Bekas bintang dan idola di Old Trafford,
David Beckham terjerat dengan spekulasi bakal menyertai West Ham selepas
kelibatnya dapat disaksikan ketika pertemuan Hammers dan United pada saingan pusingan ketiga Piala FA, Sabtu
lalu. Jika pemain lain, media mungkin tidak memainkan spekulasi seperti ini,
tetapi individu seperti Beckham sentiasa menjadi perhatian dan media sentiasa
mencari cerita tentang dirinya untuk disensasikan. Selepas membantu LA Galaxy menjuarai
Major League Soccer, Beckham mengambil keputusan meninggalkan kelab itu hingga
mencetuskan tandatanya tentang ke manakah destinasi berikut yang akan
ditujuinya. Ada yang menyebut Beckham akan bermain jauh di Timur Asia dengan
menyertai kelab di China, tidak kurang juga yang meramalkan Australia, Perancis
dan England sebagai destinasi yang akan dituju Beckham bahkan kembali semula ke
Amerika Syarikat. Selepas perlawanan menentang United Sabtu lalu, Sam Allardyce
bermain teka teki mengenai Beckham apabila berkata, “Kami akan tunggu dan lihat
berkenaan hal ini”. Apapun boleh terjadi dalam pasaran perpindahan pemain
walaupun sebelumnya Beckham pernah mengatakan dia tidak akan bermain dengan
mana-mana kelab di England kecuali Manchester United. Pemilik kelab (West Ham),
David Gold mengatakan bahawa menandatangani Beckham adalah sesuatu yang fantastik.
Walau apapun alasannya, kelibat Beckham di Boleyn Ground tidak lebih sebagai
penonton dan apa yang dimainkan oleh media mungkin tinggal sebagai spekulasi. Beckham
lahir di Leytonstone, London dimana rumah ibu bapanya tidak jauh dari Upton
Park. Kehadirannya mungkin disebabkan mahu menyaksikan aksi United iaitu kelab
yang disertainya selama 10 tahun. Beckham tidak mungkin menyertai West Ham jika
diambilkira apa yang pernah penyokong-penyokong Hammers lakukan kepadanya 15 tahun lalu. Masih ingatkah anda
tentang layangan kad merah yang diterima Beckham ketika menentang Argentina
pada Piala Dunia 1998 hingga menyebabkan England tersingkir di pusingan kedua?
Selepas pulang ke England, Beckham di`sambut’ kira-kira 500 penyokong Hammers yang melempar batu dan botol ke
arahnya. Waktu mungkin boleh menyembuhkan luka tetapi parutnya tetap ada, dan
Beckham tidak mungkin boleh melupakan layanan buruk yang pernah diberikan
penyokong-penyokong Hammers
terhadapnya. Apapun yang pastinya, Beckham masih belum menyertai West Ham dan
idea yang mengatakan dia akan menyertai kelab dari London itu mungkin sekadar
angan-angan kosong. Glory Glory Manchester United!!! – A.J
Tiada ulasan:
Catat Ulasan