23 Mac 2012

JI SUNG LUPAKAN OLIMPIK DEMI UNITED


Park Ji-Sung mengesahkan bahawa dia menolak tawaran menyertai skuad kebangsaan Korea Selatan ke temasya Sukan Olimpik 2012.  Ji-Sung yang mengumumkan persaraan dari skuad kebangsaan sebaik berakhirnya pusingan akhir Piala Asia 2011 mengatakan fokus utamanya kini adalah bersama kelab dan ingin mempamerkan prestasi terbaiknya untuk United. Semalam, Ji-Sung mengesahkan bahawa dia telah dipanggil mewakili skuad kebangsaan ke sukan Olimpik. "Saya dipanggil tapi saya terpaksa menolak.  Saya tahu bagaimana rasanya bermain di Olimpik kerana saya pernah bermain di Olimpik Sidney 2000", kata Ji-Sung.  Selain Olimpik, Ji-Sung juga sudah bermain dalam tiga pusingan akhir Piala Dunia dan pencapaian terbaiknya bersama skuad kebangsaan ialah pada pusingan akhir Piala Dunia 2002, di mana ketika itu Korea Selatan melakukan kejutan besar dengan kejayaan mereka melangkah ke peringkat separuh akhir.  Ji-Sung yang memiliki 100 caps sepanjang kerjayanya bersama skuad kebangsaan menjelaskan bahawa dia sudah melupakan aksi antarabangsa dan ingin memberikan tumpuan kepada kariernya di peringkat kelab bersama United.  "Musim ini menjadi musim ketujuh saya di Old Trafford.  Saya memenangi empat kejuaraan liga dan saya ingin memenangi trofi Liga Perdana tahun ini".

Berita-Berita Lain:

NANI DAN JONES KEMBALI SERTAI PASUKAN

Dua tonggak Manchester United, Nani dan Phil Jones dijangka kembali memperkuatkan pasukan ketika The Red Devils melayani kunjungan Fulham, Selasa ini.  Nani dikhabarkan sudah sembuh dari kecederaan pergelangan kaki dan sudahpun mula menjalani sesi latihan, manakala Jones yang mengalami jangkitan virus tiada masalah untuk disenaraikan Selasa nanti.  "Tiada masalah dengan kecederaan dan kini semuanya dalam keadaan baik", kata Sir Alex Ferguson.  Ditambah dengan kehadiran semula Chris Smalling dan Antonio Valencia yang diturunkan ketika pertemuan dengan Wolverhampton Wanderers minggu lalu, Ferguson kini hampir memperolehi semula kesebelasan terbaiknya dalam pemburuan kejuaraan Liga Perdana England musim ini.  Hanya Nemanja Vidic, Anderson, Darren Fletcher dan Michael Owen sahaja yang dipastikan akan terlepas baki aksi musim ini.

VIDIC: UNITED CALON UTAMA JUARA MUSIM INI

Persaingan merebut kejuaraan Liga Perdana England antara dua pasukan berjiran, Manchester United dan Manchester City semakin sengit.  Semalam, City berjaya merapatkan kembali kedudukan mereka di belakang United selepas mencatat kemenangan 2-1 ke atas Chelsea di gelanggang sendiri.  Dengan baki 9 perlawanan lagi yang harus diharungi, kedua-dua pasukan perlu mengelakkan sebarang kesilapan saat akhir jika tidak mahu kempunan menjulang sebarang trofi musim ini.  Kapten United, Nemanja Vidic yakin pasukannya adalah calon utama merangkul kejuaraan liga berbanding seteru setempat mereka itu sekaligus mempertahankan trofi yang mereka menangi musim lalu.  "Saya percaya sejak awal dan jika anda lihat pada baki jadual perlawanan yang akan kami harungi, saya berani mengatakan bahawa kami adalah pilihan utama memenangi kejuaraan liga.  Kini segalanya ditangan kami", kata Vidic.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan