16 Jun 2023

LANGIT MANCHESTER KIAN BERWARNA BIRU

 


Dahulu penyokong Manchester United sentiasa bercanda dengan mengatakan bahawa Manchester City tidak cukup besar untuk menyaingi mereka baik dari segi sejarah mahupun jumlah trofi yang berjaya dimenangi. Menurut mereka, Manchester sentiasa berwarna merah, bukan biru. Itu dahulu, kerana sekarang `The Cityzens’ nampaknya sudah jauh meninggalkan `The Red Devils’ dalam semua bentuk dan segi. Pada 10 Jun lalu, City berjaya melengkapkan kejuaraan `treble’ mereka menerusi kejayaan menundukkan Inter Milan di pentas final Liga Juara-Juara.

 

Ini merupakan kejuaraan sulung City dalam saingan tertinggi kelab-kelab Eropah itu, sesuatu yang mungkin tidak pernah difikirkan oleh penyokong-penyokong United sepuluh atau dua puluh tahun yang lalu. Suatu masa dahulu, Sir Alex Ferguson pernah mengatakan bahawa tiada mana-mana kelab Inggeris selepas ini yang mampu mengulangi pencapaian skuadnya menjulang kejuaraan `treble’, tetapi selepas 24 tahun Fergie akhirnya terpaksa akur bahawa kini sudah ada kelab Inggeris berjaya menyamai pencapaian epik yang dilakar United pada musim 1998/99 itu.

 

Pandangan `streotype’ selama berdekad-dekad penyokong-penyokong United terhadap City akhirnya berubah, dan kini kita terpaksa mengakui serta menerima hakikat bahawa mereka adalah kelab terbesar di kota Manchester, sekurang-kurangnya buat masa ini. Melihat kepada perkembangan City selepas pengambilalihan kelab oleh Abu Dhabi United Group pada 2008, mereka sebenarnya cuma menunggu masa untuk menolak United bukan sahaja dari singgahsana selaku kelab terbesar di kota Manchester tetapi kuasa baharu bolasepak Inggeris.

 

Sejak 2008, City mendapatkan tiga pengurus berprofil tinggi bagi mengendalikan skuad utama mereka, tetapi kehadiran Pep Guardiola pada 2016 benar-benar meninggalkan impak yang sangat besar kepada penampilan `The Cityzens’. Guardiola merupakan pengendali yang berada dalam kelas tersendiri, dan dengan kekuatan kewangan yang dimiliki pemilik kelab, tugas beliau menjadi lebih mudah. Wang akhirnya menunjukkan kuasanya dan dengan kuasa wang jugalah City memperkuatkan skuad mereka dengan pemain-pemain kelas dunia.

 

Dominasi City

 

Kota Manchester tidak lagi didominasi oleh warna merah, kerana City dengan warna biru langitnya tidak lagi gentar setiap kali mereka bertembung dengan United di atas padang. Kehadiran Sheikh Mansour membawa `progress’ yang sangat signifikan kepada perkembangan City, baik dari segi `financial’ mahupun urusan tentang bolasepak itu sendiri. Berbanding keluarga Glazer, beliau datang dengan ambisi mahu membangunkan City untuk muncul selaku kuasa besar bolasepak, bukan sahaja di England tetapi juga Eropah.

 

Selama 26 tahun United di bawah kepimpinan Fergie, beliau berjaya menambah 36 trofi dalam kabinet kejuaraan kelab. 26 tahun adalah tempoh bagaimana suksesnya United yang dibangunkan Fergie sebagai individu paling berkuasa dalam menentukan segala hal di Old Trafford. Pada 2013, era Fergie akhirnya berada di garis penamat, saat beliau mengumumkan persaraannya sebagai pengurus United. Kekuatan serta kekuasaan Fergie akhirnya menjadi `boomerang’ kepada United yang hingga kini masih tercari-cari kejuaraan liga pertama mereka selepas beliau bersara.

 

Ketika penyokong-penyokong United masih dibuai dengan kisah kesuksesan kelab di era Fergie, manakala David Moyes, Louis Van Gaal, Jose Mourinho dan Ole Gunnar Solskjaer pula terpaksa dikorbankan kerana kegagalan mereka mengangkat kembali status United sebagai kuasa bolasepak Inggeris, di timur kota Manchester pula City mula membina kekuatan mereka. Di tangan Ferran Soriano (CEO kelab) dan Txiki Begiristain (pengarah bolasepak), City diuruskan oleh tangan yang betul dan mereka yang pakar dalam hal ehwal bolasepak.

 

Apa yang dilakukan mereka? Soriano dan Begiristain menetapkan mana-mana pengurus atau pemain yang dibawa masuk bukan sahaja boleh menjalinkan kerjasama baik dengan mereka, tetapi juga faham dengan sistem, struktur serta budaya bolasepak yang sedang mereka bina. Lalu datanglah pengurus berprofil tinggi seperti Roberto Mancini, Manuel Pellegrini dan kemudiannya Pep Guardiola. Di bursa perpindahan pemain pula, City hanya menandatangani pemain yang dimahukan pengurus, bukan sekadar nama besar untuk tujuan `marketing’.    

 

Dalam tempoh sepuluh musim terakhir, mereka membawa masuk pemain-pemain berkualiti yang akhirnya menjadi tonggak pasukan. Bandingkan impak diberikan pemain-pemain seperti Fernandinho, Jesus Navas, Raheem Sterling, Kevin de Bryune, Ilkay Gundogan, John Stones, Gabriel Jesus, Bernardo Silva, Ederson, Aymeric Laporte, Riyad Mahrez, Rodri, Jack Grealish dan kini Erling Haaland kepada proses dan `progress’ City berbanding apa yang dilakukan United pasca persaraan Fergie. Akhirnya sejak 2014, mereka menang enam kejuaraan liga.  

 

United Sedang Berubah?

 

Erik Ten Hag sedang membina sesuatu pada musim pertamanya di Old Trafford. Musim lalu United menamatkan saingan liga di luar kelompok empat teratas, atau lebih spesifiknya mereka ketinggalan 13 mata di belakang Tottenham Hotspurs selaku kesebelasan yang menduduki tangga keempat liga. Purata 1.5 gol per perlawanan yang dihasilkan United merupakan angka terendah berbanding lima lagi kelab yang menghuni kelompok enam teratas liga. Jadi hampir pasti Ten Hag akan cuba mendapatkan seorang penyerang tengah baharu pada jendela perpindahan musim panas ini.

 

Musim ini, United di bawah kendalian beliau berjaya menamatkan kemarau enam tahun tanpa trofi menerusi kejayaan mereka menjulang kejuaraan Piala Liga, kembali beraksi di saingan Liga Juara-Juara dan menamatkan saingan liga di tangga ketiga. Kejayaan menjulang Piala Liga bukanlah indikator sebenar untuk kelab seperti Manchester United, tetapi sekurang-kurangnya anda sedang melihat satu perubahan sedang berlaku pada musim pertama Ten Hag di Old Trafford berbanding pencapaian mereka dalam tempoh enam tahun terakhir.

 

Dalam saingan liga pula, United mengutip 75 mata, jumlah mata tertinggi sejak mereka menamatkan saingan liga di tangga kedua pada musim 2016/17. Kejayaan United berada di kelompok tiga teratas banyak disumbangkan faktor impresifnya penampilan benteng pertahanan mereka. Penambahbaikan yang dilakukan Ten Hag ke atas benteng pertahanan United menerusi kehadiran Lisandro Martinez menyaksikan pintu gol mereka dibolosi 43 kali atau purata 1.1 per perlawanan. Angka terendah sejak musim 2019/20.

 

Penutup

 

Pencapaian, penampilan dan prestasi United sepanjang musim ini masih jauh dari tahap sempurna. Tewas kepada Manchester City di pentas akhir Piala FA juga bukanlah penamat musim yang kita mahukan, tetapi dalam diri Ten Hag kita melihat beliau memiliki elemen yang diperlukan untuk mengembalikan semula United ke era gemilang mereka. Untuk mengejar City, usaha keras bukan sahaja perlu dilakukan tetapi juga menuntut pelaburan yang besar dari pemilik kelab. Untuk itu, United tidak akan kemana-mana jika kelab terus dimiliki individu-individu seperti keluarga Glazer.

 

City berada di kedudukan mereka sekarang kerana visi dan ambisi yang dimiliki pemilik mereka. Dari kelab `pertengahan liga’, Sheikh Mansour akhirnya berjaya membina City menjadi kuasa besar bolasepak Eropah, status yang suatu ketika dahulu pernah dimiliki United. Berbanding Sheikh Mansour, keluarga Glazer pula menjadikan United sebagai `angsa bertelur emas’ dengan memerah keuntungan yang dihasilkan kelab. Jika situasi tidak berubah, jika United masih lagi dimiliki keluarga Glazer, percayalah langit Manchester akan terus berwarna biru. Glory Glory Manchester United!!!



Tiada ulasan:

Catat Ulasan