Sir Alex Ferguson sudah mengatakan bahawa
beliau tidak akan membawa masuk mana-mana pemain baru pada jendela perpindahan
pemain Januari ini. Mungkin disebabkan senang dengan skuad yang dimilikinya
sekarang menyebabkan Sir Alex mengambil keputusan sedemikian ataupun mungkin
juga ianya satu lagi permainan psikologi dari bos United itu memandangkan harga
pemain di pasaran ketika ini semakin `gila’. Jika benar apa yang dikatakan Sir
Alex (bahawa beliau tidak akan membeli pemain baru), beliau perlu memastikan
beberapa pemainnya meningkatkan lagi prestasi mereka jika United berhasrat
merampas kembali trofi Liga Perdana dari tangan Manchester City. Untuk menang
kejuaraan Liga Perdana bukanlah perkara yang mudah terutamanya apabila melihat
saingan sejak kebelakangan ini semakin sengit dan bukan lagi dikuasai oleh satu
atau dua pasukan. Justeru jika tiada sebarang pembelian baru dibuat Januari ini
maka pemain-pemain berikut perlu menggandakan usaha mereka lebih dari
sebelumnya untuk membantu kelab merealisasikan misi menjulang kejuaraan ke-20
Liga Perdana musim ini.
ASHLEY
YOUNG
Dibawa dari Villa Park pada musim panas tahun
lalu dengan nilai £16 juta, memulakan musim 2011/12 dengan baik apabila berjaya
membantu United menang trofi Perisai Komuniti dengan menewaskan Manchester City
di Wembley. Peranan yang dimainkannya di sebelah sayap kiri cukup berkesan
ketika itu apabila berjaya menyumbang lapan gol dari 33 penampilan, di samping assist yang tidak berpenghujung baik
ketika bersama skuad kebangsaan mahupun ketika bermain untuk kelab. Wayne
Rooney, Javier Hernandez dan Danny Welbeck adalah pemain yang mendapat manfaat
hasil dari prestasi baik yang ditunjukkan Young musim lalu. Walau bagaimanapun
prestasi Young musim ini cukup jauh berbeza jika dibandingkan penampilannya
musim lalu apatah lagi selepas dibelenggu kecederaan awal musim. Selepas
dikritik hebat dan dikatakan menerima surat amaran dari pihak pengurusan United
agar meningkatkan semula prestasinya, Young sudah mula menemui sentuhan yang
pernah menjulang namanya. Young bermain baik sejak kebelakangan ini dan berjaya
meraih semula kepercayaan Sir Alex hingga meletakkan dirinya semula dalam
kesebelasan utama United. Mungkin apa yang dialami Young ketika ini adalah
`Sindrom Musim Kedua’ tetapi diharapkan agar prestasi baik yang ditunjukkan
pemain sayap itu sejak kebelakangan ini berterusan. Penting bagi Young
mendapatkan semula kepercayaan Sir Alex serta peminat dan membentuk gandingan
efektifnya bersama Patrice Evra seperti musim lalu.
PHIL
JONES
Tidak perlu diragukan dengan kemampuan Phil
Jones, jika tidak mana mungkin Sir Alex Ferguson sanggup mengeluarkan belanja
sebanyak £16.5 juta untuk seorang pemain muda sepertinya. Jones seorang pemain
serba boleh, yang mampu bermain sebagai pemain pertahanan tengah, pertahanan
kanan ataupun sebagai pemain tengah bertahan. Bagaimanapun beberapa siri
kecederaan melanda bekas pemain Blackburn Rovers itu sejak dia menyertai United
menganggu prestasinya. Jones keluar dan masuk bilik rawatan sebanyak empat kali
sejak tiba di Old Trafford musim panas tahun lalu hingga mempengaruhi
prestasinya dalam tempoh 12 bulan terakhir. Walau bagaimanapun Jones sudah
bermain semula dan diberikan kesempatan menggantikan tempat Rafael da Silva ketika
pemain itu mengalami kecederaan. Prestasinya ketika kembali semula dari
kecederaan cukup memberangsangkan tetapi masih banyak lagi yang perlu
diperbaiki Jones. Jika dia betul-betul cergas sepenuhnya dan mampu bermain
sehingga akhir musim tanpa sebarang kecederaan, Jones adalah bakat besar yang
boleh membantu misi United merampas semula kejuaraan Liga Perdana musim ini.
ANTONIO
VALENCIA
Manchester United memang sudah lama diketahui
sebagai sebuah pasukan yang menyerang berteraskan kepada kekuatan di kedua-dua
bahagian sayap. Nama-nama seperti George Best, Andrej Kanchelskis, Karel
Poborski, David Beckham, Ryan Giggs, Cristiano Ronaldo hinggalah Antonio
Valencia semuanya diingati sebagai pemain sayap yang memainkan peranan utama
ketika menyerang. Antonio Valencia diakui antara tonggak utama kelab dan
prestasi yang dipamerkannya musim lalu mendorong peminat-peminat memilihnya
sebagai pemain terbaik United. Sumbangan besar yang diberikan Valencia sejak
menyertai United pada musim panas 2009 melayakkannya mewarisi jersi nombor 7 yang
pernah digunakan lagenda-lagenda United sebelumnya seperti George Best, Bryan
Robson, Eric Cantona, David Beckham dan Cristiano Ronaldo. Kepantasan Valencia
ketika memecah benteng pertahanan lawan dari sebelah kanan amat diperlukan
United. Jika Valencia berjaya mengekalkan prestasinya hingga akhir musim,
peluang United merealisasikan `Misi 20’ mereka akan menjadi semakin mudah.
NANI
Memang tidak diragukan bahawa musim ini
adalah yang paling sukar buat Nani dalam tempoh lima tahun kariernya di Old
Trafford. Kombinasi kecederaan dan kegagalan menempatkan diri dalam kesebelasan
utama menyebabkan ramai pihak meramalkan ini adalah musim terakhir Nani bersama
United. Penampilan Nani musim ini terlalu jauh dari prestasi yang dipamerkannya
dua musim lalu di mana dia berjaya menjaringkan sembilan gol dan muncul antara
pemain yang wajib berada dalam kesebelasan utama United. Kehadiran Antonio
Valencia dan Ashley Young bermakna Nani bukan lagi pilihan utama dan terpaksa
bersaing dengan dua pemain ini untuk merebut posisi di bahagian sayap. Sebelum
ini terdapat spekulasi mengatakan bahawa Nani akan meninggalkan kelab pada
bulan Januari ketika pasaran perpindahan pemain mula dibuka. Walau bagaimanapun
Sir Alex segera menafikan khabar angin itu, mungkin disebabkan beliau masih
melihat Nani mampu menyumbangkan sesuatu buat The Red Devils. Jika Nani mampu mengulangi semula prestasi yang
dipamerkannya dua musim lalu hingga menyebabkan penyokong-penyokong United
melupakan Cristiano Ronaldo dengan begitu cepat, maka United akan muncul
pilihan utama merampas kembali kejuaraan liga yang terlepas pada seteru
setempat mereka, Manchester City musim lalu. Glory Glory Manchester United!!! - A.J
Tiada ulasan:
Catat Ulasan