20 Disember 2023

BRUNO `SI PERENGUS'

 


Selepas tamat aksi di Anfield musim lalu yang menyaksikan United tewas 0-7, Chris Sutton mengatakan sudah tiba masanya Manchester United melucutkan `armband’ dari lengan Bruno Fernandes. Manakala Gary Neville pula melabelkan penampilan pemain tengah itu sebagai memalukan. Anda boleh melemparkan apa sahaja kritikan terhadap prestasi Bruno di Anfield, tetapi satu perkara yang pasti ialah Erik Ten Hag tidak mampu kehilangan sentuhan beliau dalam mana-mana perlawanan.


Ketika aksi menentang Real Betis di Old Trafford pada 10 Mac lalu, `tribune’ bergema dengan teriakan Bruno! Bruno! Bruno! selepas beliau menjaringkan gol ketiga United menerusi tandukan. Bruno memang wajar diberikan penghormatan kerana kebangkitan yang dilakukan beliau dari krisis di Anfield dan menjadi inspirasi kepada pasukan. Beliau terlibat dalam proses terhasilnya gol pertama serta kedua, dan kemuncaknya Bruno menjaringkan gol ketiga United diminit ke-58.


Sepanjang 90 minit aksi menentang Betis, Bruno menyentuh bola sebanyak 95 kali, melepaskan lima `key passes’, dua percubaan `on target’, mencipta dua peluang, melakukan tiga `dribble’, menyumbang satu `assist’ dan meledak satu gol. “Dia memainkan peranan sedikit kedalam malam ini. Dari belakang dia melakukan gerakan, melakukan banyak hantaran-hantaran berkualiti dan dari sana kami mencipta banyak peluang. Dia sangat cemerlang dan memimpin pasukan sejak minit pertama”, kata Ten Hag.


Dengan Dan Tanpa Bruno


Musim ini, penampilan Bruno sekali lagi dijadikan sorotan. Apa tidaknya kerana selepas liga berjalan hampir separuh musim, Bruno cuma mampu menjaringkan tiga gol dan mencipta dua bantuan gol berbanding catatan musim lalu (lapan gol dan lapan bantuan gol). Musim paling produktif buat Bruno berlaku pada musim 2020/21, apabila beliau berhasil menjaringkan 18 gol dan mencipta 12 bantuan gol. Secara keseluruhan, Bruno menjaringkan 28 gol dan mencipta 17 bantuan gol dalam semua kejohanan pada musim tersebut.  


Sejak berpindah ke Old Trafford pada Januari 2020, Bruno sudah terlibat dalam 95% perlawanan untuk United, atau 208 penampilan secara keseluruhannya. Dari 208 penampilannya pula, Bruno berjaya membantu United menang 144 perlawanan, seri 43 dan kalah 51. Bagaimana pula rekod United ketika mereka bermain tanpa Bruno? Sepanjang kariernya di Old Trafford, Bruno cuma terlepas 12 perlawanan, dengan yang terbaru ketika kelab berkunjung ke Anfield pada Ahad lalu. Catatan United tanpa Bruno pula ialah mereka menang 8 perlawanan, seri 2 dan kalah 2.


Statistik tanpa Bruno, United menang 73% perlawanan mereka berbanding 55% (ketika Bruno bermain) dan menjaringkan lebih banyak gol (2 gol per perlawanan). Bagaimanapun, adalah tidak adil untuk perbandingan itu dibuat secara berasingan terhadap seorang pemain yang cuma terlepas sedozen perlawanan sepanjang tempoh hampir empat tahun. Tambahan pula hampir separuh aksi United tanpa Bruno berlaku ketika mereka beraksi di pusingan awal kejohanan piala domestik, atau ketika mereka berdepan perlawanan `yang diramal mampu mereka menangi’. 


Pada 6 November 2022, United bertandang ke Villa Park tanpa kehadiran Bruno dalam saingan liga. Selain kekalahan 1-3 pada penampilan pertama Unai Emery sebagai pengurus Aston Villa ialah, United juga mencatatkan `Expected Goals’ (xG) terendah sepanjang musim 2022/23. Empat hari kemudian, United sekali lagi dijadualkan berdepan Villa dan kali ini di pusingan ketiga Piala Liga pula. Apa yang dapat anda saksikan ialah penampilan berbeza dipamerkan United di Old Trafford apabila Bruno berada dalam skuad.


Bruno bukan sahaja berjaya menjaringkan satu gol dalam perlawanan itu, tetapi apa yang menariknya ialah penglibatan beliau dalam kesemua empat gol yang dihasilkan United. Masih ingat lagi ketika United dibuli Sevilla dalam aksi Liga Europa di Ramon Sanchez Pizjuan pada April lalu? Bruno cuma mampu memerhati dari `tribune’, tetapi apa yang menariknya ialah komen Jose Luis Mendilibar selepas tamat perlawanan. “Ia berjalan lancar untuk kami. Kami menang 3-0 menentang Manchester United yang bermain tanpa Fernandes dan tanpa sebarang ketakutan”.


Sasaran Kritikan


Aksi liga di Anfield pada Ahad lalu, United sekali beraksi tanpa Bruno. Musim lalu, Anfield adalah mimpi ngeri buat Bruno selepas beliau dijadikan `kambing hitam’ atas kekalahan besar 0-7 yang dialami United. Kritikan yang beliau terima selepas `pembantaian’ itu sangat berlebihan terutama dari bekas pemain United sendiri. Sebelum aksi menentang Liverpool pada Ahad lalu berlangsung, Richard Keys dan Michael Owen juga menuduh Bruno sengaja dilayangkan kad kuning ketika berdepan Bournemouth agar beliau terlepas perlawanan ini kerana penggantungan.


Sangat tidak bertanggungjawab bila tuduhan seperti itu dilemparkan ke atas pemain yang sebenarnya memiliki minit permainan paling banyak berbanding mana-mana pemain yang beraksi di liga-liga utama Eropah. Untuk seorang pemain yang sentiasa ada dalam momen-momen buruk kelab, tiada keraguan bahawa Bruno juga sebolehnya tidak mahu terlepas peluang beraksi menentang Liverpool dan mengetuai rakan-rakan sepasukannya di Anfield.


Musim ini beliau memimpin kebangkitan United saat mereka ketinggalan dua gol ketika berdepan Nottingham Forest. Menjaringkan gol kemenangan ketika berdepan Fulham dan juga dominan ketika mengetuai kemenangan United ke atas Everton dan Chelsea. Anda boleh lemparkan segala kritikan ke atas penampilan beliau, tetapi dalam masa sama, anda juga tidak boleh menafikan bahawa dengan lima gol dan lima `assist’ yang disumbangkannya dalam semua kejohanan musim ini, Bruno merupakan pemain United paling produktif.


Penutup


Ketika Bruno tiba di Old Trafford pada Januari 2020, kelab sedang berdepan cemuhan penyokong selepas kekalahan kepada Burnley di gelanggang sendiri. Kekalahan itu juga merupakan kekalahan keempat yang dialami United dari tujuh aksi terakhir liga mereka. Tatkala moral pasukan berada di titik paling rendah, Ole Gunnar Solskjaer sekadar melakukan sedikit penambahbaikan dalam skuadnya dengan membawa masuk Bruno dari Sporting Lisbon pada jendela perpindahan pertengahan musim.


Apa yang berlaku selepas itu, United tidak tewas pada baki 14 perlawanan liga mereka, Bruno meledak tujuh gol dan di penghujung musim, United menamatkan saingan liga di tangga ketiga. Dalam tempoh hampir empat tahun, Bruno bermain di bawah kendalian tiga pengurus berbeza yang memiliki falsafah bolasepak berlainan. Solskjaer meletakkan Bruno sebagai `playmaker’ utamanya, kerap berperanan sebagai pemain `nombor 8’ di era Ralf Rangnick dan fleksibiliti beliau sering digunakan Ten Hag untuk Bruno bergerak sebagai pemain `nombor 6, 8 dan 10’.


Anda mungkin adakalanya jengkel dengan sikap Bruno yang suka merengus dan mengeluh, tetapi itu sebenarnya adalah sikap kompetitif seorang pemain. Anda mungkin mengatakan bahawa Bruno sudah tidak seperti dulu, tetapi cuba namakan seorang pemain United paling konsisten dalam tempoh empat tahun. Selepas tamat aksi di Anfield tempohari, ada peminat United yang secara sinis mengatakan, “Ada Bruno, United kalah 0-7. Tanpa Bruno, United seri 0-0”. Kasihan Bruno, kerana beliau dihakimi hanya berdasarkan kepada satu perlawanan. Glory Glory Manchester United!!! 

29 November 2023

BUDAK ITU NAMANYA KOBBIE MAINOO

 


Jaringan sensasi Alejandro Garnacho menjadi tajuk utama akhbar, nama Marcus Rashford dan Anthony Martial kembali berada dalam senarai penjaring, dan Manchester United muncul kesebelasan pertama yang mencatatkan angka 500 `cleansheet’ dalam sejarah Liga Perdana adalah antara cerita yang mewarnai kemenangan 3-0 dilakar United ke atas Everton di Goodison Park. Bagaimanapun ada satu nama yang perlu anda sebut, bukan kerana `debut’ nya di Liga Perdana, tetapi kerana penampilan keseluruhan `budak’ berusia 18 tahun itu yang menghidupkan permainan United di Goodison Park.

 

`Budak’ yang saya maksudkan siapa lagi jika bukan Kobbie Mainoo, pemain termuda yang beraksi di atas padang pada Ahad lalu. Jika mengambilkira penampilan Kobbie sepanjang kempen pra musim United, apa yang ditampilkan beliau pada `debut’nya di Liga Perdana bukanlah sesuatu yang mengejutkan, meskipun ramai melabelkan ia sebagai di luar ekspektasi. Pada Julai lalu, Kobbie beraksi dalam kempen pra musim United ketika mereka berdepan Leeds United, Lyon dan Arsenal menerusi catatan keseluruhan 137 minit permainan dalam tiga perlawanan tersebut.

 

Dari tiga penampilan pra musimnya untuk United, Kobbie melepaskan 92 hantaran, mencipta satu `key passes’, 12 `intercept’, satu `assist’, sukses melakukan tiga `dribble’ dari lima percubaan dan memenangi 18 dari 23 `duel’. Bagaimana pula catatan beliau ketika berdepan Everton tempohari? Sepanjang 72 minit penampilannya di Goodison Park, Kobbie memenangi kesemua `tackle’, melakukan 61 sentuhan bola, melepaskan 34 hantaran tepat dari 41 hantaran keseluruhan yang dilakukannya, tiga `ball recoveries’, dua `intercept, satu `clearance’ dan satu `block’.   

 

Krisis kecederaan yang melanda para `midfielder’ mereka menyebabkan kunjungan United ke Goodison Park bukanlah satu tugas yang mudah. Tanpa Casemiro, Mason Mount dan Christian Eriksen, Ten Hag tiada pilihan lain selain memandang ke arah seorang pemain muda yang masih mentah untuk disenaraikan ke dalam kesebelasan utamanya. Masih terlalu awal untuk memuja dan memuji Kobbie, tetapi apa yang beliau pamerkan selama 72 minit di Goodison Park adalah cebisan yang hilang dalam skuad United musim ini, iaitu fungsi sebenar seorang pemain `nombor 6’.    

 

Pada usia yang masih mentah, Kobbie boleh dianggap cukup tenang mengawal zonnya, tahap kepekaan yang bagus, tahu bila waktu yang tepat untuk bertahan dan lihat juga bagaimana beliau memenangi setiap pertembungannya dengan James Garner. Sepertimana yang disebut dalam artikel di Starting Eleven, Kobbie memainkan dua tugas penting ketika berdepan Everton. Iaitu melakukan `covering a huge amount of ground’ dan `filling in gaps all over the pitch’, sekaligus melepaskan Bruno Fernandes untuk memainkan pengaruh yang lebih besar di bahagian hadapan.  

 

Beroperasi di hadapan `backline’, Kobbie antara pemain yang sering menerima hantaran dari Andre Onana ketika United dalam fasa melakukan `build up’. Ketenangan dan keyakinan ketika bola berada di kakinya bermakna Kobbie juga tahu apa yang perlu beliau lakukan untuk menangani `pressing’ dari lawan, atau beliau perlu melakukan `touch and return’ sebelum bola dibawa ke hadapan. Di Goodison Park, hanya ada empat pemain United yang memiliki catatan sentuhan bola lebih tinggi berbanding Kobbie, tetapi harus diingat bahawa keempat-empat mereka bermain selama 90 minit. 

 

Penampilan Kobbie sering dibandingkan dengan Paul Pogba, tetapi Pogba sepanjang fasa kedua kariernya di Old Trafford sering merungut kerana dipaksa untuk bermain lebih ke bawah, sekaligus membataskan potensinya. Jadi bagaimana pula dengan Kobbie? Dalam penampilannya untuk skuad U21 United, Kobbie menunjukkan variasi dalam permainannya. Beliau boleh berperanan dengan sangat baik sebagai pemain `nombor 6, 8 atau 10’. `Serba boleh’ adalah frasa yang sangat disukai Ten Hag bila beliau bercakap tentang seorang pemain tengah, jadi atas sebab itulah mengapa beliau menandatangani Mount pada Julai lalu.

 

Meskipun baru berusia 18 tahun, Kobbie bukan sahaja melangkaui ekspektasi, tetapi juga harapan ramai pihak ketika beliau berpasangan bersama Scott McTominay dalam sistem `double pivot’ yang digunakan United ketika berdepan Everton. Aset utama Kobbie sebagai pemain bukan hanya terbatas dalam soal bakat, tetapi kerana ketenangan yang dimilikinya dalam mengawal situasi, tahap kepekaan kepada persekitaran dan bacaan ruang dalam permainan. Jadi tidak hairanlah mengapa Gary Neville menyebut bahawa, “Pemain berusia 18 tahun berjersi merah itu kelihatan seperti pemain paling berpengalaman di atas padang”. Glory Glory Manchester United!!!



28 September 2023

KEBANGKITAN SEMULA `SLABHEAD'?

 


Kali terakhir anda melihat penampilan Harry Maguire dalam kesebelasan utama United pada perlawanan kompetitif ialah ketika aksi menentang Fulham pada 28 Mei yang lalu. Apa yang berlaku selepas aksi terakhir liga musim lalu itu, Maguire hilang tempat dalam kesebelasan utama, malah lebih malang jawatan beliau sebagai kapten pasukan juga turut dilucutkan. Dengan hanya 16 penampilan liga musim lalu, selain aksi persis bek amatur dibenteng pertahanan United, keputusan Erik Ten Hag melucutkan `armband’ kapten pasukan dari lengan beliau memang sudah dijangka.

 

Musim ini, dari enam aksi awal Liga Perdana, Maguire cuma diturunkan sekali ketika United tewas 1-3 kepada Arsenal. Penampilan selama 24 minit sebagai pemain gantian di Stadium Emirates itu adalah yang pertama dan terakhir dilakukan Maguire dalam tempoh 24 hari, sehinggalah namanya tersenarai kembali dalam kesebelasan utama ketika United berdepan Crystal Palace di pusingan ketiga Piala Liga (Carabao Cup). Selepas tamat perlawanan, rata-rata penyokong bercakap tentang penampilan cemerlang Sofyan Amrabat dan Casemiro selain tiga gol yang dihasilkan United dalam perlawanan itu.

 

Amrabat dan Casemiro memainkan peranan penting di sebalik kejayaan United mara ke pusingan keempat, tetapi penampilan Maguire di benteng pertahanan juga sebenarnya wajar diberikan pujian. Tiada lagi jenaka di atas padang yang sering dilakukan bekas kapten kita itu, tetapi apa yang anda saksikan ialah kerja kerasnya sepanjang 90 minit permainan. Biarlah statistik berbicara, dan biarkan juga statistik menjadi saksi betapa solidnya penampilan Maguire pada perlawanan itu bersama Raphael Varane, Diogo Dalot dan Amrabat di benteng pertahanan.

 

Beliau melakukan 108 hantaran tepat, memenangi kesemua `aerial duel’, menang dua daripada tiga `ground duel’, menang kedua-dua `tackle’, melakukan dua `clearance’ dan dua `intercept’. Maguire juga muncul pemain paling banyak melakukan hantaran dalam perlawanan itu menerusi 116 hantaran yang dilakukannya. `Accuracy’ hantarannya yang mencapai angka 93%, manakala enam dari tujuh hantaran jauh yang dilakukannya menepati sasaran antara faktor yang menghidupkan skema `build from the back’ yang diterapkan Ten Hag dalam sistem permainan United.

 

90 minit penampilannya pada aksi menentang Palace adalah contoh sempurna dalam aspek bertahan yang sangat-sangat diperlukan United, dan statistik di atas adalah saksi yang tidak akan pernah berbohong. Tatkala United berdepan krisis kecederaan yang membelenggu penampilan mereka, Maguire pula memilih saat terbaik untuk memberitahu kepada para pengkritiknya bahawa beliau masih boleh diharapkan. Meskipun selama ini beliau dibuli tanpa henti di ruang siber, Maguire sabar menunggu peluang dan bekerja keras dalam diam demi merebut semula tempatnya dalam kesebelasan utama.

 

Dan tatkala pemain muda seperti Jadon Sancho berdepan isu di dalam dan luar padang, Maguire pula menunjukkan contoh terbaik kepada juniornya itu tentang cara sebenar untuk bangkit semula. Apa yang anda lihat sepanjang 90 minit aksi United menentang Palace adalah Maguire versi `prime’nya ketika di Leicester City. Sukar untuk menjawab pertanyaan, adakah Maguire sudah kembali ke prestasi terbaiknya hanya berdasarkan kepada satu perlawanan. Tetapi setidak-tidaknya penampilan `Slabhead’ ketika berdepan Palace satu isyarat daripadanya kepada kita bahawa di era Ten Hag, beliau masih punya harapan. Glory Glory Manchester United!!!



23 September 2023

ADAKAH ONANA `KEEPER' YANG TERUK?

 


Dari enam penampilan pertama Andre Onana untuk United setakat ini, gawang beliau sudah dibolosi sebanyak 14 kali atau ratio 2.3 gol per perlawanan. `Blunder’ yang dilakukan beliau, hingga membolehkan Leroy SanĂ© menjaringkan gol pertama Bayern ketika aksi peringkat kumpulan Liga Juara-Juara pada Rabu lalu memanjangkan lagi episod buruk penampilan Onana sejak beliau menyertai United pada Julai lalu. Adakah kelab melakukan kesilapan besar dengan melepaskan David De Gea dan membawa Onana sebagai pengganti?

 

Kelab membayar €55 juta kepada Inter bagi mendapatkan khidmat Onana, tetapi prestasi beliau dalam enam penampilan pertama untuk United tidak langsung menggambarkan bahawa inilah antara watak protagonis yang membawa Inter mara ke pentas final Liga Juara-Juara musim lalu selain dua kejuaraan domestik. Jadi tidak hairanlah mengapa penyokong United mula membandingkan penampilan beliau dengan De Gea, legenda kelab yang pernah `memegang kunci’ pintu gol United selama 12 musim.

 

Bolos 14 kali hanya dari enam penampilan merupakan satu statistik yang sangat buruk untuk seorang penjaga gol. Adakah prestasi Onana kali ini lebih buruk dari De Gea pada fasa awal penampilan warga Sepanyol itu Old Trafford 12 tahun lalu? Menurut catatan Transfermarkt, Onana bolos 10 kali dari lima penampilan pertamanya untuk United di Liga Perdana berbanding De Gea yang hanya dibolosi sebanyak 4 kali. Dalam soal `clean sheet’ pula, De Gea juga lebih unggul menerusi dua catatan `clean sheet’ dari lima penampilan pertamanya berbanding Onana.

 

Jika statistik di atas mahu dijadikan perbandingan, tampak seperti kelab sudah melakukan kesilapan besar dengan menandatangani Onana. Bagaimanapun statistik juga menunjukkan bahawa dari lima penampilan pertama Onana di Liga Perdana, beliau berjaya menafikan 29 percubaan `on target’ berbanding 19 yang dilakukan De Gea (musim 2011/12). Bagi seorang `ball playing goalkeeper’ dalam sistem bolasepak moden pula, Onana dituntut untuk mengawal zonnya dengan baik menerusi kemampuan kedua-dua belah kakinya.

 

Walaupun baru beraksi lima perlawanan di Liga Perdana, beliau berjaya melakukan 149 hantaran tepat dari 194 hantaran yang dilakukannya. Dan dari jumlah tersebut 80 hantaran dilakukan beliau ke zon `middle third’. Sebagai seorang `ball playing goalkeeper’, tiada keraguan tentang kemampuan dan `accuracy’ hantaran yang dilakukan Onana, tetapi tidak kepada tindakan-tindakan refleksnya. Bukan hanya Onana yang memiliki kelemahan tersebut, kerana `ball playing goalkeeper’ seperti Ederson Moraes juga berdepan masalah yang sama hinggakan beliau pernah diberikan gelaran `one shot one goal’.

 

Terdapat risiko yang sangat tinggi dalam permainan bagi mana-mana pasukan yang memiliki seorang `ball playing goalkeeper’, dan penyokong United juga sepatutnya sudah menyedari perkara tersebut jika anda melihat statistik Onana di Serie A. Musim lalu, Onana dibolosi sebanyak 24 kali, dan angka tersebut sebenarnya mengatasi catatan xGOT (expected goal on target) beliau iaitu 19.5. Di Liga Perdana pula setakat ini, pintu gol United sudah dibolosi sebanyak sepuluh kali dengan catatan xGOT beliau ialah 8.6.

 

James Horncastle yang juga merupakan seorang `journalist’ bolasepak Eropah dalam tulisannya menyebut bahawa “the lack of stable enviroment" di United antara penyebab mengapa Onana bergelut pada penampilan awalnya bersama kelab. “Musim lalu dia menerima banyak kritikan kerana ramai pihak berpendapat dia sepatutnya mengawal gawang Inter dengan tangan, bukan kakinya. Lama kelamaan kita akan dapat melihat nilai sebenar Onana. Pada masa ini dia berada di Manchester United, kelab yang tidak memiliki `persekitaran yang stabil’” kata Horncastle.

 

Agak tidak adil untuk menghakimi Onana hanya menerusi lima atau enam penampilan awalnya. Kelab menandatangani seorang `ball playing goalkeeper’ seperti beliau kerana Ten Hag mahukan United bermain dengan pendekatan `build from the back’. Apa yang perlu dilakukan Onana selepas ini ialah meningkatkan lagi kemampuan `shot stopping capabilities’ nya. Johan Cryuff pernah berkata, “Dalam sistem permainan saya, penjaga gol adalah penyerang pertama. Manakala penyerang adalah pertahanan pertama”. Glory Glory Manchester United!!!



07 September 2023

LELAKI MAGHRIBI PERTAMA...

  


Maghribi muncul kesebelasan yang penuh dengan kejutan sepanjang kempen pusingan akhir Piala Dunia 2022 yang lalu. Dalam saingan peringkat kumpulan, mereka muncul juara Kumpulan F, sekaligus memadam ramalan awal yang meletakkan Belgium dan Croatia sebagai calon paling berpotensi mara ke pusingan kalah mati. Di pusingan 16 pasukan, ngauman skuad Singa Atlas itu sekali lagi bergema, kali ini menerusi kejayaan mereka menyingkirkan Sepanyol menerusi penentuan sepakan penalti.

 

Pablo Sarabia, Juan Soler dan Sergio Busquets gagal menyempurnakan sepakan penalti kerana ketangkasan Yassine Bounou, tetapi sebelum bekas penjaga gol Sevilla itu diangkat sebagai wira, Maghribi sepatutnya berterima kasih atas penampilan cemerlang yang dipamerkan Sofyan Amrabat di bahagian tengah. Penampilan energetik Amrabat berjaya meneutralkan setiap pergerakan yang cuba diatur Pedri, Gavi atau Busquets, jadi tidak hairanlah mengapa sepanjang perlawanan, Sepanyol cuma mampu melepaskan satu percubaan `on target’.

 

Amrabat adalah mimpi buruk Sepanyol dalam perlawanan itu dan watak penting di sebalik kejayaan Maghribi mara ke peringkat suku akhir buat pertama kali dalam sejarah penyertaan mereka di Piala Dunia. Amrabat juga menjadi tembok kukuh yang melindungi benteng pertahanan Maghribi dari asakan Sepanyol, dan sepanjang perlawanan beliau melakukan empat `tackle’, satu `clearance’ dan memenangi kesemua `duel’ dengan pemain lawan. Perjalanan epik Maghribi tersekat di peringkat separuh akhir, tetapi penampilan impresif Amrabat membuka mata kelab-kelab besar Eropah.

 

Siapakah Dia?

 

Sepertimana kebanyakkan rakan beliau dalam skuad kebangsaan Maghribi, Amrabat merupakan imigran yang lahir dan membesar di Belanda. Beliau menyertai akademi Utrecht pada 2007 dan tiga tahun kemudian namanya tersenarai dalam skuad U15 Belanda. Bagaimanapun pada 2013, beliau menyertai skuad U17 Maghribi dan beraksi di pentas Piala Dunia U17. Aksi persahabatan menentang Tunisia pada 28 Mac 2017 merupakan penampilan pertama Amrabat untuk skuad senior Singa Atlas dan sejak itu beliau sudah melakukan dua penampilan di pentas Piala Dunia.

 

Akademi Utrecht banyak membentuk gaya dan karakter permainan Amrabat. Gaya permainan beliau yang lebih fizikal dan keras menyaksikan Amrabat sering diberikan tugas untuk berperanan sebagai pemain tengah bertahan, melakukan sedikit kerja-kerja kotor menerusi `tackle’ dan `duel’ yang dilakukannya terhadap pemain lawan. Selepas lapan tahun beraksi di peringkat remaja, Amrabat akhirnya diserap ke skuad senior Utrecht kendalian Erik Ten Hag pada 2014. Sepanjang tiga musim, beliau melakukan 54 penampilan, menjaringkan 10 gol dan mencipta 10 bantuan gol untuk Utrecht dalam semua peringkat kejohanan.

 

Pada musim panas 2017, Amrabat menyertai Feyenoord Rotterdam, dan di De Kuip beliau berjaya memenangi satu kejuaraan Piala KNVB dan dua kali menjulang trofi Perisai Johan Cryuff. Keputusan beliau menyertai Club Brugge selepas hanya semusim di kota Rotterdam menyebabkan karier Amrabat mula berantakan. Potensi besarnya di Belanda mula meredup di bumi Belgium, yang akhirnya menyaksikan beliau dipinjamkan ke kelab Serie A, Hellas Verona pada Ogos 2019. Setahun selepas itu beliau menyertai Fiorentina secara tetap pada musim panas 2020.

 

Berevolusi

 

Ten Hag menandatangani Amrabat bukan disebab faktor beliau pernah bekerjasama dengan pemain itu semasa di Utrecht, tetapi Ten Hag melihat pemain antarabangsa Maghribi itu sudah berevolusi bukan sahaja dari segi pengalaman, tetapi fizikal dan kemampuannya ketika beraksi di atas padang. Dengan ketinggian 1.85m dan postur tubuh yang tegap, Amrabat umpama pelindung kepada rakan di  benteng pertahanan ketika beraksi bersama skuad kebangsaan mahupun kelab. Tipikal pemain tengah bertahan seperti inilah yang tidak dimiliki United dalam tempoh beberapa musim terakhir sebelum kedatangan Casemiro.  

 

Bagi penyokong United, kejayaan kelab menandatangani pemain tengah bertahan seperti Amrabat merupakan satu langkah yang sangat penting, kerana mereka melihat benteng pertahanan United sangat terdedah dengan serangan lawan pada empat aksi awal liga mereka. Atau lebih tepatnya, Amrabat adalah kunci penyelesaian kepada isu kurangnya sokongan kepada Casemiro di `defensive third’. Sepertimana Casemiro, Amrabat juga sangat dikenali kerana reputasinya yang tiada kompromi ketika melakukan duel dengan pemain lawan.

 

Di Qatar, Amrabat berjaya merebut bola dari penguasaan lawan sebanyak 57 kali, sekaligus muncul pemain paling banyak melakukan aksi tersebut sepanjang kempen Piala Dunia yang lalu. Di Fiorentina, peranan Amrabat bagaimanapun sedikit berbeza berbanding ketika beliau menyarung jersi skuad kebangsaan. Vincenzo Italiano tahu tentang kemampuan Amrabat dalam melakukan hantaran, jadi beliau sering mengarahkan pemain itu terlibat dalam setiap sirkulasi bola. Secara purata, Fiorentina mencatatkan 56.4% penguasaan bola per perlawanan, catatan kedua tertinggi selepas Napoli di Serie A.


Dalam tempoh 12 bulan terakhir, Amrabat melepaskan purata 9.6 hantaran progresif dalam setiap perlawanan dengan ketepatan hantaran (progresif) yang dilakukannya mencapai angka 98%. Penampilan Amrabat di peringkat kelab sangat kontras dengan apa yang beliau mainkan untuk Maghribi di Piala Dunia lalu. Statistik 56.4% penguasaan bola per perlawanan yang dilakukan Fiorentina menunjukkan bagaimana kecenderungan mereka untuk menguasai bola. Manakala catatan peratus penguasaan Maghribi pada kempen Piala Dunia mereka pula sekadar 37.8%.

 

Pendekatan permainan Fiorentina yang lebih ofensif membolehkan Amrabat lebih banyak menguasai bola dan menggunakan kemahirannya dalam melakukan hantaran. Jadi tidak hairanlah mengapa beliau mampu merakamkan ketepatan hantaran sebanyak 89.3% per perlawanan. Untuk rekod, hanya ada empat pemain tengah di Serie A yang memiliki catatan lebih baik berbanding beliau. Secara keseluruhan dalam saingan liga musim lalu, beliau melepaskan 131 hantaran jauh (7.4 hantaran per perlawanan) sekaligus muncul pemain tengah paling banyak melakukan hantaran tersebut.

 

Peratus ketepatan hantaran jauh yang dilakukannya pula ialah sebanyak 79.4%, iaitu catatan kedua tertinggi selepas Stanislav Lobotka (Napoli). Selepas melihat statistik ini, apa yang boleh kita simpulkan ialah Amrabat bukan sekadar tipikal `ball-winning midfielder’ tetapi beliau juga mampu berperanan sebagai `deep-lying playmaker’ untuk Fiorentina. Bersama United, Amrabat bukanlah pesaing Casemiro, tetapi `pendamping’ yang ideal untuk pemain antarabangsa Brazil itu menerusi peranan yang bakal beliau mainkan sebagai `pemain nombor 6’.

 

Pilihan Ideal?

 

Musim lalu Christian Eriksen, Scott McTominay dan Fred pernah diberikan tugas sebagai `deep-lying midfielder’ ketika Casemiro tersisih dari skuad, tetapi tiada seorang pun antara mereka yang mampu berperanan sebagai `volante’ dengan berkesan. Jadi bagaimana dengan Amrabat? Ten Hag sering bercakap tentang bagaimana beliau mahu United bermain, iaitu melakukan intensiti `pressing’ yang tinggi dan kemudiannya `playing out from the back’. Tetapi untuk melakukannya, beliau perlukan seorang pemain yang mampu melakukan proses transisi dengan berkesan.

 

Secara keseluruhannya, United melancarkan 102 serangan secara `direct’ musim lalu, jumlah tertinggi berbanding mana-mana pasukan di Liga Perdana dan berhasil menjaringkan sembilan gol dari situasi tersebut. Amrabat diketahui memiliki kualiti dan julat hantaran jarak pertengahan dan jauh yang bagus. Setidak-tidaknya itu yang sudah beliau tunjukkan di Serie A. Jadi Ten Hag percaya bahawa beliau sudah memiliki pemain yang ideal, bukan sahaja untuk memperkuatkan jentera tengah United tetapi juga pemain yang mampu melakukan proses transisi dengan berkesan.

 

Penutup

 

Amrabat terpaksa menunggu lebih 70 hari sebelum perpindahannya ke Old Trafford dimuktamadkan, sekaligus muncul lelaki pertama dari Maghribi yang beraksi untuk United. Dalam tempoh itu, beliau dikatakan menolak tawaran lumayan yang datang dari Arab Saudi dan kelab sekitar Eropah. Bagi Amrabat, beliau sudah bertekad…jika mahu berpindah destinasinya hanyalah satu, iaitu Old Trafford. Bukan mudah untuk menanti sesuatu yang belum pasti, tetapi untuk United beliau sanggup menunggu dan terus menunggu. Sepertimana kata Fabrizio Romano, dengan apa yang telah beliau lakukan, Amrabat layak mendapat pujian dan penghormatan dari penyokong United. Glory Glory Manchester United!!!



01 September 2023

TIDAK SEPERTI DULU

 


Aksi Liga Perdana minggu keempat bakal menyaksikan pertembungan menarik membabitkan Manchester United dan Arsenal. Aksi yang bakal dilangsungkan di Stadium Emirates itu boleh dikategorikan sebagai perlawanan terbesar di Liga Perdana pada minggu ini. Meskipun dilabel sebagai `perlawanan besar’ minggu ini, `perang’ antara United dan Arsenal tidak lagi sehebat ketika era kemuncak perseteruan mereka terutamanya di penghujung dekad 90an atau ketika awal era millenium. Hakikatnya api perseteruan itu sebenarnya sudah lama malap.

 

Tiada siapa boleh melupakan aura pertembungan antara United dan Arsenal ketika itu. Percakaran antara Roy Keane dan Patrick Vieira serta perang psikologi antara Sir Alex Ferguson dan Arsene Wenger antara elemen yang menjadi penyebab mengapa pertarungan antara United dan Arsenal di atas padang sentiasa dinanti dengan penuh teruja. Jadi tidak hairanlah mengapa hingga sekarang, kita masih sentiasa menyebut dan sentiasa mengimbas kembali puncak perseteruan itu kerana ia adalah simbol kepada masa lalu yang indah. 

 

Seteru

 

Menurut Steve McClaren, Fergie merupakan seorang individu yang suka akan cabaran dan tentangan. Jadi di Liga Perdana ketika itu, beliau perlukan seorang `musuh’ yang boleh diajak berlawan, berkonfrontasi dan bertegang urat leher di tepi padang. Kenny Dalglish dan Kevin Keegan pernah cuba menganggu dominasi Fergie tetapi kegarangan mereka cuma berlangsung semusim. `King’ Kenny pernah memecah dominasi United apabila beliau berjaya mengemudi Blackburn Rovers menjulang kejuaraan liga pada musim 1994/95.

 

Manakala Keegan pula mampu membuatkan Fergie berpeluh sebelum United akhirnya berjaya memintas Newcastle untuk menjulang kejuaraan liga pada musim 1996/97. Bagaimanapun kehadiran Wenger di Highbury pada 1996 benar-benar membuatkan keharmonian Fergie terusik. Pada musim pertama beliau di Liga Perdana, Wenger berjaya mengemudi Arsenal menamatkan saingan liga di tangga ketiga. Satu pencapaian yang sangat mengagumkan buat seorang pengurus yang datang dari liga bolasepak Jepun.

 

Apa yang Fergie fikirkan ketika itu? Sudah pasti beliau tahu bahawa kini sudah ada individu yang mampu merosakkan dominasi United di England. Kebimbangan Fergie akhirnya menjadi kenyataan, apabila pada musim kedua Wenger di Highbury (1997/98), beliau berjaya mengemudi Arsenal menjulang kejuaraan `double’ menerusi kejayaan menjulang trofi Liga Perdana dan Piala FA. Ego Fergie bukan sahaja tercalar, tetapi kebangkitan Arsenal di tangan Wenger juga sebenarnya membuatkan beliau lebih bermotivasi.

 

Apa hasilnya? Pada musim berikutnya (1998/99), Fergie membawa United ke dimensi berbeza menerusi kejayaan mereka menjulang kejuaraan `treble’. Dalam tempoh 24 tahun, tiada mana-mana kelab England yang berjaya menyamai pencapaian ini sehinggalah Manchester City melakukannya pada musim lalu. Begitupun, Arsenal di tangan Wenger masih sentiasa menjadi lawan yang sangat sukar untuk dihadapi United hinggakan pertembungan membabitkan kedua-dua pasukan sering diwarnai dengan insiden-insiden panas.

 

Api Sengketa

 

`Battle of Old Trafford’ dan `Battle of the Buffet’ antara insiden yang tidak boleh terlepas dari topik perbualan jika anda mahu mengenang kembali perseteruan membabitkan United dan Arsenal di era Fergie/Wenger. Permusuhan antara United dan Arsenal turut menyebabkan David Beckham terkena tempiasnya. Pada 15 Februari 2003, United dan Arsenal bertembung di pusingan kelima Piala FA yang berlangsung di Old Trafford. Sepertimana aksi-aksi sebelumnya, pertembungan ini turut diwarnai dengan percakaran antara pemain di atas padang.

 

Suhu panas ini akhirnya turut terbawa-bawa hingga ke bilik persalinan dan ketika inilah insiden `boot’ terbang berlaku hingga menyebabkan kening Beckham berdarah. Kemarahan Fergie terhadap ketumpulan barisan hadapannya dalam menyudahkan peluang diterjemahkan beliau menerusi satu rembatan padu pada `boot’ pemain yang kemudiannya melayang hingga mengenai kening Beckham. Keesokkan harinya imej Beckham dengan kening bertampal tular di dada akhbar hingga menutup kisah tentang kekalahan 0-2 United kepada seteru mereka itu.

 

Insiden di bilik persalinan ini satu petanda awal bahawa karier Beckham di Old Trafford bakal berakhir. Di penghujung musim, Arsenal berjaya menjulang kejuaraan Piala FA, manakala Beckham pula menamatkan karier sebelas tahunnya bersama kelab dengan menyertai Real Madrid. Meskipun disingkir dari kempen Piala FA, menutup tirai musim 2002/03 dengan kejayaan merampas semula kejuaraan liga dari tangan Arsenal tetap satu pencapaian yang boleh dibanggakan Fergie. Bagaimanapun Arsenal pada musim berikutnya tampil lebih menggerunkan.

 

Di sebalik kegagalan Arsenal mempertahankan kejuaraan liga mereka (musim 2002/03), Wenger membentuk skuad `The Gunners’ yang lebih solid bagi menghadapi musim baharu. Berbekalkan tonggak sedia ada dan tujuh pemain baharu yang dibawa masuk, Arsenal melakar sejarah baharu bolasepak Inggeris apabila mereka menamatkan saingan liga musim 2003/04 tanpa disentuh sebarang kekalahan. Menjuarai liga dengan status `invincibles’ adalah gambaran betapa menakutkan skuad Arsenal yang dibentuk Wenger ketika itu.

 

Liga Perdana sejak dulu memang diakui sebagai liga paling sukar didunia dan memenanginya tanpa disentuh sebarang kekalahan adalah satu pencapaian yang diluar jangkauan akal fikiran. Selepas lebih setahun beraksi tanpa kalah, Arsenal akhirnya terpaksa akur bahawa catatan epik tersebut akhirnya menujuk ke titik penamat. Ironinya, rentetan catatan 49 perlawanan tanpa kalah Arsenal lebur ditangan United pada 24 Oktober 2004. Di akhir perlawanan ketika pemain kedua-dua pasukan berada di terowong, tercetuslah insiden `Battle of the Buffet’ yang sangat terkenal itu.

 

Kian Malap

 

Sejak 2004, Arsenal tidak lagi dianggap sebagai pencabar kejuaraan, tambahan pula munculnya empayar baharu di barat kota London tercetus dari kuasa wang yang dimiliki Roman Abramovich serta kemunculan Manchester City sebagai kuasa baharu pada 2009. Manakala generasi emas Arsenal seperti Thierry Henry, Patrick Vieira, Marc Overmars, Robert Pires, Dennis Bergkamp, Frederik Ljungberg, Martin Keown, Emmanuel Petit dan Tony Adams satu persatu meninggalkan Highbury. Begitupun United di bawah kendalian Fergie masih mampu memenangi lima lagi kejuaraan liga sehingga 2013.

 

Insiden `Battle of the Buffet’ boleh dianggap sebagai kemuncak kepada perseteruan membabitkan United dan Arsenal. Selepas itu api sengketa itu mula meredup sedikit demi sedikit dek kemunculan Chelsea dan kemudiannya Manchester City sebagai kuasa baharu bolasepak Inggeris. Apa yang berlaku selepas empayar Abramovich dibina ialah Fergie tidak lagi memandang Arsenal sebagai pencabar United dalam perebutan kejuaraan liga. Manakala Wenger pula bukan lagi seteru yang boleh memeningkan kepalanya.

 

Penutup

 

Momen perseteruan antara `The Red Devils’ dan `The Gunners’ di penghujung dekad 90an dan awal era millennium adalah momen terindah untuk dikenang, baik oleh penyokong United mahupun Arsenal. Pada Ahad nanti, United dan Arsenal akan bertembung sekali lagi. Tetapi gejolak adrenalin sudah lama menurun, rasa kemarahan sudah mereda dan keterujaan tidak lagi memuncak seperti ketika era Keano dan Vieira mengetuai pasukan. Di masa lalu, Fergie dan Wenger merupakan `mastermind’ yang menggerakkan api permusuhan antara kedua-dua pasukan.

 

Manakala Keano dan Vieira pula adalah watak antagonis dan protagonis yang menjadikan pertembungan dua kelab ini sentiasa panas, mendebarkan dan adrenalinnya meresap ke seluruh tubuh. Bagaimanapun pertembungan antara United dan Arsenal pada Ahad nanti tetap satu pertembungan yang penting. Meskipun api sengketa sudah malap terlalu lama, tetapi itu bukan bermakna pertembungan terkini United dan Arsenal sudah tidak lagi menarik untuk disaksikan. Nikmati sahaja perlawanan ini kerana api yang sudah lama malap itu tidak akan menghilangkan kehangatan aksi ini. Glory Glory Manchester United!!!


28 Ogos 2023

CUCURELLA ATAU REGUILLON?

 


Cuma berbaki lima hari sahaja sebelum bursa perpindahan pemain musim panas ditutup. Setakat ini Manchester United sudah menandatangani tiga pemain baharu, jadi anda boleh simpulkan bahawa `maneuver’ kelab dalam bursa perpindahan kali ini berjalan dengan lancar dan teratur. Meskipun Mason Mount, Andre Onana dan Rasmus Hojlund, berjaya ditandatangani, masih timbul khabar angin tentang kemungkinan United membawa masuk seorang lagi pemain baharu sebelum detik tengah malam pada 1 September nanti.

 

Kecederaan yang dialami Luke Shaw menyebabkan United kini berdepan krisis di posisi bek kiri mereka. Pada awalnya Erik Ten Hag memang tidak memerlukan tambahan bek kiri baharu, memandangkan beliau sudah memiliki tiga pemain di posisi tersebut (Shaw, Tyrell Malacia dan Brandon Williams). Bagaimanapun Malacia masih tersisih akibat kecederaan, manakala Williams pula menyertai Ipswich Town dengan status sebagai pemain pinjaman. Jadi apa yang perlu dilakukan Ten Hag ialah penyelesaian jangka pendek bagi mengatasi krisis tersebut.

 

Bek Kiri Baharu?

 

Pada aksi menentang Nottingham Forest tempohari, Diogo Dalot digunakan Ten Hag untuk beroperasi di sisi kiri pertahanan United. Tetapi perlu diingat, bahawa Dalot bukanlah bek kiri tulen kerana posisi utama pemain Portugal itu adalah sebagai bek kanan. Dalam perlawanan itu juga, Ten Hag menyenaraikan Alvaro Fernandez dalam skuad utama, tetapi pada usia yang baru menjangkau 20 tahun, pemain muda itu bukanlah pilihan yang ideal untuk memikul beban berat sebagai pengganti Shaw. Jadi membawa masuk bek kiri baharu adalah pilihan yang perlu Ten Hag pertimbangkan.

 

Setakat ini ada dua nama yang disebut-sebut sebagai calon bek kiri paling realistik untuk kelab tandatangani. Mereka ialah Sergio Reguillon dan Marc Cucurella. Sepertimana yang anda tahu, Reguillon dan Cucurella hilang tempat dalam kesebelasan utama Spurs dan Chelsea. Reguillon mengharungi musim lalu sebagai pemain pinjaman di Atletico Madrid dan cuma tersenarai dua kali dalam kesebelasan utama skuad kendalian Diego Simeone itu dari sebelas penampilan. Jadi sukar untuk mendapatkan gambaran jelas tentang kualiti sebenar bekas pemain Real Madrid itu.

 

Meskipun tiba di Stamford Bridge dengan status sebagai bek kiri termahal dunia, Cucurella gagal beradaptasi dengan persekitaran baharu dan gaya bolasepak yang dimainkan Chelsea. Musim lalu, beliau cuma melakukan 24 penampilan untuk Chelsea dalam saingan liga, manakala musim ini selepas tiga aksi berlangsung, bekas tonggak Brighton itu masih gagal menambat hati Mauricio Pochettino. Jadi dalam situasi sekarang, sebarang kemungkinan untuk berpindah dan menikmati minit permainan yang lebih banyak adalah peluang yang perlu dipertimbangkan Cucurella.  

 

Perbandingan

 

Situasi terkini yang dialami Reguillon sebenarnya sangat kontras berbanding musim pertama beliau di kota London. Dalam skuad Jose Mounrinho ketika itu, Reguillon merupakan pemain penting dalam kesebelasan utama Spurs menerusi 25 penampilan yang dilakukannya dalam saingan liga bagi musim 2021/22. Dari jumlah tersebut, beliau disenaraikan dalam kesebelasan utama sebanyak 22 kali, menjaringkan dua gol dan mencipta tiga bantuan gol. Begitu juga dengan Cucurella pada musim yang sama ketika beliau masih beraksi untuk Brighton.

 

Sebagai bek kiri, kualiti bertahan antara aspek penting yang perlu ada dalam permainan mereka. Dalam hal ini, statistik mencatatkan bahawa Cucurella melakukan lebih banyak `defensive actions’ berbanding Reguillon. Semasa kempen musim 2021/22 Brighton, beliau melakukan purata 1.28 `tackle’, 1.22 `block’ dan 1.46 `intercept’ per perlawanan berbanding Reguillon (1.03, 0.94 dan 0.87). Sebagai seorang pengendali yang sangat dikenali kerana falsafah penguasaan bolanya, Ten Hag mahukan seorang bek kiri yang sangat piawai dalam melakukan hantaran.

 

Jadi adakah kualiti ini dimiliki Cucurella dan Reguillon? Dalam aspek ini, Cucurella dan Reguillon memiliki kualiti tersendiri. Dalam skema permainan penguasaan bola Brighton yang diterapkan Graham Potter ketika itu, Cucurella melakukan purata 55.1 hantaran per perlawanan berbanding Reguillon (35.2), dengan peratus ketepatan hantaran yang dilakukannya ialah sebanyak 80.2%. Bagi Reguillon, statistik peratus ketepatan hantaran yang dilakukannya pula ialah sebanyak 75.5%. Bagaimanapun di zon `final third’ catatan Reguillon lebih impresif berbanding Cucurella.

 

Reguillon mencatatkan purata 0.14 bantuan gol, 1.36 `key passes’ dan 0.99 hantaran silang ke petak penalti lawan per perlawanan berbanding Cucurella (0.03, 1.22 dan 0.50). Statistik ini menyaksikan mengapa Reguillon muncul bek kiri yang lebih unggul berbanding Cucurella dalam menghasilkan gol sepanjang penampilan beliau bersama Spurs. Apabila membandingkan kedua-dua mereka, Cucurella nampaknya lebih unggul dalam aspek bertahan manakala Reguillon pula bek kiri yang lebih aktif dalam situasi ofensif.

 

Penutup

 

12 bulan terakhir merupakan satu tempoh yang sangat sukar buat Cucurella dan Reguillon. Jadi potensi untuk beraksi bersama United adalah peluang yang tidak harus dilepaskan demi menyelamatkan semula karier mereka. Ten Hag dalam situasi terdesak kerana ketiadaan Shaw dan Malacia dalam jangka masa lama merupakan krisis yang perlu beliau atasi.

 

Cucurella dan Reguillon mungkin bukanlah bek kiri yang ideal jika prestasi mereka dalam tempoh 12 bulan terakhir diambilkira. Tetapi bukanlah satu dosa besar untuk Ten Hag melakukan perjudian ke atas dua pemain ini. Adakah United akan melakukan satu lagi `maneuver’ sebelum bursa perpindahan musim panas ditutup? Glory Glory Manchester United!!!


23 Ogos 2023

AKHIRNYA TENGGELAM BEGITU SAJA

 


Beliau pernah dilabel sebagai `masa depan’ Manchester United, pemain muda yang memiliki bakat besar dan pemain contoh kepada rakan-rakan dari generasinya. Ketika era pengurusan Ole Gunnar Solskjaer, United ketika itu memang sedang membentuk generasi baharu menerusi kelibat pemain-pemain muda seperti Tahith Chong, James Garner, Angel Gomes, Scott McTominay, Brandon Williams dan Mason Greenwood. Diantara mereka yang paling menonjol, paling mengujakan dan diramal mampu menjadi bintang besar suatu hari nanti tentunya budak yang bernama Mason Greenwood.

 

Di akademi United, Mason antara bakat muda yang memiliki potensi sangat besar. Hanya setahun dalam skuad U-16 United, beliau dipromosikan ke skuad U-18 meskipun umurnya ketika itu belumpun genap 16 tahun. Pada usia semuda itu, penampilan Mason sebenarnya sudah jauh melangkaui rakan-rakan seangkatannya. Pada musim 2017/18, Mason dinobatkan selaku penjaring terbanyak Liga Inggeris U-18 menerusi 17 gol yang dihasilkannya. Pada musim 2019/20, Mason diberikan kontrak profesional pertamanya yang menyaksikan beliau kekal di Old Trafford hingga Jun 2023, juga musim dimana beliau mencetuskan sensasi.

 

Sensasi

 

10 gol yang diledak beliau dalam saingan liga dan keseluruhan 19 gol yang dihasilkannya dalam semua kejohanan merupakan angka yang sangat menakjubkan bagi seorang pemain yang baru berusia 18 tahun. Apatah lagi peranannya ketika itu cumalah sebagai pelapis kepada Marcus Rashford dan Anthony Martial. Aksi menentang Paris St Germain di saingan Liga Juara-Juara pada 6 Mac 2019 merupakan penampilan pertama Mason untuk skuad utama, sekaligus muncul pemain kedua termuda United melakukan penampilan di pentas Eropah selepas Norman Whiteside.

 

Apa yang menariknya, Mason menikmati penampilan pertama beliau untuk skuad senior hanya dalam tempoh tiga bulan selepas Solskjaer menggantikan posisi Jose Mourinho. Bagi seorang legenda kelab yang berhasil meledak 91 gol untuk United ketika kariernya sebagai pemain, Solskjaer pantas menghidu potensi besar yang dimiliki Mason. Dan tiga hari selepas penampilan Mason di Parc des Princes, beliau diturunkan Solskjaer dalam saingan liga pula ketika United berdepan Arsenal di gelanggang lawan.

 

Prospek Masa Depan

 

Pada 2019, Goal International pernah menamakan Mason sebagai pemain muda terbaik United, malah mereka juga meletakkan beliau di tangga ke-16 dalam senarai pemain muda terbaik dunia ketika itu. Mason memang pemain muda yang mengujakan, bukan sahaja kerana ketajamannya dalam menyudahkan peluang tetapi juga kerana `versatility’ dalam  permainannya yang sudah diasah sejak beliau berada di akademi lagi. “Dia boleh bermain di empat posisi di barisan hadapan. Dia selalu berada di depan untuk menjaringkan gol atau mencipta peluang”, kata Solskjaer.

 

Kemampuan Mason menggunakan kedua-dua kakinya dengan baik merupakan nilai tambah bagi seorang penyerang. Menurut Clayton Blackmore, melihat Mason mengambil sepakan percuma atau penalti menggunakan kaki kiri adalah perkara biasa walaupun beliau bukanlah pemain berkaki kidal. Dua atau tiga tahun yang lalu, Mason adalah prospek masa depan bolasepak Inggeris, dan United sangat beruntung kerana memiliki pemain muda dengan potensi besar seperti beliau sekaligus mengingatkan kita kepada sosok Wayne Rooney.

 

Penggempur Lengkap

 

20 tahun yang lalu, Rooney muncul pemain muda Inggeris paling `spectacular’, dan Mason sendiri mengakui bahawa bekas penggempur United itu merupakan idolanya. Meskipun begitu, gaya permainan Mason sebenarnya lebih mirip kepada penampilan Robin Van Persie. Sepertimana Robin, Mason juga memiliki kekuatan pada sepasang kakinya, kombinasi `skill’ yang bagus, fizikal yang kuat dan visi permainan yang tinggi. Solskjaer ketika itu memiliki tiga pilihan yang beliau boleh letakkan untuk berperanan sebagai pemain nombor 9 (Rashford, Martial dan Mason).

 

Bagaimanapun menurut Gary Neville, Mason adalah contoh penyerang tengah yang `complete’. “Anda melihat Anthony Martial, Marcus Rashford dan Mason Greenwood sebagai pilihan. Tetapi siapakah di antara mereka yang mampu menjaringkan gol dari pelbagai sudut, di dalam atau di luar petak penalti dengan menggunakan kaki kanan atau kiri? Pemain itu pastilah Mason Greenwood yang baru berusia 18 tahun”, kata Neville. Dengan bakat besar seperti itu, kita mendambakan agar suatu hari nanti Mason mampu meletakkan dirinya selaku penggempur berbisa, tonggak utama dan legenda kelab seperti idola beliau iaitu Rooney.

 

Detik Hitam

 

Bagaimanapun pada Februari 2022 yang lalu, kita digemparkan dengan berita serangan seksual yang dilakukan Mason ke atas kekasihnya. Hanya dalam tempoh 24 jam selepas Mason didakwa, United mengumumkan penggantungan pemain itu dari sebarang aktiviti bolasepak bersama kelab. Dan sejak itu, kita tidak lagi melihat kelibat seorang pemain muda berbakat besar, pemain yang dilabel sebagai masa depan kelab dan penggempur muda yang sudah terlihat keunggulannya dalam merobek pintu gol lawan beraksi di atas padang dalam seragam United.  

 

Sejak itu juga kita berteka-teki, bertanya dan cuba meramal tentang kemungkinan nasib yang bakal menimpa Mason. Selepas lama terpalit dengan kes jenayah serangan seksual yang menyebabkan nama beliau hilang dari radar bolasepak, kelab akhirnya mengambil keputusan sukar dengan melepaskan pemain muda itu. Dalam kenyataan yang dikeluarkan United kelmarin, selepas melakukan proses siasatan dalaman sejak Februari tahun lalu, mereka tidak menemui sebarang bukti kukuh bagi mengesahkan bahawa Mason tidak bersalah.  

 

Penutup

 

Keputusan yang diambil kelab ini pastinya bukanlah satu keputusan yang mudah. Kelab menyedari potensi besar yang dimiliki Mason, tetapi membawa beliau beraksi kembali di atas padang merupakan satu `dosa’ yang pastinya sukar untuk dimaafkan oleh kebanyakkan penyokong wanita United. Dan kelab juga akhirnya memahami bahawa melepaskan Mason pergi merupakan satu keputusan yang tepat meskipun sukar untuk mereka ambil. Tandatanya tentang nasib Mason akhirnya terjawab kerana `kisah cinta’ beliau dan United akhirnya terlerai.

 

Sebelum Februari 2022, Mason berada di laluan dalam membina kariernya dan membentuk dirinya untuk menjadi bintang besar suatu hari nanti. Sebelum Februari 2022, segalanya tampak memihak kepada Mason. Beliau berbakat besar, juga penyerang yang menurut Solskjaer memiliki `teknik halus tetapi mudah dilihat’. Akhirnya `tragedi Februari’ itu bukan sahaja memusnahkan Mason, tetapi meleraikan impian kita untuk melihat agar suatu hari nanti beliau menjelma sebagai `finisher’ menggerunkan seperti idolanya…Wayne Rooney. Agak malang untuk melihat bakat besar seperti Mason akhirnya tenggelam begitu saja. Glory Glory Manchester United!!!


16 Ogos 2023

DAPATKAN SEMULA VERSI TERBAIK MOUNT

 


Manchester United membuka tirai aksi liga musim ini dengan langkah kanan meskipun mereka terpaksa bergelut sepanjang tempoh 90 minit perlawanan aksi menentang Wolverhampton Wanderers. Di sebalik `sengsara’nya United untuk meraih tiga mata penuh dalam perlawanan yang berlangsung di Old Trafford itu, aksi Mason Mount menjadi tumpuan. Pemilik jersi nombor 7 itu tiba di Old Trafford dengan harapan besar, pemain tengah yang dilabel mampu membuatkan jentera tengah United lebih kompak, solid dan teratur.

 

Dalam kem United, selain Mount, Andre Onana juga merupakan pemain yang melakukan penampilan pertama dengan jersi `The Red Devils’ di Liga Perdana. Bagaimanapun berbanding Mount, penampilan Onana pada `debut’ beliau untuk United wajar diberikan pujian. Enam aksi penyelamatan dan catatan `clean sheet’ yang dilakukan penjaga gol Cameroon itu menyaksikan beliau diberikan `rating’ 7.74 oleh laman WhoScored.com, sekaligus muncul pemain pemain kedua terbaik United selepas Aaron Wan-Bissaka dalam perlawanan itu.

 

Apa sebenarnya yang berlaku kepada Mount? Secara keseluruhannya Wolves merupakan kesebelasan yang lebih baik dan dominan dalam perlawanan itu meskipun mereka beraksi di Old Trafford. Dan Mount pula tenggelam hampir sepanjang tempoh 68 minit aksinya di atas padang. Sepanjang 68 minit penampilannya, Mount gagal menjaringkan sebarang gol, gagal mencipta bantuan gol, gagal mencipta peluang jaringan gol, gagal melepaskan sebarang hantaran silang, gagal memenangi sebarang `tackle’ dan gagal memenangi walau satu pun perebutan bola tinggi.

 

Agak malang, selama lebih sejam beliau berada di atas padang, hampir tiada apa-apa sumbangan yang mampu diberikan Mount kecuali satu `intercept’ yang dilakukannya. Dan paling mengecewakan, Mount cuma mampu melakukan 33 sentuhan sepanjang aksinya, jumlah terendah berbanding mana-mana pemain yang disenaraikan dalam kesebelasan utama United. Fakta ini pastinya membuatkan ramai penyokong United kecewa bila memikirkan bahawa beliau antara bakat terbaik bolasepak Inggeris masa kini dan harapan tinggi yang diberikan kepadanya ketika kelab mengumumkan kejayaan mereka mendapatkan khidmatnya.

 

Penampilan buruk Mount pada `debut’ beliau untuk United di Liga Perdana sepatutnya sudah boleh dijangka. Musim lalu dari 35 penampilan keseluruhannya bersama Chelsea, Mount cuma mampu menjaringkan tiga gol dan menyumbang tiga bantuan gol. Prestasi Mount musim lalu jelas tidak disenangi penyokong `The Blues’ dan `trend’ negatif tersebut berterusan pula pada kempen pra musim United. Jadi tidak hairanlah jika penyokong United mula bimbang tentang kemungkinan ini adalah satu lagi pelaburan sia-sia yang dilakukan kelab.

 

Penampilan pertama Mount mungkin tidak menepati harapan dan impian anda, tetapi ada sebab yang kukuh mengapa United sanggup berbelanja sehingga £55 juta bagi membawanya beraksi di sini. Bersama Chelsea, Mount sangat dikenali sebagai pemain tengah yang memiliki naluri membunuh yang cukup tajam. 38 gol dan 37 bantuan gol dari 178 penampilan bersama Chelsea merupakan satu statistik yang sangat mengagumkan buat pemain tengah seperti beliau. Kreativiti adalah antara masalah terbesar United musim lalu, jadi atas sebab itulah mengapa kelab menandatangani profil pemain tengah seperti Mount.  

 

Penampilan pertama menentang Wolves pastinya penampilan yang tidak mahu dikenang Mount. Prestasi beliau bersama Chelsea musim lalu mencetuskan kebimbangan tentang kemampuan Mount untuk memberikan impak kepada jentera tengah United musim ini. Walaupun statistik ketika menentang Wolves tidak menyebelahi Mount, namun Ten Hag gembira dengan `sumbangan’ pemain antarabangsa England itu. “Saya fikir ini adalah persembahan yang baik. Dia melakukan apa yang kami harapan dan apa yang kami minta dia lakukan”, kata Ten Hag.

 

Mount pada musim 2020/21 dan 2021/2022 merupakan sosok yang tidak tergantikan tempatnya dalam kesebelasan utama Chelsea. Sepanjang tempoh dua musim tersebut, Mount menjaringkan 17 gol, mencipta 15 bantuan gol, melepaskan 52 percubaan `on target’, melakukan 2547 hantaran tepat, memenangi 52 `tackle’, melakukan 58 `block’ dan 44 `intercept’. Ringkasnya dalam situasi bertahan mahupun menyerang, Mount adalah pemain penting dalam menjayakan skema permainan Chelsea. Apa yang perlu dilakukan Ten Hag sekarang ialah mendapatkan kembali Mount pada versi terbaiknya. Glory Glory Manchester United!!!