24 Mac 2012

FERGIE `BEDIL' KEMBALI CITY


Permusuhan antara dua kelab berjiran, Manchester United dan Manchester City memasuki fasa terbaru selepas Patrick Vieira mempersendakan kepulangan semula Paul Scholes dari persaraan.  Semalam, Vieira mendakwa kekuatan United semakin merosot dan berada dalam keadaan terdesak hingga memaksa Ferguson memanggil semula Scholes keluar dari persaraan.  Vieira yang ketika ini menjawat jawatan sebagai Pengarah Pembangunan Manchester City juga mendakwa kegagalan United menurunkan pemain muda seperti Paul Pogba dan penjualan Ravel Morrison sebagai tanda-tanda kelemahan United.  Ferguson seperti biasa tidak memerlukan masa yang panjang untuk membalas semula `peluru' yang dilepaskan para pesaingnya.  Ferguson ternyata berang dengan kenyataan yang dikeluarkan Vieira sambil mendakwa dia memiliki banyak `peluru' untuk dilepaskan jika City berhajat melancarkan perang psikologi ke atas pasukannya.  "Terdesak? Paul Scholes adalah pemain tengah terbaik dalam tempoh 20 tahun terakhir, dan jika anda mengambil langkah untuk mendapatkan semula pemain sepertinya, perkara itu boleh diterima.  Roberto Mancini memberikan kritikan kepada kami selama beberapa minggu kebelakangan ini tetapi kami akan bermain dengan cara kami.  Rabu lalu mereka menurunkan seorang pemain yang pernah  menolak dari diturunkan dan pengurus mereka pernah mengatakan tidak akan menurunkannya lagi", kata Ferguson. Ferguson mengejek keputusan City membawa kembali Carlos Tevez sebagai langkah terdesak dan mengatakan dia tidak akan sekali-kali menurunkan mana-mana pemain yang tidak menghormati kelab dan juga peminat.  Untuk rekod, United memenangi lapan dari sembilan perlawanan liga mereka sejak Scholes, 37, kembali dari persaraan Januari lalu sehingga berjaya menyingkirkan City dari kedudukan tangga teratas liga dengan kelebihan satu mata.  "Dia (Vieira) memang telah diprogramkan untuk perkara seperti ini.  Jika diimbas beberapa minggu lalu, Mancini pernah mengatakan dia tidak akan menonton perlawanan kami di Spurs kerana menurutnya dia sudah tahu keputusannya.  Kenyataan mereka tidak akan menganggu saya.  Mereka boleh mencuba tetapi jangan risau saya mempunyai banyak peluru untuknya". Glory Glory Manchester United!!!

Berita-Berita Lain:

JUAL MORRISON TAPI TIDAK POGBA

Ravel Morrison
Sir Alex Ferguson menegaskan keputusan kelab menjual Ravel Morrison kepada West Ham bukan disebabkan kegagalan United menghalang bintang muda mereka dari berhijrah seperti yang didakwa Patrick Vieira.  "Perkara utama yang dibangkitkan Vieira ialah tentang Morrison dan kami kehilangan pemain muda kami.  Kami sebenarnya memang ingin menjualnya (Morrison) dan ia cukup jelas", kata Ferguson.  Berbeza dengan situasi seorang lagi bintang muda United, Paul Pogba, Ferguson lantang menegaskan dia mahukan pemain itu kekal di Old Trafford.  Ferguson yakin suatu hari nanti Pogba bakal muncul pemain terbaik United. Sejak beberapa minggu lalu Pogba sudah beberapa kali diturunkan dalam saingan liga sebagai pemain gantian dan bintang muda Perancis itu dijangka terus diberi peluang membuktikan keupayaannya pada perlawanan menentang Fulham di Old Trafford, Selasa ini.  Ferguson sudahpun memberikan bayangan bahawa dia akan menyenaraikan Pogba dalam skuad yang akan berdepan Fulham minggu ini apabila bertindak menarik keluar pemain tengah itu ketika United menentang Aston Villa dalam perlawanan Liga Simpanan.  "Phil Jones dan Chris Smalling sering keluar masuk kerana kecederaan.  Tom Cleverley, Paul Pogba dan Fabio akan tampil.  Kami menarik keluar Pogba kerana dia akan diturunkan Isnin (Selasa) nanti", jelas Ferguson tentang keputusannya menurunkan lima pemain itu dalam skuad simpanan ketika menentang Aston Villa.

SCHOLES INGIN BERMAIN SETAHUN LAGI

Meskipun sudah berusia 37 tahun dan kembali semula dari persaraan Januari lalu, Paul Scholes masih menjadi pilihan utama Sir Alex Ferguson di bahagian tengah. Scholes juga dikatakan antara watak penting di sebalik kejayaan United memintas Manchester City di tangga teratas liga.  Pertama kali diturunkan ketika perlawanan Piala FA menentang City sebagai pemain gantian, Scholes kemudiannya muncul sebanyak lapan kali dalam kesebelasan utama United dan berjaya menjaringkan dua gol.  Prestasi cemerlangnya mengundang banyak pujian dan Scholes sudahpun memberikan isyarat bahawa dia akan terus bermain musim depan.  Khabar terbaru mengatakan bahawa United akan menawarkan kontrak selama setahun kepada Scholes dan pemain veteran itu turut disebut-sebut akan kembali mewakili England pada Euro 2012.  Februari lalu, Harry Redknapp menyebut bahawa Scholes adalah pemain yang akan dipanggil jika dia memegang jawatan sebagai pengurus England.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan