24 Mac 2012

FERGIE `BEDIL' KEMBALI CITY


Permusuhan antara dua kelab berjiran, Manchester United dan Manchester City memasuki fasa terbaru selepas Patrick Vieira mempersendakan kepulangan semula Paul Scholes dari persaraan.  Semalam, Vieira mendakwa kekuatan United semakin merosot dan berada dalam keadaan terdesak hingga memaksa Ferguson memanggil semula Scholes keluar dari persaraan.  Vieira yang ketika ini menjawat jawatan sebagai Pengarah Pembangunan Manchester City juga mendakwa kegagalan United menurunkan pemain muda seperti Paul Pogba dan penjualan Ravel Morrison sebagai tanda-tanda kelemahan United.  Ferguson seperti biasa tidak memerlukan masa yang panjang untuk membalas semula `peluru' yang dilepaskan para pesaingnya.  Ferguson ternyata berang dengan kenyataan yang dikeluarkan Vieira sambil mendakwa dia memiliki banyak `peluru' untuk dilepaskan jika City berhajat melancarkan perang psikologi ke atas pasukannya.  "Terdesak? Paul Scholes adalah pemain tengah terbaik dalam tempoh 20 tahun terakhir, dan jika anda mengambil langkah untuk mendapatkan semula pemain sepertinya, perkara itu boleh diterima.  Roberto Mancini memberikan kritikan kepada kami selama beberapa minggu kebelakangan ini tetapi kami akan bermain dengan cara kami.  Rabu lalu mereka menurunkan seorang pemain yang pernah  menolak dari diturunkan dan pengurus mereka pernah mengatakan tidak akan menurunkannya lagi", kata Ferguson. Ferguson mengejek keputusan City membawa kembali Carlos Tevez sebagai langkah terdesak dan mengatakan dia tidak akan sekali-kali menurunkan mana-mana pemain yang tidak menghormati kelab dan juga peminat.  Untuk rekod, United memenangi lapan dari sembilan perlawanan liga mereka sejak Scholes, 37, kembali dari persaraan Januari lalu sehingga berjaya menyingkirkan City dari kedudukan tangga teratas liga dengan kelebihan satu mata.  "Dia (Vieira) memang telah diprogramkan untuk perkara seperti ini.  Jika diimbas beberapa minggu lalu, Mancini pernah mengatakan dia tidak akan menonton perlawanan kami di Spurs kerana menurutnya dia sudah tahu keputusannya.  Kenyataan mereka tidak akan menganggu saya.  Mereka boleh mencuba tetapi jangan risau saya mempunyai banyak peluru untuknya". Glory Glory Manchester United!!!

Berita-Berita Lain:

JUAL MORRISON TAPI TIDAK POGBA

Ravel Morrison
Sir Alex Ferguson menegaskan keputusan kelab menjual Ravel Morrison kepada West Ham bukan disebabkan kegagalan United menghalang bintang muda mereka dari berhijrah seperti yang didakwa Patrick Vieira.  "Perkara utama yang dibangkitkan Vieira ialah tentang Morrison dan kami kehilangan pemain muda kami.  Kami sebenarnya memang ingin menjualnya (Morrison) dan ia cukup jelas", kata Ferguson.  Berbeza dengan situasi seorang lagi bintang muda United, Paul Pogba, Ferguson lantang menegaskan dia mahukan pemain itu kekal di Old Trafford.  Ferguson yakin suatu hari nanti Pogba bakal muncul pemain terbaik United. Sejak beberapa minggu lalu Pogba sudah beberapa kali diturunkan dalam saingan liga sebagai pemain gantian dan bintang muda Perancis itu dijangka terus diberi peluang membuktikan keupayaannya pada perlawanan menentang Fulham di Old Trafford, Selasa ini.  Ferguson sudahpun memberikan bayangan bahawa dia akan menyenaraikan Pogba dalam skuad yang akan berdepan Fulham minggu ini apabila bertindak menarik keluar pemain tengah itu ketika United menentang Aston Villa dalam perlawanan Liga Simpanan.  "Phil Jones dan Chris Smalling sering keluar masuk kerana kecederaan.  Tom Cleverley, Paul Pogba dan Fabio akan tampil.  Kami menarik keluar Pogba kerana dia akan diturunkan Isnin (Selasa) nanti", jelas Ferguson tentang keputusannya menurunkan lima pemain itu dalam skuad simpanan ketika menentang Aston Villa.

SCHOLES INGIN BERMAIN SETAHUN LAGI

Meskipun sudah berusia 37 tahun dan kembali semula dari persaraan Januari lalu, Paul Scholes masih menjadi pilihan utama Sir Alex Ferguson di bahagian tengah. Scholes juga dikatakan antara watak penting di sebalik kejayaan United memintas Manchester City di tangga teratas liga.  Pertama kali diturunkan ketika perlawanan Piala FA menentang City sebagai pemain gantian, Scholes kemudiannya muncul sebanyak lapan kali dalam kesebelasan utama United dan berjaya menjaringkan dua gol.  Prestasi cemerlangnya mengundang banyak pujian dan Scholes sudahpun memberikan isyarat bahawa dia akan terus bermain musim depan.  Khabar terbaru mengatakan bahawa United akan menawarkan kontrak selama setahun kepada Scholes dan pemain veteran itu turut disebut-sebut akan kembali mewakili England pada Euro 2012.  Februari lalu, Harry Redknapp menyebut bahawa Scholes adalah pemain yang akan dipanggil jika dia memegang jawatan sebagai pengurus England.

23 Mac 2012

JI SUNG LUPAKAN OLIMPIK DEMI UNITED


Park Ji-Sung mengesahkan bahawa dia menolak tawaran menyertai skuad kebangsaan Korea Selatan ke temasya Sukan Olimpik 2012.  Ji-Sung yang mengumumkan persaraan dari skuad kebangsaan sebaik berakhirnya pusingan akhir Piala Asia 2011 mengatakan fokus utamanya kini adalah bersama kelab dan ingin mempamerkan prestasi terbaiknya untuk United. Semalam, Ji-Sung mengesahkan bahawa dia telah dipanggil mewakili skuad kebangsaan ke sukan Olimpik. "Saya dipanggil tapi saya terpaksa menolak.  Saya tahu bagaimana rasanya bermain di Olimpik kerana saya pernah bermain di Olimpik Sidney 2000", kata Ji-Sung.  Selain Olimpik, Ji-Sung juga sudah bermain dalam tiga pusingan akhir Piala Dunia dan pencapaian terbaiknya bersama skuad kebangsaan ialah pada pusingan akhir Piala Dunia 2002, di mana ketika itu Korea Selatan melakukan kejutan besar dengan kejayaan mereka melangkah ke peringkat separuh akhir.  Ji-Sung yang memiliki 100 caps sepanjang kerjayanya bersama skuad kebangsaan menjelaskan bahawa dia sudah melupakan aksi antarabangsa dan ingin memberikan tumpuan kepada kariernya di peringkat kelab bersama United.  "Musim ini menjadi musim ketujuh saya di Old Trafford.  Saya memenangi empat kejuaraan liga dan saya ingin memenangi trofi Liga Perdana tahun ini".

Berita-Berita Lain:

NANI DAN JONES KEMBALI SERTAI PASUKAN

Dua tonggak Manchester United, Nani dan Phil Jones dijangka kembali memperkuatkan pasukan ketika The Red Devils melayani kunjungan Fulham, Selasa ini.  Nani dikhabarkan sudah sembuh dari kecederaan pergelangan kaki dan sudahpun mula menjalani sesi latihan, manakala Jones yang mengalami jangkitan virus tiada masalah untuk disenaraikan Selasa nanti.  "Tiada masalah dengan kecederaan dan kini semuanya dalam keadaan baik", kata Sir Alex Ferguson.  Ditambah dengan kehadiran semula Chris Smalling dan Antonio Valencia yang diturunkan ketika pertemuan dengan Wolverhampton Wanderers minggu lalu, Ferguson kini hampir memperolehi semula kesebelasan terbaiknya dalam pemburuan kejuaraan Liga Perdana England musim ini.  Hanya Nemanja Vidic, Anderson, Darren Fletcher dan Michael Owen sahaja yang dipastikan akan terlepas baki aksi musim ini.

VIDIC: UNITED CALON UTAMA JUARA MUSIM INI

Persaingan merebut kejuaraan Liga Perdana England antara dua pasukan berjiran, Manchester United dan Manchester City semakin sengit.  Semalam, City berjaya merapatkan kembali kedudukan mereka di belakang United selepas mencatat kemenangan 2-1 ke atas Chelsea di gelanggang sendiri.  Dengan baki 9 perlawanan lagi yang harus diharungi, kedua-dua pasukan perlu mengelakkan sebarang kesilapan saat akhir jika tidak mahu kempunan menjulang sebarang trofi musim ini.  Kapten United, Nemanja Vidic yakin pasukannya adalah calon utama merangkul kejuaraan liga berbanding seteru setempat mereka itu sekaligus mempertahankan trofi yang mereka menangi musim lalu.  "Saya percaya sejak awal dan jika anda lihat pada baki jadual perlawanan yang akan kami harungi, saya berani mengatakan bahawa kami adalah pilihan utama memenangi kejuaraan liga.  Kini segalanya ditangan kami", kata Vidic.

21 Mac 2012

SIAPA YANG BAKAL PERGI DAN SIAPA YANG BAKAL MASUK MUSIM PANAS INI?


Tiada keraguan buat Manchester United untuk memperkuatkan pasukan musim panas ini dan posisi yang bakal menjadi perhatian utama Sir Alex Ferguson ialah bahagian tengah.  Michael Carrick dan Paul Scholes melaksanakan tugas mereka dengan berkesan musim ini, tetapi United masih kurang aspek pemain yang mampu mengawal permainan di bahagian tengah dan mencipta peluang buat penyerang. Jika Paul Pogba memutuskan untuk kekal di Old Trafford, United masih mempunyai seorang lagi pemain tengah berpotensi namun Ferguson dilihat tetap akan membawa masuk satu atau dua muka baru di posisi tersebut.  Ada pemain baru yang datang dan tentunya ada juga pemain yang bakal meninggalkan pasukan.  Tiga nama yang disebut-sebut bakal dilepaskan Ferguson musim panas ini ialah tiga pemain di posisi hadapan iaitu Dimitar Berbatov, Michael Owen dan Federico Macheda. Nasib Berbatov paling jelas apabila ejen pemain itu, Emil Danchev mengesahkan baru-baru ini bahawa kliennya itu tiada dalam perancangan Ferguson. Di bahagian serangan, Ferguson dijangka mendapatkan seorang pemain baru bagi menggantikan mereka biarpun ketika ini masih memiliki tiga penyerang (Rooney, Welbeck dan Hernandez) yang berjaya menjalankan tugas mereka dengan baik.

Lamine Gassama
Untuk kelab seperti Manchester United, Ferguson tentulah mahukan pemain-pemain yang baik bagi mengisi kekosongan yang ada, dan pemain yang baik tentulah memerlukan dana yang lebih untuk dibelanjakan. Dengan beban kewangan yang agak meruncing disebabkan tanggungan hutang keluarga Glazer, Ferguson mungkin terpaksa mengakui hakikat bahawa United tidak semewah pesaing-pesaing mereka yang lain ketika berbelanja pada musim panas ini.  Namun pemain-pemain yang bagus juga boleh diperolehi dengan harga murah dan Ferguson sudah membuktikannya apabila dia mendapatkan Javier Hernandez dua tahun lalu dengan harga hanya 7 juta Pound. Ada beberapa pemain bagus yang mungkin boleh diperolehi dengan harga berpatutan seperti Lamine Gassama di Lorient. Gassama baru berusia 22 tahun dan bermain di sebelah kanan  pertahanan. Gassama mungkin juga jawapan kepada usaha Ferguson mencari pengganti Gary Neville yang mengumumkan persaraannya musim lalu. Sejak ketiadaan Neville, Ferguson terpaksa menggunakan tiga pemain untuk mengisi posisi tersebut. Masalah utama yang melanda Ferguson ialah apabila Rafael da Silva sering dilanda kecederaan hingga memaksa beliau menggunakan Chris Smalling dan Phil Jones (Smalling dan Jones adalah pemain pertahanan tengah) sebagai pengganti.

Ederson
Selain itu, perancang Lille, Ludovic Obraniak dan Ederson dari Olympique Lyon juga dikatakan menarik minat banyak kelab-kelab utama Eropah yang lain.  Kedua-dua pemain ini adalah perancang yang baik ketika melakukan serangan dan mampu membuka pertahanan lawan menerusi gaya permainan mereka.  Ederson mungkin calon yang lebih sesuai tetapi jika Ferguson mahu mendapatkan pemain tengah menyerang, nama-nama seperti Wesley Sneijder, Mario Goetze dan Eden Hazard adalah pilihan yang perlu diberi keutamaan biarpun harga yang mungkin terpaksa dibayar untuk khidmat mereka lebih mahal.  Etienne Didot dari Toulouse juga pemain tengah yang menarik dengan gaya mirip kepada bintang antarabangsa Argentina, Ever Banega.  Didot lebih kepada pemain tengah bertahan yang melindungi empat benteng di belakangnya. Didot baru berusia 23 tahun dan prestasinya dikatakan menarik minat banyak kelab utama termasuk United.  Trabquillo Barnetta (Leverkusen) dan Tim Borowski (Weder Bremen) adalah pemain yang lebih berpengalaman namun jika aspek umur menjadi pilihan, Danijel Pranjic dari Bayern Munich boleh dipertimbangkan.  Pranjic boleh bermain di sebelah kiri ataupun sebagai perancang tengah.  Pranjic pemain yang berbakat dan turut dikaitkan dengan beberapa kelab Liga Perdana England.  Jika Bayern Munich tidak melanjutkan kontraknya, Pranjic adalah pemain berkebolehan yang boleh diperolehi dengan harga murah.

Junior Hoilett
Di England sendiri ada pemain yang patut diberikan perhatian seperti Junior Hoilett dari Blackburn Rovers.  Beberapa pengurus di Liga Perdana  dikatakan serius memantau perkembangan pemain muda berusia 22 tahun ini dan Ferguson sepatutnya salah seorang dari mereka.  Hoilett muncul pemain yang cukup menyinar dimusim suram Blackburn Rovers.  Rovers mungkin boleh keluar dari zon penyingkiran tetapi mereka pastinya tidak mampu  mengelak dari kehilangan beberpa pemain terbaik mereka musim depan.  Hoilett merupakan pemain versatile yang boleh beraksi sebagai penyerang ataupun di sebelah kiri atau kanan sayap. Kehadiran Hoilett bakal memberikan daya tambahan kepada gaya serangan United dan meringankan tugas Nani, Ashley Young atau Luis Antonio Valencia ketika menyerang.  Akhir sekali ada pilihan yang bakal memberikan kejutan besar jika ianya berlaku, sama seperti situasi Michael Owen ketika dia menyertai United pada 2009.  Pemain yang dimaksudkan ialah Didier Drogba, di mana dia dikatakan masih belum bersetuju menyambung sebarang kontrak bersama Chelsea.  Walaupun prestasi Drogba ketika ini tidak sama seperti tiga tahun lalu, Drogba tetap pilihan yang menarik.  Mungkin United boleh melakukan hal yang sama kepada Drogba sepertimana ketika mereka menandatangani Henrik Larsson dan Michael Owen.  Tentunya tawaran United bakal memberikan motivasi besar buat Drogba berbanding jika dia mengikut jejak bekas rakan sepasukannya, Nicholas Anelka yang bermain di Liga Super China.  Glory Glory Manchester United!!!

20 Mac 2012

PERTAHANAN PERANCIS SASARAN BARU FERGUSON?


Tonggak pertahanan LOSC Lille dan juga pemain antarabangsa Perancis, Mathieu Debuchy diberitakan menjadi sasaran terbaru Sir Alex Ferguson. Meskipun media sebelumnya mengaitkan kehadiran Ferguson menyaksikan perlawanan antara Lille dan Lyon pada 10 Mac lalu kerana minatnya terhadap Eden Hazard yang juga rakan sepasukan Debuchy, namun apa yang berlaku adalah sebaliknya. Perkhabaran terbaru mengatakan misi sebenar Ferguson di Stadium Metropole ialah memantau aksi Debuchy. Ferguson yang bergelut mengisi posisi pertahanan kanan sejak persaraan Gary Neville melihat Debuchy sebagai pengganti terbaik buat bekas kapten United itu. Dengan Rafael da Silva yang sering keluar masuk bilik rawatan, Ferguson tiada pilihan lain selain meletakkan Phil Jones atau Chris Smalling mengisi posisi tersebut biarpun kedua-duanya lebih merupakan pemain pertahanan tengah. Debuchy dianggap tonggak utama Lille sejak beberapa musim lalu dan prestasi baiknya ketika membantu Perancis menewaskan Jerman dikatakan menarik minat Ferguson mendapatkan tandatangannya.  Bagaimanapun United terpaksa berhadapan dengan persaingan sengit bagi mendapatkan bintang berusia 26 tahun itu kerana dua lagi kelab iaitu Bayern Munich dan Valencia turut dikatakan menunjukkan minat mendalam terhadapnya.  Glory Glory Manchester United!!!

19 Mac 2012

FERGUSON: VALENCIA PEMAIN SERBA LENGKAP


Selepas menyaksikan pasukannya merakamkan kemenangan besar ke atas Wolverhampton Wanderers semalam, Sir Alex Ferguson merakamkan pujian atas kepulangan semula pemain sayap yang baru pulih dari kecederaan, Luis Antonio Valencia.  Kemenangan ke atas Wolves di Molineux, gelanggang yang menyaksikan United tewas 1-2 musim lalu meletakkan United mendahului dengan kelebihan empat mata  ke atas pencabar terdekat, Manchester City.  "Mereka (City) akan berdepan perlawanan getir menentang Chelsea pertengahan minggu.  Apa yang penting kami meneruskan rentak kemenangan, masih ada baki sembilan perlawanan dan kami mesti fokus menghadapinya", kata Ferguson.  Ferguson turut memuji penampilan semula Valencia selepas direhatkan selama empat minggu kerana masalah hamstring. Sambil menyifatkan Valencia sebagai salah seorang pemain terbaik United pada perlawanan semalam, Ferguson menganggap kehadiran semula pemain sayap lincah itu sangat penting dalam usaha United mengharungi baki perlawanan liga mereka selepas ini.  "Antonio akan menjadi pemain yang sangat penting buat kami.  Dia sentiasa bekerja keras, mampu melakukan bentesan dan pantas melepasi pemain lawan.  Dia memiliki semua yang diperlukan oleh seorang pemain bolasepak".  Biarpun tidak bermain selama empat minggu, Valencia pantas menyesuaikan diri dengan suasana perlawanan dan statistik perlawanan semalam menunjukkan dia berjaya melepaskan tiga percubaan tepat, mencipta dua assist dan menjaringkan satu gol.  

Berita-Berita Lain:

BERBATOV PASTI TINGGALKAN UNITED

Agen Dimitar Berbatov, Emil Danchev mengesahkan bahawa penyerang itu akan meninggalkan Old Trafford musim panas ini.  Danchev mengakui telah mengadakan rundingan dengan Sir Alex Ferguson berhubung masa depan Berbatov bersama United.  Menurut Danchev, tiga pertemuan telah dibuat dengan Sir Alex Ferguson dan bos United itu  tidak keberatan membenarkan Berbatov mencari pasukan lain musim hadapan.  Berbatov yang muncul penjaring terbanyak United musim lalu, tetapi lebih kerap memanaskan bangku simpanan dan gagal bersaing dengan Wayne Rooney, Javier Hernandez dan Danny Welbeck untuk tempat selaku penggempur utama musim ini.  Sambil mengakui bahawa Berbatov memang tiada dalam rancangan pembangunan untuk tempoh tiga hingga empat tahun United, Danchev mengatakan kliennya itu akan meninggalkan England untuk beraksi di liga-liga utama Eropah yang lain.  "Saya telah melakukan tiga pertemuan dengan Alex Ferguson.  Kami mesti menerima hakikat bahawa beliau sedang membangunkan pasukan untuk tempoh tiga hingga empat tahun ke depan dan Berbatov memang tiada dalam perancangannya.  Ferguson ingin mengubah gaya permainan pasukan dengan mementingkan aspek kepantasan", kata Danchev.  Menurut Danchev, Berbatov tidak akan mengikut jejak langkah beberapa pemain bintang yang berada di penghujung karier dengan bermain di liga-liga Amerika Syarikat, Jepun atau Timur Tengah jika meninggalkan England.

INGIN TAMPIL DI OLIMPIK, DE GEA KECEWAKAN FERGUSON

Keinginan tinggi yang ditunjukkan David De Gea untuk mewakili Sepanyol di Sukan Olimpik 2012 nyata kurang disenangi Sir Alex Ferguson.  Ferguson dikhabarkan mendesak De Gea supaya melupakan hasratnya untuk tampil di temasya sukan terbesar dunia itu.  Ferguson ternyata kurang senang apabila melihat pemainnya tampil dalam dua kejohanan besar berturut-turut kerana nama De Gea mungkin turut disenaraikan Vincente del Bosque dalam skuad kebangsaan Sepanyol ke pusingan akhir Euro 2012 pada Jun ini.  De Gea melihat peluang mewakili Sepanyol dalam sukan Olimpik lebih realistik berbanding di Euro 2012 dimana dia terpaksa bersaing dengan tiga lagi penjaga gol berpengalaman (Iker Casillas, Victor Valdes dan Pepe Reina).  Persekutuan Bolasepak Sepanyol mahu menghantar skuad yang memenangi kejuaraan U21 Eropah 2011 ke kejohanan Sukan Olimpik.

JUVENTUS TERUSKAN USAHA DAPATKAN POGBA

Masa depan bintang muda Manchester United, Paul Pogba masih menjadi tanda tanya selepas Juventus diberitakan masih belum mahu mengalahkan mendapatkan pemain tengah itu.  Pengarah kelab gergasi Itali itu, Beppe Marotta mengeluarkan kenyataan bahawa kelabnya masih belum berputus asa dalam usaha mereka membawa Pogba beraksi ke Serie A musim depan.  Ketika ini kontrak Pogba bersama United masih dalam perbincangan namun Marotta optimis terhadap usaha kelabnya mendapatkan tandatangan bintang muda itu. "Saya tahu, Manchester United akan berusaha sedaya upaya mempertahankan pemain itu, tetapi saya ingin menyakinkan Pogba bahawa dia memiliki masa depan yang cerah jika menyertai kami", kata Marotta.

UNITED KUKUHKAN KEDUDUKAN


Manchester United mengukuhkan kedudukan mereka di tangga teratas Liga Perdana England selepas mencatat kemenangan besar 5-0 ke atas Wolverhampton Wanderers sebentar tadi.  Kekalahan ini juga menyaksikan harapan tuan rumah untuk terus mengekalkan tempat mereka dalam saingan elit Liga Perdana England musim depan semakin kabur. United mendahului tuan rumah diminit ke-21 melalui jaringan jarak dekat Jonny Evans hasil hantaran Michael Carrick.  Ini juga merupakan jaringan pertama Evans buat United sepanjang kariernya.  Tuan rumah yang berada di zon penyingkiran tambah terdesak selepas pertahanan mereka Ronald Zubar diperintah keluar padang kerana mengutip  kad kuning kedua diminit ke-39.  Lima minit selepas itu, Luis Antonio Valencia melebar kedudukan kepada 2-0 dan United bertambah selesa apabila Danny Welbeck menjaringkan gol ketiga di penghujung separuh masa pertama.

Biarpun mendahului dengan tiga gol, United tidak mengendurkan asakan mereka di separuh masa kedua hingga memaksa Wolves meletakkan hampir keseluruhan pemain mereka di benteng.  Javier Hernandez menjaringkan gol keempat United diminit ke-56 selepas dia menanduk masuk bola hantaran Rafael da Silva.  Lima minit selepas itu, Hernandez menjaringkan gol kedua peribadinya apabila sekali lagi memanfaatkan hantaran Rafael da Silva sekaligus menutup pesta gol United di Molineux.  United memperolehi beberapa peluang untuk menambah gol selepas itu, namun kecekapan Wayne Hennessey menyelamatkan gawang tuan rumah dari terus dibolosi. Kemenangan ini juga menyaksikan United mengumpul 70 mata, empat mata di depan pencabar terdekat, Manchester City.  City yang bermain kurang satu perlawanan berpeluang merapatkan kedudukan jika berjaya menewaskan Chelsea Khamis ini. 

17 Mac 2012

PREVIEW: WOLVES lwn MANCHESTER UNITED


Selepas tersingkir dari saingan Liga Europa, Manchester United mengalihkan semula fokus  kepada baki 10 perlawanan mereka di liga domestik.  Sir Alex Ferguson memberi jaminan pasukannya sudah bersedia melupakan kekecewaan di pentas Eropah dan akan berusaha sedaya upaya meraih tiga mata penuh esok.  United akan berkunjung ke Stadium Molineux bagi menghadapi pasukan yang berada di zon penyingkiran, Wolverhampton Wanderers.  Di atas kertas, United kelihatan unggul berbanding lawan yang menduduki tangga ke-18 carta liga, tetapi kemampuan anak-anak buah Terry Connor ketika beraksi di gelanggang sendiri tidak harus dipandang mudah, apatah lagi mereka sedang berusaha keras keluar dari kedudukan dasar liga.  Musim lalu, Wolves muncul pasukan pertama menamatkan rekod tanpa kalah 18 perlawanan United apabila mereka berjaya merakamkan kemenangan 2-1 di Molineux hasil jaringan George Elokobi dan Kevin Doyle.  Tidak mahu nasib sama berulang, Ferguson mengambil sikap berhati-hati menjelang perlawanan esok dan tidak mahu meremehkan keupayaan lawan melakukan kejutan.  

"Kebiasaannya kami sentiasa serius bila berhadapan dengan mana-mana pasukan.  Kami berada di kedudukan teratas liga sedangkan mereka (Wolves) berada di zon penyingkiran.  Jadi kami harus menunjukkan kualiti yang ada pada kami", kata Ferguson.  United ketika ini mendahului tangga teratas liga dengan 67 mata, satu mata di depan pencabar terdekat, Manchester City di tangga kedua.  Dengan City yang akan hanya beraksi pada pertengahan minggu ini, kemenangan di Molineux esok akan menyaksikan United melebarkan kedudukan mereka kepada empat mata.  Sementara itu, penjaga gol United, David De Gea mahu segera melupakan kegagalan di pentas Eropah.  De Gea berharap United mampu mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim ini sekaligus mengubati kekecewaan mereka dalam saingan Eropah.  "Sangat penting untuk kami memenangi gelaran liga musim ini.  Ketika ini kami di posisi teratas dan akan berusaha mengekalkan kedudukan itu hingga akhir musim.  Kami akan berdepan ujian besar menentang Wolves dan akan memberikan tumpuan kepada perlawanan ini", kata De Gea.  Glory Glory Manchester United!!!

Berita-Berita Lain:

UNITED DEKATI JULIO CESAR?

Manchester United diberitakan sedang menyiapkan tawaran musim panas untuk penjaga gol Inter Milan, Julio Cesar.  Media-media di Itali mengatakan United belum cukup berpuashati dengan prestasi David De Gea yang ditandatangani dari Atletico Madrid musim ini.  Prestasi tidak menentu Inter musim ini juga dikatakan menjadi penyebab utama Cesar ingin berhijrah dari Giuseppe Meazza dan Sir Alex Ferguson melihat penjaga gol antarabangsa Brazil itu antara nama yang boleh diharapkan  mengawal gawang United biarpun sudah mencecah usia 32 tahun.  Cesar memiliki pengalaman luas dari aspek menangani tekanan, sesuatu yang dilihat Ferguson tidak dimiliki oleh De Gea.

FERGUSON KECEWA PRESTASI UNITED DI EROPAH

Sir Alex Ferguson jelas agak kecewa dengan prestasi pasukannya di pentas Eropah musim ini.  Selepas tersingkir dari saingan Liga Juara-Juara di peringkat kumpulan, United sekali lagi dikecewakan apabila ditunjukkan jalan keluar oleh Athletic Bilbao di Liga Europa.  Kegagalan melayakkan diri ke peringkat suku akhir apabila tewas dengan aggregat 3-5 kepada wakil Sepanyol itu memberikan tamparan hebat terhadap kempen Eropah United musim ini.  Ferguson turut mengakui hakikat tentang prestasi hambar United dan berharap anak-anak buahnya bangkit pada saingan domestik.  "Ini adalah tahun yang mengecewakan bagi United.  Saya memang kecewa dengan prestasi kami di Eropah namun kami harus kembali fokus pada saingan domestik.  Kami akan memberikan tumpuan kepada baki perlawanan liga", kata Ferguson.