07 Januari 2013

PERLUMBAAN SENGIT UNTUK MENDAPATKAN MODRIC


Empat kelab yang menguasai tangga teratas liga ketika ini, Manchester United, Manchester City, Chelsea dan Tottenham Hotspurs diberitakan sedang bersaing mendapatkan tandatangan pemain tengah Real Madrid, Luka Modric. Pemain antarabangsa Croatia itu yang berpindah dari White Hart Lane ke Santiago Bernabeu musim panas lalu kecewa kerana gagal menempatkan dirinya dalam kesebelasan utama Real. Modric hanya tampil sebanyak lapan kali dalam kesebelasan permulaan pada aksi liga setakat ini berikutan kegagalannya bersaing dengan Mesut Ozil dan Xabi Alonso di bahagian tengah. Meskipun gergasi Sepanyol itu terpaksa mengeluarkan dana sebanyak £ 33 juta ketika membawa Modric dari Spurs, mereka nampaknya tidak teragak-agak melepaskan pemain itu jika menerima tawaran bersesuaian dari mana-mana kelab. Situasi tidak menentu yang melanda Modric menyebabkan United, City, Chelsea dan bekas kelabnya sendiri Spurs memantau penuh teliti perkembangan terkini pemain tengah berbakat itu. Biarpun gagal bersaing dalam kesebelasan utama Real, Modric masih dilihat sebagai pemain tengah penuh teknikal yang dikagumi, jadi tidak hairanlah mengapa empat kelab England tadi berminat membawanya semula beraksi di Liga Perdana. Bukan rahsia lagi bahawa Sir Alex Ferguson memang memerlukan kualiti tambahan di bahagian tengah skuadnya, dan beliau dilaporkan sedang melakukan langkah-langkah yang perlu untuk membawa Modric keluar dari kota Madrid. Chelsea pula melihat Modric sebagai pemain yang cukup ideal untuk menggantikan tempat Frank Lampard selepas ramai yang menjangka pemain veteran itu akan meninggalkan Stamford Bridge selewat-lewatnya musim panas hadapan. Biarpun mereka mungkin tidak mampu bersaing dari segi kewangan untuk mendapatkan Modric, penyokong-penyokong Spurs tetap berharap agar Daniel Levy dapat melakukan sesuatu untuk membawa pulang semula pemain itu ke White Hart Lane. Bagi kelab mewah seperti City, wang tidak menjadi halangan untuk mereka membawa masuk pemain berkualiti seperti Modric. Dengan Yaya Toure yang akan terlibat dengan tugasan antarabangsa bersama skuad kebangsaan Ivory Coast pada saingan Piala Negara-Negara Afrika, Roberto Mancini memerlukan pengganti setaraf untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Toure dan Modric adalah calon paling sesuai untuk memikul tanggungjawab itu. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Tiada ulasan:

Catat Ulasan