Sepuluh tahun lalu, nama David
Moyes tiba-tiba melonjak naik selepas beliau dinamakan sebagai pengganti Sir
Alex Ferguson di Old Trafford. Ramai yang terkejut, dan ramai juga yang
kehairanan kerana Moyes bukanlah nama berprofil tinggi dalam lingkaran dunia
kejurulatihan berbanding Carlo Ancelotti, Jose Mourinho, Jurgen Klopp atau Pep
Guardiola. Ketika itu, Moyes dan United umpama cerita fantasi Cinderella dalam
realiti dunia bolasepak
Menurut Fergie, individu
pertama yang mengumumkan Moyes sebagai pengganti beliau, pemilihan lelaki dari
Glasgow, Scotland itu dibuat kerana kredibiliti dan keupayaannya mengemudi Everton
bersaing secara konsisten di kelompok enam teratas dalam saingan Liga Perdana
meskipun diberikan peruntukkan yang terhad. Malah Sir Bobby Charlton juga
senang dengan pemilihan Moyes sambil menyifatkan beliau seorang pengurus yang
memiliki mentaliti seorang juara.
Pada peringkat awal karier
Moyes bersama United, segalanya tampak berjalan lancar dan teratur, malah
penyokong-penyokong United sendiri menyambut baik kehadiran beliau. Bermula
dengan kempen pra musim di Australia dan Asia, `The Choosen One’ kemudiannya
berjaya menghadiahkan trofi pertama buat United menerusi kejayaan menewaskan
Wigan Athletic dalam perlawanan pembukaan musim merebut Perisai Komuniti.
Bermula Era Moyes
United juga memulakan kempen
liga mereka dengan sangat menyakinkan selepas membelasah Swansea City (4-1) di
gelanggang lawan. Pada perlawanan kedua, mereka kemudiannya berjaya mengikat
Chelsea (0-0) dalam aksi yang dilangsungkan di Old Trafford, tewas (0-1) kepada
Liverpool di Anfield pada perlawanan ketiga liga dan kembali mengutip tiga mata
ketika berdepan Crystal Palace pada perlawanan keempat yang dilangsungkan di
gelanggang sendiri.
Tujuh mata dari empat aksi
pertama liga bukanlah satu pencapaian yang buruk, apatah lagi ia dilakukan oleh
seorang pengurus yang baharu menyertai kelab selama dua bulan seperti Moyes.
Bagaimanapun pada aksi `Manchester derby’, segala kelemahan United terdedah.
Kekalahan (1-4) di Stadium Etihad itu bukan hanya tentang City sebuah
kesebelasan yang lebih baik, tetapi juga tentang betapa naifnya Moyes ketika
berdepan strategi licik yang disusun Manuel Pellegrini.
Enam bulan selepas itu, lebih
75 ribu penonton di Old Trafford menjadi saksi satu lagi kekalahan besar yang
dialami United kepada City. Jaringan dari Edin Dzeko, Yaya Toure dan Samir
Nasri menyaksikan City muncul kesebelasan ketujuh yang berjaya menewaskan
United di Old Trafford pada musim tersebut. Selepas mengharungi 31 perlawanan,
United terperosok di tangga ketujuh, 12 mata di belakang Arsenal yang menghuni
tangga keempat liga.
Dipecat
Pada 24 April 2014, kekalahan
(0-2) yang dialami barisan kendalian Moyes di Goodison Park menyaksikan Everton
buat pertama kali sepanjang tempoh 44 tahun berjaya menewaskan United dua kali
dalam semusim pada saingan liga. Kekalahan kepada Everton merupakan `jalan
mati’ kepada karier Moyes di Old Trafford dan dua hari kemudian, kelab
mengumumkan pemecatan beliau. Bagi menghadapi baki saingan musim tersebut, Ryan
Giggs dilantik selaku pengganti sementara.
Sepanjang tempoh lapan bulan
Moyes mengendalikan United, gambaran tentang bencana yang dialami kelab di
bawah kepimpinannya masih terasa hingga ke hari ini. United akhirnya menamatkan
saingan liga di tangga ketujuh, dan itu juga bermakna mereka gagal beraksi di
saingan Liga Juara-Juara buat pertama kali sejak 1995. Adakah Moyes memang
seorang pengendali yang tidak memiliki kredibiliti, atau keputusan kelab
menamakan beliau sebagai pengganti Fergie satu keputusan yang teruk?
Mudah sebenarnya untuk
meletakkan segala kegagalan ketika itu di bahu Moyes. Kutipan mata terendah
dalam sejarah penyertaan kelab di Liga Perdana, prestasi di gelanggang sendiri
terburuk dalam tempoh sedekad, kalah kepada Swansea City di Old Trafford buat
pertama kali dalam sejarah pertemuan antara kedua-dua kelab, dan kalah kepada
Stoke City dalam saingan liga buat pertama kali sejak 1984 antara rekod buruk
yang ditinggalkan Moyes sepanjang lapan bulan beliau di Old Trafford.
Penyokong-penyokong United akan
sentiasa mengenang Moyes kerana segala rekod buruknya di Old Trafford, tetapi
untuk berlaku adil kepada beliau, cuba lihat pula situasi kelab ketika itu. Tanda-tanda
bahawa Moyes bakal berdepan bencana di Old Trafford sudah terlihat pada bursa
perpindahan pemain musim panas lagi. Ketika itu hanya Marouane Fellaini
satu-satunya `nama besar’ berjaya beliau bawa masuk untuk memperkuatkan
skuadnya bagi menghadapi musim baharu.
Skuad Usang
Kejayaan Moyes menandatangani
Juan Mata dari Chelsea pada pertengahan musim mungkin satu-satunya keputusan
terbaik yang beliau lakukan di Old Trafford. Bagaimanapun kehadiran maestro
Sepanyol itu tetap tidak memadam hakikat bahawa Moyes mewarisi skuad usang
peninggalan Fergie. Wayne Rooney, Robin Van Persie, Rio Ferdinand, Nemanja
Vidic, Patrice Evra, Ryan Giggs dan Michael Carrick semuanya sudah melepasi
zaman kemuncak mereka sebagai pemain.
Faktanya ketika itu, terdapat
11 pemain yang Moyes warisi dari skuad peninggalan Fergie sudahpun melepasi
angka 27 tahun. Bagaimana pula dengan pemain-pemain muda yang ada ketika itu?
Phil Jones, Chris Smalling, Adnan Januzaj, Nick Powell dan Alexander Buttner
tidak mencapai `standard’ yang diharapkan untuk menggantikan pemain-pemain
senior. Dengan barisan pemain yang ada, United perlu melakukan rombakan
besar-besaran, tetapi pada musim panas mereka cuma mampu membawa masuk
Fellaini.
Pengurusan Yang Teruk
David Gill memang sangat
dikenali sebagai antara individu di sebalik suksesnya Fergie di Old Trafford. Jika
anda bercakap tentang kesuksesan Fergie, anda juga tidak boleh terlepas dari
menyebut peranan yang dimainkan Gill di belakang tabir. Bagaimanapun Gill yang
sudah bersama United sejak 1997 mengundurkan diri sebagai pengarah eksekutif hanya
beberapa bulan sebelum Fergie mengumumkan persaraannya. Apa yang berlaku
selepas itu? Ed Woodward menggantikan posisi ditinggalkan Gill.
Siapakah Woodward? Seperti yang
anda tahu, beliau merupakan naib pengerusi eksekutif United, bekas akauntan
bertauliah dan bekas jurubank pelaburan di JP Morgan. Meletakkan Woodward
sebagai pengganti Gill bukanlah satu idea yang bijak, dan akhirnya anda lihat
apa yang sudah dilakukan beliau. Pada jendela perpindahan musim panas 2013, maneuver
United dalam misi menandatangani pemain baharu di bawah teraju Woodward berjalan
dengan sangat perlahan.
United mensasarkan Cesc
Fabregas, Ander Herrera, Leighton Baines dan Fabio Coentrao tetapi yang datang cuma
Saidy Janko dan Guillermo Varela, manakala Fellaini menyertai kelab pada detik
akhir sebelum jendela perpindahan pemain ditutup. Berbanding ketika era Gill,
United di bawah telunjuk Woodward pula gemar berbelanja besar tanpa memikirkan
adakah pemain itu sesuai dengan keperluan dan rencana pasukan. Masih ingatkah
lagi tentang penilaian beliau bahawa Diego Godin dan Toby Alderweireld tidak
cukup bagus untuk United?
Penutup
Sebelum kedatangan Moyes ke
Boleyn Ground, West Ham United sangat terkenal dengan kecenderungan mereka
dengan `perpindahan mahal tetapi mengecewakan’. Mereka menandatangani Felipe
Anderson, Javier Hernandez selain memecah rekod perpindahan kelab untuk Sebastian
Haller, tetapi ketiga-tiganya gagal memberikan impak yang signifikan kepada
prestasi kelab. Bagaimanapun selepas kedatangan Moyes, mereka sangat efektif
dalam hal merekrut pemain.
Pada musim sejuk 2020, Moyes merekrut
Jarod Bowen, Thomas Soucek dan kemudiannya menyusul pula Vladimir Coufal. Pada
Oktober 2020, Said Benrahma yang juga bintang Liga Kejuaraan tiba dari Brentford.
Paling menarik, lihat impak diberikan Jesse Lingard dan Craig Dawson, dua
pemain terbuang dari United dan Watford yang beliau bawa masuk sebagai pemain
pinjaman. Meskipun menyertai West Ham pada pertengahan musim, Lingard
menjaringkan dua gol pada penampilan pertamanya untuk `The Hammers’
Musim 2013/14 merupakan titik
hitam dalam karier kejurulatihan Moyes kerana kegagalannya meneruskan legasi
yang ditinggalkan Fergie. Selepas dipecat, beliau kembali ke dunia
kejurulatihan dengan mengendalikan Real Sociedad dan Sunderland dari 2014
hingga 2016. Bagaiamanpun sepertimana ketika bersama United, di Sociedad dan
Sunderland, Moyes juga gagal bertahan lama. Tetapi itu semua tidak pernah
memadam nama Moyes dari peta bolasepak Inggeris.
Pada 8 Jun lalu, Moyes berjaya
membantu West Ham menamatkan penantian panjang lebih setengah dekad mereka
untuk menjulang trofi di pentas Eropah menerusi kejayaan menewaskan Fiorentina pada
perlawanan akhir Liga Conference. Trofi itu merupakan trofi kedua yang pernah dimenangi
Moyes sepanjang karier kejurulatihannya sejak kejayaan beliau mengemudi Preston
North-End memenangi kejuaraan Divisyen 2, 23 tahun yang lalu.
Moyes tidak ditakdirkan untuk
menjadi pengendali sehebat Fergie, tetapi kerja-kerja yang dilakukannya untuk Everton
dan West Ham wajar anda berikan pujian. Sukar untuk menulis sebuah artikel
tentang Moyes kerana beliau bukanlah sosok menarik untuk anda tulis tentang
kisah perjalanan kariernya. Dalam bolasepak, kita akan sentiasa ghairah bercerita
tentang Manchester United era Fergie, tetapi sebolehnya kita tidak akan mahu
mengingati United di era Moyes. Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan