20 September 2020

LANGKAH PERMULAAN YANG SUMBANG

 


Ini bukanlah permulaan yang kita inginkan di musim baharu, tetapi hakikatnya itulah yang berlaku di Old Trafford awal pagi tadi. United bermain dengan sangat buruk dan hakikat tersebut turut diakui oleh Ole Gunnar Solskjaer. Gol pembukaan menerusi Andros Townsend dan dua lagi jaringan menerusi Wilfried Zaha menyaksikan Crystal Palace sekali lagi pulang dari Old Trafford dengan tiga mata penuh buat musim kedua berturut-turut.

 

Di atas kertas segalanya milik United, tetapi di atas padang Palace ternyata kesebelasan yang lebih baik terutamanya dalam aspek menyudahkan peluang. Bermula dengan perlahan, gagal membina gerakan walaupun memiliki peratus penguasaan bola yang tinggi, ketandusan idea manakala pemain yang dilabel mampu memberikan perbezaan seperti Bruno Fernandes dan Anthony Martial hampir tenggelam sepanjang perlawanan.

 

Dominasi United hanya berkisar tentang penguasaan bola menerusi hantaran-hantaran pendek sesama pemain tetapi tidak diterjemahkan dengan umpanan-umpanan `vertical’ yang ditujukan ke dalam petak penalti lawan. Jadi tidak hairanlah dalam tempoh 17 minit pertama perlawanan, United hilang penguasaan bola sebanyak lapan kali. Dalam hal ini pujian wajar diberikan kepada Palace yang bijak dan sabar menunggu peluang ketika lawan melakukan kesilapan.

 

Meskipun dengan formasi 4-4-2, Palace tetap berhasil memberikan tekanan ketika United menguasai bola, malah dalam situasi defensif mereka memiliki sekurang-kurangnya lapan pemain di dalam petak penalti sendiri. Situasi ini menyaksikan barisan hadapan United beberapa kali terpaksa melepaskan percubaan dari jarak jauh kerana sukarnya untuk mereka masuk dan mencipta peluang di dalam petak penalti lawan. Akhirnya menerusi satu gerakan `counter attack’, Palace berjaya menjaringkan gol pertama perlawanan.

 

Ada sedikit perubahan selepas United ketinggalan menerusi tekanan demi tekanan yang diberikan mereka kepada benteng pertahanan Palace tetapi akhirnya kita juga terpaksa mengakui terdapat isu intensiti dalam aliran bola United yang menyaksikan setiap gerakan mereka mudah dipatahkan lawan. Tidak hairanlah jika hampir sepanjang perlawanan anda dapat menyaksikan pola permainan United mudah dibaca lawan, umpanan-umpanan yang kurang tepat dan binaan gerakan yang dilakukan mereka tidak teratur.

 

Masuknya Donny Van de Beek yang menggantikan Paul Pogba memberikan sedikit perbezaan, dan dalam tempoh beberapa minit beliau tampak berperanan sebagai `playmaker’ untuk United. Akhirnya `rekrut’ baharu The Red Devils itu menjaringkan gol pertama pada penampilan pertamanya di Liga Perdana untuk United tetapi agak malang gol tersebut gagal menghalang Palace dari pulang ke Selhurst Park dengan tiga mata penuh.

 

Selepas gol ketiga Palace yang dijaringkan oleh Wilfried Zaha ketika tempoh permainan sebenar berbaki lima minit sebelum ditamatkan, segalanya sudah berakhir buat United untuk cuba melakukan kebangkitan. Zaha merupakan pembelian terakhir yang dilakukan Sir Alex Ferguson ketika era pengurusan beliau, dan sudah tentu dua gol yang diledaknya ke gawang United meletakkan Zaha sebagai fokus utama selepas tamat perlawanan.

 

Bagaimanapun di kem United, prestasi Victor Lindelof di benteng pertahanan bakal menjadi topik perdebatan sepanjang minggu ini. Secara peribadi saya meletakkan tiga gol yang diledak Palace berpunca dari kelemahan Lindelof. Gol pertama Palace bermula dari kegagalan beliau menghalang Jeffrey Schlupp dari melakukan hantaran yang akhirnya berjaya disudahkan Andros Townsend. Bola yang terkena tangan beliau pula menyaksikan Palace dihadiahkan sepakan penalti dan kelemahan Lindelof ketika melakukan duel satu lawan satu membolehkan Wilfried Zaha menjaringkan gol peribadi keduanya dalam perlawanan ini.

 

Selepas tamat perlawanan, Gary Neville melabelkan Lindelof sebagai `bek yang lemah’ dan menggesa kelab supaya segera mencari pengganti kepada pertahanan antarabangsa Sweden itu di benteng mereka. Secara sinis, Neville turut mengatakan bahawa United tidak mampu `pergi jauh’ jika mereka tidak melakukan rombakan kepada pasangan Lindelof dan Harry Maguire.

 

“Jangan harap mereka akan menang trofi dengan pasangan pertahanan seperti itu. United harus mencari bek baharu yang pantas dan dominan sebagai pasangan kepada Lindelof atau Maguire”, kata Neville. `Barainya’ pertahanan United bukan satu-satunya isu yang perlu segera diselesaikan Solskjaer kerana selain itu beliau juga wajar mengambil peluang yang ada untuk mendapatkan seorang lagi rekrut baharu untuk diletakkan di barisan hadapan skuadnya.

 

Bukan Jadon Sancho, tetapi Solskjaer sepatutnya mendapatkan seorang pemain yang mampu berperanan sebagai `pemain nombor 9’ atau lebih tepatnya seorang `target man’ yang boleh menjaringkan lebih 20 hingga 30 gol semusim. Bukan menidakkan kemampuan Anthony Martial, tetapi percayalah jika Solskjaer mahu meletakkan United selaku pencabar serius kejuaraan liga, beliau tidak boleh melakukannya dengan meletakkan Martial sebagai `pemain nombor 9’.

 

Apa yang boleh anda rumuskan dalam perlawanan ini ialah United memulakan kempen liga mereka dengan prestasi yang begitu hambar hingga menyaksikan Palace kelihatan seperti sebuah kesebelasan yang sangat hebat. Mungkin persiapan pra musim yang kurang rapi boleh dijadikan alasan tetapi kekalahan ini sepatutnya menyedarkan pihak pengurusan bahawa United tidak mampu pergi jauh hanya dengan pembelian Donny Van de Beek.

 

Hanya ada dua pilihan yang boleh dilakukan mereka iaitu dapat pemain baharu mengikut keperluan pasukan atau lihat United terus ketinggalan di belakang pencabar-pencabar kejuaraan yang lain. Jadi sangat menarik untuk melihat apakah respons pihak pengurusan kelab sepanjang minggu ini. Gol jaringan Van de Beek mungkin satu-satunya hal yang boleh membuat anda sedikit tersenyum tetapi itu tidak cukup untuk menutup fakta bahawa United bermain persis kesebelasan `mid table’ dalam perlawanan ini. Glory Glory Manchester United!!!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan