05 Januari 2013

PREVIEW PIALA FA: WEST HAM UNITED lwn MANCHESTER UNITED



Manchester United akan berkunjung ke Boleyn Ground bagi berdepan West Ham awal pagi esok dengan misi mahu melangkah lebih jauh dalam saingan Piala FA musim ini. Selepas dikatakan kurang memberikan tumpuan kepada saingan Piala FA sebelum ini, Sir Alex kini sudah mula melihat betapa penting buat pasukannya menjulang semula trofi kejohanan kalah mati tertua di dunia itu sejak kali terakhir melakukannya pada 2004. Meskipun ketika ini berjaya mendahului carta liga dengan kelebihan tujuh mata, agak menghairan apabila melihat The Red Devils tidak menang kejuaraan ini selama lapan musim. Hanya Darren Fletcher, Ryan Giggs dan Paul Scholes pemain yang ada dalam skuad musim ini pernah merasai nikmat menjulang Piala FA manakala Rio Ferdinand terlepas aksi final pada 2004 kerana menjalani penggantungan disebabkan gagal menjalani ujian doping. “Rio sudah bersama kami selama 10 tahun tetapi tidak pernah menjulang trofi ini (Piala FA), jadi kami harus melakukan sesuatu”, kata Sir Alex. Selepas kejayaan pada 2004, United berjaya melangkah ke final sebanyak dua kali tetapi tewas kepada Arsenal pada 2004 dan Chelsea pada 2007. Bagi West Ham pula selaku finalis pada 2006, mereka akan turun dengan misi mahu meneruskan momentum kemenangan selepas kejayaan membenam Norwich City dalam saingan liga Selasa lalu.

Selepas gagal mencapai kemenangan pada empat perlawanan sebelumnya, kemenangan ke atas Norwich menyuntik semangat buat anak-anak buah Sam Allardyce berdepan United dalam perlawanan ini. West Ham juga tentunya berharap mereka mampu mengulangi prestasi ketika menundukkan United 4-0 dalam aksi suku akhir Piala Liga pada Disember 2010. Big Sam memperolehi kekuatan tambahan dalam skuadnya apabila berjaya menandatangani Joe Cole dari Liverpool dan jika diturunkan, Cole adalah antara pemain yang perlu diawasi benteng pertahanan United. Allardyce juga akan memperolehi semula khidmat kapten pasukan, Kevin Nolan dan pertahanan, James Collins yang kembali dari penggantungan. Kelibat Joey O’Brien masih dalam keraguan kerana masalah hamstring manakala Andy Carroll dan Mohamed Diame masih meneruskan sesi rawatan. Phil Jones dan Nemanja Vidic dijangka menguatkan benteng pertahanan selepas diketepikan pada aksi liga Rabu lalu. Jones direhatkan pada tiga perlawanan terakhir United akibat kecederaan kecil manakala Vidic yang terlepas aksi di DW Stadium memang dipersiapkan Sir Alex untuk perlawanan ini. Seperti yang dijanjikan, Sir Alex akan melakukan beberapa perubahan dalam skuadnya kali ini dengan merehatkan tonggak utamanya selepas mengharungi minggu memenatkan pada aksi Boxing Day. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Fakta Perlawanan:

- Enam pertemuan terakhir antara kedua-dua pasukan menyaksikan 21 gol dihasilkan, 15 daripadanya dari United.

- Selepas berada di tangga ketujuh liga pada bulan Oktober, West Ham kalah lima perlawanan, menang tiga dan seri dua kali.

- West Ham menghasilkan purata 1.2 gol setiap perlawanan berbanding United 2.8 gol. Penjaring terbanyak mereka ialah Kevin Nolan dengan 5 gol manakala Robin Van Persie pula 16 gol untuk United.

Barisan Kemungkinan West Ham:

Jussi Jaaskelainen, Guy Demel, Joey O’Brien, Winston Reid, James Collins, Jack Collison, Mark Noble, Matt Jarvis, Kevin Nolan, Matthew Taylor & Carlton Cole

Barisan Kemungkinan United:

Anders Lindegaard, Alexander Buttner, Nemanja Vidic, Chris Smalling, Phil Jones, Darren Fletcher, Paul Scholes, Ryan Giggs, Ashley Young, Javier Hernandez & Danny Welbeck

Tiada ulasan:

Catat Ulasan