31 Disember 2022

ADEUS O REI (SELAMAT TINGGAL RAJA)

 


Ketika zaman kanak-kanaknya, beliau lebih dikenali sebagai Dico, bukan `Pele’. Kerana Dico adalah nama panggilan beliau dalam keluarganya. Malahan Dico sendiri ketika kecil tidak menyukai bila rakan-rakan seusianya memanggil beliau dengan nama `Pele’. Bagi Dico, `Pele’ adalah satu bentuk penghinaan kepadanya. Bagaimanapun Pele akhirnya muncul nama besar dalam dunia bolasepak, legenda dan ikon yang disebut-sebut ketika eranya sebagai pemain hinggalah ke hari ini.

 

Untuk itu, terima kasih juga kepada rakan-rakan sekolah Dico, yang memanggil beliau dengan nama `Bile’ (tetapi disalah sebut menjadi `Pele’), hinggakan nama itu terus harum merentasi zaman. Menurut ESPN, ketika era kemuncaknya sebagai pemain, hanya Pele yang mampu menandingi populariti Muhammad Ali sebagai ikon dan bintang sukan dunia. Pada usia 18 tahun, Pele sudah menjulang Piala Dunia, kemudian beraksi selama lebih dua dekad sebelum mengakhiri kariernya bersama New York Cosmos.

 

Kemiskinan adalah cerita yang stereotaip dengan masa silam bintang-bintang bolasepak kelahiran Brazil. Kerasnya dalam mengharungi hidup di `favela’ membentuk mereka menjadi insan yang kuat. Mereka melihat bolasepak sebagai satu-satunya jalan keluar dari belenggu kemiskinan, untuk itu Pele juga tidak terkecuali. Dilahirkan di daerah terpencil Tres Coracoes, Pele dibesarkan dalam keluarga miskin pasangan Joao Ramos dan Dona Celeste, malah untuk mendapatkan sebiji bola adalah sesuatu yang terlalu mahal bagi mereka.

 

Stokin yang didalamnya diisi dengan potongan kain buruk adalah alternatif kepada sebiji bola yang digunakan Pele ketika beliau mengasah bakatnya secara bersendirian. Bayangkanlah bagaimana sukarnya mengawal `bola’ yang tidak bulat sepenuhnya itu ketika berlatih. Tetapi `bola’ itu jugalah sebenarnya yang membentuk karakter, skill dan teknik permainan Pele. Potensi besar Pele akhirnya berjaya dihidu Waldemar de Brito yang menawarkan beliau untuk menjalani satu sesi `trial’ bersama Santos, salah sebuah kelab terkemuka Brazil.

 

Dalam salah satu momen, penampilan Pele benar-benar mengejutkan Lula (pengendali Santos). Apa tidaknya kerana seorang budak yang baru berusia 15 tahun dengan mudah berjaya menewaskan Formiga, pertahanan handalan Santos ketika itu. Pele menandatangani kontrak profesionalnya pada usia 15 tahun, dan pada 7 September 1956 beliau diturunkan Lula dalam kesebelasan Santos ketika berdepan Corinthians. Pada perlawanan itu, Pele menjaringkan gol pertama dari 1,280 gol yang beliau hasilkan sepanjang kariernya.

 

Pada musim pertamanya bersama Santos, Pele meledak 32 gol lantas menobatkan beliau selaku penjaring terbanyak Liga Brazil. Ratio gol yang dihasilkannya benar-benar mengagumkan untuk seorang remaja yang baru berusia 17 tahun. Setahun selepas itu, Piala Dunia edisi 1958 berlangsung di Sweden, dan sepertimana yang dijangkakan, Pele dipanggil untuk menjalani sesi pemilihan skuad kebangsaan. Bagaimanapun timbul keraguan sama ada Pele layak dibawa ke Sweden atau tidak kerana faktor umur dan perwatakannya.

 

“Pele terlalu muda. Dia masih lagi seorang budak yang naif. Dia tidak memiliki semangat juang yang diperlukan. Dia juga terlalu muda untuk berdepan dengan tekanan dan lawan yang agresif. Juga tiada rasa tanggungjawab serta semangat berpasukan. Saya tidak menyarankan anda untuk membawa dia ke Sweden”, saran Joao Carvalhes yang juga merupakan pakar sosiologi pasukan kepada Vincente Feola. Bagaimanapun Pele bernasib baik kerana Feola memang seorang pengendali yang keras kepala.

 

Selepas membaca laporan Carvalhes, Feola berkata, “Kamu mungkin betul, tetapi masalahnya kamu juga bukanlah seorang pakar bolasepak. Jika dia cergas, saya akan bawa dia ke Sweden”. Keputusan Feola ternyata tepat, apabila pada penampilan pertamanya di Piala Dunia, Pele berjaya membantu Brazil menjulang Piala Dunia buat kali pertama. Bukan itu sahaja, Pele juga muncul penjaring termuda di Piala Dunia, penjaring gol termuda di final dan pemain termuda yang pernah menjulang kejuaraan Piala Dunia.

 

Kejayaan di Sweden merupakan sebuah janji yang dipenuhi Pele untuk ayahnya. Kerana ketika Brazil tewas di final pada edisi 1950, Pele melihat ayahnya menangis. Ketika itulah Pele berkata, “Tidak mengapa ayah. Suatu hari nanti aku akan bawakan Piala Dunia untukmu”. Pele melakukannya bukan sekali tetapi tiga kali, kerana selepas itu beliau berjaya membantu Brazil menjulang Piala Dunia pada edisi 1962 dan 1970. Satu pencapaian hebat yang hingga kini tidak mampu disentuh oleh mana-mana pemain terhebat bolasepak moden.

 

Empat tahun sebelum melengkapkan kejuaraan Piala Dunia ketiganya, Pele sebenarnya hampir sahaja bersara. Pada edisi 1966, Pele ternyata kecewa dengan pendekatan pemain lawan yang melakukan terjahan-terjahan keras ke atasnya. Selepas berakhirnya cabaran Brazil, Pele secara mengejut mengumumkan bahawa ini adalah kempen Piala Dunia terakhirnya. “Ini Piala Dunia terakhir saya kerana bolasepak seperti medan perang. Jika bolasepak bererti perang, maka saya akan menggantung `boot’ dan melupakan bolasepak”.

 

Bagaimanapun pada edisi 1970, Pele melakukan penampilan lagi di Piala Dunia bersama skuad `Selecao’ yang ketika itu dilabel sebagai kesebelasan terbaik Brazil sepanjang zaman. Selepas persaraan beberapa pemain senior, Brazil ketika itu diperkuatkan generasi emas mereka menerusi nama-nama seperti Jairzinho, Rivelino, Gerson, Tostao, Clodoaldo dan Carlos Alberto Torres. Pada usia 30 tahun, Pele kini menjadi salah satu pemain senior yang dibawa Mario Zagallo dalam kempen mereka di Mexico.   

 

Sepanjang kejohanan, Pele meledak empat gol termasuk satu jaringan yang dihasilkannya ke gawang Itali di pentas final sekaligus melengkapkan kejuaraan Piala Dunia ketiga Brazil dan juga untuk dirinya. Menurut Tarcisio Burgnich, pertahanan Itali yang ditugaskan mengawal Pele, legenda Brazil itu bukan manusia biasa. “Sebelum perlawanan, saya yakin mampu mengatasinya kerana Pele juga manusia biasa yang dicipta dari tulang dan daging. Bagaimanapun saya silap, kerana Pele bukanlah manusia biasa”, kata Burgnich.

 

Mexico `70 adalah kemuncak kepada karier Pele, dan selepas itu beliau mengumumkan persaraan dari dunia bolasepak. Bagaimanapun masalah kewangan yang dihadapinya memaksa Pele keluar dari persaraan. Lima tahun selepas kejayaan di Mexico, Pele beraksi untuk New York Cosmos di Liga Bolasepak Amerika Utara selama dua tahun. Pada Oktober 1977, Pele bermain bolasepak buat kali terakhir, menutup kariernya sebagai pemain dalam satu perlawanan persahabatan antara New York Cosmos dan Santos.

 

Bagi bakat sehebat Pele, tentunya ada pertanyaan mengapa beliau tidak pernah bermain untuk kelab-kelab besar di benua Eropah? Selepas penampilan sensasi beliau pada Piala Dunia 1958, Pele sebenarnya menerima banyak tawaran untuk bermain di Eropah. Bagaimanapun hati Pele hanya untuk Santos, apatah lagi Janio Quadros (Presiden Brazil ketika itu) mengumumkan bahawa Pele adalah khazanah negara, sekaligus hampir menutup segala kemungkinan untuk beliau bermain di Eropah.

 

Pele tidak pernah memenangi anugerah Ballon d’Or secara rasmi, kerana anguerah tersebut pada mulanya hanya diberikan untuk pemain Eropah sehinggalah peraturan itu dipinda pada 2007. Pada 2014, France Football menganjurkan satu upacara khas sempena ulang tahun ke-60 Ballon d’Or. Pada upacara khas tersebut, Pele dianugerahkan tujuh Ballon d’Or (1958, 1959, 1960, 1961, 1963, 1965 dan 1970). Menurut France Football, menerusi kriteria yang sama, Pele layak dianugerahkan Ballon d’Or pada tahun-tahun tersebut.

 

Pengaruh Pele kepada dunia melangkaui sempadan. Pada 1967, dua kumpulan gerila di Nigeria melakukan gencatan senjata semata-mata mahu menyaksikan aksi Pele dalam jelajah beliau di Lagos. Ketika beliau mengumumkan persaraan pada 1977, akhbar-akhbar utama di Brazil menulis tajuk utama “Langit Pun Menangis” di muka depan mereka. Pada 1999, FIFA menobatkan Pele sebagai `Pemain Terbaik Abad Ini’ bersama Diego Armando Maradona, manakala Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa menamakan beliau sebagai `Atlet Abad Ini’.

 

Pada awal pagi Jumaat, Pele menghembuskan nafas terakhirnya selepas lama bertarung dengan penyakit kanser yang dihidapinya. Kita tidak pernah menyaksikan Pele beraksi secara langsung, tetapi kita tahu bahawa beliau pemain bolasepak terhebat pernah dilahirkan. Sentiasa ada perdebatan berpanjangan dalam memilih siapa yang terbaik antara Lionel Messi atau Cristiano Ronaldo. Tetapi untuk Pele, kita akan sepakat mengatakan bahawa beliau adalah `Raja Bolasepak’ sebenar. Adeus O Rei!!!



29 Disember 2022

KESEDERHANAAN SEORANG CASEMIRO

 


Di Santiago Bernabeu, Casemiro antara watak penting bagi menggerakkan jentera tengah Real Madrid. Selama tujuh musim sejak beliau kembali ke Santiago Bernabeu dari tempoh pinjaman di FC Porto, gandingan Casemiro, Luka Modric dan Toni Kroos adalah warna yang menghiasi keseimbangan permainan Real, sama ada ketika mereka bertahan ataupun ketika menyerang. Ketika Modric dan Kroos yang sifat mereka lebih `offensive’, Casemiro pula adalah seorang `breaker’ di bahagian tengah. 

 

Era kemuncak Real sering dikaitkan dengan persona Cristiano Ronaldo di barisan hadapan mereka, hingga ramai yang terlupa bahawa kunci kesuksesan skuad Los Blancos itu sebenarnya terletak di tangan trio Casemiro, Modric dan Kroos. Di barisi oleh pemain-pemain yang kebanyakkannya memiliki karakter `offensive’, Real sebenarnya sangat beruntung kerana memiliki pemain seperti Casemiro, sosok yang menjaga keseimbangan di bahagian tengah dan pertahanan mereka.

 

Penampilan Casemiro di Santiago Bernabeu sebenarnya mengingatkan saya kepada Fernando Redondo, bintang Argentina yang pernah menyarung jersi Real selama enam musim (dari 1994 hingga 2000). Redondo bukanlah tipikal seorang pemain tengah bertahan konservatif ketika era tersebut, tetapi seorang pemain tengah bertahan yang memiliki visi permainan tinggi, mirip seorang `playmaker’ yang berposisi sebagai pemain tengah bertahan. 

 

Solusi Kepada De Jong?

 

Ada satu nama yang sering digembar-gemburkan bakal direkrut Erik Ten Hag untuk mengisi posisi pemain tengah bertahan pada jendela perpindahan musim panas lalu. Siapa lagi jika bukan Frenkie De Jong. Sayangnya ambisi Ten Hag yang mahu mendapatkan tandatangan De Jong berakhir dengan kegagalan atas alasan pemain itu mahu kekal di Barcelona yang menawarkan beliau tiket untuk beraksi di saingan Liga Juara-Juara.

 

Idea mendapatkan khidmat De Jong bukan tentang faktor `reunion’ semata-mata kerana hasrat Ten Hag didorong oleh ambisi beliau yang mahu menjadikan United sebagai kesebelasan yang dominan dalam aspek permainan mereka. Idea Ten Hag memang menarik, kerana impian beliau ketika itu ialah agar jentera tengah United dibarisi pemain-pemain tengah yang kreatif. United akan bermain corak bolasepak menarik dengan adanya pemain seperti Bruno Fernandes, Christian Eriksen dan De Jong.

 

Percubaan United mendapatkan De Jong menemui jalan buntu, tetapi kelab akhirnya menemui solusi lain dari seteru domestik Barcelona sendiri, iaitu Real Madrid. Casemiro datang, tetapi selepas itu tetap ada keraguan tentang kemampuan beliau beradaptasi dengan tempo bolasepak di Liga Perdana. Status beliau sebagai antara pemain tengah bertahan terbaik dunia juga bukanlah tiket untuk Casemiro disenaraikan dalam kesebelasan utama United secara automatik.

 

Dari Kaki Casemiro

 

Pada awalnya Ten Hag masih bergantung kepada kombinasi `McFred’ di bahagian tengah, tetapi secara perlahan-lahan aura kelas dunia seorang pemain bernama Casemiro ini mula kelihatan. Casemiro diturunkan dalam kesebelasan utama United pada kesemua lapan aksi terakhir liga, dan apa yang menariknya dari kelapan-lapan penampilan tersebut beliau menerima purata rating 7.6 dalam setiap perlawanan. Rating paling tinggi yang diterimanya ialah 9.2 ketika aksi menentang Nottingham Forest kelmarin.

 

Kemampuan membaca permainan merupakan ciri utama dalam permainan Casemiro, dan itu diterjemahkan beliau menerusi jumlah `intercept’ yang dilakukannya. Dari 12 penampilan liga, Casemiro sudah merakamkan 15 `intercept’, sekaligus muncul pemain bukan pertahanan paling banyak melakukan aksi tersebut. Secara keseluruhannya pula, beliau berada dikedudukan keempat yang mencatatkan jumlah `intercept’ tertinggi selepas Diogo Dalot (20), Lisandro Martinez (19) dan Luke Shaw (16).

 

Kemampuan Casemiro bukan hanya diukur menerusi visi serta kebolehannya dalam membaca permainan, tetapi juga bagaimana aktifnya beliau untuk menghentikan pergerakan pemain lawan. Tidak sepertimana Scott McTominay atau Fred, Casemiro jarang melakukan terjahan yang sia-sia. Secara keseluruhannya dari 12 penampilan liga beliau setakat ini, Casemiro berjaya melakukan 40 `tackle’ dari 50 yang dilakukannya, jumlah terbanyak berbanding mana-mana pemain United.

 

Casemiro adalah tipikal pemain tengah bertahan bolasepak moden. Tugas utamanya bukan hanya melindungi rakan di benteng pertahanan tetapi beliau juga adalah solusi untuk mencipta peluang dari zon `middle third’ menerusi kualiti hantaran yang dimilikinya. Dari 12 penampilan liga, Casemiro melepaskan 481 hantaran tepat dari keseluruhan 597 hantaran yang dilakukannya. Hantaran-hantaran kedepan yang sering dilakukannya juga menyaksikan permainan United lebih progresif dari sebelumnya.

 

Penampilan Terbaik

 

Aksi menentang Chelsea pada 22 Oktober lalu dan Nottingham Forest kelmarin merupakan penampilan terbaik Casemiro sejak ketibaannya di Old Trafford. Sepanjang 90 minit aksi menentang Chelsea, Casemiro menyentuh bola sebanyak 69 kali, muncul pemain paling banyak memenangi penguasaan bola (10 kali) dan `duel’ (9 kali), melakukan empat `tackle’, menang tiga pertarungan bola tinggi, melakukan tiga `clearance’, satu `intercept’, satu percubaan dan pengakhirannya beliau menjaringkan gol pertamanya untuk United.

 

Pada aksi menentang Forest pula, Casemiro menjadi `filter’ kepada setiap serangan yang dilakukan lawan. Kerana sebelum barisan hadapan Forest berdepan Raphael Varane atau Luke Shaw, mereka perlu berurusan dengan beliau terlebih dahulu. Dalam melakukan kerja-kerja defensif, Casemiro muncul pemain paling banyak melakukan `tackle’ dan `intercept’ di atas padang. Manakala dalam aspek ofensif pula, beliau melepaskan 74 hantaran tepat, tiga `key passes’, satu percubaan tepat dan kemuncaknya `assist’ sumbangannya untuk gol ketiga United yang dijaringkan Fred.

 

Peranan yang dimainkan Casemiro di zon `middle third’ dan `defensive third’ turut memberikan impak yang sangat positif kepada kualiti serangan United. Sejak beliau diturunkan dalam kesebelasan utama ketika berdepan Everton, United mencatatkan peningkatan `shot-creating actions’ (ScA) dari 21 kepada 30.8 per perlawanan. Kualiti dalam melakukan kerja-kerja bertahan yang dilakukannya menyaksikan pemain-pemain seperti Bruno Fernandes dan Christian Eriksen lebih bebas menyusun gerakan tanpa terlalu dibebani dengan kerja-kerja bertahan.

 

Penutup

 

Musim ini Casemiro datang ke Old Trafford dengan wajah yang `ramah’, tetapi di atas padang beliau bermain tanpa rasa belas kasihan. Bagi mana-mana pemain lawan yang berjaya melepasi kawalannya, bergembiralah buat seketika kerana ini mungkin kesempatan yang hadir cuma sekali dalam hidup mereka. Bolasepak yang dimainkan Casemiro bukanlah bolasepak yang `flamboyant’, tetapi bolasepak ala Casemiro adalah tentang kesederhanaan tetapi efisien. Penampilan beliau ketika berdepan Forest kelmarin adalah manifestasi sebenar seorang Casemiro. Glory Glory Manchester United!!!



16 November 2022

SUDAH TAKDIRNYA BEGITU

 


Pesona Cristiano Ronaldo usah disangkal…auranya sebagai pemain masih kuat dan perlu juga diakui bahawa beliau masih lagi figura utama bolasepak dunia selain Lionel Messi. Musim panas tahun lalu, Ronaldo kembali semula ke Old Trafford selepas 12 tahun meninggalkan kelab, meskipun pada awalnya ada `rumour’ mengatakan bahawa beliau bakal menyertai Manchester City. Berita kepulangan semula Ronaldo itu menyebabkan dunia maya bergegar seketika akibat dari keterujaan penyokong-penyokong United menyambut kepulangan semula `cinta hati’ mereka itu.

 

Ronaldo kembali menyertai United pada usia 36 tahun, tetapi ketika itu kita tidak terlalu khuatir dengan angka tersebut kerana `instinct’ pembunuh Ronaldo seperti tidak pernah pudar ditelan waktu. Di Kejohanan Euro 2020, Ronaldo membuktikan kepada para pemuja dan pengkritiknya bahawa usia hanyalah angka. Lima gol yang beliau ledak sepanjang kejohanan meletakkan Ronaldo selaku penjaring terbanyak bersama Patrick Schick, mengatasi penyerang yang jauh lebh muda berbanding beliau seperti Romelu Lukaku, Harry Kane atau Karim Benzema.

 

Musim lalu boleh dilabel sebagai antara musim terburuk United, tetapi Ronaldo masih mampu menyinar. Pada usia 36 tahun, beliau masih mampu meletakkan dirinya di posisi ketiga dalam senarai penjaring terbanyak Liga Perdana di belakang Mo Salah dan Son Heung-Min. Adakalanya beliau juga seperti berseorangan memimpin jentera hadapan menerusi hatrik yang diledaknya ketika United menewaskan Tottenham Hotspurs dan Norwich City. Di pentas Liga Juara-Juara pula, Ronaldo tetap berbisa menerusi enam gol yang diledak beliau dari tujuh penampilan.

 

Satu Kesilapan?

 

Ada pendapat yang mengatakan bahawa United melakukan kesilapan besar ketika mereka menandatangani Ronaldo musim lalu, kerana dengan adanya Mason Greenwood, Marcus Rashford, Edinson Cavani dan Anthony Martial, kelab sebenarnya tidak memerlukan tambahan seorang lagi penyerang baharu. Segalanya bermula dengan sangat positif di awal musim, malah sebelum Ronaldo meletakkan tandatangan beliau di atas dokumen kontrak, Greenwood sudah meledak tiga gol dalam tiga aksi permulaan liga musim lalu.

 

Tetapi apa yang sudah berlaku sepanjang tempoh setahun Ronaldo berada dikelab? Greenwood berdepan masalah luar padang yang mengakibatkan karier bintang masa depan Inggeris itu musnah, Cavani yang sentiasa dijadikan `Plan B’ ketika era Ole Gunnar Solskjaer dan Ralf Rangnick berhijrah ke Sepanyol, Martial menjalani tempoh pinjaman selama setengah musim di Sevilla dan Bruno Fernandes bukan lagi pemain yang efektif sepertimana sebelumnya, kerana kelab terlalu bergantung kepada keberadaan Ronaldo.  

 

Untuk berlaku adil kepada beliau, kita perlu mengakui bahawa Ronaldo adalah pemain penting untuk United musim lalu, kerana tanpa gol-gol yang dijaringkannya, kelab tidak akan mampu menamatkan saingan liga di tangga keenam. Ronaldo adalah `clutch player’ untuk United, kerana gol-gol penting yang dijaringkannya seringkali mengubah keputusan perlawanan. Contoh terbaik lihat sahaja gol kemenangan yang dijaringkannya ketika berdepan Villareal dan gol penyamaan ketika berdepan Atalanta di peringkat kumpulan Liga Juara-Juara.  

 

Intensiti Menurun

  

Bagaimanapun bolasepak bukanlah tentang sumbangan seorang pemain semata-mata, tetapi bolasepak adalah permainan berpasukan. Ketika kelab mengumumkan kejayaan mereka menandatangani Ronaldo tahun lalu, timbul persoalan tentang kemampuan tubuhnya untuk beradaptasi dengan falsafah bolasepak moden yang berintensiti tinggi. Bolasepak moden bukan tentang penguasaan bola semata-mata, tetapi juga seberapa pantas sesebuah pasukan mampu menguasai semula bola selepas mereka kehilangannya menerusi tekanan yang diberikan kepada lawan.

 

`Pressing’ perlukan kerjasama sepasukan dan menurut catatan FBRef, terdapat tiga pemain hadapan United yang mencatatkan lebih seribu minit permainan selepas 20 perlawanan liga musim lalu berlangsung. Mereka ialah Bruno (1,606 minit), Greenwood (1,150 minit) dan Ronaldo (1,300 minit). Secara puratanya Ronaldo melakukan 2.91 tekanan di zon `final third’ lawan per perlawanan. Berbanding Ronaldo, intensiti Bruno dan Greenwood jauh lebih tinggi apabila masing-masing melakukan purata 5.61 dan 4.36 tekanan kepada lawan dalam setiap perlawanan.

 

Musim ini, statistik jaringan Ronaldo juga menurun secara drastik kerana dari sepuluh penampilan liga, beliau cuma mampu menjaringkan satu gol (berbanding empat pada musim lalu). Di pentas Eropah pula, Ronaldo meledak enam gol sepanjang saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara, manakala pada musim ini di saingan Liga Europa, cuma dua kali beliau berjaya menembusi pintu gol lawan. Agak malang melihat bagaimana seorang pemain bergelar `GOAT’ seperti beliau bergelut ketika berdepan lawan kerdil seperti AC Omonia dan Sheriff Tiraspol.

 

Usia

 

Tahun ini usia Ronaldo sudah pun menjangkau 37 tahun, meskipun fizikal luarannya seperti tidak terusik oleh perjalanan masa, kudrat beliau tidak lagi sekuat dahulu. Pergerakannya tidak lagi lincah, kepantasan lariannya sudah menurun dan `instinct’ pembunuhnya tidak lagi menggerunkan. Yang tinggal kini cumalah reputasi beliau selaku antara pemain terbaik di dunia pernah dilihat dan dilahirkan. Usia bukan sahaja memamah kudrat Ronaldo tetapi juga ketajamannya dalam menyudahkan peluang di hadapan gawang lawan.

 

Statistik jaringan Ronaldo sebenarnya mula menurun dari musim ke musim. Meskipun 18 gol yang dihasilkannya dalam saingan liga musim lalu satu catatan yang boleh dianggap fantastis jika mengambilkira usia beliau, tetapi jumlah itu juga adalah catatan terendah dalam tempoh 12 tahun kariernya di peringkat kelab. Musim lalu catatan `expected goal’ (xG) Ronaldo menurun berbanding dua musim sebelumnya. Musim lalu catatan xG Ronaldo ialah 17.9 berbanding 28.6 pada musim 2019/20 dan 27.7 pada musim 2020/21.

 

Penutup

 

Musim ini Ronaldo melakukan 18 penampilan untuk United dalam semua peringkat kejohanan. Dari jumlah tersebut, beliau cuma diturunkan dalam kesebelasan utama United sebanyak sepuluh kali. Imej-imej Ronaldo di bangku simpanan adalah metafora kepada fasa pengakhiran dari era keemasan seorang legenda bolasepak dunia. Meskipun kudratnya tidak lagi segagah dulu, ego Ronaldo tetap tinggi. Bagi Ronaldo, adalah satu penghinaan kepada dirinya untuk sekadar melihat aksi rakan sepasukan dari bangku simpanan.

 

Bagi seorang pemain yang sudah bertaraf `GOAT’, aksi dan pertarungan menentang pemain lawan di atas padang adalah medan sebenar untuk legenda seperti beliau. Meskipun tak lagi muda, Ronaldo masih bernafsu untuk bertarung, masih ketagih untuk menggelecek dan masih kerinduan untuk menjaringkan gol. Bagi Ronaldo, adrenalin dalam tubuhnya akan hanya memuncak ketika beliau berjaya menewaskan penjaga gol lawan dan kemudiannya merayakan jaringan tersebut menerusi selebrasi `Siu’ yang sangat ikonik itu.

 

Kedatangan nakhoda baharu mengubah nasib Ronaldo. Meskipun Ten Hag masih menurunkan beliau dalam kesebelasan utama, Ronaldo bergelut dalam usahanya untuk beradaptasi dalam lingkungan bolasepak berintensiti tinggi. Ten Hag mahukan para pemainnya melakukan `high pressing’ ketika hilang penguasaan bola, agresif dan sentiasa bergerak serta bertukar-tukar peranan. Gaya bolasepak seperti itulah yang mendera tubuh Ronaldo dan membuatkan beliau sukar bernafas kerana faktor usia yang membataskan kudratnya.

 

Kelmarin, kita dikejutkan lagi dengan cerita tentang Ronaldo. Dunia maya bergegar lagi bila beliau meluahkan kenyataan-kenyataan kontroversi dan provokatif dalam satu wawancara bersama Piers Morgan. Wawancara itu membuatkan cerita tentang gol sensasi Alejandro Garnacho ke gawang Fulham tenggelam. Wawancara itu seperti bom jangka, yang seolah-olah sudah begitu lama ingin dilepaskan Ronaldo. Bagaimanapun jika anda memerhati gerak-geri beliau sejak kebelakangan ini, apa yang dilakukan Ronaldo bukanlah hal yang terlalu mengejutkan.

 

Apa yang dilakukan Ronaldo memang tidak boleh diterima dan umpama satu tindakan bunuh diri, kerana kelab tidak akan berdiam diri, dan Ten Hag yang dijadikan sasaran amarahnya juga tidak akan berpeluk tubuh. Ronaldo pasti akan pergi meninggalkan kelab, kerana di sini tiada lagi tempat untuknya. Agak malang untuk seorang legenda dan ikon seperti beliau pergi dengan cara begini, kerana Ronaldo sepatutnya boleh memilih cara yang lebih indah untuk beliau mengucapkan selamat tinggal kepada penyokong-penyokong United yang memujanya.

 

Daripada memilih cara yang lebih romantis untuk mengucapkan selamat tinggal, Ronaldo sebaliknya memilih cara yang agak tragis. Dan bagi penyokong United yang memuja beliau, pastinya amat menyakitkan melihat `cinta hati’ mereka itu pergi buat kali kedua. Tetapi itulah perjalanan hidup, kerana adakalanya ia berakhir tidak sepertimana yang kita dambakan. Jadi biarkan sahaja ia berjalan mengikut rencanaNya…kerana memang sudah takdirnya begitu. Terima kasih Ronaldo untuk segalanya…Glory Glory Manchester United!!!

13 November 2022

BUDAK ITU BERNAMA ALEJANDRO GARNACHO

 


Menjadi norma buat kanak-kanak di Sepanyol mengimpikan agar suatu hari nanti mereka diterima masuk ke akademi La Fábrica atau La Masia, kerana di sanalah mereka menyedari, jika mereka memang benar-benar berbakat, jalan untuk muncul sebagai bintang besar dunia lebih mudah dan terbentang luas. Raul Gonzalez, Iker Cassilas, Xavi Hernandez  serta Lionel Messi akan sentiasa dikenang sebagai alumni dari La Fábrica dan La Masia yang sangat terkenal, tetapi bolasepak Sepanyol bukan tentang Real Madrid dan Barcelona semata-mata.

 

Jika Raul serta Messi pernah menjadi produk kebanggaan Real dan Barca, apa kurangnya dengan kemampuan Atletico Madrid melahirkan pemain-pemain kelas dunia. Di sanalah bakat hebat seperti Fernando Torres serta David De Gea dilahirkan, dan jangan lupakan fakta bahawa Raul juga sebenarnya bermula di sana. Pada 2015, pintu akademi Atletico dibuka untuk seorang lagi anak muda berbakat besar, yang impiannya agar suatu hari nanti beliau mampu menjadi bintang besar bolasepak dunia. Tentunya anak muda yang saya maksudkan ialah Alejandro Garnacho.

 

Seorang pemain yang memiliki kemampuan teknikal tinggi umpama `candu’ yang sangat ditagih oleh pencinta bolasepak Sepanyol, dan di tanah matador itulah Garnacho mula membina karakter permainannya. Bakat seperti Garnacho bukannya selalu dapat anda lihat, dan bukan selalu juga mampu dilahirkan. Ketika bakat dan potensi beliau mula tersebar luas, keinginan untuk berpindah ke kelab lebih elit juga sukar dibendung, jadi adalah satu perkara yang mustahil untuk Atletico terus `menyimpan’ Garnacho di akademi mereka.

 

Fasa Baharu

 

Pada Oktober 2020, Garnacho berhijrah dari kota Madrid ke Old Trafford, lantas mengulangi semula jejak Cristiano Ronaldo yang juga merupakan idolanya ketika beliau menyertai United pada 2003. Musim lalu, nama Garnacho kurang diberikan tumpuan kerana fokus lebih terarah kepada Anthony Elanga yang melakukan 21 penampilan bersama skuad utama di Liga Perdana. Bagaimanapun di penghujung musim, nama Garnacho mula menjadi sebutan apabila Ralf Rangnick memberikan beliau penampilan ketika aksi menentang Chelsea dan Crystal Palace.

 

Secara keseluruhannya, Garnacho cuma diberikan peluang tampil selama 13 minit dalam saingan Liga Perdana musim lalu, tetapi penampilan beliau ketika membantu skuad remaja United menjulang kejuaraan `FA Youth Cup’ benar-benar mencuri tumpuan. Dalam aksi final menentang skuad U-18 Nottingham Forest itu, Garnacho jelas berada dalam kelas tersendiri berbanding rakan-rakan seusianya. Malah dua gol yang beliau jaringkan di pentas final itu turut meletakkan Garnacho selaku penjaring terbanyak menerusi tujuh gol yang dihasilkannya sepanjang kejohanan.

 

Garnacho sekali lagi mencuri tumpuan kerana buat pertama kalinya beliau diturunkan dalam kesebelasan permulaan United ketika mereka berdepan Sheriff Tiraspol dalam saingan peringkat kumpulan Liga Europa. Tiada kelibat Jadon Sancho dalam perlawanan ini, tetapi Erik Ten Hag sebaliknya menurunkan Garnacho di sisi sayap kiri skuadnya. Menyaksikan `rising star’ ini beraksi selama 79 minit antara momen menarik yang dapat anda lihat dalam perlawanan itu, selain kejayaan Cristiano Ronaldo dan Marcus Rashford menjaringkan gol ke 701 dan ke 99 mereka di peringkat kelab.

 

Bukan Sekadar Tempelan

 

Menyaksikan aksi Garnacho sepanjang 79 minit di atas padang, satu kesimpulan yang boleh anda buat ialah, ini bukanlah `debut’ yang `sekadar cukup syarat’ dari seorang pemain muda. Beliau tidak menjaringkan gol atau menyumbang bantuan gol, tetapi Garnacho kerap memberikan tekanan kepada Renan Guedes di sisi kanan pertahanan lawan. Beliau sangat unggul melakukan `dribble’ dalam situasi satu lawan satu, dan catatan tiga `dribble’ yang dilakukannya meletakkan Garnacho selaku pemain paling banyak melakukan aksi tersebut dalam perlawanan itu.

 

`Level’ Liga Europa bukanlah sepertimana perlawanan peringkat umur, jadi pada mulanya memang terdapat kebimbangan adakah Garnacho mampu memberikan impak pada `debut’ beliau dalam kesebelasan permulaan United. Bagaimanapun segala keraguan akhirnya terjawab kerana sepanjang aksinya di atas padang, statistik mencatatkan Garnacho melakukan 9 sentuhan di dalam petak penalti lawan, menang tujuh `duel’, sukses melakukan tiga `dribble’, melepaskan dua percubaan manakala ketepatan hantaran yang dilakukannya mencapai angka 90%.

 

Bintang Dalam Pembikinan

 

Selepas penampilan mempesona beliau ketika berdepan Sheriff Tiraspol, nama Garnacho terus menjadi sebutan penyokong United. Di Basque, beliau menjaringkan gol tunggal perlawanan yang menyaksikan United menewaskan Real Sociedad dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan Liga Europa. Gol itu bukan sekadar gol sulung Garnacho bersama skuad senior, tetapi gol itu turut meletakkan beliau selaku pemain bukan Inggeris termuda United yang berjaya menjaringkan gol di pentas Eropah. Lantas memadam rekod selama 58 tahun yang dipegang George Best.

 

Gol yang menewaskan Alex Remiro itu sangat signifikan dan istimewa buat Garnacho. Signifikan kerana ia adalah gol pertamanya untuk skuad senior dan istimewa kerana gol itu terhasil menerusi bantuan gol yang dilakukan Ronaldo, figura yang sangat digilai beliau ketika zaman kanak-kanaknya. Berlatih dan bermain bersama Ronaldo dalam satu pasukan adalah impian selama bertahun-tahun yang dipendam Garnacho, tetapi menjaringkan gol menerusi `assist’ dari idola beliau dan pemain bertaraf GOAT umpama narasi dalam sebuah kisah dongeng yang akhirnya bertukar menjadi realiti.

 

Garnacho sekali lagi membuatkan kita kagum melihat penampilannya, dan kali ini beliau memilih aksi menentang Aston Villa dalam saingan Piala Liga sebagai pentas untuknya menunjukkan kenapa orang-orang di luar sana melabelkan dirinya sebagai `Jelmaan Cristiano Ronaldo’. Masuk sebagai pemain gantian ketika United ketinggalan 1-2 kepada Villa, Garnacho sekali lagi memberikan impak yang sangat signifikan kepada barisan hadapan United menerusi dua `assist’nya yang berjaya disempurnakan Bruno Fernandes dan Scott McTominay.   

 

Hanya dalam tempoh seminggu, satu lagi rekod baharu dicipta Garnacho, kerana dua `assist’ sumbangannya ketika berdepan Villa meletakkan beliau selaku pemain termuda dalam sejarah kelab yang berjaya menyumbang dua `assist’ dalam satu perlawanan. `Assist’ kedua dari beliau dalam perlawanan ini menarik perhatian Micky Gray, yang juga merupakan `pundit’ Talksport. “Erik Ten Hag meletakkan dia di pentas yang besar. Dan kemudiannya dia datang memberikan impak dari bangku simpanan. `Assist’ itu adalah gaya Beckham, tapi dari posisi berbeza”, kata Gray.

 

Penutup

 

Bukan mudah buat Garnacho meraih kepercayaan Ten Hag untuk disenaraikan dalam kesebelasan utama United. Kondisi beliau yang masih belum mencapai tahap untuk beraksi dalam perlawanan kompetitif selain isu `sikap’ antara sebab utama mengapa Garnacho tersisih sebelum ini. Menurut laporan `The Athletic’, ada satu momen di mana Garnacho meninggalkan padang latihan dengan tali `boot’ tidak diikat. Itu mungkin satu isu yang remeh bagi sesetengah pihak, tetapi tidak dalam lingkaran tahap profesionalisme tinggi yang diterapkan Ten Hag di kem United.

 

Bagaimanapun akhirnya Garnacho sedar, kerana jika beliau mahu menjadi sehebat Ronaldo, beliau perlu berubah. Tatkala Jadon Sancho masih dibelenggu dengan isu konsistensi serta kecergasan, Garnacho muncul menawarkan solusi kepada Ten Hag. Kehadiran beliau dalam skuad utama memberikan dimensi baharu kepada permainan United terutamanya di sisi kiri. Persis Ronaldo ketika muda, Garnacho juga memiliki teknik permainan, `skill’ kawalan bola yang bagus, kelajuan, naluri pembunuh serta sangat berkeyakinan ketika berdepan dengan pertahanan lawan. 

 

Ketika era keemasan Ronaldo semakin tiba di garis akhir, akan lahir generasi baharu mengisi kekosongan yang ditinggalkan beliau. Kini lembaran baharu sudah dibuka, sejarah baharu sedang ditulis dan pentas sudah tersedia untuk seorang anak muda mempamerkan potensinya kepada dunia. Mimpi budak itu untuk bermain bersama Ronaldo sudah menjadi realiti, kini dunia sedang memerhati, adakah budak itu mampu menjadikan dirinya sehebat Ronaldo? “Perkenalkan kepada dunia…budak itu bernama Alejandro Garnacho”. Glory Glory Manchester United!!!



08 November 2022

BARCA…DAN REKOD BURUK UNITED BERDEPAN WAKIL SEPANYOL

 


Kenapa terlalu awal? Itu antara perkataan yang terlintas difikiran selepas selesai undian `playoff’ bagi menentukan kesebelasan mana layak beraksi di pusingan kalah mati 16 pasukan. Ada lapan pertembungan membabitkan 16 pasukan di pusingan `playoff’ kali ini, lapan pasukan `runner up’ peringkat kumpulan Liga Europa dan lapan lagi pasukan yang tersingkir dari persaingan Liga Juara-Juara. Dari lapan aksi yang bakal berlangsung pada Februari tahun hadapan, pertembungan membabitkan Manchester United dan Barcelona pastinya mencuri tumpuan.

 

Barcelona tetaplah Barcelona, kesebelasan yang masih dicemburui, masih lagi digeruni dan masih lagi diletakkan statusnya sebagai gergasi bolasepak dunia walau apapun situasi terkini yang dihadapi mereka. `Final awal’ ini akan menjadi sangat menarik mengingatkan kedua-dua kelab masih dalam fasa transisi bersama pengendali baharu mereka. Xavi Hernandez kembali ke Camp Nou pada November tahun lalu bagi menggantikan tempat Ronald Koeman, manakala di Old Trafford pula, ini adalah musim pertama Erik Ten Hag selaku pengendali United.

 

Selepas selesai undian, Xavi berkata, “Ini adalah cabaran besar bagi kami. United adalah kelab yang memiliki sejarah dan mereka juga mahu menang. Para pemain kami memiliki motivasi tinggi ketika berdepan lawan yang kuat, dan kami mesti bersaing menentang pasukan seperti itu. Mereka (United) juga semakin berkembang di bawah Ten Hag, memiliki individu-individu hebat dalam pasukan. Kami tidak bernasib baik”. Jika Xavi merasakan pasukannya tidak bernasib baik dalam undian ini, begitu juga dengan United. Kenapa begitu?

 

Rekod Buruk

 

Barca adalah `bayang-bayang hitam’ United di pentas Eropah, kerana rekod pertemuan membabitkan kedua-dua pasukan jelas milik gergasi dari Catalan itu. Dari 13 pertemuan menentang Barca, United cuma menang tiga kali, mencatatkan empat keputusan seri dan selebihnya adalah kekalahan. Dari tiga kemenangan yang dilakar United ke atas Barca, mereka melakukannya di Old Trafford iaitu pada 1984 dan 2008. Masih ingatkah lagi dengan jaringan indah Paul Scholes ke gawang Barca yang akhirnya membawa United ke pentas final Liga Juara-Juara edisi 2008?

 

Ya…gol tunggal perlawanan yang diledak Scholes ke gawang Victor Valdes pada tanggal 29 April 2008 itu kekal hingga kini sebagai kemenangan terakhir yang dilakar United ke atas Barca. Selepas itu, empat pertemuan terakhir menyaksikan dominasi Barca ke atas United, termasuk dua pertembungan di pentas final Liga Juara-Juara. Lebih malang, Wayne Rooney masih lagi menjadi satu-satunya pemain United yang berjaya menembusi pintu gol Barca dari empat pertemuan terakhir membabitkan kedua-dua pasukan.

 

Selain kelibat Barca yang sering menganggu perjalanan United di pentas Eropah, barisan `The Red Devils’ juga memiliki rekod yang agak buruk setiap kali mereka berdepan wakil dari Sepanyol. Untuk rekod, dari 68 penampilan mereka ketika berdepan kelab dari Sepanyol di semua kejohanan peringkat Eropah, United cuma menang 19 kali, 25 keputusan seri dan 24 kekalahan. Contoh terbaharu, lihat sahaja bagaimana bergelutnya United ketika mereka berdepan Real Sociedad dalam dua aksi timbal balik di peringkat kumpulan Liga Europa.

 

`Game Changer’?

 

Anda boleh katakan apa sahaja tentang Cristiano Ronaldo. Beliau sudah berada di penghujung karier, prestasinya semakin menurun malah ada pertanyaan tentang naluri pembunuhnya yang kelihatan sudah semakin tumpul. Pada Februari nanti, usia Ronaldo bakal mencecah angka 38 tahun, tempoh di mana kebanyakkan pemain seangkatannya sudah tidak mampu lagi beraksi di `level’ tertinggi. Jika selepas Januari nanti Ronaldo kekal bersama kelab, beliau ada aset yang tidak dimiliki mana-mana pemain di barisan hadapan United, iaitu pengalamannya berdepan Barca.

 

Sepanjang karier beliau, Ronaldo sudah berdepan Barca sebanyak 34 kali. Dari jumlah tersebut, beliau berjaya menjaringkan 20 gol, membantu pasukannya menewaskan Barca sepuluh kali dan meraih sembilan keputusan seri. Menurut Xavi, Ronaldo masih lagi nama besar, masih lagi antara yang terbaik dan pemain yang mampu memberikan perbezaan dalam perlawanan itu nanti. “Bagi saya, dia (Ronaldo) adalah pemain hebat. Dia meletakkan eranya sebagai tanda aras dalam dunia bolasepak dan pemain yang boleh memberikan perbezaan”, kata Xavi.

 

Penutup

 

Masih ada tempoh sekurang-kurangnya lebih tiga bulan sebelum pertembungan antara United dan Barca berlangsung. Meskipun kali ini bukan lagi di pentas Liga Juara-Juara, tiket beraksi di pusingan 16 terbaik Liga Europa tetap ganjaran yang menggiurkan untuk dilepaskan. Sudah lima musim United kemarau kejuaraan dan melihat kepada situasi terkini, trofi Liga Europa adalah sasaran realistik untuk mereka menangi di bawah regim baharu kendalian Ten Hag. Tetapi sebelum ini, tolonglah United, singkirkan Barca terlebih dahulu. Glory Glory Manchester United!!! 



01 November 2022

`SI PEMEGANG KUNCI’ PINTU GOL UNITED

 


Pada September 2009 ketika beliau melakukan penampilan pertamanya untuk Atletico Madrid, David De Gea ketika itu baru berusia 18 tahun. Melepaskan dua gol pada penampilan pertama merupakan igauan ngeri buat mana-mana penjaga gol, apatah lagi pemain semuda De Gea. Atletico tewas (0-2) kepada Porto dalam aksi peringkat kumpulan Liga Juara-Juara, tetapi penampilan De Gea sebagai pemain gantian dalam perlawanan itu mula mencuri tumpuan.

 

Kecederaan yang dialami Roberto selaku penjaga gol utama, serta penampilan kurang konsisten Sergio Asenjo membuka ruang buat De Gea mengambilalih posisi nombor satu Atletico. Meskipun memiliki ketinggian 1.92m, De Gea memiliki tindakan refleks dan kepekaan yang bagus serta bijak membaca arah bola. 19 penampilan liga selain medal kejuaraan Liga Europa pada musim pertama beliau bersama Atletico adalah pencapaian yang menakjubkan buat penjaga gol muda seperti beliau.

 

Pada musim panas 2011, De Gea ditandatangani Sir Alex Ferguson dari Atletico bagi mengisi kekosongan posisi nombor satu yang ditinggalkan Edwin Van der Sar. Sekaligus menamatkan segala `rumour’ yang berlegar selama berbulan-bulan sebelum itu. Meskipun ketika itu kelab memiliki Anders Lindegaard dan Thomas Kuszczak sebagai pilihan, Fergie masih merasakan bahawa beliau perlukan sepasang tangan yang boleh diletakkan kepercayaan tinggi untuk mengawal gawang United.

 

Tugas Berat

 

Sukar sebenarnya menggantikan posisi Van der Sar yang selama enam musim sudah melakukan 266 penampilan untuk United, dan lebih membebankan, De Gea juga perlu beradaptasi dengan gaya bolasepak Inggeris yang serba keras dan mencabar. Bukan mudah untuk seorang penjaga gol muda kurus kering seperti beliau menangani pemain-pemain lawan yang memiliki kekuatan fizikal dan berpostur tinggi seperti Marouane Fellaini, Andy Carroll, Peter Crouch, Bobby Zamora, Didier Drogba, Johan Carew atau Carlton Cole terutamanya dalam perebutan bola tinggi.

 

Jadi tidak hairanlah mengapa beliau agak bergelut pada fasa awal kariernya di Old Trafford. Beberapa kesilapan mudah yang dilakukannya mengundang kritikan dan pertanyaan, adakah pembelian De Gea satu lagi kesilapan yang di lakukan Fergie, sama sepertimana ketika beliau menandatangani Massimo Taibi dari Venezia pada 1999? Proses pembelajaran perlukan masa, begitu juga dengan De Gea. Selepas itu beliau secara perlahan-lahan mula beradaptasi dengan tempo bolasepak Inggeris, lantas memadam segala kritikan yang dilemparkan kepadanya.

 

Selain kejayaan menjulang trofi Liga Perdana pada musim 2012/13, musim 2017/18 juga boleh dianggap antara musim terbaik De Gea sepanjang kariernya di Old Trafford. Sepanjang musim tersebut, De Gea berjaya memastikan gawang United tidak dibolosi sebanyak 18 kali dan melakukan 115 aksi penyelamatan yang akhirnya menobatkan beliau selaku pemenang anugerah `Golden Glove’. Sepanjang karier beliau di England, De Gea tersenarai sebanyak lima kali dalam `PFA Team of the Year’, dan empat kali beliau dinobatkan sebagai pemain terbaik kelab.

 

Penurunan Prestasi

 

Selepas tamatnya kejohanan Piala Dunia 2018, prestasi De Gea agak menurun, setidak-tidaknya jika anda mengambilkira catatan `clean sheet’ beliau dalam tempoh dua musim terakhir. Pada musim 2018/19, catatan `clean sheet’ De Gea menurun dari 18 pada musim sebelumnya kepada hanya tujuh kali. Catatan tujuh `clean sheet’ ini merupakan catatan paling rendah De Gea sepanjang kariernya bersama United dan secara keseluruhannya pintu gol United bolos 54 kali pada musim tersebut berbanding 28 kali (pada musim 2017/18).

 

Pada musim 2019/20 pula, statistik De Gea lebih baik berbanding musim sebelumnya apabila gawang United cuma dibolosi 36 kali dalam saingan liga. Meskipun begitu wujud kebimbangan apabila anda melihat prestasi De Gea sepanjang musim tersebut. Menurut catatan Squawka, De Gea melakukan tujuh kesilapan mudah yang menyebabkan pintu golnya dibolosi lawan. Catatan ini meletakkan beliau ditangga teratas selaku penjaga gol yang paling kerap melakukan `blunder’ di Liga Perdana bersama Martin Dubravka dan Bernd Leno.

 

Kepercayaan penyokong terhadap De Gea semakin terhakis dan suara-suara yang mahukan Dean Henderson segera dibawa pulang dari tempoh pinjaman semakin kuat kedengaran. Pada Ogos 2020, United menamatkan tempoh pinjaman Henderson bersama Sheffield United dan mengikat penjaga gol muda itu dengan kontrak jangka panjang. Kepulangan Henderson tidak pernah membuatkan kedudukan De Gea selaku pilihan nombor satu goyah, kerana sepanjang fasa pertama saingan liga berlangsung, beliau tidak pernah terlepas satu perlawanan pun.

 

Kembali Ke Prestasi Terbaik

 

Hayat Ole Gunnar Solskjaer selaku pengendali di Old Trafford cuma mampu bertahan selama tiga tahun, dan pada November 2021 tugas tersebut diambilalih pula oleh Ralf Rangnick. Bagaimanapun satu hal yang tidak pernah berubah ialah De Gea masih lagi teguh bertahan di posisi beliau selaku penjaga gol utama United. Di sebalik musim yang agak `tunggang langgang’ dan buruknya sisi pertahanan United, De Gea muncul pemain paling menonjol di barisan belakang kerana aksi-aksi penyelamatan kelas dunia yang dilakukan beliau.

 

Rangnick mengakui De Gea merupakan pemain yang peranannya sangat penting di barisan belakang United. Selepas melakukan dua penyelamatan hebat ketika berdepan Newcastle United pada Disember 2021, Rangnick berkata, “Perlawanan ini mungkin berakhir dengan kekalahan jika bukan kerana dua atau tiga penyelamatan fantastis yang dilakukan De Gea. Ketika berdepan Norwich, dia juga menyelamatkan kami dengan melakukan hal yang sama. Sukar untuk menafikan bahawa dia antara penjaga gol terbaik dunia masa kini”.

 

Jauh sebelum itu, iaitu pada 22 Februari 2018, De Gea juga pernah membuatkan kita terpana menyaksikan ketangkasannya mengawal pintu gol United. Aksi di Stadium Emirates itu menyaksikan United berjaya menewaskan Arsenal (3-1). Usah terpedaya dengan keputusan di `scoreboard’ kerana pada hakikatnya Arsenal lebih dominan. Mereka mencatatkan 75% penguasaan bola, melepaskan 33 percubaan di mana hampir separuh daripadanya adalah percubaan `on target’. Jadi bagaimana Arsenal boleh tewas dengan margin yang agak besar?

 

Tiada persoalan yang terlalu besar untuk dijawab, kerana di Stadium Emirates, De Gea adalah penyelamat kepada taktik `parkir bas’ yang digunakan Jose Mourinho. Mungkin menjadi sebuah misteri mengapa Arsenal gagal menjaringkan lebih dari satu gol meskipun mereka mencipta lebih banyak peluang. Tetapi suatu hal yang pasti, De Gea adalah pemain terbaik dalam perlawanan itu. Sejak statistik mula dirakam di Liga Perdana, De Gea muncul penjaga gol ketiga yang berjaya melakukan 14 penyelamatan dalam satu perlawanan selepas Tim Krull dan Vito Mannone.

 

Penutup

 

Sejak kebelakangan ini terdapat keraguan tentang kemampuan De Gea menyerap ideologi `ball playing goalkeeper’ dalam era bolasepak yang lebih modenisasi. De Gea yang kita kenali selama ini adalah seorang penjaga gol yang `old school’, seorang `shot stopper’, bukan seorang penjaga gol yang lebih moderate seperti Allison Becker, Ederson Moraes, Edouard Mendy atau Marc-Ander Ter Stegen. Malah Gary Neville pernah menyebut bahawa  masalah sebenar yang dihadapi Ten Hag adalah pemain yang berada di posisi paling belakang dalam skuadnya, iaitu De Gea.  

 

Sepanjang masa, anda boleh berdebat tentang kemampuan De Gea. Adakah `shot stopper’ seperti beliau masih relevan dalam arus bolasepak yang lebih moden, atau United perlu mencari seorang penjaga gol yang boleh memainkan peranan sebagai `ball playing goalkeeper’ dengan baik sebagai pengganti. Bagaimanapun pada aksi menentang West Ham kelmarin, De Gea sekali lagi membuktikan kepada para pengkritiknya, bahawa United masih sangat bergantung kepada sepasang tangan emasnya untuk menjaga pintu gol mereka.

 

Aaron Creswell menyebut, De Gea adalah senario buruk yang dihadapi pasukannya meskipun dalam tempoh 20 minit terakhir, West Ham begitu dominan. Bagaimana mungkin United boleh meraih kemenangan jika tidak dibantu prestasi gemilang De Gea yang melakukan empat penyelamatan penting dalam tempoh lapan minit terakhir perlawanan. Sudah menjadi lumrah, peminat bolasepak lebih cenderung memuja seorang `entertainer’ di atas padang seperti Ronaldinho, Cristiano Ronaldo, Lionel Messi, Neymar atau Kylian Mbappe.

 

Tetapi De Gea selama bertahun-tahun berjaya mengubah persepsi ramai pihak tentang tugas seorang penjaga gol menerusi ketangkasannya, tindakan refleksnya serta penyelamatan-penyelamatan kelas dunia yang dilakukannya. Anda boleh mendambakan agar suatu hari nanti United menandatangani seorang `ball playing goalkeeper’, sesuai dengan tuntutan bolasepak moden. Tetapi buat masa ini berharaplah agar `Super Dave’ terus berada di prestasi terbaiknya sebagai `pemegang kunci’ pintu gol United. Glory Glory Manchester United!!!



12 Oktober 2022

700...SEBUAH KISAH PERJALANAN YANG PANJANG

 


Sama ada beliau menjaringkan gol atau tidak…mereka-mereka yang membenci atau yang menyukainya akan sentiasa bercakap tentang Cristiano Ronaldo. Aksi menentang Everton dalam saingan liga tempohari, Ronaldo sekali lagi melakar sejarah baharu dalam kariernya. Gol yang dihasilkan Ronaldo ke gawang Everton di minit ke-44 itu bukan sahaja menghadiahkan Manchester United tiga mata berharga, tetapi gol itu merupakan gol ke-700 yang dijaringkan beliau sepanjang kariernya di peringkat kelab.

 

Sudah agak lama Ronaldo tidak menjaringkan gol dalam saingan liga, kerana gol terakhir yang dihasilkannya di Liga Perdana berlaku ketika United berdepan Brentford pada 3 Mei lalu. Atau lebih tepatnya, gol menerusi tendangan penalti itu terhasil pada aksi terakhir United dalam saingan liga musim lalu. Musim ini, Ronaldo gagal menjaringkan sebarang gol dari enam penampilan awal beliau di Liga Perdana, tetapi penantian panjang tersebut `dibayar’ beliau menerusi gol kemenangan dari ledakan kaki kirinya yang menewaskan Jordan Pickford. 

 

Menjaringkan 700 gol di peringkat kelab bukanlah satu kerja yang mudah, satu pencapaian yang sangat istimewa dan dilakukan oleh pemain yang memiliki bakat istimewa. Paling menarik Ronaldo melakukannya ketika beliau masih aktif bermain di pentas bolasepak kompetitif kelas tinggi. Secara keseluruhannya, ini merupakan gol ke 144 yang dijaringkan Ronaldo untuk United. Selain daripada itu untuk mencapai angka 700 tersebut, Ronaldo meledak lima gol ketika bersama Sporting Lisbon, 450 gol untuk Real Madrid dan 101 gol untuk Juventus.

 

Sporting Lisbon

 

Sepertimana yang anda tahu, Ronaldo memulakan karier profesionalnya bersama Sporting Lisbon. Pada usia yang baru mencecah 17 tahun, Ronaldo sudah mampu meletakkan dirinya dalam skuad utama `Leões’. Sepanjang musim 2002/03, Ronaldo melakukan 31 penampilan dalam semua peringkat kejohanan untuk Sporting, menjaringkan lima gol dan mencipta enam bantuan gol. Potensi Ronaldo sebagai `bintang dalam pembikinan’ akhirnya menarik minat Sir Alex Ferguson, dan pada Ogos 2003 beliau akhirnya melengkapkan perpindahannya ke Old Trafford.

 

Real Madrid

 

Sembilan musim di Santiago Bernabeu adalah tempoh yang cukup sensasi buat Ronaldo selepas beliau meninggalkan United pada 2009. Apa tidaknya kerana bersama Real, beliau berjaya memenangi kesemua kejuaraan yang ditawarkan, baik di peringkat domestik mahupun Eropah. Paling sensasi tentulah empat medal kejuaraan Liga Juara-Juara yang berjaya dimenanginya dan empat kali juga beliau dinobatkan selaku pemain terbaik dunia. Bagaimana pula dengan rekod jaringannya?

 

Bersama Real, Ronaldo juga pernah dinobatkan selaku penjaring terbanyak Eropah sebanyak tiga kali. Tiga anugerah kasut emas Eropah yang dimenanginya sudah cukup menggambarkan betapa kejamnya Ronaldo ketika beliau berada di hadapan gawang lawan. Statistik beliau sepanjang kariernya di Santiago Bernabeu memang sangat `mengerikan’, kerana hanya dalam 438 penampilan sahaja, beliau berjaya menjaringkan 450 gol, atau purata lebih 1.02 gol dijaringkannya per perlawanan.

 

Juventus

 

Mungkin sudah puas dengan pencapaian yang dilakar beliau, atau mungkin sudah tiada apa lagi yang perlu dibuktikannya, pada musim panas 2018 Ronaldo akhirnya memutuskan ikatan selama sembilan musim beliau bersama Real. Destinasi Ronaldo seterusnya ialah Itali, negara yang sangat sinonim dengan seni bertahan dalam bolasepak mereka. Mungkin bagi sesetengah pihak keputusan beliau menyertai Juventus agak mengejutkan, tetapi itulah Ronaldo…pemain yang sentiasa mencabar dirinya untuk menjadi `yang terbaik’ di kalangan yang terbaik.  

 

Serie A adalah cabaran baharu dan ketajaman Ronaldo bakal diuji oleh seni bertahan bolasepak Itali. Bagaimanapun, pakar-pakar `Catenaccio’ terbaik Itali tidak pernah menemui cara bagaimana mahu menghentikan Ronaldo dari terus menghasilkan gol. Untuk seorang pemain yang sudah melewati usia 30 tahun, 101 gol selama tiga musim kariernya di Itali satu statistik yang menakjubkan. Pada musim 2020/21, dominasi sembilan musim berturut-turut `Scudetto’ Juventus berakhir, detik yang turut menandakan bahawa Ronaldo harus mengucapkan selamat tinggal kepada kota Turin.

 

Manchester United

 

Penyokong United mana yang tidak gembira bila impian bertahun-tahun mereka yang mahu melihat Ronaldo kembali semula ke pangkuan kelab tercapai. Sejak beliau meninggalkan Old Trafford pada 2009, ada perasaan kuat yang menginginkan agar suatu hari nanti beliau kembali, menyarung jersi United semula dan jika boleh menamatkan kariernya di sini. Kariernya bermula di Sporting Lisbon, tetapi United adalah tempat Ronaldo membina kariernya, mencipta nama dan muncul antara pemain hadapan yang sangat digeruni pertahanan lawan.

 

12 tahun selepas beliau meninggalkan United, Ronaldo akhirnya kembali semula ke Old Trafford. Ada perdebatan bila bercakap tentang `instinct’ pembunuhnya, apatah lagi Ronaldo pada musim lalu sudahpun berusia 36 tahun. Bagaimanapun di sebalik musim paling suram United pasca persaraan Sir Alex Ferguson, Ronaldo masih mampu mencuri tumpuan menerusi 24 gol yang berjaya dihasilkannya. 24 gol yang dijaringkannya bukan sahaja menambah koleksi jaringannya buat United, tetapi turut meletakkan beliau selaku penjaring terbanyak kelab musim lalu.

 

Penutup

 

Musim ini, Ronaldo sudah melakukan sepuluh penampilan untuk United, tujuh dalam saingan liga dan tiga pada saingan peringkat kumpulan Liga Europa. Gol pertama Ronaldo musim ini pula terhasil ketika United berdepan Sheriff Tiraspol dalam saingan Liga Europa menerusi sepakan penalti. Manakala gol kedua dan paling istimewa, tentunya gol ke 700 yang dihasilkan beliau di peringkat kelab ketika berdepan Everton dalam saingan liga tempohari.

 

Gol yang dijaringkan beliau ke gawang Moreirense dalam saingan liga pada 7 Oktober 2002 merupakan gol pertama Ronaldo, dan selepas itu beliau perlukan tempoh selama 20 tahun untuk mencetak 700 gol di peringkat kelab. Menurut catatan dari laman Transfermarkt pula, Sevilla merupakan kelab yang paling kerap menjadi korban ketajaman Ronaldo. Untuk rekod, dari 18 penampilan beliau ketika berdepan Sevilla, Ronaldo berjaya menjaringkan 27 gol.

 

Selaku mesin gol yang sempurna ketika zaman kemuncaknya, Ronaldo tentulah memiliki pelbagai cara untuk menewaskan penjaga gol lawan. Jadi bahagian tubuh mana yang sering digunakan beliau untuk menghasilkan 700 gol tersebut? Menurut perincian yang dikeluarkan BBC, 460 gol dijaringkan Ronaldo dengan menggunakan kaki kanan, 125 gol dihasilkan beliau menggunakan kaki kiri, 113 gol menggunakan kepala, manakala dua gol lagi terhasil dari bahagian lain tubuhnya.

 

Bukan mudah menjaringkan 700 gol, apatah lagi Ronaldo melakukannya di empat pentas berbeza (Primeira Liga, Liga Perdana, La Liga dan Serie A). Jadi tidak hairanlah mengapa Graeme Souness, seorang pundit yang sangat kritis melabelkan Ronaldo sebagai penyerang terbaik dunia. 700 gol bukan sekadar kisah pencapaian seorang pemain bernama Cristiano Ronaldo. Ia kisah perjalanan yang sangat panjang, ia kisah yang luarbiasa dan terhasil dari pemain yang bukan `biasa-biasa’. Glory Glory Manchester United!!!