19 Mac 2012

UNITED KUKUHKAN KEDUDUKAN


Manchester United mengukuhkan kedudukan mereka di tangga teratas Liga Perdana England selepas mencatat kemenangan besar 5-0 ke atas Wolverhampton Wanderers sebentar tadi.  Kekalahan ini juga menyaksikan harapan tuan rumah untuk terus mengekalkan tempat mereka dalam saingan elit Liga Perdana England musim depan semakin kabur. United mendahului tuan rumah diminit ke-21 melalui jaringan jarak dekat Jonny Evans hasil hantaran Michael Carrick.  Ini juga merupakan jaringan pertama Evans buat United sepanjang kariernya.  Tuan rumah yang berada di zon penyingkiran tambah terdesak selepas pertahanan mereka Ronald Zubar diperintah keluar padang kerana mengutip  kad kuning kedua diminit ke-39.  Lima minit selepas itu, Luis Antonio Valencia melebar kedudukan kepada 2-0 dan United bertambah selesa apabila Danny Welbeck menjaringkan gol ketiga di penghujung separuh masa pertama.

Biarpun mendahului dengan tiga gol, United tidak mengendurkan asakan mereka di separuh masa kedua hingga memaksa Wolves meletakkan hampir keseluruhan pemain mereka di benteng.  Javier Hernandez menjaringkan gol keempat United diminit ke-56 selepas dia menanduk masuk bola hantaran Rafael da Silva.  Lima minit selepas itu, Hernandez menjaringkan gol kedua peribadinya apabila sekali lagi memanfaatkan hantaran Rafael da Silva sekaligus menutup pesta gol United di Molineux.  United memperolehi beberapa peluang untuk menambah gol selepas itu, namun kecekapan Wayne Hennessey menyelamatkan gawang tuan rumah dari terus dibolosi. Kemenangan ini juga menyaksikan United mengumpul 70 mata, empat mata di depan pencabar terdekat, Manchester City.  City yang bermain kurang satu perlawanan berpeluang merapatkan kedudukan jika berjaya menewaskan Chelsea Khamis ini. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan