05 Januari 2013

PREVIEW PIALA FA: WEST HAM UNITED lwn MANCHESTER UNITED



Manchester United akan berkunjung ke Boleyn Ground bagi berdepan West Ham awal pagi esok dengan misi mahu melangkah lebih jauh dalam saingan Piala FA musim ini. Selepas dikatakan kurang memberikan tumpuan kepada saingan Piala FA sebelum ini, Sir Alex kini sudah mula melihat betapa penting buat pasukannya menjulang semula trofi kejohanan kalah mati tertua di dunia itu sejak kali terakhir melakukannya pada 2004. Meskipun ketika ini berjaya mendahului carta liga dengan kelebihan tujuh mata, agak menghairan apabila melihat The Red Devils tidak menang kejuaraan ini selama lapan musim. Hanya Darren Fletcher, Ryan Giggs dan Paul Scholes pemain yang ada dalam skuad musim ini pernah merasai nikmat menjulang Piala FA manakala Rio Ferdinand terlepas aksi final pada 2004 kerana menjalani penggantungan disebabkan gagal menjalani ujian doping. “Rio sudah bersama kami selama 10 tahun tetapi tidak pernah menjulang trofi ini (Piala FA), jadi kami harus melakukan sesuatu”, kata Sir Alex. Selepas kejayaan pada 2004, United berjaya melangkah ke final sebanyak dua kali tetapi tewas kepada Arsenal pada 2004 dan Chelsea pada 2007. Bagi West Ham pula selaku finalis pada 2006, mereka akan turun dengan misi mahu meneruskan momentum kemenangan selepas kejayaan membenam Norwich City dalam saingan liga Selasa lalu.

Selepas gagal mencapai kemenangan pada empat perlawanan sebelumnya, kemenangan ke atas Norwich menyuntik semangat buat anak-anak buah Sam Allardyce berdepan United dalam perlawanan ini. West Ham juga tentunya berharap mereka mampu mengulangi prestasi ketika menundukkan United 4-0 dalam aksi suku akhir Piala Liga pada Disember 2010. Big Sam memperolehi kekuatan tambahan dalam skuadnya apabila berjaya menandatangani Joe Cole dari Liverpool dan jika diturunkan, Cole adalah antara pemain yang perlu diawasi benteng pertahanan United. Allardyce juga akan memperolehi semula khidmat kapten pasukan, Kevin Nolan dan pertahanan, James Collins yang kembali dari penggantungan. Kelibat Joey O’Brien masih dalam keraguan kerana masalah hamstring manakala Andy Carroll dan Mohamed Diame masih meneruskan sesi rawatan. Phil Jones dan Nemanja Vidic dijangka menguatkan benteng pertahanan selepas diketepikan pada aksi liga Rabu lalu. Jones direhatkan pada tiga perlawanan terakhir United akibat kecederaan kecil manakala Vidic yang terlepas aksi di DW Stadium memang dipersiapkan Sir Alex untuk perlawanan ini. Seperti yang dijanjikan, Sir Alex akan melakukan beberapa perubahan dalam skuadnya kali ini dengan merehatkan tonggak utamanya selepas mengharungi minggu memenatkan pada aksi Boxing Day. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Fakta Perlawanan:

- Enam pertemuan terakhir antara kedua-dua pasukan menyaksikan 21 gol dihasilkan, 15 daripadanya dari United.

- Selepas berada di tangga ketujuh liga pada bulan Oktober, West Ham kalah lima perlawanan, menang tiga dan seri dua kali.

- West Ham menghasilkan purata 1.2 gol setiap perlawanan berbanding United 2.8 gol. Penjaring terbanyak mereka ialah Kevin Nolan dengan 5 gol manakala Robin Van Persie pula 16 gol untuk United.

Barisan Kemungkinan West Ham:

Jussi Jaaskelainen, Guy Demel, Joey O’Brien, Winston Reid, James Collins, Jack Collison, Mark Noble, Matt Jarvis, Kevin Nolan, Matthew Taylor & Carlton Cole

Barisan Kemungkinan United:

Anders Lindegaard, Alexander Buttner, Nemanja Vidic, Chris Smalling, Phil Jones, Darren Fletcher, Paul Scholes, Ryan Giggs, Ashley Young, Javier Hernandez & Danny Welbeck

MAHU MUNCUL JUARA? EMPAT PEMAIN INI PERLU TINGKATKAN PRESTASI MEREKA


Sir Alex Ferguson sudah mengatakan bahawa beliau tidak akan membawa masuk mana-mana pemain baru pada jendela perpindahan pemain Januari ini. Mungkin disebabkan senang dengan skuad yang dimilikinya sekarang menyebabkan Sir Alex mengambil keputusan sedemikian ataupun mungkin juga ianya satu lagi permainan psikologi dari bos United itu memandangkan harga pemain di pasaran ketika ini semakin `gila’. Jika benar apa yang dikatakan Sir Alex (bahawa beliau tidak akan membeli pemain baru), beliau perlu memastikan beberapa pemainnya meningkatkan lagi prestasi mereka jika United berhasrat merampas kembali trofi Liga Perdana dari tangan Manchester City. Untuk menang kejuaraan Liga Perdana bukanlah perkara yang mudah terutamanya apabila melihat saingan sejak kebelakangan ini semakin sengit dan bukan lagi dikuasai oleh satu atau dua pasukan. Justeru jika tiada sebarang pembelian baru dibuat Januari ini maka pemain-pemain berikut perlu menggandakan usaha mereka lebih dari sebelumnya untuk membantu kelab merealisasikan misi menjulang kejuaraan ke-20 Liga Perdana musim ini.

ASHLEY YOUNG

Dibawa dari Villa Park pada musim panas tahun lalu dengan nilai £16 juta, memulakan musim 2011/12 dengan baik apabila berjaya membantu United menang trofi Perisai Komuniti dengan menewaskan Manchester City di Wembley. Peranan yang dimainkannya di sebelah sayap kiri cukup berkesan ketika itu apabila berjaya menyumbang lapan gol dari 33 penampilan, di samping assist yang tidak berpenghujung baik ketika bersama skuad kebangsaan mahupun ketika bermain untuk kelab. Wayne Rooney, Javier Hernandez dan Danny Welbeck adalah pemain yang mendapat manfaat hasil dari prestasi baik yang ditunjukkan Young musim lalu. Walau bagaimanapun prestasi Young musim ini cukup jauh berbeza jika dibandingkan penampilannya musim lalu apatah lagi selepas dibelenggu kecederaan awal musim. Selepas dikritik hebat dan dikatakan menerima surat amaran dari pihak pengurusan United agar meningkatkan semula prestasinya, Young sudah mula menemui sentuhan yang pernah menjulang namanya. Young bermain baik sejak kebelakangan ini dan berjaya meraih semula kepercayaan Sir Alex hingga meletakkan dirinya semula dalam kesebelasan utama United. Mungkin apa yang dialami Young ketika ini adalah `Sindrom Musim Kedua’ tetapi diharapkan agar prestasi baik yang ditunjukkan pemain sayap itu sejak kebelakangan ini berterusan. Penting bagi Young mendapatkan semula kepercayaan Sir Alex serta peminat dan membentuk gandingan efektifnya bersama Patrice Evra seperti musim lalu.

PHIL JONES

Tidak perlu diragukan dengan kemampuan Phil Jones, jika tidak mana mungkin Sir Alex Ferguson sanggup mengeluarkan belanja sebanyak £16.5 juta untuk seorang pemain muda sepertinya. Jones seorang pemain serba boleh, yang mampu bermain sebagai pemain pertahanan tengah, pertahanan kanan ataupun sebagai pemain tengah bertahan. Bagaimanapun beberapa siri kecederaan melanda bekas pemain Blackburn Rovers itu sejak dia menyertai United menganggu prestasinya. Jones keluar dan masuk bilik rawatan sebanyak empat kali sejak tiba di Old Trafford musim panas tahun lalu hingga mempengaruhi prestasinya dalam tempoh 12 bulan terakhir. Walau bagaimanapun Jones sudah bermain semula dan diberikan kesempatan menggantikan tempat Rafael da Silva ketika pemain itu mengalami kecederaan. Prestasinya ketika kembali semula dari kecederaan cukup memberangsangkan tetapi masih banyak lagi yang perlu diperbaiki Jones. Jika dia betul-betul cergas sepenuhnya dan mampu bermain sehingga akhir musim tanpa sebarang kecederaan, Jones adalah bakat besar yang boleh membantu misi United merampas semula kejuaraan Liga Perdana musim ini.

ANTONIO VALENCIA

Manchester United memang sudah lama diketahui sebagai sebuah pasukan yang menyerang berteraskan kepada kekuatan di kedua-dua bahagian sayap. Nama-nama seperti George Best, Andrej Kanchelskis, Karel Poborski, David Beckham, Ryan Giggs, Cristiano Ronaldo hinggalah Antonio Valencia semuanya diingati sebagai pemain sayap yang memainkan peranan utama ketika menyerang. Antonio Valencia diakui antara tonggak utama kelab dan prestasi yang dipamerkannya musim lalu mendorong peminat-peminat memilihnya sebagai pemain terbaik United. Sumbangan besar yang diberikan Valencia sejak menyertai United pada musim panas 2009 melayakkannya mewarisi jersi nombor 7 yang pernah digunakan lagenda-lagenda United sebelumnya seperti George Best, Bryan Robson, Eric Cantona, David Beckham dan Cristiano Ronaldo. Kepantasan Valencia ketika memecah benteng pertahanan lawan dari sebelah kanan amat diperlukan United. Jika Valencia berjaya mengekalkan prestasinya hingga akhir musim, peluang United merealisasikan `Misi 20’ mereka akan menjadi semakin mudah.

NANI

Memang tidak diragukan bahawa musim ini adalah yang paling sukar buat Nani dalam tempoh lima tahun kariernya di Old Trafford. Kombinasi kecederaan dan kegagalan menempatkan diri dalam kesebelasan utama menyebabkan ramai pihak meramalkan ini adalah musim terakhir Nani bersama United. Penampilan Nani musim ini terlalu jauh dari prestasi yang dipamerkannya dua musim lalu di mana dia berjaya menjaringkan sembilan gol dan muncul antara pemain yang wajib berada dalam kesebelasan utama United. Kehadiran Antonio Valencia dan Ashley Young bermakna Nani bukan lagi pilihan utama dan terpaksa bersaing dengan dua pemain ini untuk merebut posisi di bahagian sayap. Sebelum ini terdapat spekulasi mengatakan bahawa Nani akan meninggalkan kelab pada bulan Januari ketika pasaran perpindahan pemain mula dibuka. Walau bagaimanapun Sir Alex segera menafikan khabar angin itu, mungkin disebabkan beliau masih melihat Nani mampu menyumbangkan sesuatu buat The Red Devils. Jika Nani mampu mengulangi semula prestasi yang dipamerkannya dua musim lalu hingga menyebabkan penyokong-penyokong United melupakan Cristiano Ronaldo dengan begitu cepat, maka United akan muncul pilihan utama merampas kembali kejuaraan liga yang terlepas pada seteru setempat mereka, Manchester City musim lalu. Glory Glory Manchester United!!! - A.J

03 Januari 2013

MAMPUKAH UNITED DAPATKAN SEMULA CR7?


Kisah tentang kepulangan semula Cristiano Ronaldo ke Old Trafford memang tidak pernah padam. Sejak Ronaldo mengambil keputusan menyertai Real Madrid pada 2009, ramai yang percaya bahawa dia akan pulang semula ke Old Trafford satu hari nanti dan menghabiskan baki kariernya di sini. Terbaru, Ronaldo dikatakan akan kembali menyertai Manchester United melibatkan perjanjian berjumlah £60 juta. Bukan setakat wang tunai yang dimahukan Real, tetapi mereka juga dikatakan meletakkan syarat David de Gea dan Nani sebagai pertukaran sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan perpindahan Ronaldo (jika benar ianya bakal berlaku) menjangkau hingga £105 juta. Tidak dapat dipastikan mengapa Jose Mourinho mahukan Nani, tetapi Real melihat De Gea sebagai pengganti jangka panjang buat Iker Casillas. Casillas diletakkan di bangku pemain simpanan pada perlawanan terakhir Real untuk tahun 2012 ketika menentang Malaga sekaligus mengundang spekulasi tentang retaknya hubungannya kapten Real itu dengan Mourinho. Meskipun De Gea bergelut menyesuaikan diri dalam saingan bolasepak England pada musim pertamanya, penjaga gol muda itu tampak sudah semakin yakin ketika diturunkan dan berjaya menempatkan dirinya selaku penjaga gol nombor satu United ketika ini. Menguatkan lagi andaian tentang kepulangan semula Ronaldo ke Old Trafford  apabila pemain itu dilaporkan sudah menolak tawaran kontrak baru daripada Real minggu lalu. Apa yang menarik ketiga-tiga pemain itu (Ronaldo, Nani dan De Gea) menggunakan khidmat Jorge Mendes sebagai ejen mereka. Cabaran bagi United untuk mendapatkan semula Ronaldo bukan hanya tertumpu pada soal harga tinggi yang terpaksa mereka bayar kepada Real tetapi juga gaji besar yang dimahukan pemain itu. United diberitakan sedia membayar gaji Ronaldo sebanyak £ 300,000 seminggu sekaligus meletakkannya sebagai pemain yang menerima gaji tertinggi di England dan setaraf dengan apa yang diterima Lionel Messi dalam kontrak barunya bersama Barca. Walau bagaimanapun nilai itu masih terlalu jauh jika dibandingkan dengan jumlah £ 500,000 seminggu yang ditawarkan kelab kaya dari Ligue 1, Paris St Germain. Apakah impian penyokong-penyokong United yang mahu melihat Ronaldo kembali semula ke Old Trafford menjadi kenyataan musim panas nanti atau ianya berakhir dengan penghijrahan pemain termahal dunia itu ke Paris? Glory Glory Manchester United!!! – A.J

02 Januari 2013

RVP: SAYA DIKELILINGI PARA JUARA


Selepas menjaringkan dua gol dalam pertemuan menentang Wigan Athletic semalam, Robin Van Persie percaya prestasi cemerlangnya dalam musim pertama bersama United banyak dibantu oleh rakan-rakan sepasukan di sekelilingnya. Van Persie menganggap dia beruntung kerana dikelilingi pemain-pemain United yang mempunyai mental juara. Menurut Van Persie dia mudah menyesuaikan diri di Old Trafford selepas berpindah dari Arsenal kerana bantuan rakan-rakan sepasukan hingga tidak memerlukan waktu yang lama untuk menyinar bersama The Red Devils. United menewaskan Wigan Athletic 4-0, pasukan yang menewaskan mereka April lalu di gelanggang yang sama (DW Stadium) menerusi dua gol dari Javier Hernandez dan Van Persie sendiri. Dua gol yang dihasilkan Van Persie dalam perlawanan ini melonjakkan penyerang itu di tangga teratas senarai penjaring terbanyak ketika ini dengan 16 gol. “Ini (United) adalah pasukan yang sangat istimewa kerana semua orang bekerja untuk membantu antara satu sama lain. Kita mungkin terpaksa menunggu tetapi apa yang jelas kami semua ingin muncul juara. Saya dikelilingi para juara. Mereka tahu caranya untuk menang dan membuatkan tugas saya menjadi semakin mudah”, kata Van Persie. Van Persie merujuk kepada tindakan Danny Welbeck yang melakukan hantaran kepadanya meskipun pemain muda United itu sendiri mempunyai peluang menjaringkan gol. Mentaliti seperti itulah yang menurut Van Persie menjadi rahsia mengapa United mampu menjaringkan banyak gol setakat ini. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

REAKSI BOS SELEPAS PERLAWANAN


Sir Alex Ferguson gembira menyaksikan pasukannya berjaya mengekalkan jurang tujuh mata milik mereka di tangga teratas liga selepas mencatatkan kemenangan besar di awal tahun. United tidak mengulangi kesilapan musim lalu dengan membenarkan Wigan menewaskan mereka di DW Stadium apabila Javier Hernandez dan Robin Van Persie masing-masing menyumbang dua gol dalam perlawanan semalam. Tambah melegakan Sir Alex apabila melihat benteng pertahanannya tidak dibolosi buat kali kedua berturut-turut. Sir Alex memuji persembahan penggempurnya biarpun turun tanpa Wayne Rooney yang terpaksa direhatkan selama tiga minggu akibat kecederaan. “Robin datang kepada kami ketika dia di puncak kariernya. Dia adalah penyerang yang lengkap dan punya kemampuan menjaringkan gol-gol yang fantastik. Lihat saja gol pertamanya, itu adalah gol yang cukup cantik. Javier pula menunjukkan yang dia adalah penyerang istimewa dalam kotak penalti”, puji Sir Alex. Selepas ini United akan berdepan West Ham dalam saingan Piala FA dan Sir Alex berkata beliau akan melakukan penggiliran pemain ketika berkunjung ke Boleyn Ground hujung minggu ini. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

REVIEW: KEMENANGAN MUDAH DI TAHUN BARU


Wigan Athletic gagal mengulangi pencapaian mereka ke atas Manchester United yang dilakukan mereka musim lalu apabila tewas 0-4 di gelanggang sendiri. Dua gol masing-masing dari Robin Van Persie dan Javier Hernandez menyaksikan United berjaya mengulangi keputusan yang sama ke atas Wigan ketika pertemuan di Old Trafford September lalu. United memulakan perlawanan tanpa kelibat Nemanja Vidic yang direhatkan manakala Rafael da Silva yang terlepas aksi empat perlawanan kerana masalah hamstring kembali diletakkan dalam kesebelasan utama. Rio Ferdinand dan Jonny Evans pula kembali digandingkan semula untuk mengemudi benteng tengah. Di bahagian tengah, Michael Carrick yang pada mulanya dijangka tidak diturunkan berada dalam senarai bersama-sama Tom Cleverley, Ryan Giggs dan Ashley Young. Di bahagian hadapan, Sir Alex melakukan perubahan berbanding kombinasi ketika berdepan West Bromwich apabila meletakkan Javier Hernandez dan Robin Van Persie selaku penggempur. Berbeza dengan persembahan mereka di sini musim lalu, United mula mengasak sejak wisel sepak mula ditiupkan. Diminit ke-12 United berjaya membolosi gawang tuan rumah tetapi jaringan Hernandez tidak sahkan pengadil kerana penyerang itu sudah berada dalam posisi offside. United memperolehi kesempatan terbaik diminit ke-28 menerusi hantaran lintang Ryan Giggs di hadapan pintu gol lawan, tetapi berjaya ditolak keluar Maynor Figueroa sebelum sempat disambar Hernandez. Peluang sekali lagi hadir dua minit kemudian apabila sepakan percuma Van Persie gagal ditangkap kemas Ali Al-Habsi, tetapi benteng pertahanan tuan rumah sekali lagi muncul penyelamat apabila berjaya mengeluarkan bola dari kawasan bahaya. United terus menekan benteng tuan rumah, kali ini menerusi rembatan dari jarak 25 meter Rafael yang berjaya ditepis Al-Habsi, Gawang Wigan akhirnya bocor juga diminit ke-35 apabila bola rembatan Patrice Evra yang ditepis Al-Habsi berjaya dirembat masuk Hernandez.

Lapan minit selepas itu, Van Persie yang menerima hantaran dari Hernandez mempamerkan penyudah kelas dunia dengan menewaskan dua pertahanan Wigan sebelum melepaskan rembatan kaki kanan yang menewaskan Al-Habsi buat kali kedua. Di babak kedua, United mengekalkan tempo permainan dengan terus memberikan tekanan kepada benteng The Latics. Diminit ke-59 giliran tuan rumah pula menyaksikan gol mereka dibatalkan selepas Arouna Kone yang menerima hantaran Franco di Santo dikesan sudah berada pada posisi offside. United bertindak balas selepas itu menerusi gerakan Ashley Young tetapi hantarannya gagal disudahkan Hernandez biarpun cuma berdepan Al-Habsi. Hernandez menebus kesilapannya apabila menjaringkan gol ketiga United dan gol kedua peribadinya dalam perlawanan ini diminit ke-63 dengan merembat masuk bola sepakan percuma Van Persie. Van Persie hampir menambah gol untuk United menerusi gerakan solonya diminit ke-67 tetapi rembatannya sedikit melewati palang gol. Selepas mendapati pasukannya selesa di depan, Sir Alex melakukan dua pertukaran serentak dengan mengeluarkan Michael Carrick serta Rio Ferdinand dan memasukkan Shinji Kagawa dan Chris Smalling. David de Gea pula dilihat tidak perlu bekerja keras dalam perlawanan apabila Wigan gagal melancarkan gerakan-gerakan yang benar-benar bahaya dengan pemain-pemain mereka lebih kerap melepaskan percubaan dari luar petak penalti. Sir Alex melakukan satu lagi pertukaran diminit ke-77 dengan mengeluarkan Young dan memasukkan Danny Welbeck. United menambah derita tuan rumah apabila Welbeck memanfaatkan kesilapan benteng pertahanan Wigan untuk melakukan hantaran yang berjaya disudahkan Van Persie diminit ke-88 bagi gol keempat United. Kemenangan ini menyaksikan United mengekalkan jurang tujuh mata selaku pendahulu liga selepas pencabar terdekat, Manchester City turut meraih tiga mata penuh ketika berdepan Stoke City. Paling penting benteng pertahanan United sekali lagi berjaya mengelak gawang mereka dari dibolosi buat kali kedua berturut-turut. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Statistik Perlawanan Wigan – United:

Gol: 0 – 4
Sepakan Sudut: 1 – 6
Percubaan Tepat: 3 – 9
Percubaan Tersasar: 4 – 5
Kekasaran: 13 – 5
Offside: 2 – 4
Kad Kuning: 1 – 1
Kad Merah: 0 – 0
Penguasaan Bola: 53% - 47%

01 Januari 2013

PREVIEW: WIGAN ATHLETIC lwn MANCHESTER UTD



Pengendali Wigan Athletic, Roberto Martinez berharap skuadnya mampu melakar kejutan ke atas Manchester United selepas melakukannya musim lalu. United tewas di DW Stadium April lalu hasil jaringan tunggal Shaun Maloney hingga menyumbang kepada kegagalan The Red Devils menjulang kejuaraan liga. Kemenangan yang dilakar Wigan ke atas United ketika itu cukup bermakna selepas The Latics bergelut keluar dari zon penyingkiran. Kemenangan itu juga adalah yang pertama dicatatkan Wigan ke atas United dari kesemua 16 perlawanan antara kedua-dua pasukan. Pengendali Wigan itu berharap skuadnya dapat menunjukkan sikap yang sama untuk sekali lagi melakar kejutan ke atas United selaku pendahulu liga ketika ini. Kehampaan musim lalu bagaimanapun berjaya di tebus United apabila mereka membelasah skuad bimbingan Martinez itu 4-0 pada pertemuan di Old Trafford September lalu. Martinez percaya situasi yang dialami pasukannya ketika ini yang cuba mengelak dari zon penyingkiran sama seperti musim lalu bakal menyuntik motivasi tambahan buat pemain-pemainnya ketika berdepan United. Kemenangan ke atas Aston Villa Sabtu lalu berjaya melonjakkan skuadnya keluar dari zon penyingkiran dan Martinez menaruh harapan agar mereka mampu mengulangi prestasi yang sama. Tiga mata yang diraih ke atas Villa di gelanggang lawan adalah yang pertama buat The Latics dari enam aksi terakhir mereka. “Berdepan United adalah perlawanan paling sukar buat kami. Mereka telah meletakkan tanda aras dalam saingan musim ini dan memiliki kelebihan tujuh mata di tangga teratas. Ketika ini kami amat memerlukan mata, jadi kami tidak mempunyai masa untuk melihat siapa yang akan kami hadapi”, kata Martinez.

Martinez berdepan krisis kecederaan sejak beberapa minggu lalu dengan Ben Watson, Albert Crusat, Ryo Miyaichi dan Adrian Lopez akan terlepas aksi menentang United manakala pemain pertahanan Antolin Alcaraz hanya akan kembali ketika berdepan Bournemouth dalam saingan Piala FA hujung minggu ini selepas pulih dari masalah pangkal paha. Bagi United pula, mereka dijangka mendapatkan kembali khidmat Rafael da Silva selepas diketepikan pada empat perlawanan lalu kerana masalah hamstring manakala Phil Jones pula akan disenaraikan ketika sistem penggiliran pemain dilaksanakan Sir Alex. Michael Carrick yang dikatakan keletihan selepas aksi menentang West Bromwich bakal direhatkan, tetapi Robin Van Persie yang diletakkan di bangku simpanan Sabtu lalu akan bermula dalam kesebelasan utama. Dua pencabar terdekat iaitu, Manchester City dan Chelsea menunjukkan prestasi baik pada aksi hujung minggu tetapi mereka mungkin tidak mampu menghalang United dari meraih gelaran ke-20 jika barisan The Red Devils dapat mengekalkan prestasi mereka hingga ke penghujung musim. Bagaimanapun bagi bintang veteran, Ryan Giggs yang berjaya menjulang 12 trofi liga memberi amaran masih terlalu awal untuk memikirkan kejuaraan liga ke-20 dan rakan-rakan sepasukannya tidak harus leka dengan kelebihan tujuh mata yang mereka miliki sekarang. Giggs berharap kesilapan musim lalu hingga membenarkan Manchester City merampas kejuaraan liga biarpun pada satu ketika mendahului dengan kelebihan lapan mata tidak berulang. Saingan liga baru memasuki separuh musim dan masih banyak lagi perlawanan-perlawanan sukar yang perlu diharungi. Jadi jangan perkecilkan keupayaan kelab seperti Wigan untuk melakar kejutan kerana mereka pernah melakukannya musim lalu di gelanggang yang sama. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Rekod Pertemuan Wigan – United:

Jumlah Perlawanan: 16
Menang: 1 – 15
Seri: 0 – 0
Kalah: 15 – 1

Barisan Kemungkinan Wigan:

Ali Al-Habsi, Gary Caldwell, Emmerson Boyce, Ivan Ramis, Maynor Figueroa, David Jones, Jean Beausejour, James McCarthy, Shaun Maloney, Arouna Kone & Franco Di Santo

Barisan Kemungkinan United:

David de Gea, Patrice Evra, Nemanja Vidic, Jonny Evans, Phil Jones, Paul Scholes, Shinji Kagawa, Antonio Valencia, Ashley Young, Javier Hernandez & Robin Van Persie