02 Januari 2013

RVP: SAYA DIKELILINGI PARA JUARA


Selepas menjaringkan dua gol dalam pertemuan menentang Wigan Athletic semalam, Robin Van Persie percaya prestasi cemerlangnya dalam musim pertama bersama United banyak dibantu oleh rakan-rakan sepasukan di sekelilingnya. Van Persie menganggap dia beruntung kerana dikelilingi pemain-pemain United yang mempunyai mental juara. Menurut Van Persie dia mudah menyesuaikan diri di Old Trafford selepas berpindah dari Arsenal kerana bantuan rakan-rakan sepasukan hingga tidak memerlukan waktu yang lama untuk menyinar bersama The Red Devils. United menewaskan Wigan Athletic 4-0, pasukan yang menewaskan mereka April lalu di gelanggang yang sama (DW Stadium) menerusi dua gol dari Javier Hernandez dan Van Persie sendiri. Dua gol yang dihasilkan Van Persie dalam perlawanan ini melonjakkan penyerang itu di tangga teratas senarai penjaring terbanyak ketika ini dengan 16 gol. “Ini (United) adalah pasukan yang sangat istimewa kerana semua orang bekerja untuk membantu antara satu sama lain. Kita mungkin terpaksa menunggu tetapi apa yang jelas kami semua ingin muncul juara. Saya dikelilingi para juara. Mereka tahu caranya untuk menang dan membuatkan tugas saya menjadi semakin mudah”, kata Van Persie. Van Persie merujuk kepada tindakan Danny Welbeck yang melakukan hantaran kepadanya meskipun pemain muda United itu sendiri mempunyai peluang menjaringkan gol. Mentaliti seperti itulah yang menurut Van Persie menjadi rahsia mengapa United mampu menjaringkan banyak gol setakat ini. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Tiada ulasan:

Catat Ulasan