02 Januari 2013

REVIEW: KEMENANGAN MUDAH DI TAHUN BARU


Wigan Athletic gagal mengulangi pencapaian mereka ke atas Manchester United yang dilakukan mereka musim lalu apabila tewas 0-4 di gelanggang sendiri. Dua gol masing-masing dari Robin Van Persie dan Javier Hernandez menyaksikan United berjaya mengulangi keputusan yang sama ke atas Wigan ketika pertemuan di Old Trafford September lalu. United memulakan perlawanan tanpa kelibat Nemanja Vidic yang direhatkan manakala Rafael da Silva yang terlepas aksi empat perlawanan kerana masalah hamstring kembali diletakkan dalam kesebelasan utama. Rio Ferdinand dan Jonny Evans pula kembali digandingkan semula untuk mengemudi benteng tengah. Di bahagian tengah, Michael Carrick yang pada mulanya dijangka tidak diturunkan berada dalam senarai bersama-sama Tom Cleverley, Ryan Giggs dan Ashley Young. Di bahagian hadapan, Sir Alex melakukan perubahan berbanding kombinasi ketika berdepan West Bromwich apabila meletakkan Javier Hernandez dan Robin Van Persie selaku penggempur. Berbeza dengan persembahan mereka di sini musim lalu, United mula mengasak sejak wisel sepak mula ditiupkan. Diminit ke-12 United berjaya membolosi gawang tuan rumah tetapi jaringan Hernandez tidak sahkan pengadil kerana penyerang itu sudah berada dalam posisi offside. United memperolehi kesempatan terbaik diminit ke-28 menerusi hantaran lintang Ryan Giggs di hadapan pintu gol lawan, tetapi berjaya ditolak keluar Maynor Figueroa sebelum sempat disambar Hernandez. Peluang sekali lagi hadir dua minit kemudian apabila sepakan percuma Van Persie gagal ditangkap kemas Ali Al-Habsi, tetapi benteng pertahanan tuan rumah sekali lagi muncul penyelamat apabila berjaya mengeluarkan bola dari kawasan bahaya. United terus menekan benteng tuan rumah, kali ini menerusi rembatan dari jarak 25 meter Rafael yang berjaya ditepis Al-Habsi, Gawang Wigan akhirnya bocor juga diminit ke-35 apabila bola rembatan Patrice Evra yang ditepis Al-Habsi berjaya dirembat masuk Hernandez.

Lapan minit selepas itu, Van Persie yang menerima hantaran dari Hernandez mempamerkan penyudah kelas dunia dengan menewaskan dua pertahanan Wigan sebelum melepaskan rembatan kaki kanan yang menewaskan Al-Habsi buat kali kedua. Di babak kedua, United mengekalkan tempo permainan dengan terus memberikan tekanan kepada benteng The Latics. Diminit ke-59 giliran tuan rumah pula menyaksikan gol mereka dibatalkan selepas Arouna Kone yang menerima hantaran Franco di Santo dikesan sudah berada pada posisi offside. United bertindak balas selepas itu menerusi gerakan Ashley Young tetapi hantarannya gagal disudahkan Hernandez biarpun cuma berdepan Al-Habsi. Hernandez menebus kesilapannya apabila menjaringkan gol ketiga United dan gol kedua peribadinya dalam perlawanan ini diminit ke-63 dengan merembat masuk bola sepakan percuma Van Persie. Van Persie hampir menambah gol untuk United menerusi gerakan solonya diminit ke-67 tetapi rembatannya sedikit melewati palang gol. Selepas mendapati pasukannya selesa di depan, Sir Alex melakukan dua pertukaran serentak dengan mengeluarkan Michael Carrick serta Rio Ferdinand dan memasukkan Shinji Kagawa dan Chris Smalling. David de Gea pula dilihat tidak perlu bekerja keras dalam perlawanan apabila Wigan gagal melancarkan gerakan-gerakan yang benar-benar bahaya dengan pemain-pemain mereka lebih kerap melepaskan percubaan dari luar petak penalti. Sir Alex melakukan satu lagi pertukaran diminit ke-77 dengan mengeluarkan Young dan memasukkan Danny Welbeck. United menambah derita tuan rumah apabila Welbeck memanfaatkan kesilapan benteng pertahanan Wigan untuk melakukan hantaran yang berjaya disudahkan Van Persie diminit ke-88 bagi gol keempat United. Kemenangan ini menyaksikan United mengekalkan jurang tujuh mata selaku pendahulu liga selepas pencabar terdekat, Manchester City turut meraih tiga mata penuh ketika berdepan Stoke City. Paling penting benteng pertahanan United sekali lagi berjaya mengelak gawang mereka dari dibolosi buat kali kedua berturut-turut. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Statistik Perlawanan Wigan – United:

Gol: 0 – 4
Sepakan Sudut: 1 – 6
Percubaan Tepat: 3 – 9
Percubaan Tersasar: 4 – 5
Kekasaran: 13 – 5
Offside: 2 – 4
Kad Kuning: 1 – 1
Kad Merah: 0 – 0
Penguasaan Bola: 53% - 47%

Tiada ulasan:

Catat Ulasan