Gol penghujung babak permainan oleh Robin Van
Persie menyelamatkan Manchester United dari tersingkir di pusingan ketiga Piala
FA selepas The Red Devils berjaya mengikat
West Ham dengan keputusan 2-2 di Boleyn Ground. The Hammers hampir menyingkirkan United ketika permainan memasuki
masa kecederaan sebelum Van Persie menyamakan kedudukan sekaligus memaksa tuan
rumah bermain perlawanan ulangan di Old Trafford selepas ini. Perlawanan awal
pagi tadi menyaksikan kepulangan semula Joe Cole ke kelab yang pernah disertai
ketika zaman remajanya dan kehadiran bekas pemain Chelsea, LOSC Lille dan
Liverpool itu meninggalkan kesan besar buat The
Hammers ini apabila dua assist
sumbangannya berjaya menghasilkan gol buat mereka. United bagaimanapun berjaya mendahului
tuan rumah menerusi gol Tom Cleverley diminit ke-23 hasil hantaran Javier
Hernandez dari sebelah kanan. Kelebihan United tidak bertahan lama apabila West
Ham berjaya menyamakan kedudukan empat minit kemudian menerusi tandukan pemain
pertahanan mereka James Collins. Perlawanan berlangsung agak seimbang sepanjang
babak pertama yang berkesudahan dengan kedua-dua pasukan terikat 1-1.
Tuan rumah memulakan babak kedua dengan
langkah kanan apabila Collins sekali lagi bertindak cemerlang menyudahkan
hantaran Cole untuk gol keduanya diminit ke-59. Ketinggalan 1-2, United
mengasak hebat benteng tuan rumah untuk mencari gol penyamaan namun dikecewakan
kekentalan Collins, Guy Demel, Daniel Potts dan James Tomkins di bahagian
belakang. Selepas buntu dalam usaha mereka memecah benteng pertahanan lawan,
Sir Alex Ferguson melakukan dua pertukaran serentak dengan mengeluarkan Paul
Scholes serta Javier Hernandez dan memasukkan Van Persie dan Antonio Valencia
diminit ke-67. Ketika perlawanan memasuki masa kecederaan dan tuan rumah sudah
mula memasang impian layak ke pusingan keempat, Van Persie akhirnya muncul
penyelamat apabila berjaya menyamakan kedudukan selepas menerima hantaran jauh dari
Ryan Giggs. Rembatan kaki kanan Van
Persie gagal diselamatkan Jussi Jaaskelainen untuk memaksa perlawanan ulangan
diadakan di Old Trafford. Ini juga adalah gol ke-20 Van Persie dalam semua
kejohanan musim ini sekaligus menepati status yang diberikan kepadanya selaku
pemain yang bakal menjadi penentu kepada usaha United memenangi kejuaraan musim
ini. Glory Glory Manchester United!!! – A.J
Susunan Pemain West Ham:
Jussi Jaaskelainen, James Collins, Guy Demel,
James Tomkins, Daniel Potts, Alou Diarra (Mark Noble 70’), Jack Collison, Carlton Cole, Kevin Nolan, Joe Cole (Matthew Taylor 77’) & Ricardo Vaz Te (Matt
Jarvis 60’)
Susunan Pemain United:
David de Gea, Jonny Evans, Nemanja Vidic,
Chris Smalling (Ryan Giggs 77’), Alexander Buttner, Tom Cleverley, Paul Scholes
(Antonio Valencia 67’), Rafael da Silva, Danny Welbeck, Shinji Kagawa & Javier Hernandez (Robin Van Persie 67’).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan