10 Februari 2013

PREVIEW: MANCHESTER UNITED lwn EVERTON



Manchester United berpeluang menjarakkan kedudukan selaku pendahulu takhta liga kepada 12 mata ketika berdepan Everton di Old Trafford tengah malam ini selepas pencabar terdekat, Manchester City tewas mengejut 1-3 kepada kelab dari kelompok bawahan liga Southampton awal pagi tadi. Bagaimanapun tetamu hari ini bukanlah skuad sebarangan kerana The Toffees muncul pencabar di kelompok atasan dan mereka turut berpeluang merebut satu slot ke saingan Liga Juara-Juara musim hadapan. Anak-anak buah David Moyes juga  muncul pasukan pertama yang berjaya mengalahkan United musim ini selepas mereka menang 1-0 di Goodison Park hasil jaringan Marouane Fellaini 20 Ogos lalu. Kemenangan awal musim itu juga bakal memberikan motivasi tambahan buat barisan pelawat untuk sekali lagi menghampakan United dalam perlawanan ini. Walau bagaimanapun sebelum David Moyes memasang impian mencatat kemenangan berganda ke atas United musim ini, beliau perlu melihat rekod Everton ketika bermain di Old Trafford dalam tempoh 22 tahun terakhir. Kali terakhir skuad Merseyside itu berjaya membawa pulang tiga mata penuh dari Theatre of Dreams ialah pada bulan Mac 1991 menerusi kemenangan 2-0 yang dilakar mereka. Moyes dijangka menurunkan skuad yang sama ketika mereka mencatat keputusan seri ke atas Aston Villa di gelanggang sendiri minggu lalu. 

Tonggak pertahanan mereka, Phil Jagielka yang mengalami kecederaan ringan ketika mewakili skuad kebangsaan pada perlawanan persahabatan menentang Brazil dijangka tersenarai dalam kesebelasan utama. Sementara itu Sir Alex Ferguson yang baru-baru ini merungut berikutan barisan pemainnya terpaksa berdepan jadual ketat bagi memenuhi tuntutan hak penyiaran televisyen dijangka tidak akan melakukan rombakan besar ke atas pasukannya. Ryan Giggs dijangka mengambil alih peranan Micael Carrick yang mengalami kecederaan sementara Ashley Young pula berpeluang disenaraikan selepas pulih dari kecederaan lutut. Selain Carrick, dua lagi nama yang dipastikan akan terlepas aksi ini ialah Phil Jones (serangan virus) dan Darren Fletcher (masalah usus). Dengan tumpuan barisan The Red Devils yang mungkin sedikit terganggu berikutan terpaksa berdepan jadual perlawanan yang padat terutama menjelang pertemuan getir menentang Real Madrid dalam saingan Liga Juara-Juara pertengahan minggu ini, Everton boleh mengambil kesempatan untuk merampas kedudukan tangga kelima liga dari Arsenal. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Fakta Perlawanan:

- United hanya tewas sekali dari 12 perlawanan di gelanggang sendiri musim ini.

- United menjaringkan 32 gol ketika beraksi di gelanggang sendiri dalam saingan liga musim ini, kurang satu jaringan dari kelab yang menduduki tangga pertama, Arsenal.

- Everton tewas dua kali dalam enam perlawanan terakhir mereka menentang United.

- Rekod bolos Everton sedikit lebih baik berbanding United musim ini yang menyaksikan gawang mereka dibolosi sebanyak 30 kali manakala United pula sebanyak 31 kali.

- Gol penyamaan lewat permainan Steven Pienaar di Goodison Park musim lalu, mengancam misi United menjulang kejuaraan liga ke-20. United akhirnya gagal mempertahankan kejuaraan mereka selepas tewas menerusi perbezaan gol kepada Manchester City.

Barisan Kemungkinan United:

David De Gea, Rafael da Silva, Rio Ferdinand, Jonny Evans, Patrice Evra, Antonio Valencia, Tom Cleverley, Ryan Giggs, Nani, Wayne Rooney & Robin Van Persie

Barisan Kemungkinan Everton:

Tim Howard, Phil Jagielka, Johnny Heitinga, Sylvain Distin, Leighton Baines, Kevin Mirallas, Darron Gibson, Leon Osman, Steven Pienaar, Marouane Fellaini & Victor Anichebe 

06 Februari 2013

TRAGEDI MUNICH....DALAM KENANGAN


6 Februari merupakan tarikh yang akan sentiasa diingati oleh penyokong-penyokong United tidak kira dari pelosok mana sekalipun mereka berada. Hari itu, tepat jam 3:04 petang 55 tahun yang lalu, berlakunya tragedi hitam yang mengorbankan 21 nyawa termasuk lapan pemain dan tiga kakitangan kelab bolasepak Manchester United di Munich. Dalam cuaca sejuk, pesawat yang dinaiki pemain-pemain dan kakitangan kelab terhempas di ibu kota Jerman itu selepas gagal dalam percubaan kali ketiga untuk berlepas. Ketika itu skuad Manchester United di bawah kendalian Matt Busby baru saja selesai mengharungi perlawanan Piala Eropah (sekarang Liga Juara-Juara) menentang kelab Yugoslavia, Red Star Belgrade yang berkesudahan kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan seri 3-3. Ketika dalam perjalanan pulang ke England, pesawat British European Airways Flight 609 yang dinaiki mereka singgah di Munich untuk mengisi minyak. Meskipun dua kali percubaan sebelumnya untuk berlepas gagal, krew penerbangan memutuskan melakukan percubaan kali ketiga namun ianya berakhir dengan tragedi apabila pesawat tersebut kemudiannya merempuh pagar, pokok dan gudang menyimpan bahan bakar. Sebelum berlakunya letupan susulan, kapten pasukan, James Thain dan penjaga gol, Harry Gregg berjaya menyelamatkan beberapa penumpang termasuk rakan sepasukan mereka, Bobby Charlton dan Dennis Viollet. Wartawan, Frank Swift meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital manakala Matt Busby terselamat meskipun mengalami kecederaan yang agak parah.

Duncan Edwards yang mengalami kecederaan parah meninggal dunia di hospital 15 hari kemudian. Tragedi ngeri itu meninggalkan kesan yang cukup besar ke atas pemain, pihak pengurusan dan penyokong-penyokong United sendiri. Kehilangan lapan pemain utama, beberapa lagi pemain cedera manakala pengurus pasukan, Matt Busby sendiri bertarung untuk hidup menyebabkan Manchester United ketika itu seolah-olah seperti tinggal nama untuk dikenang generasi seterusnya. Bagaimanapun, Matt Busby bangkit membina semula pasukannya sepertimana dia bangkit untuk hidup dari tragedi hitam tersebut dan berjaya mengemudi United menjulang trofi Eropah sepuluh tahun kemudian. Siapa sangka Manchester United yang hampir lumpuh sepuluh tahun sebelumnya berjaya mara ke perlawanan akhir Piala Eropah edisi 1968, dan menewaskan Benfica yang ketika itu diperkuatkan pemain terbaik dunia, Eusebio. Lebih manis lagi, apabila skuad juara ini turut dibarisi Bobby Charlton dan Bill Foulkes, dua pemain yang terselamat dari tragedi ngeri di Munich sepuluh tahun lalu. Hari ini, selepas 55 tahun berlakunya tragedi Munich, mereka-mereka yang terkorban tetap dikenang dan peristiwa itu akan terus diingati sebagai salah satu titik paling hitam pernah berlaku dalam sejarah kelab…SELAMAT JALAN BUSBY BABES.

Senarai Pemain dan Kakitangan United Yang Terkorban Dalam Tragedi Munich 1958:

Geoff Bent
Roger Byrne
Eddie Colman
Duncan Edwards
Mark Jones
David Pegg
Tommy Taylor
Liam Whelan
Walter Crickmer (Setiausaha Kelab)
Tom Curry (Jurulatih)
Bert Whalley (Jurulatih)

BOLEHKAH SITUASI MUSIM LALU BERULANG LAGI?


Manchester City dilihat berdepan tugas sukar mempertahankan kejuaraan liga yang mereka menangi musim lalu selepas terpaksa berkongsi mata ketika berdepan Liverpool di gelanggang sendiri Ahad lalu. Keputusan seri 2-2 itu menyaksikan skuad bimbingan Roberto Mancini kini ketinggalan sembilan mata di belakang United, dan mereka sepatutnya berterima kasih kepada Pepe Reina kerana kegopohannya menyebabkan Sergio `Kun’ Aguero berjaya menjaringkan gol penyamaan di penghujung perlawanan. Apakah kelebihan sembilan mata yang dimiliki membuatkan anak-anak buah Sir Alex Ferguson cukup selesa ketika ini? Musim lalu, United mencipta jurang lapan mata ke atas City ketika saingan liga memasuki bulan terakhir tetapi di penghujung saingan Mancini dan barisan pemainnya berpesta di Stadium Etihad selepas `Kun’ Aguero menjaringkan gol kemenangan lewat permainan ke atas QPR. Gol itu menyebabkan United terpaksa menyerahkan gelaran yang mereka menangi musim sebelumnya (musim 2010-11) kepada pasukan yang dilabelkan Sir Alex Ferguson sebagai `jiran yang bising’ itu. Memang pahit untuk diterima terutamanya apabila memikirkan kejuaraan yang awalnya disangka sudah berada dalam genggaman tiba-tiba terlepas pada perlawanan terakhir liga menerusi hanya perbezaan jaringan. Selepas perlawanan menentang Liverpool, Mancini biarpun kecewa tetapi tetap yakin yang pasukannya mampu memadamkan kelebihan sembilan mata milik The Red Devils memandangkan perjalanan liga masih panjang dengan baki 13 perlawanan perlu diharungi. Mungkin juga situasi musim lalu membuatkan Mancini melihat masih ada sinar buat pasukannya mempertahankan kejuaraan mereka, biarpun penjaga golnya Joe Hart mengatakan jurang sembilan mata terlalu besar untuk mereka kejar. Apakah City masih berpeluang mempertahankan kejuaraan mereka di mana situasi musim lalu berulang semula? Untuk itu mari kita lihat jadual perlawanan-perlawanan yang perlu diharungi United dan City selepas ini. Misi City menghambat United bermula hujung minggu ini apabila mereka akan berkunjung ke Stadium St Mary bagi berdepan Southampton. The Saints berjaya keluar dari zon penyingkiran dan memberikan aksi terbaik mereka pada separuh masa kedua ketika berdepan United di Old Trafford, Khamis lalu. Jika mereka mampu mengulangi aksi yang sama ketika bertemu United, mereka bakal memberikan masalah buat City Ahad nanti apatah lagi ketika beraksi di halaman sendiri di bawah kendalian pengurus baru mereka, Mouricio Pochettino.

Tugas berat sekali lagi menanti City selepas itu apabila mereka akan bertemu kelab di tangga ketiga liga, Chelsea pada 24 Februari di gelanggang sendiri. Perlawanan ini penting buat kedua-dua kelab kerana City perlukan kemenangan dalam usaha mereka terus menghambat United manakala Chelsea pula mahu mengukuhkan kedudukan mereka dalam kelompok empat teratas bagi merebut slot ke Liga Juara-Juara musim hadapan. Ketika ini The Blues sedang disaingi hebat Tottenham Hotspurs, Arsenal dan Everton. Selepas itu City akan berdepan Aston Villa (2 Mac, gelanggang lawan) dan Wigan (9 Mac, gelanggang sendiri), dua perlawanan yang sepatutnya tiada masalah untuk mereka menangi. Tugas getir kembali menanti City apabila mereka akan berkunjung ke Goodison Park pada 16 Mac untuk berdepan Everton, lawan yang tentunya bakal memberikan masalah besar buat juara bertahan itu. Mereka akan bermain di gelanggang sendiri bertemu Newcastle United (30 Mac) dan kemudiannya berdepan perlawanan derby menentang United di Old Trafford pada 6 April yang mungkin menjadi perlawanan penentu kejuaraan musim ini. Selepas bertemu United, City akan bermain dua perlawanan di gelanggang sendiri menentang West Brom (13 April) dan West Ham (27 April). Swansea City menanti mereka di Stadium Liberty pada 4 Mei dan kemudiannya City akan sekali lagi bermain di gelanggang lawan berdepan Reading (12 Mei) sebelum menutup kempen liga menentang Norwich City (19 Mei) di gelanggang sendiri. Perlawanan paling besar buat City selepas ini tentunya pada 6 April di Old Trafford yang akan memberikan gambaran jelas siapa bakal muncul juara musim ini. Sebelum perlawanan derby Manchester ini, United akan bermain tiga perlawanan di gelanggang sendiri membabitkan pertemuan menentang Everton, Norwich dan Reading manakala perlawanan di gelanggang lawan pula membabitkan pertemuan menentang QPR, West Ham dan Sunderland (tidak mengikut urutan tarikh sebenar perlawanan). United sepatutnya mengambil peluang dari enam perlawanan ini (menentang Everton, Norwich, Reading, QPR, West Ham dan Sunderland) untuk menutup terus peluang City mempertahankan kejuaraan mereka sebelum pertembungan derby pada 6 April berlangsung. Bermula hujung minggu ini, City mesti memperolehi keputusan positif di Stadium St Mary atau jika tidak Mancini mungkin terpaksa mengakui bahawa perjuangan mereka untuk mempertahanakan kejuaraan liga bakal berakhir. Apakah `Misi 20' United boleh dicapai atau keajaiban akan sekali lagi menyebelahi City musim ini? Glory Glory Manchester United!!! – A.J

03 Februari 2013

UNITED...SEPANJANG 24 JAM YANG LALU


SAYA SOKONG UNITED

Meskipun berseteru di liga domestik, pengurus Manchester City, Roberto Mancini sebaliknya akan memberi sokongan kepada Manchester United yang akan berdepan Real Madrid pada saingan kalah mati (16 pasukan) Liga Juara-Juara 14 Februari ini. “Itu akan menjadi perlawanan besar bagi mereka. Saya akan ke sana (Bernabeu) dan menyokong mereka dengan bendera merah putih. Tapi bermain di Bernabeu sukar kerana mereka (Madrid) adalah salah satu kelab terbaik di dunia. Mereka dan Barca memiliki pemain yang luar biasa dan sejarah yang fantastik. Ini merupakan tugas yang sukar buat United untuk mengalahkan mereka”, kata Mancini kepada The Sun. Bercakap tentang peluang pasukannya memintas United, Mancini yakin City mampu mengejar pendahulu liga itu dan berharap situasi akhir musim lalu akan berulang semula. “Musim lalu kami mengejar mereka selepas ketinggalan lapan mata ketika saingan liga berbaki enam perlawanan lagi. Jadi tidak mustahil untuk kami melakukannya sekali lagi musim ini. Kami pasukan yang bagus dan bermain dengan baik”, sambung Mancini lagi.

ZAHA MAMPU SAMAI RONALDO

Bekas pemain tengah Crystal Palace, John Salako (gambar) yakin pemain yang baharu ditandatangani United, Wilfried Zaha boleh menyamai pencapaian Cristiano Ronaldo di Old Trafford satu hari nanti. United berjaya memenangi perebutan mendapatkan tandatangan Zaha dengan nilai 17 juta Pound pada pasaran perpindahan Januari lalu, namun pemain berusia 20 tahun itu akan terus kekal di Selhurst Park sehingga penghujung musim sebagai pemain pinjaman. Salako yakin Zaha adalah pemain yang dicari-cari Sir Alex Ferguson sebagai pengganti Ronaldo sejak pemain sayap Portugal itu meninggalkan Old Trafford untuk menyertai Real Madrid pada 2009. “Manchester United tidak berjaya mencari pengganti Ronaldo sejak dia meninggalkan kelab tetapi saya fikir Zaha memiliki keboleh mirip kepada pemain itu (Ronaldo). Tentunya di bawah kendalian Sir Alex dan dikelilingi pemain-pemain bintang United yang lain akan banyak membantu Zaha meningkatkan permainannya. Saya yakin dia akan muncul bintang di sini (Old Trafford)”, kata Salako.

BUKAN MUDAH BERMAIN DI CRAVEN COTTAGE

Manchester United berjaya meraih tiga mata penuh ke atas Fulham pada pertemuan liga di Craven Cottage awal pagi tadi hasil jaringan tunggal Wayne Rooney. Selepas kedua-dua pasukan buntu dalam usaha mereka mencari gol biarpun mencipta beberapa peluang keemasan terutamanya di babak pertama, Rooney akhirnya muncul penyelamat apabila berjaya menjaringkan gol kemenangan diminit ke-79 selepas menerima hantaran jauh Jonny Evans. Rooney mengakui Fulham yang dihadapinya awal pagi tadi bukanlah skuad yang sama ketika United mudah menyingkirkan mereka dari saingan pusingan keempat Piala FA hujung minggu lalu. Tuan rumah beberapa kali mencemaskan kubu United terutamanya menerusi voli menarik John Arne-Riise dan percubaan Bryan Ruiz yang terkena tiang. “Kunjungan ke Craven Cottage biasanya sukar dan buktinya mereka menekan kami dari minit awal permainan. Percubaan kami terkena tiang dan palang sebanyak tiga kali pada babak pertama namun kami harus fokus pada permainan. Tentu saja kami ketika ini selesa di tangga teratas tetapi kami tidak boleh leka kerana musim ini masih panjang”, kata Rooney selepas tamat perlawanan.

KAMI DI BELAKANG DE GEA

David de Gea sering menerima kritikan sejak ketibaannya di Old Trafford bagi mengambil alih tempat Edwin Van der Sar pada 2011. De Gea dikritik bekas kapten United, Gary Neville kerana dikatakan menjadi penyebab kepada gol penyamaan lewat permainan Clint Dempsey di White Hart Lane. Bekas penjaga gol Atletico Madrid itu turut dipersalahkan sesetengah pihak kerana melepaskan gol pendahuluan ketika berdepan Southampton Khamis lalu biarpun Michael Carrick mengakui bahawa gol itu berpunca dari kesilapannya sendiri. Masa depan De Gea di Old Trafford turut menjadi mainan spekulasi media dengan beberapa nama seperti Victor Valdes, Pepe Reina dan terbaru Asmir Begovic dikaitkan akan menggantikan tempat penjaga gol berusia 22 tahun itu musim panas ini. Meskipun spekulasi demi spekulasi ditiupkan tentang masa depannya bersama United, itu tidak menghalang De Gea untuk terus fokus kepada tugasnya mengawal gawang The Red Devils. Awal pagi tadi, De Gea melakukan beberapa tindakan menyelamat yang hebat terutamanya ketika menafikan sepakan voli cantik John Arne Riise diminit ke-14. Prestasi cemerlang De Gea menjadi perhatian penjaring gol kemenangan di Craven Cottage, Wayne Rooney. “David melakukan beberapa tindakan menyelamat yang hebat sejak beberapa minggu terakhir. Saya akui dia menerima kritikan selepas perlawanan menentang Tottenham tetapi itu bukanlah kesilapan besar yang dilakukan oleh seorang penjaga gol yang pernah saya lihat. Kami semua berada di belakangnya dan dia akan menjadi pemain yang hebat di masa hadapan”, kata Rooney.

BILLY THE BADGER CUBA GANGGU TUMPUAN RVP

Maskot  kelab bolasepak Fulham, Billy The Badger sekali lagi mencuri perhatian apabila aksinya yang cuba menganggu tumpuan Robin Van Persie ketika mengambil sepakan sudut berjaya dirakam lensa kamera. Ketika Van Persie sedang bersedia mengambil sepakan sudut, Billy The Badger yang berada di belakang penyerang United itu dilihat seolah-olah sedang melakukan aksi mengejek. Ini bukan pertama kali Billy The Badger mencuri perhatian kerana pada tahun 2008 ketika pertemuan menentang West Ham, maskot Fulham itu dilihat begitu asyik menari tarian breakdance di tengah padang hingga tidak menyedari perlawanan separuh masa kedua akan dimulakan. Pengadil perlawanan akhirnya terpaksa membawa Billy The Badger keluar padang sebelum memulakan aksi babak kedua perlawanan. Apapun niat dan tujuan aksi yang dilakukan Billy The Badger, Van Persie sebenarnya tidak menyedari apa yang berlaku di belakangnya. Malah Van Persie bertindak hebat di penghujung permainan apabila menyelamatkan  bola tandukan Phillipe Sanderos dari menerjah gawang ketika lawan begitu ghairah mencari gol penyamaan.

SIR ALEX BERI JAMINAN DE GEA KEKAL DI OLD TRAFFORD

Spekulasi tentang masa depan David de Gea di Old Trafford  bertiup kencang sejak kebelakangan ini. Ada yang mengatakan penjaga gol muda Sepanyol itu akan menyertai Barcelona bagi menggantikan tempat Victor Valdes, malah tidak kurang juga yang menyebut Sir Alex Ferguson akan menandatangani penjaga gol Stoke City, Asmir Begovic musim panas nanti bagi mengawal gawang United musim hadapan. Semuanya berpunca dari jumlah gol yang bukan sedikit membolosi gawang United musim ini. Setakat ini pintu gol United sudah dibolosi sebanyak 31 kali, jumlah tertinggi dikalangan lapan pasukan yang menghuni kelompok tangga teratas liga. Walaupun spekulasi demi spekulasi tentang masa depan De Gea dimainkan sejak kebelakangan ini, Sir Alex sebaliknya menegaskan bahawa penjaga gol utamanya itu akan kekal di Old Trafford. Sir Alex malahan mengatakan bahawa beliau akan terus memberikan kepercayaan kepada De Gea untuk mengawal gawang The Red Devils. Minggu lalu Sir Alex melabelkan pengkritik-pengkritik De Gea sebagai `orang yang tidak tahu tentang bolasepak’. “Khabar yang mengatakan De Gea akan pergi tidak sama sekali menganggu permainannya. Ini adalah cabaran yang terpaksa dihadapi pemain muda sepertinya. Dia sedang menikmati hari-harinya di Old Trafford” kata Sir Alex seperti yang dilaporkan Tribal Football. Dalam beberapa perlawanan terakhir, De Gea bertindak cemerlang menyelamatkan gawang United dari dibolosi. Pada pertemuan menentang Spurs di White Hart Lane contohnya, De Gea berjaya menyelamatkan sekurang-kurangnya tujuh percubaan tepat ke sasaran dari Gareth Bale, Clint Dempsey dan Aaron Lennon. De Gea juga bertindak cemerlang ketika menafikan sepakan percuma Rickie Lambert, Khamis lalu dan terbaru awal pagi tadi dia menghampakan John Arne-Riise yang pada mulanya menyangka sepakan voli kencangnya dari jarak 25 meter akan menerjah jaring menerusi tindak balas menyelamat yang cukup cemerlang. – A.J

GLORY GLORY MANCHESTER UNITED!!!

REAKSI BOS SELEPAS PERLAWANAN


Sir Alex Ferguson pantas menafikan cakap-cakap bahawa kemenangan pasukannya ke atas Fulham awal pagi tadi sekadar nasib semata-mata. Pengendali berpengalaman itu sebaliknya memuji penampilan pemain-pemainnya sepanjang 90 minit permainan di Craven Cottage meskipun pada satu ketika tumpuan pemain kedua-dua pasukan terganggu berikutan lampu limpah stadium terpadam diminit ke-43. Gol tunggal Wayne Rooney di penghujung perlawanan sudah cukup memberikan kegembiraan buat Sir Alex yang menyaksikan United kini memiliki kelebihan sepuluh mata ke atas pencabar terdekat, Manchester City yang hanya akan beraksi hari ini. Sir Alex memuji kesungguhan barisan pemainnya dan menilai United memang layak membawa pulang tiga mata selepas menyaksikan deretan peluang dicipta The Red Devils sepanjang perlawanan. “Kami memiliki begitu banyak peluang. Ini adalah perlawanan yang hebat dan kami mendapat keputusan yang baik dari perlawanan ini. Di babak pertama tiga percubaan kami terkena palang dan tiang gol, jadi kemenangan ini bukan sekadar nasib” kata Sir Alex. Pengendali The Cottagers, Martin Jol turut mengakui United adalah pasukan yang lebih baik berbanding mereka awal pagi tadi. Bukan itu saja, Jol turut meramalkan United akan merampas kembali kejuaraan mereka yang terlepas ke tangan Manchester City musim lalu selepas menyaksikan anak-anak buahnya tetap gagal menewaskan United meskipun sudah mempamerkan aksi terbaik mereka. “Ini merupakan penampilan terbaik kami musim ini tetapi mereka (United) masih mampu membawa pulang tiga mata penuh dari halaman kami sendiri seperti yang dilakukan Rooney. Sekarang saya fikir mereka akan menang kejuaraan musim ini” kata Jol. Glory Glory Manchester United!!! - A.J

REVIEW: KEMENANGAN HATRIK KE ATAS THE COTTAGERS


Manchester United melengkapkan kemenangan hatrik ke atas Fulham musim ini selepas mereka menewaskan skuad kendalian Martin Jol di Craven Cottage awal pagi tadi. Sebelum ini United sudah mencatat dua kemenangan ke atas The Cottagers, kali pertama pada saingan liga di Old Trafford dan kali kedua ketika menyingkirkan lawan di pusingan keempat Piala FA seminggu lalu. Gol kemenangan lewat permainan Wayne Rooney memastikan United meraih tiga mata sekaligus menghadirkan tekanan buat pencabar terdekat, Manchester City yang akan berdepan Liverpool hari ini. Babak pertama permainan menyaksikan kedua-dua pasukan mencipta beberapa peluang terbaik bermula dari tandukan Nani diminit ke-8 yang berjaya ditepis Mark Schwarzer. Tindakan susulan yang cuba dilakukan Patrice Evra selepas itu menyaksikan percubaannya sekadar singgah di palang gol. Tiga minit selepas itu giliran tuan rumah pula menguji gawang United, namun rembatan voli menarik John Arne-Riise berjaya ditepis keluar David de Gea.  Peluang terbaik sekali lagi dicipta tuan rumah kali ini menerusi Bryan Ruiz namun rembatan penyerang antarabangsa Costa Rica itu sekadar singgah tiang gol. Selepas Ruiz, tiba pula giliran Rooney yang menyaksikan percubaannya diminit ke-32 tersasar ke tiang gol meskipun Schwarzer sudah tertewas. Tempo perlawanan yang rancak tiba-tiba terganggu berikutan lampu limpah stadium terpadam diminit ke-43 dan perlawanan terpaksa dihentikan selama kira-kira 12 minit.

Babak kedua menyaksikan United masih menguasai permainan namun buntu untuk menghasilkan sebarang jaringan. Menyedari pasukannya perlukan gol, Sir Alex Ferguson mengeluarkan Antonio Valencia diminit ke-66 dan memasukkan Javier Hernandez untuk menambah sengat di barisan serangan. Bintang veteran, Ryan Giggs merakamkan penampilan ke-650 untuk United dalam aksi liga apabila dibawa masuk menggantikan Tom Cleverey sembilan minit kemudian. Rooney akhirnya memecah kebuntuan apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan diminit ke-79. Selepas menyumbangkan dua gol ketika bertemu Southampton, Khamis lalu, Rooney sekali lagi menemui sentuhan jaringannya apabila bijak melepaskan rembatan rendah ke sebelah kiri gawang lawan yang gagal sama sekali diselamatkan Schwarzer. Gol itu menyebabkan Fulham bangkit memberikan tekanan kepada benteng United untuk memburu gol penyamaan. Peluang terbaik mereka hadir menerusi tandukan Chris Baird tetapi berjaya diselamatkan Rafael da Silva di atas garisan gol. Di masa kecederaan situasi hampir sama berulang apabila Philipe Sanderos pula menyaksikan tandukannya dikeluarkan Robin Van Persie. Kemenangan ini menyaksikan United melebarkan kedudukan di tangga teratas kepada sepuluh mata sekurang-kurang untuk tempoh 24 jam sebelum City turun menentang Liverpool hari ini. Glory Glory Manchester United!!!

Statistik Perlawanan Fulham - United:

Gol: 0 – 1
Sepakan Sudut: 5 – 8
Percubaan Tepat: 8 – 8
Percubaan Tersasar: 7 – 5
Kekasaran: 8 – 15
Offside: 2 – 5
Kad Kuning: 1 – 1
Penguasaan Bola: 50% - 50%

02 Februari 2013

PREVIEW: FULHAM lwn MANCHESTER UTD



Manchester United dan Fulham akan bertembung sekali lagi dalam tempoh seminggu, kali ini dalam aksi saingan liga pula selepas United menyingkirkan kelab dari London itu pada saingan pusingan keempat Piala FA. Fulham menanti kunjungan United mungkin tanpa kelibat Dimitar Berbatov yang mengalami masalah hamstring manakala nasib Steve Sidwell, Mahamadou Diarra, Karim Frei dan Kieran Richardson masih belum dapat ditentukan selepas diberitakan masing-masing masih belum cergas sepenuhnya. United pula menerima khabar gembira apabila Jonny Evans sudah boleh disenaraikan selepas pulih dari masalah hamstring manakala Ashley Young pula masih berada dalam senarai kecederaan. Dengan pencabar terdekat, Manchester City akan hanya bermain keesokkan harinya, United berpeluang menjarakkan kedudukan di tangga teratas liga kepada sepuluh mata jika berjaya meraih tiga mata penuh di Craven Cottage. Fulham menewaskan West Ham tiga hari lalu namun The Cottagers perlu mempamerkan aksi lebih baik berbanding ketika mereka tewas 1-4 kepada United di Old Trafford minggu lalu jika berhasrat mahu menamatkan rekod tanpa kalah 12 perlawanan liga The Red Devils.

Di atas kertas, United jelas mempunyai segala kelebihan apatah lagi Fulham mungkin turun tanpa khidmat Berbatov tetapi kelibat pemain yang baru ditandatangani, Urby Emmanuelson dan Emmanuel Frimpong bakal menjadi senjata baru buat Martin Jol dalam perlawanan ini. Rekod pertemuan musim lalu di Craven Cottage memihak United apabila mereka berjaya menewaskan Fulham 5-0 hasil jaringan Danny Welbeck, Ryan Giggs, Wayne Rooney, Nani dan Berbatov. Jika diambil kira pretasi kedua-dua pasukan pada pertemuan terbaru mereka di saingan Piala FA, Fulham bakal berdepan kesukaran untuk menyekat United dari sekali lagi membawa pulang tiga mata penuh di gelanggang mereka. Bagaimanapun rekod pertemuan liga menyaksikan Fulham hanya tewas tiga kali kepada United dari 23 pertemuan terakhir antara kedua-dua pasukan. United mungkin tampak sukar disekat tetapi Jol boleh menggunakan pendekatan yang digunakan Southampton di separuh masa kedua ketika The Saints berjaya memaksa barisan United bertahan sepanjang 45 minit pada pertemuan liga Khamis lalu. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Fakta Perlawanan:

- United menang enam kali dari seri sekali dari tujuh pertemuan terakhir mereka menentang Fulham di semua kejohanan.

- Fulham hanya tewas tiga kali kepada United dari 23 pertemuan terakhir liga antara kedua-dua pasukan.

- Kemenangan ke atas West Ham tiga hari lalu adalah kemenangan ketiga Fulham dari 16 perlawanan terakhir liga mereka.

Barisan Kemungkinan Fulham:

Mark Schwarzer, Sacha Reither, Phillipe Sanderos, Brade Hangeland, John Arne-Riise, Damen Duff, Giorgos Karagounis, Steve Sidwell, Urby Emmanuelson, Bryan Ruiz & Mladen Petric

Barisan Kemungkinan United:

David de Gea, Rafael da Silva, Nemanja Vidic, Rio Ferdinand, Patrice Evra, Michael Carrick, Tom Cleverley, Shinji Kagawa, Danny Welbeck, Robin Van Persie & Wayne Rooney