Gelaran
`Penaldo’ bukanlah satu pengiktirafan tetapi lebih bersifat kritikan kepada
Cristiano Ronaldo kerana kekerapan beliau menjaringkan gol menerusi tendangan
penalti. Semasa menyarung jersi Real Madrid, Ronaldo menjaringkan 450 gol dalam
semua peringkat kejohanan di mana dari jumlah tersebut 79 gol dihasilkan beliau
menerusi tendangan penalti. Ini bermakna 17.38% dari keseluruhan gol yang
dijaringkan beliau untuk Real disumbang menerusi tendangan dari `titik putih’.
`Penaldo’
merupakan gelaran yang dicipta penyokong Barcelona untuk Ronaldo gara-gara
perseteruan antara dua gergasi Sepanyol itu di La Liga. Kini di Old Trafford
pula sudah mula kedengaran gelaran yang hampir sama dan sasarannya sudah tentu terarah
kepada Bruno Fernandes. Selepas Bruno menyempurnakan satu lagi tendangan
penalti ketika aksi separuh akhir Liga Europa menentang Sevilla, di alam siber
sudah bergegar dengan istilah `Penandes’ yang ditujukan kepada beliau.
Tidak
cukup dengan itu, beberapa hari lalu giliran Jose Mourinho pula `membedil’
Bruno. Tampak seperti kata-kata manis tetapi sebenarnya `pujian’ yang diberikan
Mourinho itu lebih bersifat sarkastik kepada rakan senegaranya itu. Jika sebelumnya
Mourinho pernah mengatakan bahawa beliau tidak akan sesekali menukar Giovani Lo
Celso dengan Bruno dalam pasukannya, tetapi kali ini beliau mengatakan bahawa
pemain tengah berusia 25 tahun itu merupakan pengambil sepakan penalti yang
hebat.
Lupakan
sebentar `troll’ terbaharu yang dicipta oleh para netizen itu dan sindiran
Mourinho, kerana hakikatnya kebangkitan United sepanjang fasa kedua saingan
liga memang tidak lepas dari dikaitkan dengan kehadiran Bruno pada penghujung
Januari lalu. Kehadiran Bruno memang memberikan perbezaan besar kepada corak
permainan United terutamanya peranan yang beliau mainkan di bahagian tengah.
Dengan adanya Bruno dan Paul Pogba, United kini memiliki dua penggerak serangan
yang setaraf kualitinya di jentera tengah mereka.
Bruno
bukan sekadar menawarkan kreativiti serta visi permainannya yang tinggi, tetapi
beliau kini adalah `specialist’ untuk United dalam situasi bola mati.
Sejak jaringan yang dilakukan beliau ke gawang Watford dalam aksi liga pada
Februari lalu, Bruno mengambil alih tempat Pogba dan Marcus Rashford selaku
penendang penalti utama untuk United. Ketenangan yang dimilikinya di `titik
putih’ merupakan faktor utama mengapa Bruno tidak pernah gagal menyempurnakan
tujuh tendangan penalti yang sudah diambilnya sejak menyertai United.
Mengikut
catatan statistik sepanjang karier profesional beliau, dari 30 tendangan
penalti yang sudah diambil Bruno, beliau cuma gagal menyempurnakannya sebanyak
dua kali sahaja. Kegagalan pertama berlaku ketika beliau menyarung jersi
Udinese di Serie A pada musim 2015/16 dan kedua ketika bersama Sporting Lisbon
dalam kejohanan Taca de Portugal pada Oktober 2018. Sehingga setakat ini,
Miguel Soares muncul penjaga gol terakhir yang berjaya menyelamatkan tendangan
penalti Bruno, itupun berlaku hampir dua tahun yang lalu.
Pada
1 Ogos lalu, Soares pernah mendedahkan bagaimana beliau mengagalkan tendangan
penalti Bruno. Namun tips yang diberikan bekas penjaga gol GS Loures itu tetap
gagal membantu Karl-Johan Johnsson dan Yassine Bounou ketika mereka berdepan
Bruno dalam saingan Liga Europa. Selain ketenangan sebagai aset utamanya, Bruno
juga memiliki teknik yang unik ketika beliau mengambil tendangan penalti. Di
Liga Perdana, anda juga boleh melihat Jorginho turut memiliki teknik tendangan
penalti yang hampir sama sepertimana dilakukan Bruno.
Teknik
melakukan lompatan kecil sebelum melakukan tendangan bukanlah satu perkara yang
mudah dilakukan, kerana Bruno perlu menyembunyikan arah sebenar tendangan yang
bakal beliau tujukan sehinggalah kedetik-detik terakhir sebelum kakinya
menyentuh bola. Meskipun teknik lompatan sering digunakan Bruno, namun sesekali
beliau akan mengubah gaya tersebut mengikut kesesuaian lawan yang dihadapinya.
Lihat saja teknik tendangannya ketika berdepan Karl-Johan Johnsson pada aksi
suku akhir Liga Europa.
Sejak
kegagalan ketika berdepan Miguel Soares hampir dua tahun lalu, Bruno tidak
pernah gagal menyempurnakan kesemua 18 tendangan penalti yang diambilnya. Dan
sejak kejayaan Tim Krull mengagalkan dua tendangan penalti United yang diambil
Anthony Martial dan Marcus Rashford pada Oktober tahun lalu, United tidak
pernah lagi gagal menyempurnakan 14 tendangan penalti yang mereka terima, dan separuh
daripadanya datang dari kaki Bruno.
Mourinho
boleh berkata apa sahaja, atau terus melancarkan serangan psikologi ke atas
Bruno, tetapi saya percaya akan ada lebih banyak jaringan menerusi `aksi
tendangan penalti sambil melompat’ dari beliau musim depan. Bruno tiba di Old
Trafford pada pertengahan musim, melakukan 22 penampilan, menjaringkan 12 gol
dan mencipta lapan bantuan gol, sekaligus membantu United layak beraksi ke
saingan Liga Juara-Juara musim depan. Jadi memang wajarlah Mourinho berasa sedikit
`sakit hati’ atas impak yang diberikan Bruno kepada bekas majikannya itu. Glory
Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan