03 Februari 2013

UNITED...SEPANJANG 24 JAM YANG LALU


SAYA SOKONG UNITED

Meskipun berseteru di liga domestik, pengurus Manchester City, Roberto Mancini sebaliknya akan memberi sokongan kepada Manchester United yang akan berdepan Real Madrid pada saingan kalah mati (16 pasukan) Liga Juara-Juara 14 Februari ini. “Itu akan menjadi perlawanan besar bagi mereka. Saya akan ke sana (Bernabeu) dan menyokong mereka dengan bendera merah putih. Tapi bermain di Bernabeu sukar kerana mereka (Madrid) adalah salah satu kelab terbaik di dunia. Mereka dan Barca memiliki pemain yang luar biasa dan sejarah yang fantastik. Ini merupakan tugas yang sukar buat United untuk mengalahkan mereka”, kata Mancini kepada The Sun. Bercakap tentang peluang pasukannya memintas United, Mancini yakin City mampu mengejar pendahulu liga itu dan berharap situasi akhir musim lalu akan berulang semula. “Musim lalu kami mengejar mereka selepas ketinggalan lapan mata ketika saingan liga berbaki enam perlawanan lagi. Jadi tidak mustahil untuk kami melakukannya sekali lagi musim ini. Kami pasukan yang bagus dan bermain dengan baik”, sambung Mancini lagi.

ZAHA MAMPU SAMAI RONALDO

Bekas pemain tengah Crystal Palace, John Salako (gambar) yakin pemain yang baharu ditandatangani United, Wilfried Zaha boleh menyamai pencapaian Cristiano Ronaldo di Old Trafford satu hari nanti. United berjaya memenangi perebutan mendapatkan tandatangan Zaha dengan nilai 17 juta Pound pada pasaran perpindahan Januari lalu, namun pemain berusia 20 tahun itu akan terus kekal di Selhurst Park sehingga penghujung musim sebagai pemain pinjaman. Salako yakin Zaha adalah pemain yang dicari-cari Sir Alex Ferguson sebagai pengganti Ronaldo sejak pemain sayap Portugal itu meninggalkan Old Trafford untuk menyertai Real Madrid pada 2009. “Manchester United tidak berjaya mencari pengganti Ronaldo sejak dia meninggalkan kelab tetapi saya fikir Zaha memiliki keboleh mirip kepada pemain itu (Ronaldo). Tentunya di bawah kendalian Sir Alex dan dikelilingi pemain-pemain bintang United yang lain akan banyak membantu Zaha meningkatkan permainannya. Saya yakin dia akan muncul bintang di sini (Old Trafford)”, kata Salako.

BUKAN MUDAH BERMAIN DI CRAVEN COTTAGE

Manchester United berjaya meraih tiga mata penuh ke atas Fulham pada pertemuan liga di Craven Cottage awal pagi tadi hasil jaringan tunggal Wayne Rooney. Selepas kedua-dua pasukan buntu dalam usaha mereka mencari gol biarpun mencipta beberapa peluang keemasan terutamanya di babak pertama, Rooney akhirnya muncul penyelamat apabila berjaya menjaringkan gol kemenangan diminit ke-79 selepas menerima hantaran jauh Jonny Evans. Rooney mengakui Fulham yang dihadapinya awal pagi tadi bukanlah skuad yang sama ketika United mudah menyingkirkan mereka dari saingan pusingan keempat Piala FA hujung minggu lalu. Tuan rumah beberapa kali mencemaskan kubu United terutamanya menerusi voli menarik John Arne-Riise dan percubaan Bryan Ruiz yang terkena tiang. “Kunjungan ke Craven Cottage biasanya sukar dan buktinya mereka menekan kami dari minit awal permainan. Percubaan kami terkena tiang dan palang sebanyak tiga kali pada babak pertama namun kami harus fokus pada permainan. Tentu saja kami ketika ini selesa di tangga teratas tetapi kami tidak boleh leka kerana musim ini masih panjang”, kata Rooney selepas tamat perlawanan.

KAMI DI BELAKANG DE GEA

David de Gea sering menerima kritikan sejak ketibaannya di Old Trafford bagi mengambil alih tempat Edwin Van der Sar pada 2011. De Gea dikritik bekas kapten United, Gary Neville kerana dikatakan menjadi penyebab kepada gol penyamaan lewat permainan Clint Dempsey di White Hart Lane. Bekas penjaga gol Atletico Madrid itu turut dipersalahkan sesetengah pihak kerana melepaskan gol pendahuluan ketika berdepan Southampton Khamis lalu biarpun Michael Carrick mengakui bahawa gol itu berpunca dari kesilapannya sendiri. Masa depan De Gea di Old Trafford turut menjadi mainan spekulasi media dengan beberapa nama seperti Victor Valdes, Pepe Reina dan terbaru Asmir Begovic dikaitkan akan menggantikan tempat penjaga gol berusia 22 tahun itu musim panas ini. Meskipun spekulasi demi spekulasi ditiupkan tentang masa depannya bersama United, itu tidak menghalang De Gea untuk terus fokus kepada tugasnya mengawal gawang The Red Devils. Awal pagi tadi, De Gea melakukan beberapa tindakan menyelamat yang hebat terutamanya ketika menafikan sepakan voli cantik John Arne Riise diminit ke-14. Prestasi cemerlang De Gea menjadi perhatian penjaring gol kemenangan di Craven Cottage, Wayne Rooney. “David melakukan beberapa tindakan menyelamat yang hebat sejak beberapa minggu terakhir. Saya akui dia menerima kritikan selepas perlawanan menentang Tottenham tetapi itu bukanlah kesilapan besar yang dilakukan oleh seorang penjaga gol yang pernah saya lihat. Kami semua berada di belakangnya dan dia akan menjadi pemain yang hebat di masa hadapan”, kata Rooney.

BILLY THE BADGER CUBA GANGGU TUMPUAN RVP

Maskot  kelab bolasepak Fulham, Billy The Badger sekali lagi mencuri perhatian apabila aksinya yang cuba menganggu tumpuan Robin Van Persie ketika mengambil sepakan sudut berjaya dirakam lensa kamera. Ketika Van Persie sedang bersedia mengambil sepakan sudut, Billy The Badger yang berada di belakang penyerang United itu dilihat seolah-olah sedang melakukan aksi mengejek. Ini bukan pertama kali Billy The Badger mencuri perhatian kerana pada tahun 2008 ketika pertemuan menentang West Ham, maskot Fulham itu dilihat begitu asyik menari tarian breakdance di tengah padang hingga tidak menyedari perlawanan separuh masa kedua akan dimulakan. Pengadil perlawanan akhirnya terpaksa membawa Billy The Badger keluar padang sebelum memulakan aksi babak kedua perlawanan. Apapun niat dan tujuan aksi yang dilakukan Billy The Badger, Van Persie sebenarnya tidak menyedari apa yang berlaku di belakangnya. Malah Van Persie bertindak hebat di penghujung permainan apabila menyelamatkan  bola tandukan Phillipe Sanderos dari menerjah gawang ketika lawan begitu ghairah mencari gol penyamaan.

SIR ALEX BERI JAMINAN DE GEA KEKAL DI OLD TRAFFORD

Spekulasi tentang masa depan David de Gea di Old Trafford  bertiup kencang sejak kebelakangan ini. Ada yang mengatakan penjaga gol muda Sepanyol itu akan menyertai Barcelona bagi menggantikan tempat Victor Valdes, malah tidak kurang juga yang menyebut Sir Alex Ferguson akan menandatangani penjaga gol Stoke City, Asmir Begovic musim panas nanti bagi mengawal gawang United musim hadapan. Semuanya berpunca dari jumlah gol yang bukan sedikit membolosi gawang United musim ini. Setakat ini pintu gol United sudah dibolosi sebanyak 31 kali, jumlah tertinggi dikalangan lapan pasukan yang menghuni kelompok tangga teratas liga. Walaupun spekulasi demi spekulasi tentang masa depan De Gea dimainkan sejak kebelakangan ini, Sir Alex sebaliknya menegaskan bahawa penjaga gol utamanya itu akan kekal di Old Trafford. Sir Alex malahan mengatakan bahawa beliau akan terus memberikan kepercayaan kepada De Gea untuk mengawal gawang The Red Devils. Minggu lalu Sir Alex melabelkan pengkritik-pengkritik De Gea sebagai `orang yang tidak tahu tentang bolasepak’. “Khabar yang mengatakan De Gea akan pergi tidak sama sekali menganggu permainannya. Ini adalah cabaran yang terpaksa dihadapi pemain muda sepertinya. Dia sedang menikmati hari-harinya di Old Trafford” kata Sir Alex seperti yang dilaporkan Tribal Football. Dalam beberapa perlawanan terakhir, De Gea bertindak cemerlang menyelamatkan gawang United dari dibolosi. Pada pertemuan menentang Spurs di White Hart Lane contohnya, De Gea berjaya menyelamatkan sekurang-kurangnya tujuh percubaan tepat ke sasaran dari Gareth Bale, Clint Dempsey dan Aaron Lennon. De Gea juga bertindak cemerlang ketika menafikan sepakan percuma Rickie Lambert, Khamis lalu dan terbaru awal pagi tadi dia menghampakan John Arne-Riise yang pada mulanya menyangka sepakan voli kencangnya dari jarak 25 meter akan menerjah jaring menerusi tindak balas menyelamat yang cukup cemerlang. – A.J

GLORY GLORY MANCHESTER UNITED!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan