Pada
28 September 2004, Wayne Rooney melakukan penampilan pertama untuk Manchester
United selepas beliau direkrut oleh Sir Alex Ferguson dari Everton menerusi
nilai perpindahan sebanyak £25.6 juta. Jumlah yang dibayar United itu
menyaksikan Wazza muncul pemain di bawah usia 20 tahun paling mahal di dunia
ketika itu.
Wazza
sepatutnya melakukan debut bersama United lebih awal iaitu pada 25 September
2004 ketika United berdepan Tottenham Hotspurs, namun kecederaan metatarsal yang
dialaminya dalam kejohanan Euro menyaksikan nama Wazza tercicir dari senarai
pemain yang di bawa Fergie ke White Hart Lane.
Akhirnya
detik yang dinanti-nantikan oleh penyokong-penyokong United untuk menyaksikan
kelibat Wazza tiba jua ketika barisan The Red Devils melayan kunjungan
Fenerbahce dalam saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara. Mungkin kerana penampilan
pertamanya yang tertunda selama tiga hari, Wazza seolah-olah melepaskan
geramnya ketika berdepan Fenerbahce.
Di
Old Trafford pada malam tanggal 28 September 2004 itu, Wazza memilih tempat
yang tepat untuk `menggila’ menerusi hatrik yang diledak beliau ke gawang lawan
yang dikawal Rustu Recber. Selepas Ryan Giggs menjaringkan gol pertama
perlawanan di minit ke-7, Wazza mengambil giliran selaku penjaring gol untuk
United menerusi jaringan yang dilakukannya di minit ke-17, 28 dan 54.
Gol
ketiga yang dihasilkan Wazza akan sentiasa diingati sampai bila-bila, kerana
gol itu dihasilkan beliau menerusi satu sepakan percuma yang cukup cantik. Satu
tragedi buat seorang penjaga gol yang sangat berpengalaman seperti Recber, kerana
pada malam itu, beliau bukan sahaja tewas sebanyak enam kali, tetapi gawangnya juga
menjadi `lubuk’ oleh seorang budak yang baru berusia 19 tahun untuk melepaskan
geramnya.
“Untuk
gol ketiga, saya melihat Ryan Giggs sebenarnya sudah bersedia untuk mengambil
tendangan itu. Tetapi saya katakan kepadanya bahawa saya boleh menjaringkan gol
dari situasi tersebut dan akhirnya gol itu berjaya dihasilkan. Menjaringkan tiga
gol pada penampilan pertama tentunya sangat fantastik. Sudah tentu saya tidak
akan lupakan malam itu sampai bila-bila” kata Wazza.
Dua
tahun kemudian, Wazza melakar satu lagi sejarah apabila beliau menghasilkan
satu lagi hatrik dan kali ini ia berlaku dalam saingan Liga Perdana pula. Pada
tanggal 28 Oktober 2006, Wazza menjarikan tiga gol di sebalik kemenangan besar
(4-0) yang dilakar United ke atas Bolton Wanderers di Stadium Reebok. Hatrik
itu juga merupakan hatrik peribadi pertama Wazza di Liga Perdana.
Hatrik
pertama Wazza di Liga Perdana itu berlaku hanya empat hari selepas beliau
menyambut ulang tahun kelahiran ke-21nya. Di Stadium Reebok, Wazza cuma
perlukan tempoh enam minit untuk beliau menjaringkan dua gol (minit ke-10 dan
ke-16). Di separuh masa kedua, Wazza melengkapkan hatriknya apabila beliau
menewaskan Jussi Jaaskelainen buat kali ketiga di minit ke-89.
“Tanpa
ragu Rooney sudah membuktikan bahawa dia adalah pemain terbaik di Liga Perdana.
Memang layak untuk dia mendapatkan tiga gol tersebut sekaligus membuktikan
kepada para pengkritiknya bahawa mereka cuma cakap kosong selama ini. Sangat
sukar untuk pemain-pemain saya menghentikannya kerana dia menjaringkan gol-gol
yang sangat luarbiasa”, kata Sam Allardyce selepas tamat perlawanan.
Selain
dari dua momen tersebut, tanggal 28 haribulan seolah-olah cukup akrab dalam
karier Rooney. Pada 28 Disember 2003, Rooney melakukan penampilan ke-50 beliau
di Liga Perdana, manakala jaringan hatrik keduanya di Liga Perdana berlaku pada
28 November 2009 ketika United mencatatkan kemenangan besar (4-1) ke atas
Portsmouth dalam aksi yang dilangsungkan di gelanggang lawan.
Catatan
unik yang dilakukan Wazza tidak terhenti setakat itu, kerana pada 28 Februari
2010, beliau menjaringkan gol menerusi tandukan buat kali kelima berturut-turut,
manakala satu jaringan yang dihasilkannya ke gawang Sunderland pada 28 Februari
2015 meletakkan beliau sebagai pemain United pertama yang berhasil menjaringkan
lebih 10 gol selama 11 musim berturut-turut. Akhir sekali jangan lupakan juga
gol pertama beliau untuk DC United berlaku pada 28 Julai 2018. Glory Glory
Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan