Selepas tersingkir dari saingan Liga Europa, Manchester United mengalihkan semula fokus kepada baki 10 perlawanan mereka di liga domestik. Sir Alex Ferguson memberi jaminan pasukannya sudah bersedia melupakan kekecewaan di pentas Eropah dan akan berusaha sedaya upaya meraih tiga mata penuh esok. United akan berkunjung ke Stadium Molineux bagi menghadapi pasukan yang berada di zon penyingkiran, Wolverhampton Wanderers. Di atas kertas, United kelihatan unggul berbanding lawan yang menduduki tangga ke-18 carta liga, tetapi kemampuan anak-anak buah Terry Connor ketika beraksi di gelanggang sendiri tidak harus dipandang mudah, apatah lagi mereka sedang berusaha keras keluar dari kedudukan dasar liga. Musim lalu, Wolves muncul pasukan pertama menamatkan rekod tanpa kalah 18 perlawanan United apabila mereka berjaya merakamkan kemenangan 2-1 di Molineux hasil jaringan George Elokobi dan Kevin Doyle. Tidak mahu nasib sama berulang, Ferguson mengambil sikap berhati-hati menjelang perlawanan esok dan tidak mahu meremehkan keupayaan lawan melakukan kejutan.
"Kebiasaannya kami sentiasa serius bila berhadapan dengan mana-mana pasukan. Kami berada di kedudukan teratas liga sedangkan mereka (Wolves) berada di zon penyingkiran. Jadi kami harus menunjukkan kualiti yang ada pada kami", kata Ferguson. United ketika ini mendahului tangga teratas liga dengan 67 mata, satu mata di depan pencabar terdekat, Manchester City di tangga kedua. Dengan City yang akan hanya beraksi pada pertengahan minggu ini, kemenangan di Molineux esok akan menyaksikan United melebarkan kedudukan mereka kepada empat mata. Sementara itu, penjaga gol United, David De Gea mahu segera melupakan kegagalan di pentas Eropah. De Gea berharap United mampu mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim ini sekaligus mengubati kekecewaan mereka dalam saingan Eropah. "Sangat penting untuk kami memenangi gelaran liga musim ini. Ketika ini kami di posisi teratas dan akan berusaha mengekalkan kedudukan itu hingga akhir musim. Kami akan berdepan ujian besar menentang Wolves dan akan memberikan tumpuan kepada perlawanan ini", kata De Gea. Glory Glory Manchester United!!!
Berita-Berita Lain:
UNITED DEKATI JULIO CESAR?
Manchester United diberitakan sedang menyiapkan tawaran musim panas untuk penjaga gol Inter Milan, Julio Cesar. Media-media di Itali mengatakan United belum cukup berpuashati dengan prestasi David De Gea yang ditandatangani dari Atletico Madrid musim ini. Prestasi tidak menentu Inter musim ini juga dikatakan menjadi penyebab utama Cesar ingin berhijrah dari Giuseppe Meazza dan Sir Alex Ferguson melihat penjaga gol antarabangsa Brazil itu antara nama yang boleh diharapkan mengawal gawang United biarpun sudah mencecah usia 32 tahun. Cesar memiliki pengalaman luas dari aspek menangani tekanan, sesuatu yang dilihat Ferguson tidak dimiliki oleh De Gea.
FERGUSON KECEWA PRESTASI UNITED DI EROPAH
Sir Alex Ferguson jelas agak kecewa dengan prestasi pasukannya di pentas Eropah musim ini. Selepas tersingkir dari saingan Liga Juara-Juara di peringkat kumpulan, United sekali lagi dikecewakan apabila ditunjukkan jalan keluar oleh Athletic Bilbao di Liga Europa. Kegagalan melayakkan diri ke peringkat suku akhir apabila tewas dengan aggregat 3-5 kepada wakil Sepanyol itu memberikan tamparan hebat terhadap kempen Eropah United musim ini. Ferguson turut mengakui hakikat tentang prestasi hambar United dan berharap anak-anak buahnya bangkit pada saingan domestik. "Ini adalah tahun yang mengecewakan bagi United. Saya memang kecewa dengan prestasi kami di Eropah namun kami harus kembali fokus pada saingan domestik. Kami akan memberikan tumpuan kepada baki perlawanan liga", kata Ferguson.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan