07 September 2020

SEBAGUS GIGGS, ATAU SENASIB JANUZAJ?



Beliau bermula dengan nombor 54, kemudian 26 dan kini 11. Perubahan nombor jersi yang bakal digunakan Mason Greenwood ini menyaksikan tiga penggempur di barisan hadapan akan menggunakan nombor berturutan iaitu nombor 9 (Anthony Martial), nombor 10 (Marcus Rashford) dan nombor 11 (Mason Greenwood). Apa yang menariknya tiga penggempur United ini mengubah nombor jersi mereka dalam tiga musim berturut-turut.

 

Bermula dengan Rashford yang bertukar dari nombor 19 kepada nombor 10 pada musim 2018/19, kemudian Martial dari nombor 11 kepada nombor 9 pada musim 2019/20 dan kini giliran Mason dari nombor 26 kepada nombor 11. Prestasi terpuji yang dipamerkan Mason musim lalu antara penyebab mengapa tugas untuk menyarung jersi nombor 11 ini diberikan kepada beliau.

 

Mungkin nampak seperti pertukaran biasa tetapi tanggungjawab besar bakal dipikul Mason kerana beliau mewarisi nombor yang pernah digunakan Ryan Giggs, legenda hidup kelab yang pernah menghadirkan ketakutan kepada mana-mana bek sisi lawan ketika era kemuncaknya sebagai pemain. Sepertimana Giggsy, Mason juga berperanan di sektor sayap, jadi sudah tentu beliau tidak dapat mengelak dari dibandingkan dengan anggota Class of 92 itu.

 

Selepas berakhirnya karier The Welsh Wizard, magis nombor 11 secara perlahan-lahan mula menghilang, malah penyandang nombor tersebut selepas itu bagaikan terkena sumpahan. Adnan Januzaj gagal menepati ramalan sebagai penerus legasi Giggs selepas beliau diberikan tanggungjawab oleh Louis Van Gaal untuk menyarung jersi nombor 11 pada musim 2014/15.

 

Ketibaan Zlatan Ibrahimovic pada musim 2016/17 pula memaksa Martial bertukar dari menggunakan jersi nombor 9 kepada nombor 11. Ketika itu Martial mengambilalih jersi nombor 11 dari Januzaj yang menjalani tempoh pinjaman selama semusim bersama Sunderland. Kedatangan Ibra menyebabkan produktiviti Martial dalam menghasilkan gol turut menurun apabila sepanjang musim tersebut beliau cuma mampu menjaringkan empat gol dalam saingan liga berbanding 11 pada musim sebelumnya.

 

Musim lalu, Martial kembali menggunakan nombor kesukaannya iaitu nombor 9 dan hasilnya beliau muncul penjaring terbanyak United menerusi 23 gol yang dihasilkannya dalam semua peringkat kejohanan. Musim lalu boleh dianggap musim terbaik Martial sejak ketibaannya di Old Trafford pada musim panas 2015. Isu konsistensi antara isu terbesar yang dihadapi oleh mana-mana pemain muda, dan Martial pernah menghadapinya manakala Mason pula mungkin tidak terkecuali.

 

Ramai pemain muda yang berjaya mencipta sensasi pada musim pertama tetapi menurun pada musim kedua. Satu kebanggaan buat Mason apabila beliau `dianugerahkan’ jersi nombor 11 yang pernah digunakan Giggs, juga satu tanggugjawab besar untuk dirinya membuktikan kepada kita bahawa beliau bukanlah `one season wonder’. Jejak Giggs adalah jejak legenda, semoga suatu hari nanti kita dapat melihat Mason setaraf The Welsh Wizard, bukan senasib seperti Adnan Januzaj. Glory Glory Manchester United!!!


 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan