28 September 2020

CUKUP DENGAN APA YANG ADA…KITA TIDAK PERLUKAN PERTAHANAN BAHARU?

 



Kemenangan yang sangat-sangat penting biarpun di Stadium Amex Manchester United sebenarnya bermain tidak sepertimana yang kita harapkan. Memang perit untuk kita akui, tetapi kemenangan yang dilakar barisan kendalian Ole Gunnar Solskjaer ke atas Brighton itu boleh dianggap sebagai `kemenangan nasib’ apatah lagi selepas kita melihat lima percubaan yang dilepaskan tuan rumah sekadar singgah di tiang gol.

 

Simpati untuk Brighton yang bermain dengan begitu baik, sentiasa memberikan tekanan ketika United menguasai bola dan mencipta lebih banyak peluang tetap akhirnya mereka berada di pihak yang kalah. Memang agak kejam untuk mereka tetapi akhirnya kita terpaksa mengakui bahawa keputusan perlawanan ditentukan dengan jumlah gol yang berjaya dijaringkan, bukan berapa banyak peluang yang berjaya anda cipta.

 

Di akhir perlawanan, Solskjaer mengakui bahawa United tidak berhak meraih kemenangan di Stadium Amex tetapi tiga mata yang berjaya di bawa pulang ke Old Trafford itu sebenarnya sudah cukup untuk meredakan tekanan buat sementara waktu. Gol kemenangan menerusi sepakan penalti Bruno Fernandes itu akan diingati sampai bila-bila, tetapi sorotan akhirnya tetap akan terarah kepada benteng pertahanan United yang sudah bolos lima gol, hanya dalam dua perlawanan awal liga mereka.

 

United sudah mengharungi tiga aksi kompetitif mereka musim ini, tetapi penampilan keseluruhan barisan The Red Devils masih lagi terlalu jauh dari kelompok pasukan pilihan untuk merebut kejuaraan liga. Ketika berdepan Luton Town dalam aksi Piala Liga dan kemudiannya Brighton, United belum menunjukkan tanda-tanda kebangkitan dari kekalahan yang dialami mereka kepada Crystal Palace dalam aksi pertama liga di Old Trafford pada 20 September lalu.

 

Paling menjadi tumpuan tentunya bagaimana cara United bertahan dalam dua aksi pertama liga mereka musim ini. Ketika berdepan Brighton, mereka membiarkan lawan melepaskan 18 percubaan ke arah David De Gea, jadi sangat ironi bila mengingatkan bahawa inilah empat pemain (Harry Maguire, Victor Lindelof, Aaron Wan-Bissaka dan Luke Shaw) penting di barisan belakang yang cuma membenarkan gawang United dibolosi sebanyak 36 kali dalam saingan liga musim lalu.

 

Dan untuk rekod juga, empat pemain ini jugalah yang membolehkan De Gea melakukan catatan clean sheet ketika mereka berdepan Brighton di gelanggang yang sama musim lalu. Jadi apakah sebenarnya yang berlaku? Adakah benteng United tidak lagi se `solid’ sepertimana musim lalu atau Brighton kini sudah berkembang menjadi kesebelasan yang jauh lebih baik hanya dalam tempoh tiga bulan?

 

Melihat bagaimana struggle nya benteng pertahanan United ketika barisan hadapan lawan memberikan tekanan, agak menghairankan apabila Solskjaer masih menolak sebarang kemungkinan untuk beliau menandatangani seorang lagi pertahanan baharu bagi meningkatkan kualiti barisan belakang skuadnya. Ketika desakan penyokong-penyokong semakin kuat kedengaran yang mahukan kelab menandatangani pertahanan baharu, Solskjaer pula nampaknya masih berpuashati dengan set pertahanan yang beliau miliki ketika ini.

 

Jika tiada sebarang tambahan pemain di benteng pertahanan sehingga jendela perpindahan pemain musim panas ditutup, apa yang boleh anda harapkan ialah sedikit rombakan dilakukan Solskjaer terutamanya membabitkan posisi bek tengah skuadnya. Keputusan beliau menggandingkan Harry Maguire dan Eric Bailly ketika berdepan Luton Town tempohari saya harap satu isyarat jelas bahawa dua pemain ini akan memikul peranan utama di benteng pertahanan United sepanjang musim ini.

 

Bukan menidakkan kemampuan Victor Lindelof, tetapi selepas empat musim beliau berada di Old Trafford, United sebenarnya perlukan seorang pertahanan yang lebih dominan, pantas, bijak membaca permainan dan tidak pernah teragak-agak dalam melakukan duel satu lawan satu dengan pemain lawan. Bailly memiliki ciri yang saya sebutkan tetapi agak malang beliau kerap berdepan isu kecederaan. Jika bukan kerana isu kecederaan yang kerap menimpa Bailly, saya akan bersetuju dengan Solskjaer bahawa United memang tidak perlukan tambahan seorang pertahanan tengah baharu. Glory Glory Manchester United!!!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan