Pengendali Wigan Athletic, Roberto Martinez
berharap skuadnya mampu melakar kejutan ke atas Manchester United selepas
melakukannya musim lalu. United tewas di DW Stadium April lalu hasil jaringan
tunggal Shaun Maloney hingga menyumbang kepada kegagalan The Red Devils menjulang kejuaraan liga. Kemenangan yang dilakar
Wigan ke atas United ketika itu cukup bermakna selepas The Latics bergelut keluar dari zon penyingkiran. Kemenangan itu
juga adalah yang pertama dicatatkan Wigan ke atas United dari kesemua 16
perlawanan antara kedua-dua pasukan. Pengendali Wigan itu berharap skuadnya
dapat menunjukkan sikap yang sama untuk sekali lagi melakar kejutan ke atas
United selaku pendahulu liga ketika ini. Kehampaan musim lalu bagaimanapun
berjaya di tebus United apabila mereka membelasah skuad bimbingan Martinez itu
4-0 pada pertemuan di Old Trafford September lalu. Martinez percaya situasi
yang dialami pasukannya ketika ini yang cuba mengelak dari zon penyingkiran
sama seperti musim lalu bakal menyuntik motivasi tambahan buat pemain-pemainnya
ketika berdepan United. Kemenangan ke atas Aston Villa Sabtu lalu berjaya melonjakkan
skuadnya keluar dari zon penyingkiran dan Martinez menaruh harapan agar mereka
mampu mengulangi prestasi yang sama. Tiga mata yang diraih ke atas Villa di
gelanggang lawan adalah yang pertama buat The
Latics dari enam aksi terakhir mereka. “Berdepan United adalah perlawanan
paling sukar buat kami. Mereka telah meletakkan tanda aras dalam saingan musim
ini dan memiliki kelebihan tujuh mata di tangga teratas. Ketika ini kami amat
memerlukan mata, jadi kami tidak mempunyai masa untuk melihat siapa yang akan
kami hadapi”, kata Martinez.
Martinez berdepan krisis kecederaan sejak
beberapa minggu lalu dengan Ben Watson, Albert Crusat, Ryo Miyaichi dan Adrian
Lopez akan terlepas aksi menentang United manakala pemain pertahanan Antolin
Alcaraz hanya akan kembali ketika berdepan Bournemouth dalam saingan Piala FA
hujung minggu ini selepas pulih dari masalah pangkal paha. Bagi United pula,
mereka dijangka mendapatkan kembali khidmat Rafael da Silva selepas diketepikan
pada empat perlawanan lalu kerana masalah hamstring manakala Phil Jones pula
akan disenaraikan ketika sistem penggiliran pemain dilaksanakan Sir Alex.
Michael Carrick yang dikatakan keletihan selepas aksi menentang West Bromwich bakal
direhatkan, tetapi Robin Van Persie yang diletakkan di bangku simpanan Sabtu
lalu akan bermula dalam kesebelasan utama. Dua pencabar terdekat iaitu, Manchester
City dan Chelsea menunjukkan prestasi baik pada aksi hujung minggu tetapi
mereka mungkin tidak mampu menghalang United dari meraih gelaran ke-20 jika
barisan The Red Devils dapat
mengekalkan prestasi mereka hingga ke penghujung musim. Bagaimanapun bagi
bintang veteran, Ryan Giggs yang berjaya menjulang 12 trofi liga memberi amaran
masih terlalu awal untuk memikirkan kejuaraan liga ke-20 dan rakan-rakan
sepasukannya tidak harus leka dengan kelebihan tujuh mata yang mereka miliki
sekarang. Giggs berharap kesilapan musim lalu hingga membenarkan Manchester
City merampas kejuaraan liga biarpun pada satu ketika mendahului dengan
kelebihan lapan mata tidak berulang. Saingan liga baru memasuki separuh musim
dan masih banyak lagi perlawanan-perlawanan sukar yang perlu diharungi. Jadi
jangan perkecilkan keupayaan kelab seperti Wigan untuk melakar kejutan kerana
mereka pernah melakukannya musim lalu di gelanggang yang sama. Glory Glory
Manchester United!!! – A.J
Rekod Pertemuan Wigan – United:
Jumlah Perlawanan: 16
Menang: 1 – 15
Seri: 0 – 0
Kalah: 15 – 1
Barisan Kemungkinan Wigan:
Ali Al-Habsi, Gary Caldwell, Emmerson Boyce,
Ivan Ramis, Maynor Figueroa, David Jones, Jean Beausejour, James McCarthy,
Shaun Maloney, Arouna Kone & Franco Di Santo
Barisan Kemungkinan United:
David de Gea, Patrice Evra, Nemanja Vidic,
Jonny Evans, Phil Jones, Paul Scholes, Shinji Kagawa, Antonio Valencia, Ashley
Young, Javier Hernandez & Robin Van Persie
Tiada ulasan:
Catat Ulasan