06 Jun 2023

DATANG SEPERTI RAJA...PERGI SEBAGAI LEGENDA

 


Zlatan Muslimovic, Zlatan Ljubijankic, Zlatan Azinovic, Zlatan Krizanovic dan Zlatan Bajramovic antara segelintir pemain yang diketahui menggunakan nama `Zlatan’ pada nama pertama mereka. Bagaimanapun jika ditanya kelab atau negara mana mereka bermain, tentu ramai di kalangan kita gagal menjawab soalan ini dengan tepat. Bagaimana pula dengan Zlatan Ibrahimovic? `Ibra’ tidak perlu diperkenalkan, kerana bolasepak moden akan sentiasa mengingati beliau sebagai antara segelintir penyerang terhebat pernah dunia saksikan.

 

Ada ramai penyerang hebat pernah dilahirkan, Kaka, Romario, Alan Shearer, Marco Van Basten, Raul Gonzalez, Gabriel Batistuta, Ronaldo Nazario, Robert Lewandowski dan Karim Benzema adalah diantaranya. Bagaimanapun Ibra berbeza berbanding mereka. Seperti mereka, tugas Ibra sebagai penyerang ialah menjaringkan gol, tetapi beliau gemar melakukannya dengan cara berbeza dan lebih bergaya. Menjaringkan gol dengan teknik `bicycle kick’, `backheel’, tendangan `kungfu’, `flying header’ atau `overhead’ adalah gaya dan sangat sinonim dengan Ibra.

 

Zlatan’s Style

 

Masih ingatkah lagi dengan jaringan beliau menerusi teknik `bicycle kick’ ke gawang England dalam satu aksi persahabatan pada 2012? Gol yang menewaskan Joe Hart dan kemudiannya diiktiraf sebagai gol terbaik pada Anugerah Puskas 2013 itu adalah definisi sebenar apa yang sering Ibra sebut sebagai `Zlatan’s Style’. Ibra seolah-olah memang dilahirkan sebagai juara, kerana sepanjang kariernya, beliau sudah memenangi kejuaraan bersama Ajax Amsterdam, Juventus, Inter Milan, AC Milan, Barcelona, Paris St Germain dan Manchester United.

 

Beliau gagal membantu LA Galaxy menang sebarang trofi sepanjang dua musim beraksi di MLS, tetapi untuk seorang pemain yang sudah berusia 38 tahun dan meninggalkan benua Amerika dengan rekod 53 gol dari 58 penampilan keseluruhan adalah sesuatu yang sangat mengagumkan. Ibra mungkin tidak seagung Lionel Messi atau Cristiano Ronaldo, dua sosok individu yang masih diperdebatkan penyokong mereka tentang siapa sebenarnya paling layak diiktiraf sebagai yang terbaik sepanjang zaman. Tetapi Ibra umpama `askar upahan’ yang tiada kenal erti menyerah.

 

Zlatan Adalah Zlatan

 

Jika Cristiano Ronaldo sering dibanding dengan legenda Brazil, Ronaldo Luis Nazario de Lima manakala ada kesangsian untuk memilih siapa lebih hebat antara Lionel Messi ataupun Diego Maradona, tetapi untuk Ibra beliau tiada perbandingan kerana Zlatan adalah Zlatan. Selepas usianya melangkaui angka 30 tahun, Ibra berjaya meledak 331 gol, dan pada usia yang hampir mencecah angka 40 tahun, persona beliau masih membius peminat bolasepak seluruh dunia. Ada pemain di luar sana yang lebih hebat berbanding Ibra, tetapi dunia akan selalu mengingati Zlatan Ibrahimovic.

 

Figura Seorang Pemimpin

 

Jika bukan kerana skandal `Calciopoli’ yang menyebabkan Juventus dilucutkan kejuaraan Serie A mereka, Ibra sebenarnya sudah memenangi 14 kejuaraan liga di empat negara berbeza, pencapaian yang tidak pernah dilakukan Messi atau Ronaldo. Di liga atau kelab manapun beliau bermain, Ibra tidak pernah gagal meninggalkan jejaknya sebagai legenda, dan Manchester United juga tidak terkecuali. Kehadiran Ibra pada musim panas 2016 berjaya meniup kembali aroma keangkuhan dalam skuad United, elemen yang hilang sejak persaraan Fergie pada 2013.

 

Sejak kali terakhir Roy Keane menendang bola dengan seragam `The Red Devils’, United dahagakan karisma seorang `lead by example’ ketika di padang latihan mahupun di gelanggang pertarungan sebenar. Sama ada di bilik persalinan atau ketika beraksi di atas padang, hanya Ibra yang mampu menundukkan ego Paul Pogba dan membuatkan warga Perancis itu berpijak di bumi nyata. Samuel Luckhurst yang juga merupakan jurnalis Manchester Evening News pernah menyebut, bagaimana Ibra membuatkan Pogba sedar bahawa kepentingan pasukan perlu diberi keutamaan.

 

“Paul pernah datang ke bilik persalinan Carrington dengan pakaian berjenama mewah. Kehadiran Paul ketika itu turut menarik perhatian pemain lain. Ketika Paul menghampiri lokarnya, ada suara yang agak keras datang dari arah belakang. “Hei!!! kamu fikir ini tempat apa? Ini bukan sarkas, ini adalah Manchester United”. Malangnya ketika Ibra berhijrah ke Amerika, Paul kembali kepada tabiat lamanya. Orang memanggil Paul sebagai `badut’ tetapi dia mengatakan bahawa pakaiannya hanya direka untuk dirinya”, kata Luckhurst.  

 

Selamat Tinggal United

 

Perginya Ibra pada Mac 2018 bukan sahaja menyaksikan United hilang seorang penyerang berkualiti tetapi juga figura yang boleh menjadi contoh kepada pemain-pemain muda mereka. Pada usia yang sudah mencecah 36 tahun ketika itu, Ibra meninggalkan Old Trafford selepas meledak 29 gol dari 53 penampilan dalam semua peringkat kejohanan. Arogansi Ibra bukan tanpa sebab, kerana beliau bukan sahaja sudah membuktikan statistiknya di atas padang tetapi juga medal kejuaraan yang dimenanginya bersama United.

 

Pada Oktober 2019, terdapat berita tentang kepulangan semula Ibra ke Old Trafford. Melihat kepada penampilan barisan hadapan United ketika itu, ada gesaan agar Ole Gunnar Solskjaer melakukan `call up’ bagi membolehkan Ibra kembali menyarung jersi United. Selepas beliau menjaringkan dua gol dalam derbi El Trafico menentang Los Angeles FC, Ibra berkata, “Saya masih lagi cukup bagus untuk mengetuai jentera serangan United. Saya dengan mudah boleh bermain di Liga Perdana, tetapi perkara itu akan hanya berlaku jika United memanggil saya”.

 

Kecederaan lutut yang dialaminya ketika United berdepan Anderlecht pada saingan Liga Europa 2016/17 menyebabkan Ibra terpaksa berehat panjang. Ketika itu ramai pihak berpendapat bahawa karier beliau sudah berakhir. Bagaimanapun di benua Amerika, Ibra kembali mengganas. 30 gol dari 29 penampilan pada musim keduanya untuk LA Galaxy dalam saingan liga menyebabkan Clayton Blackmore mencadangkan agar Solskjaer memanggil Ibra kembali menyertai kelab. Menurut Blackmore, Ibra adalah jawapan kepada krisis di barisan hadapan United ketika itu.

 

Penutup

 

Meskipun cuma semusim berada di Old Trafford, kelibat Ibra begitu dirindui penyokong-penyokong United. Anda bukan sahaja merindui kepimpinan serta aksinya di atas padang, tetapi anda juga merindui keangkuhannya. Tiada mana-mana pemain era moden yang memiliki ego serta keangkuhan sedahsyat Ibra, hatta pemain sehebat Messi atau Ronaldo sekalipun. Ibra datang ke Old Trafford berbekalkan motivasi untuk memenangi trofi, dan beliau pergi dengan dua medal kejuaraan major (Piala Liga dan Liga Europa) tergantung di lehernya.

 

Selepas tamat aksi terakhir Serie A musim ini antara Milan dan Verona, Ibra mengumumkan persaraannya sebagai pemain. Pada usia 41 tahun, tubuh Ibra akhirnya terpaksa mengalah, dan kerana kecederaan beliau cuma mampu melakukan empat penampilan untuk Milan sepanjang musim ini. Sebagai penyokong United, timbul sedikit kekesalan kerana kita cuma dapat menyaksikan persona Ibra selama semusim di Theatre of Dreams. Seperti ungkapan yang pernah beliau sebut, “Saya datang seperti raja, saya pergi sebagai legenda”. Selamat bersara Ibra…Glory Glory Manchester United!!!



Tiada ulasan:

Catat Ulasan