09 Januari 2013

MODRIC DAN SNEIJDER TERLEPAS DARI JANGKAUAN


Manchester United mungkin gagal menandatangani dua pemain tengah yang mereka sasarkan sebelum ini selepas kelab Turki, Galatasaray mengumumkan bahawa mereka telah mengadakan rundingan bagi mendapatkan perancang Inter Milan, Wesley Sneijder. Seorang lagi pemain yang disensasikan oleh media menjadi rebutan empat kelab di England (United, Man City, Chelsea dan Spurs) iaitu Luka Modric pula dikatakan akan kekal bersama Real Madrid. Sneijder yang sudah dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford dua tahun kebelakangan ini tidak bermain untuk Nerazzurri sejak September lalu berikutan pertikaian mengenai gaji meskipun Andrea Stramaccioni mengatakan ketiadaan kelibat perancang tengah itu adalah disebabkan percaturan taktikalnya. Meskipun Inter masih memiliki dua perlawanan sebelum rehat musim sejuk, Sneijder nampaknya seperti tidak lagi berpeluang menyarung jersi kelab dari kota Milan itu. “Galatasaray mengumumkan sudah memulakan proses rundingan dengan Internazionale untuk perpindahan Wesley Sneijder”, demikian kenyataan rasmi kelab Turki itu dalam laman sesawang rasmi mereka. Sementara itu, Luka Modric yang dikatakan turut menjadi sasaran United berkemungkinan besar akan terus kekal di Santiago Bernabeu meskipun kurang diberi peluang tampil dalam kesebelasan utama Real. Rakan sepasukan Modric, Xabi Alonso percaya perancang tengah itu tidak akan meninggalkan pasukan untuk bergabung dengan United dan perlu diberikan waktu untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan di La Liga. “Dia (Modric) bermain di posisi di mana kami memiliki beberapa pemain yang turut bersaing merebut tempat dalam kesebelasan utama. Dia perlukan waktu untuk menyesuaikan diri dalam saingan La Liga dan saya percaya dia akan menjadi pemain yang penting kepada kami”, kata Alonso. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Tiada ulasan:

Catat Ulasan