21 Mac 2012

SIAPA YANG BAKAL PERGI DAN SIAPA YANG BAKAL MASUK MUSIM PANAS INI?


Tiada keraguan buat Manchester United untuk memperkuatkan pasukan musim panas ini dan posisi yang bakal menjadi perhatian utama Sir Alex Ferguson ialah bahagian tengah.  Michael Carrick dan Paul Scholes melaksanakan tugas mereka dengan berkesan musim ini, tetapi United masih kurang aspek pemain yang mampu mengawal permainan di bahagian tengah dan mencipta peluang buat penyerang. Jika Paul Pogba memutuskan untuk kekal di Old Trafford, United masih mempunyai seorang lagi pemain tengah berpotensi namun Ferguson dilihat tetap akan membawa masuk satu atau dua muka baru di posisi tersebut.  Ada pemain baru yang datang dan tentunya ada juga pemain yang bakal meninggalkan pasukan.  Tiga nama yang disebut-sebut bakal dilepaskan Ferguson musim panas ini ialah tiga pemain di posisi hadapan iaitu Dimitar Berbatov, Michael Owen dan Federico Macheda. Nasib Berbatov paling jelas apabila ejen pemain itu, Emil Danchev mengesahkan baru-baru ini bahawa kliennya itu tiada dalam perancangan Ferguson. Di bahagian serangan, Ferguson dijangka mendapatkan seorang pemain baru bagi menggantikan mereka biarpun ketika ini masih memiliki tiga penyerang (Rooney, Welbeck dan Hernandez) yang berjaya menjalankan tugas mereka dengan baik.

Lamine Gassama
Untuk kelab seperti Manchester United, Ferguson tentulah mahukan pemain-pemain yang baik bagi mengisi kekosongan yang ada, dan pemain yang baik tentulah memerlukan dana yang lebih untuk dibelanjakan. Dengan beban kewangan yang agak meruncing disebabkan tanggungan hutang keluarga Glazer, Ferguson mungkin terpaksa mengakui hakikat bahawa United tidak semewah pesaing-pesaing mereka yang lain ketika berbelanja pada musim panas ini.  Namun pemain-pemain yang bagus juga boleh diperolehi dengan harga murah dan Ferguson sudah membuktikannya apabila dia mendapatkan Javier Hernandez dua tahun lalu dengan harga hanya 7 juta Pound. Ada beberapa pemain bagus yang mungkin boleh diperolehi dengan harga berpatutan seperti Lamine Gassama di Lorient. Gassama baru berusia 22 tahun dan bermain di sebelah kanan  pertahanan. Gassama mungkin juga jawapan kepada usaha Ferguson mencari pengganti Gary Neville yang mengumumkan persaraannya musim lalu. Sejak ketiadaan Neville, Ferguson terpaksa menggunakan tiga pemain untuk mengisi posisi tersebut. Masalah utama yang melanda Ferguson ialah apabila Rafael da Silva sering dilanda kecederaan hingga memaksa beliau menggunakan Chris Smalling dan Phil Jones (Smalling dan Jones adalah pemain pertahanan tengah) sebagai pengganti.

Ederson
Selain itu, perancang Lille, Ludovic Obraniak dan Ederson dari Olympique Lyon juga dikatakan menarik minat banyak kelab-kelab utama Eropah yang lain.  Kedua-dua pemain ini adalah perancang yang baik ketika melakukan serangan dan mampu membuka pertahanan lawan menerusi gaya permainan mereka.  Ederson mungkin calon yang lebih sesuai tetapi jika Ferguson mahu mendapatkan pemain tengah menyerang, nama-nama seperti Wesley Sneijder, Mario Goetze dan Eden Hazard adalah pilihan yang perlu diberi keutamaan biarpun harga yang mungkin terpaksa dibayar untuk khidmat mereka lebih mahal.  Etienne Didot dari Toulouse juga pemain tengah yang menarik dengan gaya mirip kepada bintang antarabangsa Argentina, Ever Banega.  Didot lebih kepada pemain tengah bertahan yang melindungi empat benteng di belakangnya. Didot baru berusia 23 tahun dan prestasinya dikatakan menarik minat banyak kelab utama termasuk United.  Trabquillo Barnetta (Leverkusen) dan Tim Borowski (Weder Bremen) adalah pemain yang lebih berpengalaman namun jika aspek umur menjadi pilihan, Danijel Pranjic dari Bayern Munich boleh dipertimbangkan.  Pranjic boleh bermain di sebelah kiri ataupun sebagai perancang tengah.  Pranjic pemain yang berbakat dan turut dikaitkan dengan beberapa kelab Liga Perdana England.  Jika Bayern Munich tidak melanjutkan kontraknya, Pranjic adalah pemain berkebolehan yang boleh diperolehi dengan harga murah.

Junior Hoilett
Di England sendiri ada pemain yang patut diberikan perhatian seperti Junior Hoilett dari Blackburn Rovers.  Beberapa pengurus di Liga Perdana  dikatakan serius memantau perkembangan pemain muda berusia 22 tahun ini dan Ferguson sepatutnya salah seorang dari mereka.  Hoilett muncul pemain yang cukup menyinar dimusim suram Blackburn Rovers.  Rovers mungkin boleh keluar dari zon penyingkiran tetapi mereka pastinya tidak mampu  mengelak dari kehilangan beberpa pemain terbaik mereka musim depan.  Hoilett merupakan pemain versatile yang boleh beraksi sebagai penyerang ataupun di sebelah kiri atau kanan sayap. Kehadiran Hoilett bakal memberikan daya tambahan kepada gaya serangan United dan meringankan tugas Nani, Ashley Young atau Luis Antonio Valencia ketika menyerang.  Akhir sekali ada pilihan yang bakal memberikan kejutan besar jika ianya berlaku, sama seperti situasi Michael Owen ketika dia menyertai United pada 2009.  Pemain yang dimaksudkan ialah Didier Drogba, di mana dia dikatakan masih belum bersetuju menyambung sebarang kontrak bersama Chelsea.  Walaupun prestasi Drogba ketika ini tidak sama seperti tiga tahun lalu, Drogba tetap pilihan yang menarik.  Mungkin United boleh melakukan hal yang sama kepada Drogba sepertimana ketika mereka menandatangani Henrik Larsson dan Michael Owen.  Tentunya tawaran United bakal memberikan motivasi besar buat Drogba berbanding jika dia mengikut jejak bekas rakan sepasukannya, Nicholas Anelka yang bermain di Liga Super China.  Glory Glory Manchester United!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan