Salah satu posisi yang bakal
dijadikan fokus utama Erik Ten Hag untuk beliau perkuatkan bagi menghadapi
musim baharu nanti ialah penyerang tengah. Untuk itu nama-nama penyerang tengah
tipikal seperti Victor Osimhen, Harry Kane, Rasmus Hojlund, Randal Kolo Muani
dan Goncalo Ramos antara yang disebut-sebut berada dalam radar buruan beliau.
Selepas pemergian Cristiano Ronaldo, Manchester United bergelut dalam usaha
mereka meletakkan seorang pemain yang mampu menggalas tugas sebagai pemain
nombor 9 dengan berkesan.
Marcus Rashford meledak 23 gol
pasca pemergian Ronaldo ke Arab Saudi, tetapi pemain antarabangsa England itu
tampak lebih selesa bergerak di sisi kiri berbanding berperanan sebagai
penyerang tengah. Untuk meletakkan United selaku pencabar kejuaraan liga, Ten
Hag tidak lagi boleh bergantung kepada Anthony Martial selaku pemburu gol,
manakala Wout Weghorst yang dibawa masuk pada bulan Januari lalu sebagai pemain
pinjaman bukanlah `level’ penyerang tengah bagi kelab seperti United.
Kane, Osimhen, Kolo Muani,
Ramos?
Kane penyerang tengah yang
tidak perlu lagi dipertikaikan kredibilitinya. Pada usia yang bakal mencecah
angka 30 tahun pada Julai ini, beliau merupakan penyerang yang sangat
berpengalaman, baik di peringkat kelab mahupun antarabangsa. Paling penting,
Kane adalah `Premier League proven’. Osimhen pula antara watak penting di
sebalik kejayaan Napoli memenangi `Scudetto’ pertama mereka dalam tempoh 33
tahun. Musim lalu, beliau meledak 31 gol dari 39 penampilan dalam semua
kejohanan untuk Napoli.
Berbanding Kane, pada usia
beliau yang baru mencecah angka 24 tahun, Osimhen adalah projek jangka panjang
Ten Hag jika kelab berjaya mendapatkan khidmatnya. Sama seperti Osimhen, Kolo
Muani juga berusia 24 tahun. Prospek Perancis ini melakukan penampilan pertama
di Piala Dunia tahun lalu selain menikmati penampilan musim pertama yang luarbiasa
bersama Eintracht Frankfurt di Bundesliga. Musim lalu, beliau melakukan 46 penampilan
untuk Frankfurt, menjaringkan 23 gol dan mencipta 17 bantuan gol.
Di Portugal pula ada seorang
bintang sedang meningkat naik. Baru berusia 22 tahun, Goncalo Ramos dilabel
sebagai penggempur masa hadapan skuad kebangsaan Portugal. Pada kempen Piala
Dunia 2022 di Qatar, Ramos antara pemain muda yang menyerlah menerusi empat gol
yang dihasilkannya selain mencipta satu bantuan gol dari lima penampilan. Bersama
Benfica musim lalu, Ramos melakukan 47 penampilan, menjaringkan 27 gol dan mencipta
12 bantuan gol. Satu statistik yang sangat mengagumkan untuk seorang pemain
muda seperti beliau.
Sasaran
Realistik
Tanda harga bakal menyukarkan
misi United mendapatkan khidmat Kane ataupun Oshimhen. Manakala Bayern Munich
pula diberitakan kelab paling berpotensi untuk disertai Kolo Muani musim
hadapan. Penampilan luarbiasa bersama Benfica, faktor umur dan harga menjadikan
Ramos antara penyerang yang realistik untuk United tandatangani. Selain dari
beliau, ada seorang lagi penyerang muda yang disebut-sebut mampu menjelma sebagai
pengganti `de facto’ Ronaldo, sekaligus memegang watak utama sebagai pemain
nombor 9 United musim hadapan.
Beliau yang saya maksudkan
ialah Rasmus Hojlund, bintang dalam pembikinan dari Denmark dan penyerang
Atalanta yang diletakkan dalam pasaran perpindahan dengan nilai sebanyak €45
juta oleh Transfermarkt. United pula diberitakan sudah menjalankan negosiasi
dengan agennya bagi mendapatkan tandatangan pemain berusia 20 tahun itu.
Berasal dari negara Scandinavia, postur tubuh dengan ketinggian 1.85m, seorang
penyerang yang mampu berlari di bawah masa 11 saat untuk jarak 100m, Hojlund
sering dikaitkan dengan penampilan Erling Haaland.
Melihat penampilannya di atas
padang, Hojlund merupakan seorang pemain yang bukan sahaja energetik, tetapi memiliki
intensiti tinggi dalam permainan dan dianugerahkan dengan teknik yang bagus.
Postur tubuhnya tidak setinggi Haaland, jadi beliau memiliki pusat graviti
lebih rendah yang banyak membantu stabiliti pergerakan tubuh dan kakinya.
Hojlund berpindah ke Atalanta pada musim panas tahun lalu, hanya tujuh bulan
selepas beliau menyertai Sturm Graz dari FC Copenhagen. Di Bergamo, Gian Piero
Gasperini berjaya menggilap potensi yang
dimiliki Hojlund.
Gaya Permainan
Hojlund bukanlah tipikal
penyerang tengah yang cuma menunggu peluang di dalam petak penalti lawan,
tetapi sebaliknya beliau lebih cenderung turun ke bahagian tengah, mengawal
bola sambil membiarkan rakan sepasukan yang lain untuk bergerak ke hadapan.
Pendekatan permainan beliau bertujuan memancing pertahanan lawan untuk keluar
dari posisi mereka dan mencetuskan `huru hara’ di zon `final third’. Ketika maju
lebih jauh ke hadapan pula, Hojlund akan sentiasa bergerak mencari ruang bagi
memilih posisi yang tepat untuk menyudahkan peluang.
Menurut Gasperini, Hojlund
merupakan penyerang yang serba lengkap. Selain peranan utamanya sebagai penyerang
tengah, beliau juga boleh beroperasi sebagai penyerang kedua atau di bahagian
sayap. Kelajuan, koordinasi dan kekuatan fizikalnya menjadikan beliau antara
penyerang dengan ancaman menakutkan di Serie A. Pada musim 2021/22, Hojlund
bermain untuk Strum Graz selama 1156 minit, dan beliau berjaya meledak enam gol
dan mencipta satu bantuan gol walaupun cuma melakukan 13 penampilan di Austrian
Bundesliga.
Lima gol yang beliau jaringkan
untuk Graz ketika itu dilakukannya menerusi pergerakan di dalam petak penalti dengan
purata `expected goals’ (xG) setiap percubaannya mencapai angka 0.2. Statistik
ini menunjukkan bahawa beliau seorang penyerang tengah tulen dengan kemampuan
menyempurnakan satu peluang dari lima percubaan. Di liga yang lebih sukar
seperti Serie A, potensi Hojlund terus menyerlah. Secara keseluruhannya, beliau
bermain selama 1,834 minit untuk Atalanta di saingan liga, menjaringkan sembilan
gol dan mencipta empat bantuan gol.
Purata xG setiap percubaan yang
dilakukannya ialah 0.19, hampir menyamai catatan yang dilakukannya ketika
bersama Graz pada musim 2021/22. Sepanjang saingan Serie A musim lalu, Hojlund
cuma melakukan dua percubaan jarak jauh, dengan kedua-duanya dalam lingkungan
dua ela dari petak penalti. Sebagai penyerang, beliau bijak menghidu peluang
dalam pelbagai situasi, tahu bagaimana menggunakan kekuatan badannya untuk
melindungi bola dan sangat berbahaya dalam situasi gerakan `counter attack’
kerana kelajuan yang dimilikinya.
`Next Haaland’?
Bukan mudah untuk mana-mana
pemain dilabel sebagai `Next Haaland’, kerana hanya pemain yang memiliki
potensi besar dan istimewa sahaja boleh dikaitkan dengan bintang Manchester
City itu. Meskipun terdapat persamaan antara Haaland terutama dari sudut
fizikal dan gaya permainan mereka, masih banyak yang perlu Hojlund tingkatkan
dalam aspek permainannya. Haaland sangat prolifik dalam melakukan percubaan di
mana beliau melakukan purata 3.2 percubaan dalam setiap perlawanan berbanding
2.2 yang dilakukan Hojlund.
Purata xG Haaland dalam setiap
perlawanan pula ialah 0.89 berbanding catatan Hojlund (0.50). Dalam situasi
`duel’ di udara pula, beliau memiliki kecenderungan lebih tinggi untuk
melakukan tandukan (15%) berbanding Haaland (12%). Selain gaya permainan, Hojlund
dan Haaland memiliki satu lagi persamaaan iaitu kedua-duanya merupakan
penyerang berkaki kidal. Meskipun naluri penyudahnya masih tidak setajam
Haaland, Hojlund menunjukkan bahawa beliau memiliki lebih variasi dalam
menggunakan kedua-dua kakinya ketika melepaskan percubaan.
Musim lalu, statistik
menunjukkan bahawa 20% percubaan yang dilakukan Hojlund adalah menggunakan kaki
kanan berbanding Haaland (16%), sekaligus menunjukkan bahawa beliau merupakan
penjaring gol serba boleh yang sukar diramal. Hojlund dan Haaland memiliki
mentaliti sama ketika mereka berada di zon `final third’, kerana kedua-duanya
tahu bila waktu yang tepat untuk melepaskan percubaan. Dan sama seperti
Haaland, beliau juga gemar memberikan tekanan kepada pertahanan lawan bagi memungkin
mereka melakukan kesilapan.
Penutup
United masih dalam pencarian
untuk posisi pemain nombor 9. Jika Hojlund mahu meninggalkan kota Bergamo musim
panas ini, beliau antara penyerang tengah yang boleh dipertimbangkan untuk
United tandatangani. Jika kelab berjaya mendapatkan khidmatnya, Hojlund
merupakan profil pemain yang bersesuaian dengan visi Ten Hag, kerana beliau
mahu menjadikan United kesebelasan yang mampu mendominasi penguasaan bola
menerusi sirkulasi hantaran-hantaran pantas bagi memecah garis pertahanan
lawan.
Selepas gemilangnya penampilan
Haaland bersama City musim lalu, kelab-kelab sekitar Eropah seolah-olah sedang mengalami
kegilaan dalam usaha mereka memburu bakat seperti beliau, dan United juga perlu
bertindakbalas dengan segera. Pada usia beliau sekarang, jangan bandingkan
Hojlund dengan Haaland, kerana bintang muda Denmark itu sedang `dibina’ untuk
menjadi seperti Haaland. Atalanta tidak akan mampu mengekalkan Hojlund di
Bergamo, cuma persoalannya sekarang kemanakah destinasi beliau selepas ini?
Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan