09 Januari 2013

KUNCI PERTEMUAN UNITED - LIVERPOOL


Ahad ini, Manchester United akan menanti kunjungan seteru tradisi mereka, Liverpool di Old Trafford bagi pertembungan ke-159 dalam sejarah pertemuan antara kedua-dua kelab. Tidak kira di mana kedudukan Liverpool dalam carta liga ketika ini, The Reds secara tradisinya adalah lawan yang sukar dan kebiasaannya mereka akan memberikan aksi terbaik setiap kali berdepan United. September lalu, United berjaya menewaskan Liverpool di Anfield dalam satu aksi yang cukup sengit hasil jaringan Rafael da Silva dan penalti Robin Van Persie selepas Steven Gerrard meletakkan tuan rumah di depan terlebih dahulu. Perlawanan itu juga diwarnai insiden layangan kad merah kepada Jonjo Shelvy kerana terjahan kerasnya ke atas Jonny Evans di separuh masa pertama. Pertemuan United dan Liverpool, Ahad ini bukan saja penerus kepada perseteruan antara kedua-dua kelab paling berjaya dalam sejarah bolasepak England itu malah beberapa pemain tonggak kedua-dua pasukan bakal menjadi tumpuan dan menjadi kunci kepada pertemuan ini. Berikut adalah pertembungan posisi pemain yang bakal menjadi tumpuan dalam perlawanan ini:

ROBIN VAN PERSIE lwn MARTIN SKRTEL & DANIEL AGGER

Robin Van Persie sudah menjaringkan 20 gol (dalam semua kejohanan) untuk United sejak tiba dari Arsenal musim panas lalu dan kelihatan semakin selesa perlawanan demi perlawanan. Van Persie membuktikan kebenaran kata-kata Roberto Mancini yang melabelkan penyerang antarabangsa Belanda itu bakal menjadi faktor penentu dalam perlumbaan merebut kejuaraan liga musim ini selepas menjaringkan gol penyamaan lewat permainan ketika berdepan West Ham dalam saingan Piala FA, Sabtu lalu. Van Persie juga sudah menjaringkan 7 gol dari 7 penampilan terakhirnya dan barisan pertahanan Liverpool pastinya sedar bahawa penyerang itu bakal menjadi ancaman terbesar mereka dalam perlawanan ini. Mereka (pertahanan Liverpool) tidak dibolosi dalam dua perlawanan terakhir ketika menentang Queens Park Rangers dan Sunderland, jadi adalah menarik untuk melihat apa yang Martin Skrtel dan Daniel Agger mampu lakukan bagi menyekat momentum jaringan gol Van Persie.

LUIS SUAREZ lwn RIO FERDINAND & JONNY EVANS

Sir Alex Ferguson berkemungkinan besar merehatkan Nemanja Vidic yang baru pulih dari kecederaan dari terbabit dalam perlawanan berprofil tinggi seperti ini. Jadi Rio Ferdinand dan Jonny Evans bakal digandingkan semula untuk membentuk kombinasi di bahagian tengah pertahanan United. Sepertimana Liverpool, United juga tidak dibolosi dalam dua perlawanan terakhir mereka ketika menentang West Bromwich dan Wigan Athletic, namun dengan koleksi 15 gol dari Luis Suarez pada saingan liga, Rio dan Evans sepatutnya turun dengan prestasi terbaik mereka bagi menyekat penyerang The Reds itu. Prestasi kurang konsisten yang dipamerkan benteng pertahanan United musim ini hingga membenarkan lawan membocori gawang mereka sebanyak 28 kali pastinya membuatkan Liverpool berasa cukup yakin bahawa mereka akan menjaringkan gol di Old Trafford nanti.

TOM CLEVERLEY & MICHAEL CARRICK lwn STEVEN GERRARD & LUCAS

Kedua-dua kombinasi ini adalah bahagian penting dalam menentukan siapa yang bakal mendominasi permainan. Liverpool di bawah kendalian Brendan Rodgers bermain dengan baik sejak kebelakangan ini walaupun mempamerkan aksi goyah di awal musim. Bagaimanapun United memiliki statistik penguasaan bola sebanyak 60% dalam hampir setiap perlawanan mereka musim ini. Michael Carrick dan Tom Cleverley berjaya membentuk gandingan mantap di bahagian tengah United manakala Lucas Leiva pula adalah sebahagian dari percaturan Brendan Rodgers sejak pemain tengah Brazil itu kembali dari kecederaan jangka panjang. Tidak syak lagi bahawa Carrick adalah pemain utama United di bahagian tengah yang begitu tenang ketika mengawal permainan selain memiliki hantaran-hantaran berkualiti sambil dibantu aksi agresif Cleverley ketika menjana jentera tengah. Pada pertembungan di Anfield, September lalu, The Reds mendahului United dari segi statistik penguasaan bola dengan 53% tetapi keadaan pasti berbeza apabila Carrick dan Cleverley bermain di hadapan penyokong sendiri nanti.

ASHLEY YOUNG lwn GLEN JOHNSON

Ashley Young bangkit dengan persembahan mengagumkan sejak kebelakangan ini terutamanya ketika berdepan Newcastle United, West Bromwich dan Wigan Athletic selepas dikritik hebat berikutan aksi longlai di awal musim. Peningkatan yang dipamerkan Young menyaksikan dia berjaya merebut semula tempatnya di bahagian sayap kiri United. Walau bagaimanapun Ahad ini, Young akan berdepan pemain pertahanan kanan utama dalam skuad kebangsaan England, Glen Johnson. Johnson melaksanakan tugasnya dengan begitu berkesan musim ini dan dia adalah antara bahagian penting ketika Liverpool melakukan serangan. Johnson akan sentiasa bergerak di sepanjang bahagian kiri kawasan lawan ketika Liverpool menguasai bola, jadi Young perlu sentiasa memerhati gerak-geri pemain ini baik ketika United bertahan mahupun ketika menyerang.

DAVID DE GEA lwn PEPE REINA

Perlawanan ini akan menjadi medan buat kedua-dua penjaga gol dari Sepanyol ini membuktikan siapa diantara mereka lebih baik. De Gea kelihatan sudah semakin serasi dengan saingan bolasepak di England dan berjaya menempatkan dirinya sebagai penjaga gol nombor satu United. Sebaik pulih dari kecederaan, Reina pula mendapati tempatnya sebagai penjaga gol utama Liverpool semakin diancam dengan prestasi memberangsangkan Brad Jones. Jadi hanya aksi terbaik dalam perlawanan ini akan menambat semula hati Brendan Rodgers dan mengukuhkan semula kedudukan Reina sebagai penjaga gol nombor satu The Reds. Kedua-duanya berjaya mengelak gawang mereka dari dibolosi pada dua perlawanan terakhir, dan kejayaan mengekalkan statistik ini pada perlawanan Ahad nanti bakal meningkatkan lagi nilai mereka di mata pengurus masing-masing. Sepertimana pertembungan-pertembungan United dan Liverpool sebelumnya, perlawanan ke-159 antara kedua-dua musuh tradisi itu Ahad nanti sudah tentu akan berlangsung sengit, sesuai dengan tradisi permusuhan antara mereka sejak sekian lama. Ini bukan sekadar perlawanan untuk merebut tiga mata atau sekadar memenuhi jadual perlawanan liga, tetapi ini adalah pertembungan antara dua musuh tradisi yang dianggap sebagai perlawanan besar dalam kalendar bolasepak England setiap musim. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Tiada ulasan:

Catat Ulasan