 pada musim 2019/20 dan kini giliran Mason dari nombor 26 kepada nombor 11. Prestasi terpuji yang dipamerkan Mason musim lalu antara penyebab mengapa tugas untuk menyarung jersi nombor 11 ini diberikan kepada beliau.

 

Mungkin nampak seperti pertukaran biasa tetapi tanggungjawab besar bakal dipikul Mason kerana beliau mewarisi nombor yang pernah digunakan Ryan Giggs, legenda hidup kelab yang pernah menghadirkan ketakutan kepada mana-mana bek sisi lawan ketika era kemuncaknya sebagai pemain. Sepertimana Giggsy, Mason juga berperanan di sektor sayap, jadi sudah tentu beliau tidak dapat mengelak dari dibandingkan dengan anggota Class of 92 itu.

 

Selepas berakhirnya karier The Welsh Wizard, magis nombor 11 secara perlahan-lahan mula menghilang, malah penyandang nombor tersebut selepas itu bagaikan terkena sumpahan. Adnan Januzaj gagal menepati ramalan sebagai penerus legasi Giggs selepas beliau diberikan tanggungjawab oleh Louis Van Gaal untuk menyarung jersi nombor 11 pada musim 2014/15.

 

Ketibaan Zlatan Ibrahimovic pada musim 2016/17 pula memaksa Martial bertukar dari menggunakan jersi nombor 9 kepada nombor 11. Ketika itu Martial mengambilalih jersi nombor 11 dari Januzaj yang menjalani tempoh pinjaman selama semusim bersama Sunderland. Kedatangan Ibra menyebabkan produktiviti Martial dalam menghasilkan gol turut menurun apabila sepanjang musim tersebut beliau cuma mampu menjaringkan empat gol dalam saingan liga berbanding 11 pada musim sebelumnya.

 

Musim lalu, Martial kembali menggunakan nombor kesukaannya iaitu nombor 9 dan hasilnya beliau muncul penjaring terbanyak United menerusi 23 gol yang dihasilkannya dalam semua peringkat kejohanan. Musim lalu boleh dianggap musim terbaik Martial sejak ketibaannya di Old Trafford pada musim panas 2015. Isu konsistensi antara isu terbesar yang dihadapi oleh mana-mana pemain muda, dan Martial pernah menghadapinya manakala Mason pula mungkin tidak terkecuali.

 

Ramai pemain muda yang berjaya mencipta sensasi pada musim pertama tetapi menurun pada musim kedua. Satu kebanggaan buat Mason apabila beliau `dianugerahkan’ jersi nombor 11 yang pernah digunakan Giggs, juga satu tanggugjawab besar untuk dirinya membuktikan kepada kita bahawa beliau bukanlah `one season wonder’. Jejak Giggs adalah jejak legenda, semoga suatu hari nanti kita dapat melihat Mason setaraf The Welsh Wizard, bukan senasib seperti Adnan Januzaj. Glory Glory Manchester United!!!


 

05 September 2020

"JANGAN SAKIT HATI SANGAT JOSE....SEBAB DIA MEMANG BAGUS"

 


Gelaran `Penaldo’ bukanlah satu pengiktirafan tetapi lebih bersifat kritikan kepada Cristiano Ronaldo kerana kekerapan beliau menjaringkan gol menerusi tendangan penalti. Semasa menyarung jersi Real Madrid, Ronaldo menjaringkan 450 gol dalam semua peringkat kejohanan di mana dari jumlah tersebut 79 gol dihasilkan beliau menerusi tendangan penalti. Ini bermakna 17.38% dari keseluruhan gol yang dijaringkan beliau untuk Real disumbang menerusi tendangan dari `titik putih’.

 

`Penaldo’ merupakan gelaran yang dicipta penyokong Barcelona untuk Ronaldo gara-gara perseteruan antara dua gergasi Sepanyol itu di La Liga. Kini di Old Trafford pula sudah mula kedengaran gelaran yang hampir sama dan sasarannya sudah tentu terarah kepada Bruno Fernandes. Selepas Bruno menyempurnakan satu lagi tendangan penalti ketika aksi separuh akhir Liga Europa menentang Sevilla, di alam siber sudah bergegar dengan istilah `Penandes’ yang ditujukan kepada beliau.

 

Tidak cukup dengan itu, beberapa hari lalu giliran Jose Mourinho pula `membedil’ Bruno. Tampak seperti kata-kata manis tetapi sebenarnya `pujian’ yang diberikan Mourinho itu lebih bersifat sarkastik kepada rakan senegaranya itu. Jika sebelumnya Mourinho pernah mengatakan bahawa beliau tidak akan sesekali menukar Giovani Lo Celso dengan Bruno dalam pasukannya, tetapi kali ini beliau mengatakan bahawa pemain tengah berusia 25 tahun itu merupakan pengambil sepakan penalti yang hebat.

 

Lupakan sebentar `troll’ terbaharu yang dicipta oleh para netizen itu dan sindiran Mourinho, kerana hakikatnya kebangkitan United sepanjang fasa kedua saingan liga memang tidak lepas dari dikaitkan dengan kehadiran Bruno pada penghujung Januari lalu. Kehadiran Bruno memang memberikan perbezaan besar kepada corak permainan United terutamanya peranan yang beliau mainkan di bahagian tengah. Dengan adanya Bruno dan Paul Pogba, United kini memiliki dua penggerak serangan yang setaraf kualitinya di jentera tengah mereka.

 

Bruno bukan sekadar menawarkan kreativiti serta visi permainannya yang tinggi, tetapi beliau kini adalah `specialist’ untuk United dalam situasi bola mati. Sejak jaringan yang dilakukan beliau ke gawang Watford dalam aksi liga pada Februari lalu, Bruno mengambil alih tempat Pogba dan Marcus Rashford selaku penendang penalti utama untuk United. Ketenangan yang dimilikinya di `titik putih’ merupakan faktor utama mengapa Bruno tidak pernah gagal menyempurnakan tujuh tendangan penalti yang sudah diambilnya sejak menyertai United.

 

Mengikut catatan statistik sepanjang karier profesional beliau, dari 30 tendangan penalti yang sudah diambil Bruno, beliau cuma gagal menyempurnakannya sebanyak dua kali sahaja. Kegagalan pertama berlaku ketika beliau menyarung jersi Udinese di Serie A pada musim 2015/16 dan kedua ketika bersama Sporting Lisbon dalam kejohanan Taca de Portugal pada Oktober 2018. Sehingga setakat ini, Miguel Soares muncul penjaga gol terakhir yang berjaya menyelamatkan tendangan penalti Bruno, itupun berlaku hampir dua tahun yang lalu.

 

Pada 1 Ogos lalu, Soares pernah mendedahkan bagaimana beliau mengagalkan tendangan penalti Bruno. Namun tips yang diberikan bekas penjaga gol GS Loures itu tetap gagal membantu Karl-Johan Johnsson dan Yassine Bounou ketika mereka berdepan Bruno dalam saingan Liga Europa. Selain ketenangan sebagai aset utamanya, Bruno juga memiliki teknik yang unik ketika beliau mengambil tendangan penalti. Di Liga Perdana, anda juga boleh melihat Jorginho turut memiliki teknik tendangan penalti yang hampir sama sepertimana dilakukan Bruno.

 

Teknik melakukan lompatan kecil sebelum melakukan tendangan bukanlah satu perkara yang mudah dilakukan, kerana Bruno perlu menyembunyikan arah sebenar tendangan yang bakal beliau tujukan sehinggalah kedetik-detik terakhir sebelum kakinya menyentuh bola. Meskipun teknik lompatan sering digunakan Bruno, namun sesekali beliau akan mengubah gaya tersebut mengikut kesesuaian lawan yang dihadapinya. Lihat saja teknik tendangannya ketika berdepan Karl-Johan Johnsson pada aksi suku akhir Liga Europa.

 

Sejak kegagalan ketika berdepan Miguel Soares hampir dua tahun lalu, Bruno tidak pernah gagal menyempurnakan kesemua 18 tendangan penalti yang diambilnya. Dan sejak kejayaan Tim Krull mengagalkan dua tendangan penalti United yang diambil Anthony Martial dan Marcus Rashford pada Oktober tahun lalu, United tidak pernah lagi gagal menyempurnakan 14 tendangan penalti yang mereka terima, dan separuh daripadanya datang dari kaki Bruno.

 

Mourinho boleh berkata apa sahaja, atau terus melancarkan serangan psikologi ke atas Bruno, tetapi saya percaya akan ada lebih banyak jaringan menerusi `aksi tendangan penalti sambil melompat’ dari beliau musim depan. Bruno tiba di Old Trafford pada pertengahan musim, melakukan 22 penampilan, menjaringkan 12 gol dan mencipta lapan bantuan gol, sekaligus membantu United layak beraksi ke saingan Liga Juara-Juara musim depan. Jadi memang wajarlah Mourinho berasa sedikit `sakit hati’ atas impak yang diberikan Bruno kepada bekas majikannya itu. Glory Glory Manchester United!!!



03 September 2020

"SELAMAT DATANG KE OLD TRAFFORD...DONNY VAN DE BEEK"

 


Donny Van de Beek datang secara `senyap-senyap’ di tengah-tengah keributan usaha Manchester United mendapatkan khidmat Jadon Sancho. Siapa sangka ketika kebanyakkan penyokong United obses menanti akan prospek ketibaan Sancho ke Old Trafford yang entah bila akan terjadi, kelab melakukan kejutan dengan merekrut Van de Beek dari Ajax Amsterdam. Tiada publisiti berlebihan, tiada juga rumour yang bertiup kencang kerana proses perpindahan pemain tengah Belanda itu berlaku dalam tempoh hanya seminggu.

 

Dalam hal ini, United memanfaatkan sepenuhnya hubungan baik mereka dengan Ajax menerusi Edwin Van der Sar dalam merealisasikan proses perpindahan ini meskipun Real Madrid turut dilaporkan berminat mendapatkah khidmat pemain berusia 23 tahun itu. £40 juta bukanlah masalah yang terlalu besar untuk United, tetapi dengan wang sebanyak itu kelab sebenarnya berjaya mendapatkan seorang pemain tengah yang `complete’.

 

Van de Beek merupakan seorang midfielder yang versatile kerana kebolehan beliau berperanan sebagai pemain tengah (central midfielder), pemain tengah menyerang (attacking midfielder) dan box to box midfielder. Secara peribadi saya berharap United berjaya mendapatkan seorang pemain yang tepat dalam `spesifikasi’ bolasepak moden menerusi perpindahan Van de Beek ini. Pada usia 23 tahun, secara teknikalnya Van de Beek boleh dikategorikan sebagai pemain muda, tetapi tidak aksinya di atas padang.

 

Penampilan pemain kelahiran Nijkerkerveen itu di atas padang jauh lebih matang berbanding usianya dari sudut teknik hinggalah kepada kekuatan mental yang dimilikinya. Versatiliti permainan Van de Beek bukanlah perkara baharu, kerana ketika era remajanya, beliau sudah `diasah’ untuk berperanan lebih dari satu posisi. Boleh bertindak sebagai `anchorman’, juga sebagai central midfielder dalam skema tiga pemain tengah, atau berperanan sebagai box to box midfielder dalam formasi dua pemain tengah.

 

Meskipun begitu, secara spesifiknya, Van de Beek mampu memberikan impak yang sangat signifikan jika beliau diletakkan di sebelah kanan dalam skema tiga pemain tengah menerusi peranan sebagai box to box midfielder yang biasa dimainkannya. Versatiliti dalam permainannya membolehkan Van de Beek memikul peranan sebagai pemain nombor 6, nombor 8 atau bergerak di belakang penyerang. Paling penting beliau turut memiliki kualiti yang sama bagus ketika melakukan kerja-kerja bertahan mahupun menyerang.

 

Dalam situasi offensive, Van de Beek memiliki kemampuan yang baik dalam menjaringkan gol. Dalam tempoh tiga musim terakhir, beliau berjaya menjaringkan 28 gol di Eredivisie, manakala di peringkat Eropah pula Van de Beek menghasilkan enam gol dalam dua kempen terakhir Ajax di Liga Juara-Juara. Bagaimana pula dengan kemampuan beliau ketika bertahan? Mengikut catatan WhoScored.com, Van de Beek melakukan purata dua tackle dalam setiap perlawanan atau secara keseluruhannya 62 tackle dilakukannya sepanjang musim lalu.

 

Apa yang mampu ditawarkan Van de Beek kepada United? Musim lalu, Bruno Fernandes muncul pemain tengah yang paling banyak terlibat dalam penghasilan gol-gol untuk United, sama ada menerusi bantuan gol atau jaringan-jaringan yang dihasilkannya. Atau lebih tepatnya sepanjang fasa kedua liga berlangsung, United sangat bergantung kepada Bruno untuk mencipta peluang atau menghasilkan jaringan dari seorang pemain tengah.

 

Ketika Paul Pogba yang diarah untuk bermain lebih ke dalam, manakala Scott McTominay dan Fred pula bukanlah type `goal scoring mid’, Van de Beek pula bakal menjadi `pendamping’ yang ideal untuk Bruno sekaligus mengurangkan kebergantungan United kepada beliau dalam kerja-kerja mencipta peluang jaringan gol, atau melakukan umpanan-umpanan tepat terus kepada rakan di barisan hadapan.

 

Dalam skema permainan Ajax yang berorientasikan serangan, Van de Beek sering diberikan peranan sebagai `anchor’ ketika melakukan gerakan, selain tugasnya sebagai `pelindung’ di garis hadapan benteng pertahanan mereka dalam situasi defensif. Jika peranan serupa diberikan kepadanya nanti, Paul Pogba akan bermain sedikit ke belakang sebagai deep-lying playmaker kerana kualiti bertahan yang dimilikinya.   

 

Pogba pada musim lalu berperanan sebagai pemain nombor 8, akan kembali diplotkan sebagai pemain nombor 6, mirip dengan apa yang pernah dilakukan Patrick Vieira untuk Arsenal dahulu. Menerusi peranan sebagai box to box midfielder yang bakal dimainkan Van de Beek nanti, beliau akhirnya akan menjadi pelengkap kepada gandingan Bruno dan Pogba di zon tengah United dalam formasi 4-2-3-1.

 

Bagaimana pula nasib Nemanja Matic, Scott McTominay atau Fred selepas kehadiran Van de Beek nanti? Inilah dilema yang terpaksa dilalui oleh mana-mana pengurus ketika mereka memiliki limpahan pemain di bahagian tengah. Sekiranya Ole Gunnar Solskjaer mahu menurunkan salah seorang dari mereka untuk digandingkan bersama trio Pogba-Van de Beek-Bruno, formasi 4-4-2 (diamond) boleh dijadikan pilihan.

 

Dalam formasi ini, Matic, McTominay atau Fred akan berperanan sebagai pemain tengah bertahan yang tugasnya dikhususkan untuk merebut bola atau melakukan `kerja-kerja kotor’ bagi melindungi rakan di benteng pertahanan. Ini membolehkan trio Bruno-Pogba-Van de Beek fokus untuk melaksanakan peranan masing-masing tanpa terlalu terikat dengan kerja-kerja bertahan. Bruno akan bergerak di belakang dua penyerang, Van de Beek berperanan sebagai pengatur aliran bola dan Pogba pula bertindak sebagai free role.

 

Ingat lagi apa yang dilakukan Pogba semasa di Juventus? Menerusi peranan (free role) inilah beliau mempamerkan kemampuan terbaiknya sebagai pemain kerana tugas untuk membantu pertahanan dan sebagai pengatur aliran bola sudah dijalankan oleh Arturo Vidal dan Andrea Pirlo atau Claudio Marchisio. Jadi sama ada dalam formasi 4-2-3-1 atau 4-4-2 (diamond), Van de Beek boleh dikategorikan sebagai `pemain yang memenuhi spesifikasi bolasepak moden’.  

 

Akhirnya perpindahan Donny Van de Beek ke Old Trafford sudah diumumkan secara rasmi. Berbanding Jadon Sancho, United akhir melunaskan pembelian seorang pemain yang memiliki fleksibiliti di atas padang, pemain yang boleh Solskjaer turunkan dalam formasi 4-2-3-1, 4-3-3 atau 4-4-2 (diamond). £40 juta bukanlah harga yang terlalu mahal untuk pemain `versatile’seperti beliau cuma apa yang mahu kita lihat selepas ini ialah kemampuan beliau untuk beradaptasi dengan budaya bolasepak Inggeris.

 

Kehadiran Van de Beek menambahkan lagi senarai warga Belanda yang pernah menyarung jersi United, bermula dari Arnold Muhren hinggalah yang terkini dan termuda seperti Tahith Chong dan Timothy Fosu-Mensah. Menarik untuk melihat apakah beliau mampu memberikan impak setaraf Ruud Van Nistelrooy, Jaap Stam, Edwin Van der Sar atau Robin Van Persie? Atau gagal memenuhi harapan seperti Jordi Cryuff, Alexander Buttner atau Memphis Depay? “Selamat Datang Ke Old Trafford Donny Van de Beek”. Glory Glory Manchester United!!!