20 Mac 2012

PERTAHANAN PERANCIS SASARAN BARU FERGUSON?


Tonggak pertahanan LOSC Lille dan juga pemain antarabangsa Perancis, Mathieu Debuchy diberitakan menjadi sasaran terbaru Sir Alex Ferguson. Meskipun media sebelumnya mengaitkan kehadiran Ferguson menyaksikan perlawanan antara Lille dan Lyon pada 10 Mac lalu kerana minatnya terhadap Eden Hazard yang juga rakan sepasukan Debuchy, namun apa yang berlaku adalah sebaliknya. Perkhabaran terbaru mengatakan misi sebenar Ferguson di Stadium Metropole ialah memantau aksi Debuchy. Ferguson yang bergelut mengisi posisi pertahanan kanan sejak persaraan Gary Neville melihat Debuchy sebagai pengganti terbaik buat bekas kapten United itu. Dengan Rafael da Silva yang sering keluar masuk bilik rawatan, Ferguson tiada pilihan lain selain meletakkan Phil Jones atau Chris Smalling mengisi posisi tersebut biarpun kedua-duanya lebih merupakan pemain pertahanan tengah. Debuchy dianggap tonggak utama Lille sejak beberapa musim lalu dan prestasi baiknya ketika membantu Perancis menewaskan Jerman dikatakan menarik minat Ferguson mendapatkan tandatangannya.  Bagaimanapun United terpaksa berhadapan dengan persaingan sengit bagi mendapatkan bintang berusia 26 tahun itu kerana dua lagi kelab iaitu Bayern Munich dan Valencia turut dikatakan menunjukkan minat mendalam terhadapnya.  Glory Glory Manchester United!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan