Akhirnya detik yang ditunggu-tunggu tiba jua apabila Manchester United bakal memulakan aksi pertama mereka dalam kempen Liga Perdana musim 2020/21 menentang Crystal Palace di gelanggang sendiri pada Ahad jam 12.30 malam. Bagi Palace pula, kunjungan ke Old Trafford ini merupakan penampilan kedua mereka dalam saingan liga selepas kejayaan membenam Southampton di Selhurst Park minggu lalu.
Masih ingat lagi dengan apa yang dilakukan Palace di Old Trafford musim lalu? Musim lalu meskipun United bermula dengan cukup baik selepas mereka mencatatkan kemenangan besar (4-0) ke atas Chelsea pada perlawanan pertama liga, barisan kendalian Ole Gunnar Solskjaer kemudiannya dikejutkan dengan kekalahan (1-2) kepada Palace dalam aksi yang dilangsungkan di Old Trafford.
Perlawanan pertama untuk musim baharu, jadi sudah tentu anda mahu melihat Solskjaer menurunkan skuad terkuatnya dalam perlawanan ini meskipun beliau hilang sentuhan Paul Pogba di bahagian tengah. Untuk itu nama pertama yang `wajib’ ada dalam senarai kesebelasan utama yang bakal beliau turunkan nanti tentunya Donny Van de Beek, satu-satunya `rekrut’ baharu yang dibawa masuk ke Old Trafford setakat ini.
Tanpa Pogba, anda sebenarnya sudah boleh meramalkan kesebelasan utama yang bakal diturunkan Solskjaer serta formasi yang akan digunakannya. Dan agak malang juga kerana tanpa Pogba, anda juga terlepas peluang untuk menyaksikan tiga `goal scoring midfielder’ membarisi jentera tengah United secara serentak sejak minit pertama perlawanan.
Untuk melaksanakan tugas-tugas offensive, Bruno Fernandes dan Van de Beek akan melakukannya, manakala pilihan yang ada untuk melakukan tugas defensive pula tentunya terarah kepada Nemanja Matic, Fred atau Scott McTominay. Untuk itu, saya akan memilih Matic dalam kesebelasan utama dalam melakukan `kerja-kerja kotor’ ketika bertahan manakala trio Anthony Martial, Mason Greenwood dan Marcus Rashford bergerak di barisan hadapan bagi memburu gol.
Musim panas kali ini mungkin musim yang agak aneh untuk United. Sejak musim lalu berakhir, mereka dikaitkan dengan beberapa pemain yang khabarnya bakal dibawa masuk untuk memperkuatkan pasukan. Saga perpindahan Jadon Sancho masih belum berakhir, Jack Grealish kekal di Villa Park selama lima tahun lagi, Gabriel Magalhaes menjadi milik Arsenal, Sergio Reguilon semakin hampir menyertai Spurs manakala aksi menentang Aston Villa pula merupakan satu-satunya aksi pra musim yang dihadapi mereka.
United pastinya kesebelasan pilihan dalam perlawanan ini meskipun Palace pulang ke Selhurst Park dengan tiga mata penuh ketika kedua-dua pasukan bertembung di Old Trafford musim lalu. Hanya ada dua pasukan yang berjaya menewaskan United di Old Trafford musim lalu dan Palace adalah salah daripadanya selain Bournemouth. Jadi sudah tentu Solskjaer tidak mahu melihat kesebelasannya memulakan kempen kompetitif mereka musim ini dengan langkah kiri.
Rekod pertemuan antara kedua-dua pasukan dalam saingan liga sejak 2017 jelas memihak United apabila mereka menang empat kali, seri sekali dan tewas sekali ketika berdepan The Eagles. Kemenangan Palace di Old Trafford musim lalu pula merupakan satu-satunya kemenangan yang diperolehi mereka ke atas United sepanjang era Liga Perdana.
Palace tentunya mendambakan satu lagi kemenangan di Old Trafford, tetapi harus diingat bahawa United kini adalah kesebelasan yang jauh berbeza jika diambilkira peningkatan yang dipamerkan mereka sepanjang fasa kedua saingan liga musim lalu. Berbanding pertemuan di Old Trafford musim lalu, United kini memiliki pemain yang mampu memberikan perbezaan seperti Bruno Fernandes dan Donny Van de Beek. Glory Glory Manchester United!!!
Kesebelasan Kemungkinan United (4-2-3-1):
David
De Gea, Aaron Wan-Bissaka, Harry Maguire, Victor Lindelof, Luke Shaw, Nemanja
Matic, Donny Van de Beek, Bruno Fernandes, Marcus Rashford, Anthony Martial
& Mason Greenwood.
Kesebelasan Kemungkinan Palace (4-3-3):
Vicente
Guaita, Joel Ward, Cheikhou Kouyate, Scott Dann, Tyrick Mitchell, James
McCharthy, James McArthur, Jeffrey Schlupp, Andros Townsend, Wilfried Zaha
& Jordan Ayew
Tiada ulasan:
Catat Ulasan