Manchester United mungkin gagal
menandatangani dua pemain tengah yang mereka sasarkan sebelum ini selepas kelab
Turki, Galatasaray mengumumkan bahawa mereka telah mengadakan rundingan bagi
mendapatkan perancang Inter Milan, Wesley Sneijder. Seorang lagi pemain yang
disensasikan oleh media menjadi rebutan empat kelab di England (United, Man
City, Chelsea dan Spurs) iaitu Luka Modric pula dikatakan akan kekal bersama
Real Madrid. Sneijder yang sudah dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford
dua tahun kebelakangan ini tidak bermain untuk Nerazzurri sejak September lalu berikutan pertikaian mengenai gaji
meskipun Andrea Stramaccioni mengatakan ketiadaan kelibat perancang tengah itu
adalah disebabkan percaturan taktikalnya. Meskipun Inter masih memiliki dua perlawanan
sebelum rehat musim sejuk, Sneijder nampaknya seperti tidak lagi berpeluang
menyarung jersi kelab dari kota Milan itu. “Galatasaray mengumumkan sudah
memulakan proses rundingan dengan Internazionale untuk perpindahan Wesley
Sneijder”, demikian kenyataan rasmi kelab Turki itu dalam laman sesawang rasmi
mereka. Sementara itu, Luka Modric yang dikatakan turut menjadi sasaran United
berkemungkinan besar akan terus kekal di Santiago Bernabeu meskipun kurang
diberi peluang tampil dalam kesebelasan utama Real. Rakan sepasukan Modric,
Xabi Alonso percaya perancang tengah itu tidak akan meninggalkan pasukan untuk
bergabung dengan United dan perlu diberikan waktu untuk menyesuaikan diri
dengan corak permainan di La Liga. “Dia (Modric) bermain di posisi di mana kami
memiliki beberapa pemain yang turut bersaing merebut tempat dalam kesebelasan
utama. Dia perlukan waktu untuk menyesuaikan diri dalam saingan La Liga dan
saya percaya dia akan menjadi pemain yang penting kepada kami”, kata Alonso. Glory
Glory Manchester United!!! – A.J
09 Januari 2013
KUNCI PERTEMUAN UNITED - LIVERPOOL
Ahad ini, Manchester United akan menanti
kunjungan seteru tradisi mereka, Liverpool di Old Trafford bagi pertembungan
ke-159 dalam sejarah pertemuan antara kedua-dua kelab. Tidak kira di mana
kedudukan Liverpool dalam carta liga ketika ini, The Reds secara tradisinya adalah lawan yang sukar dan kebiasaannya
mereka akan memberikan aksi terbaik setiap kali berdepan United. September lalu,
United berjaya menewaskan Liverpool di Anfield dalam satu aksi yang cukup
sengit hasil jaringan Rafael da Silva dan penalti Robin Van Persie selepas
Steven Gerrard meletakkan tuan rumah di depan terlebih dahulu. Perlawanan itu
juga diwarnai insiden layangan kad merah kepada Jonjo Shelvy kerana terjahan
kerasnya ke atas Jonny Evans di separuh masa pertama. Pertemuan United dan
Liverpool, Ahad ini bukan saja penerus kepada perseteruan antara kedua-dua
kelab paling berjaya dalam sejarah bolasepak England itu malah beberapa pemain
tonggak kedua-dua pasukan bakal menjadi tumpuan dan menjadi kunci kepada
pertemuan ini. Berikut adalah pertembungan posisi pemain yang bakal menjadi
tumpuan dalam perlawanan ini:
ROBIN
VAN PERSIE lwn MARTIN SKRTEL & DANIEL AGGER
Robin Van Persie sudah menjaringkan 20 gol
(dalam semua kejohanan) untuk United sejak tiba dari Arsenal musim panas lalu
dan kelihatan semakin selesa perlawanan demi perlawanan. Van Persie membuktikan
kebenaran kata-kata Roberto Mancini yang melabelkan penyerang antarabangsa
Belanda itu bakal menjadi faktor penentu dalam perlumbaan merebut kejuaraan
liga musim ini selepas menjaringkan gol penyamaan lewat permainan ketika berdepan
West Ham dalam saingan Piala FA, Sabtu lalu. Van Persie juga sudah menjaringkan
7 gol dari 7 penampilan terakhirnya dan barisan pertahanan Liverpool pastinya
sedar bahawa penyerang itu bakal menjadi ancaman terbesar mereka dalam
perlawanan ini. Mereka (pertahanan Liverpool) tidak dibolosi dalam dua
perlawanan terakhir ketika menentang Queens Park Rangers dan Sunderland, jadi
adalah menarik untuk melihat apa yang Martin Skrtel dan Daniel Agger mampu
lakukan bagi menyekat momentum jaringan gol Van Persie.
LUIS
SUAREZ lwn RIO FERDINAND & JONNY EVANS
Sir Alex Ferguson berkemungkinan besar
merehatkan Nemanja Vidic yang baru pulih dari kecederaan dari terbabit dalam
perlawanan berprofil tinggi seperti ini. Jadi Rio Ferdinand dan Jonny Evans
bakal digandingkan semula untuk membentuk kombinasi di bahagian tengah pertahanan
United. Sepertimana Liverpool, United juga tidak dibolosi dalam dua perlawanan
terakhir mereka ketika menentang West Bromwich dan Wigan Athletic, namun dengan
koleksi 15 gol dari Luis Suarez pada saingan liga, Rio dan Evans sepatutnya
turun dengan prestasi terbaik mereka bagi menyekat penyerang The Reds itu. Prestasi kurang konsisten
yang dipamerkan benteng pertahanan United musim ini hingga membenarkan lawan
membocori gawang mereka sebanyak 28 kali pastinya membuatkan Liverpool berasa
cukup yakin bahawa mereka akan menjaringkan gol di Old Trafford nanti.
TOM
CLEVERLEY & MICHAEL CARRICK lwn STEVEN GERRARD & LUCAS
Kedua-dua kombinasi ini adalah bahagian
penting dalam menentukan siapa yang bakal mendominasi permainan. Liverpool di
bawah kendalian Brendan Rodgers bermain dengan baik sejak kebelakangan ini
walaupun mempamerkan aksi goyah di awal musim. Bagaimanapun United memiliki statistik
penguasaan bola sebanyak 60% dalam hampir setiap perlawanan mereka musim ini.
Michael Carrick dan Tom Cleverley berjaya membentuk gandingan mantap di
bahagian tengah United manakala Lucas Leiva pula adalah sebahagian dari
percaturan Brendan Rodgers sejak pemain tengah Brazil itu kembali dari
kecederaan jangka panjang. Tidak syak lagi bahawa Carrick adalah pemain utama
United di bahagian tengah yang begitu tenang ketika mengawal permainan selain
memiliki hantaran-hantaran berkualiti sambil dibantu aksi agresif Cleverley
ketika menjana jentera tengah. Pada pertembungan di Anfield,
September lalu, The Reds mendahului
United dari segi statistik penguasaan bola dengan 53% tetapi keadaan pasti berbeza apabila Carrick dan Cleverley bermain di hadapan penyokong sendiri nanti.
ASHLEY
YOUNG lwn GLEN JOHNSON
Ashley Young bangkit dengan persembahan
mengagumkan sejak kebelakangan ini terutamanya ketika berdepan Newcastle
United, West Bromwich dan Wigan Athletic selepas dikritik hebat berikutan aksi longlai
di awal musim. Peningkatan yang dipamerkan Young menyaksikan dia berjaya
merebut semula tempatnya di bahagian sayap kiri United. Walau bagaimanapun Ahad
ini, Young akan berdepan pemain pertahanan kanan utama dalam skuad kebangsaan
England, Glen Johnson. Johnson melaksanakan tugasnya dengan begitu berkesan musim
ini dan dia adalah antara bahagian penting ketika Liverpool melakukan serangan.
Johnson akan sentiasa bergerak di sepanjang bahagian kiri kawasan lawan ketika
Liverpool menguasai bola, jadi Young perlu sentiasa memerhati gerak-geri pemain
ini baik ketika United bertahan mahupun ketika menyerang.
DAVID
DE GEA lwn PEPE REINA
Perlawanan ini akan menjadi medan buat kedua-dua
penjaga gol dari Sepanyol ini membuktikan siapa diantara mereka lebih baik. De
Gea kelihatan sudah semakin serasi dengan saingan bolasepak di England dan
berjaya menempatkan dirinya sebagai penjaga gol nombor satu United. Sebaik
pulih dari kecederaan, Reina pula mendapati tempatnya sebagai penjaga gol utama
Liverpool semakin diancam dengan prestasi memberangsangkan Brad Jones. Jadi
hanya aksi terbaik dalam perlawanan ini akan menambat semula hati Brendan
Rodgers dan mengukuhkan semula kedudukan Reina sebagai penjaga gol nombor satu The Reds. Kedua-duanya berjaya mengelak
gawang mereka dari dibolosi pada dua perlawanan terakhir, dan kejayaan
mengekalkan statistik ini pada perlawanan Ahad nanti bakal meningkatkan lagi nilai
mereka di mata pengurus masing-masing. Sepertimana pertembungan-pertembungan
United dan Liverpool sebelumnya, perlawanan ke-159 antara kedua-dua musuh
tradisi itu Ahad nanti sudah tentu akan berlangsung sengit, sesuai dengan
tradisi permusuhan antara mereka sejak sekian lama. Ini bukan sekadar
perlawanan untuk merebut tiga mata atau sekadar memenuhi jadual perlawanan
liga, tetapi ini adalah pertembungan antara dua musuh tradisi yang dianggap
sebagai perlawanan besar dalam kalendar bolasepak England setiap musim. Glory
Glory Manchester United!!! – A.J
08 Januari 2013
BECKHAM SERTAI HAMMERS? BENAR ATAU ANGAN-ANGAN KOSONG
Bekas bintang dan idola di Old Trafford,
David Beckham terjerat dengan spekulasi bakal menyertai West Ham selepas
kelibatnya dapat disaksikan ketika pertemuan Hammers dan United pada saingan pusingan ketiga Piala FA, Sabtu
lalu. Jika pemain lain, media mungkin tidak memainkan spekulasi seperti ini,
tetapi individu seperti Beckham sentiasa menjadi perhatian dan media sentiasa
mencari cerita tentang dirinya untuk disensasikan. Selepas membantu LA Galaxy menjuarai
Major League Soccer, Beckham mengambil keputusan meninggalkan kelab itu hingga
mencetuskan tandatanya tentang ke manakah destinasi berikut yang akan
ditujuinya. Ada yang menyebut Beckham akan bermain jauh di Timur Asia dengan
menyertai kelab di China, tidak kurang juga yang meramalkan Australia, Perancis
dan England sebagai destinasi yang akan dituju Beckham bahkan kembali semula ke
Amerika Syarikat. Selepas perlawanan menentang United Sabtu lalu, Sam Allardyce
bermain teka teki mengenai Beckham apabila berkata, “Kami akan tunggu dan lihat
berkenaan hal ini”. Apapun boleh terjadi dalam pasaran perpindahan pemain
walaupun sebelumnya Beckham pernah mengatakan dia tidak akan bermain dengan
mana-mana kelab di England kecuali Manchester United. Pemilik kelab (West Ham),
David Gold mengatakan bahawa menandatangani Beckham adalah sesuatu yang fantastik.
Walau apapun alasannya, kelibat Beckham di Boleyn Ground tidak lebih sebagai
penonton dan apa yang dimainkan oleh media mungkin tinggal sebagai spekulasi. Beckham
lahir di Leytonstone, London dimana rumah ibu bapanya tidak jauh dari Upton
Park. Kehadirannya mungkin disebabkan mahu menyaksikan aksi United iaitu kelab
yang disertainya selama 10 tahun. Beckham tidak mungkin menyertai West Ham jika
diambilkira apa yang pernah penyokong-penyokong Hammers lakukan kepadanya 15 tahun lalu. Masih ingatkah anda
tentang layangan kad merah yang diterima Beckham ketika menentang Argentina
pada Piala Dunia 1998 hingga menyebabkan England tersingkir di pusingan kedua?
Selepas pulang ke England, Beckham di`sambut’ kira-kira 500 penyokong Hammers yang melempar batu dan botol ke
arahnya. Waktu mungkin boleh menyembuhkan luka tetapi parutnya tetap ada, dan
Beckham tidak mungkin boleh melupakan layanan buruk yang pernah diberikan
penyokong-penyokong Hammers
terhadapnya. Apapun yang pastinya, Beckham masih belum menyertai West Ham dan
idea yang mengatakan dia akan menyertai kelab dari London itu mungkin sekadar
angan-angan kosong. Glory Glory Manchester United!!! – A.J
PEREIRA TANDATANGAN KONTRAK SEBAGAI PROFESIONAL
Bintang dalam pembikinan, Andreas Pereira
menandatangani kontrak secara rasmi sebagai pemain profesional, kurang seminggu
dari tarikh ulang tahun ke-17nya. Remaja yang dilahirkan di Duffel, Belgium itu
berasal dari keluarga berketurunan Brazil dan bakatnya mula dikesan pada usia
muda oleh kelab Belanda, PSV Eindhoven. Pereira kemudiannya meninggalkan
Eindhoven dan menyertai United pada tahun 2011 sebagai perantis di Akademi
Manchester United. Bakatnya sebagai pemain tidak boleh disangkal hasil dari
warisan keluarganya di mana Pereira muncul bintang dalam skuad U18 United dan
telah tampil untuk skuad U21. Pereira antara bakat muda dalam akademi yang
berkembang begitu pesat dan barisan kejurulatihan United percaya anak muda ini mampu
memberikan impak besar dalam tempoh beberapa tahun lagi. Pereira yang bermain di bahagian
tengah menandatangani kontrak sebagai pemain profesional bersama seorang lagi rakan dalam skuad remaja United, James Wilson. Walaupun tersingkir awal pada
saingan Piala FA Remaja, banyak perkara yang boleh diharapkan dari pemain
remaja seperti Pereira dan Wilson terutamanya selepas melihat pemain-pemain
yang dilahirkan dari akademi seperti Danny Welbeck dan Tom Cleverley muncul
bintang dalam skuad utama ketika ini. Pereira memiliki aset menerusi rembatan
yang tepat dan sering menjaringkan gol-gol penting ketika beraksi dalam saingan
liga U18, jadi di masa hadapan kita mungkin akan mendengar lebih banyak lagi perkara-perkara
positif tentang pemain ini. Selepas menyaksikan apa yang dipamerkannya, tidak
mustahil jika satu hari nanti Pereira akan mengikut jejak langkah dan mencapai
standard rakan-rakan senegaranya yang beraksi di Liga Perdana ketika ini
seperti Marouane Fellaini, Moussa Dembele dan Eden Hazard. Glory Glory
Manchester United!!! – A.J
07 Januari 2013
PERLUMBAAN SENGIT UNTUK MENDAPATKAN MODRIC
Empat kelab yang menguasai tangga teratas
liga ketika ini, Manchester United, Manchester City, Chelsea dan Tottenham
Hotspurs diberitakan sedang bersaing mendapatkan tandatangan pemain tengah Real
Madrid, Luka Modric. Pemain antarabangsa Croatia itu yang berpindah dari White
Hart Lane ke Santiago Bernabeu musim panas lalu kecewa kerana gagal menempatkan
dirinya dalam kesebelasan utama Real. Modric hanya tampil sebanyak lapan kali
dalam kesebelasan permulaan pada aksi liga setakat ini berikutan kegagalannya
bersaing dengan Mesut Ozil dan Xabi Alonso di bahagian tengah. Meskipun gergasi
Sepanyol itu terpaksa mengeluarkan dana sebanyak £ 33 juta ketika membawa
Modric dari Spurs, mereka nampaknya tidak teragak-agak melepaskan pemain itu
jika menerima tawaran bersesuaian dari mana-mana kelab. Situasi tidak menentu
yang melanda Modric menyebabkan United, City, Chelsea dan bekas kelabnya sendiri
Spurs memantau penuh teliti perkembangan terkini pemain tengah berbakat itu.
Biarpun gagal bersaing dalam kesebelasan utama Real, Modric masih dilihat
sebagai pemain tengah penuh teknikal yang dikagumi, jadi tidak hairanlah mengapa
empat kelab England tadi berminat membawanya semula beraksi di Liga Perdana. Bukan
rahsia lagi bahawa Sir Alex Ferguson memang memerlukan kualiti tambahan di
bahagian tengah skuadnya, dan beliau dilaporkan sedang melakukan
langkah-langkah yang perlu untuk membawa Modric keluar dari kota Madrid.
Chelsea pula melihat Modric sebagai pemain yang cukup ideal untuk menggantikan
tempat Frank Lampard selepas ramai yang menjangka pemain veteran itu akan
meninggalkan Stamford Bridge selewat-lewatnya musim panas hadapan. Biarpun
mereka mungkin tidak mampu bersaing dari segi kewangan untuk mendapatkan Modric,
penyokong-penyokong Spurs tetap berharap agar Daniel Levy dapat melakukan sesuatu
untuk membawa pulang semula pemain itu ke White Hart Lane. Bagi kelab mewah
seperti City, wang tidak menjadi halangan untuk mereka membawa masuk pemain berkualiti
seperti Modric. Dengan Yaya Toure yang akan terlibat dengan tugasan
antarabangsa bersama skuad kebangsaan Ivory Coast pada saingan Piala Negara-Negara
Afrika, Roberto Mancini memerlukan pengganti setaraf untuk mengisi kekosongan
yang ditinggalkan Toure dan Modric adalah calon paling sesuai untuk memikul
tanggungjawab itu. Glory Glory Manchester United!!! – A.J
06 Januari 2013
REAKSI BOS SELEPAS PERLAWANAN
Sir Alex Ferguson melahirkan kekagumannya
atas prestasi yang dipamerkan Robin Van Persie musim ini selepas pemain itu muncul
penyelamat pasukannya ketika berdepan West Ham dalam saingan Piala FA awal pagi
tadi. Van Persie sekali lagi menunjukkan kualiti sebagai penyerang kelas dunia
di Boleyn Ground apabila menjaringkan gol penyamaan di babak akhir permainan
sekaligus memaksa West Ham bermain perlawanan ulangan di Old Trafford. United
sempat mendahului tuan rumah menerusi jaringan Tom Cleverley namun kemudiannya
ketinggalan hasil dua gol James Collins. Ketika permainan memasuki masa
kecederaan, rembatan kaki kanan Van Persie yang menerima hantaran jauh Ryan
Giggs menyelamatkan United dari tersingkir dan memaksa kedua-dua pasukan
bertemu sekali lagi untuk merebut slot ke pusingan keempat. Selepas tamat
perlawanan, Sir Alex pantas memuji sumbangan yang diberikan Van Persie, pemain
yang ditandatanganinya musim panas lalu. “Anda harus mengakui bahawa umpanan
dari Giggs cukup berkualiti, tetapi penyudah dari Van Persie adalah kelas dunia”,
kata Sir Alex. Keputusan seri 2-2 yang dicatat United semalam kembali membuka
peluang buat barisan The Red Devils meneruskan
misi mereka menjulang trofi Piala FA musim ini selepas kali terakhir
memenanginya pada 2004. Tidak seperti musim-musim sebelumnya, Sir Alex
menetapkan kejohanan ini (saingan Piala FA) sebagai sasaran mereka dan berharap
United mampu melangkah ke perlawanan akhir buat kali pertama sejak 2007. Glory
Glory Manchester United!!! – A.J
REVIEW: GOL RVP ELAK UNITED DARI TERSINGKIR
Gol penghujung babak permainan oleh Robin Van
Persie menyelamatkan Manchester United dari tersingkir di pusingan ketiga Piala
FA selepas The Red Devils berjaya mengikat
West Ham dengan keputusan 2-2 di Boleyn Ground. The Hammers hampir menyingkirkan United ketika permainan memasuki
masa kecederaan sebelum Van Persie menyamakan kedudukan sekaligus memaksa tuan
rumah bermain perlawanan ulangan di Old Trafford selepas ini. Perlawanan awal
pagi tadi menyaksikan kepulangan semula Joe Cole ke kelab yang pernah disertai
ketika zaman remajanya dan kehadiran bekas pemain Chelsea, LOSC Lille dan
Liverpool itu meninggalkan kesan besar buat The
Hammers ini apabila dua assist
sumbangannya berjaya menghasilkan gol buat mereka. United bagaimanapun berjaya mendahului
tuan rumah menerusi gol Tom Cleverley diminit ke-23 hasil hantaran Javier
Hernandez dari sebelah kanan. Kelebihan United tidak bertahan lama apabila West
Ham berjaya menyamakan kedudukan empat minit kemudian menerusi tandukan pemain
pertahanan mereka James Collins. Perlawanan berlangsung agak seimbang sepanjang
babak pertama yang berkesudahan dengan kedua-dua pasukan terikat 1-1.
Tuan rumah memulakan babak kedua dengan
langkah kanan apabila Collins sekali lagi bertindak cemerlang menyudahkan
hantaran Cole untuk gol keduanya diminit ke-59. Ketinggalan 1-2, United
mengasak hebat benteng tuan rumah untuk mencari gol penyamaan namun dikecewakan
kekentalan Collins, Guy Demel, Daniel Potts dan James Tomkins di bahagian
belakang. Selepas buntu dalam usaha mereka memecah benteng pertahanan lawan,
Sir Alex Ferguson melakukan dua pertukaran serentak dengan mengeluarkan Paul
Scholes serta Javier Hernandez dan memasukkan Van Persie dan Antonio Valencia
diminit ke-67. Ketika perlawanan memasuki masa kecederaan dan tuan rumah sudah
mula memasang impian layak ke pusingan keempat, Van Persie akhirnya muncul
penyelamat apabila berjaya menyamakan kedudukan selepas menerima hantaran jauh dari
Ryan Giggs. Rembatan kaki kanan Van
Persie gagal diselamatkan Jussi Jaaskelainen untuk memaksa perlawanan ulangan
diadakan di Old Trafford. Ini juga adalah gol ke-20 Van Persie dalam semua
kejohanan musim ini sekaligus menepati status yang diberikan kepadanya selaku
pemain yang bakal menjadi penentu kepada usaha United memenangi kejuaraan musim
ini. Glory Glory Manchester United!!! – A.J
Susunan Pemain West Ham:
Jussi Jaaskelainen, James Collins, Guy Demel,
James Tomkins, Daniel Potts, Alou Diarra (Mark Noble 70’), Jack Collison, Carlton Cole, Kevin Nolan, Joe Cole (Matthew Taylor 77’) & Ricardo Vaz Te (Matt
Jarvis 60’)
Susunan Pemain United:
David de Gea, Jonny Evans, Nemanja Vidic,
Chris Smalling (Ryan Giggs 77’), Alexander Buttner, Tom Cleverley, Paul Scholes
(Antonio Valencia 67’), Rafael da Silva, Danny Welbeck, Shinji Kagawa & Javier Hernandez (Robin Van Persie 67’).
Langgan:
Catatan (Atom)












