04 Jun 2023

MUSIM PENUH PERTAMA TEN HAG

 


Pada April tahun lalu ada tiga nama pengendali berprofil tinggi yang disebut-sebut sebagai calon untuk mengisi kekosongan ditinggalkan Ralf Rangnick di Old Trafford. Rangnick dibawa ke Old Trafford bukan sebagai pengurus tetap, tetapi lebih kepada usaha kelab untuk mengelakkan bencana lebih besar pasca pemecatan Ole Gunnar Solskjaer dari kerusi pengurus. Mauricio Pochettino, Erik Ten Hag dan Luis Enrique merupakan tiga nama paling hangat yang digembar-gemburkan bakal mengambilalih posisi Rangnick.

 

Persoalan dan pertanyaan selama berminggu-minggu akhirnya terjawab apabila pada bulan Mei, kelab mengumumkan secara rasmi perlantikan Ten Hag selaku pengendali bagi menghadapi musim 2022/23. Setiap kali pengurus baharu muncul, akan ada pertanyaan tentang kelayakkan mereka mengendalikan kelab besar seperti Manchester United. Ten Hag juga tidak terkecuali. Persona Ten Hag paling diingati ialah ketika beliau mengemudi Ajax Amsterdam menyingkirkan Juventus dan Real Madrid dalam laluan ke separuh akhir Liga Juara-Juara musim 2018/19.

 

Kehadiran Ten Hag di Johan Cryuff Arena menjulang kembali maruah Ajax selaku gergasi bolasepak Belanda dan kejayaan mengejutkan mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara menjadikan `CV’ beliau selaku antara pengendali sedang meningkat naik dalam dunia bolasepak moden bertambah menarik. Ten Hag merupakan antara contoh pengurus bolasepak moden yang falsafah permainannya berasaskan penguasaan bola, pentingnya penempatan posisi dan tekanan berintensiti tinggi sepertimana bolasepak Jerman dimainkan.

 

Langkah Pertama

 

Dalam lingkaran bolasepak Belanda, kerja-kerja yang dilakukan Ten Hag untuk Ajax boleh dikategorikan sebagai satu pencapaian yang luarbiasa. Tetapi fakta yang perlu anda akui ialah sebelum ketibaannya di Old Trafford ialah, lelaki berusia 52 tahun ini belum pernah mengendalikan mana-mana kelab besar di mana-mana liga utama Eropah. Beliau dalam kategori pengurus muda, belum pernah mengendalikan ego setinggi langit pemain bertaraf bintang dalam pasukannya atau pengalaman bersaing dalam liga yang sangat kompetitif seperti Liga Perdana.

 

Jika di Eredivisie Ten Hag adalah juara, di Liga Perdana yang serba asing baginya, beliau adalah seorang lelaki yang `naif’. Dua penampilan pertama United di bawah kendalian Ten Hag, beliau dibawa ke realiti sebenar tentang bolasepak Inggeris. Dua kekalahan awal kepada Brighton & Hove Albion dan Brentford dalam saingan liga menyaksikan timbul persoalan besar tentang kemampuan sebenar Ten Hag. Adakah beliau individu yang tepat sebagai mengendalikan United atau satu lagi siri jenaka yang dibawa masuk ke kelab untuk dipertontonkan sepanjang musim 2022/23?

 

Dua kekalahan awal yang berlaku pada bulan Ogos itu meletakkan Ten Hag dalam `kelas tersendiri’, kerana beliau merupakan pengurus baharu pertama United yang tewas dua perlawanan berturut-turut pada perlawanan pembukaan liga dalam tempoh lebih seabad. Langkah pertama Ten Hag di Old Trafford memang sudah dijangka akan menjadi sangat sukar, kerana beliau mewarisi sekelompok pemain yang tewas enam dari 11 perlawanan terakhir liga serta mengumpul mata terendah dalam sejarah kelab di era Liga Perdana.

 

Proses Berjalan

 

Walaupun tewas dua perlawanan awal liga, Ten Hag akhirnya berjaya membentuk United menjadi kesebelasan yang lebih baik dari sebelumnya. Selepas melalui tempoh lima bulan pertamanya di Old Trafford, beliau berjaya meletakkan United di kelompok empat teratas carta liga dan hanya empat mata di belakang Manchester City yang ketika itu berada di tangga kedua. Keputusan Cristiano Ronaldo meninggalkan kelab secara mengejut pada bulan November tidak langsung menganggu perancangan Ten Hag, malah beliau menjadikan United kesebelasan yang lebih baik tanpa bintang Portugal itu.

 

Tanpa Ronaldo, Marcus Rashford berjaya melaksanakan peranannya selaku pemburu gol dengan lebih berkesan, terutama menerusi larian-larian penetratif yang sering dilakukannya di belakang garis pertahanan lawan atau melakukan tekanan ketika lawan menguasai bola. 22 gol yang berjaya diledak Rashford selepas pemergian Ronaldo dan penampilan berbeza yang dipamerkan pemain-pemain seperti Casemiro, Bruno Fernandes dan Christian Eriksen adalah perubahan paling ketara kepada gaya permainan United selepas mega bintang itu meninggalkan kelab.

 

50 penampilan pertama United di bawah kendalian Ten Hag, mereka menang 35 perlawanan, di mana peratus kemenangan yang berjaya diraih mereka mencapai angka 70%. Statistik ini juga meletakkan Ten Hag memiliki nisbah kemenangan lebih baik berbanding Sir Matt Busby dan Sir Alex Ferguson dari 50 penampilan pertama mereka selaku pengendali kelab. Untuk rekod, Sir Matt menang 26 perlawanan dari 50 penampilan pertamanya sebagai pengurus United, manakala Fergie pula menang 22 perlawanan.

 

David De Gea memenangi anugerah `golden glove’ menerusi catatan 17 `clean sheets’ yang dilakukannya dalam saingan liga musim ini. Pencapaian ini tidak mampu dilakukan De Gea jika tidak dibantu dengan kualiti kerja-kerja defensif yang dilakukan empat pemain pertahanan di hadapannya. Pada bursa perpindahan pemain musim panas, Ten Hag menandatangani Lisandro Martinez dan Tyrell Malacia bagi menambah kekuatan di benteng pertahanan skuadnya. Paling menonjol tentunya penampilan `Licha’ menerusi peranan yang dimainkannya bersama Raphael Varane.

 

Mekipun ketinggiannya pernah diperdebatkan, `Licha’ merupakan rekrut baharu United paling menonjol musim ini selain Casemiro. Malacia dan Antony perlukan sedikit masa tetapi untuk melabelkan mereka sebagai `pembelian yang gagal’ adalah sesuatu yang tidak adil. Harga yang dibayar United untuk Antony mungkin agak tinggi, tetapi menerusi 39 penampilan yang dilakukannya dalam semua kejohanan musim ini, beliau antara pemain yang sering diberikan kepercayaan Ten Hag untuk membarisi kesebelasan United kerana peranan, usaha dan kerja kerasnya. 

 

Salah satu masalah yang dihadapi United pasca persaraan Fergie ialah mereka sering merekrut pemain yang tidak sesuai dengan keperluan pasukan. Bagaimanapun pada musim panas lalu, `tabiat buruk’ itu dihentikan dan kita melihat ada perubahan besar kepada `maneuver’ kelab dalam bursa perpindahan pemain. Meskipun gagal mendapatkan Frenkie de Jong, Ten Hag gembira dengan aktiviti kelab sepanjang jendela perpindahan dibuka, apatah lagi beliau berjaya mendapatkan pemain dengan kualiti seperti Christian Eriksen secara percuma.

 

Pada Ogos lalu dalam satu wawancara bersama Skysports, Ten Hag berkata, “Saya tidak kecewa langsung dengan bilangan ketibaan muka baharu, kerana saya sudah memiliki skuad yang kompetitif. Ada perbezaan besar kerana kali ini kami lebih proaktif berbanding sebelumnya. Yang kedua adalah tentang pemain yang kami tandatangani. Kami sangat gembira dengan mereka, kerana saya percaya mereka mampu menyumbang kepada skuad. Perkara terakhir ialah kami tahu apa yang kami mahukan dan kami mengikat pemain yang tepat”, kata Ten Hag.

 

Falsafah

 

Falsafah permainan Ten Hag sebenarnya sederhana, iaitu bolasepak berasaskan penguasaan bola dan mengasak lawan dari hadapan. Gaya seperti inilah yang membuatkan beliau begitu dikenali kerana fleksibiliti taktikal dan pendekatan progresifnya. United bukan Ajax dan Liga Perdana juga bukan seperti Eredivisie, jadi dengan sekelompok pemain yang beliau warisi dari era Solskjaer, sukar sebenarnya untuk Ten Hag menerapkan falsafah bolasepak beliau secara total pada musim pertamanya. Dengan beberapa rekrut baharu yang bakal di bawa masuk, musim depan United akan bermain dengan falsafah bolasepak sebenar Ten Hag.

 

Jika di Eredivisie pemain Ajax sering menyebut Ten Hag menuntut mereka agar sentiasa menyerang, pendekatan beliau bersama United pula agak berbeza. Permainan United di era Ten Hag adakalanya sedikit pragmatik dan mereka jauh lebih efektif ketika bertahan. Ten Hag mengakui kekalahan kepada Brighton dan Brentford adalah disebabkan kenaifannya sendiri. Apa yang berlaku selepas itu sehingga Februari 2023 ialah, United menang 15 dari 22 perlawanan mereka. Akhirnya mereka menamatkan kemarau enam tahun tanpa trofi menerusi kejayaan menjulang Piala Liga.

 

Penutup

 

Dua kekalahan berturut-turut pada saingan pembukaan liga menyebabkan kredibiliti beliau dipersoalkan. Selepas itu ada lonjakan besar apabila United menang empat perlawanan liga mereka berturut-turut. Paling menarik bila melihat bagaimana beliau menangani ragam bintang besar seperti Cristiano Ronaldo. Tidak ramai pengendali yang memiliki kekuatan untuk menyingkirkan bintang besar dalam skuad mereka, tetapi dalam kamus hidup Ten Hag tiada sebarang pengecualian, hatta pemain itu sehebat Ronaldo sekalipun.

 

Ronaldo akhirnya ditunjukkan jalan keluar pada November, tetapi sejak itu United mendapat sisi terbaik dalam permainan Marcus Rashford. Jentera tengah United hidup menerusi keseimbangan yang diberikan trio Bruno Fernandes, Casemiro dan Christian Eriksen sama ada dalam situasi bertahan mahupun menyerang. Kehadiran `Licha’ pula memberikan impak yang sangat signifikan kepada benteng pertahanan United yang menyaksikan David de Gea memenangi anugerah `golden glove’ kedua dalam kariernya di England.

 

Musim ini, United menang 23 perlawanan dalam saingan liga, catatan terbaik yang dilakar mereka dalam tempoh lima musim terakhir. Bermula dengan langkah yang sedikit sumbang, Ten Hag akhirnya berjaya mengemudi United menamatkan kemarau enam tahun tanpa kejuaraan selain mencapai misi beraksi di saingan Liga Juara-Juara musim depan.  Ten Hag tiba di Old Trafford selepas kelab melalui musim terburuk dalam sejarah moden mereka, tetapi hanya dalam tempoh semusim, beliau berjaya memberikan impak yang sangat positif kepada prestasi pasukan.

 

Ketika Pep Guardiola tiba di Stadium Etihad pada 2016, beliau melakukan rombakan besar kepada skuad City. Meskipun mengalami kekalahan besar kepada Leicester City dan Everton dalam tempoh 36 hari, City menamatkan saingan liga di tangga ketiga. Di Anfield pula, Liverpool pada musim pertama Jurgen Klopp sekadar berada di tangga kelapan liga. Tetapi apa yang berlaku selepas itu ialah, City di era Guardiola sudah memenangi lima kejuaraan liga, manakala Klopp pula berjaya mengemudi Liverpool menang kejuaraan liga pertama mereka dalam tempoh 30 tahun.   

 

United akhirnya menamatkan musim 2022/23 secara rasmi selepas berakhirnya aksi final Piala FA di Wembley semalam. Kekalahan kepada City bukanlah penamat yang kita inginkan tetapi tetap tidak memadam hakikat bahawa ini adalah antara musim terbaik United dalam tempoh enam tahun terakhir. Apa yang dilakukan Ten Hag pada musim penuh pertamanya di Old Trafford juga sudah melebihi jangkaan. Proses akan berterusan, kerana pada bursa perpindahan musim panas nanti, Ten Hag akan cuba mendapatkan pemain-pemain baharu yang beliau inginkan.

 

United sudah memiliki asas yang kukuh, tetapi `standard’ tetap perlu dinaikkan setiap musim. City akan bertambah kuat, Arsenal sekali lagi akan cuba menjadi pesaingan kejuaraan yang serius, Liverpool tidak akan berpeluk tubuh, manakala Chelsea pula akan cuba melupakan bencana yang menimpa mereka musim ini. Musim depan sasarannya bukan lagi kelompok empat teratas, tetapi United perlu bertarung secara serius untuk merebut kejuaraan liga. Apa yang kita perlu lakukan? Percaya saja pada proses yang sedang berjalan. Glory Glory Manchester United!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan