Manchester United berpeluang menjarakkan
kedudukan selaku pendahulu takhta liga kepada 12 mata ketika berdepan Everton
di Old Trafford tengah malam ini selepas pencabar terdekat, Manchester City
tewas mengejut 1-3 kepada kelab dari kelompok bawahan liga Southampton awal
pagi tadi. Bagaimanapun tetamu hari ini bukanlah skuad sebarangan kerana The Toffees muncul pencabar di kelompok
atasan dan mereka turut berpeluang merebut satu slot ke saingan Liga
Juara-Juara musim hadapan. Anak-anak buah David Moyes juga muncul pasukan pertama yang berjaya
mengalahkan United musim ini selepas mereka menang 1-0 di Goodison Park hasil
jaringan Marouane Fellaini 20 Ogos lalu. Kemenangan awal musim itu juga bakal memberikan
motivasi tambahan buat barisan pelawat untuk sekali lagi menghampakan United dalam
perlawanan ini. Walau bagaimanapun sebelum David Moyes memasang impian mencatat
kemenangan berganda ke atas United musim ini, beliau perlu melihat rekod Everton
ketika bermain di Old Trafford dalam tempoh 22 tahun terakhir. Kali terakhir skuad
Merseyside itu berjaya membawa pulang tiga mata penuh dari Theatre of Dreams ialah pada bulan Mac 1991 menerusi kemenangan 2-0
yang dilakar mereka. Moyes dijangka menurunkan skuad yang sama ketika mereka
mencatat keputusan seri ke atas Aston Villa di gelanggang sendiri
minggu lalu.
Tonggak pertahanan mereka, Phil Jagielka yang mengalami kecederaan
ringan ketika mewakili skuad kebangsaan pada perlawanan persahabatan menentang
Brazil dijangka tersenarai dalam kesebelasan utama. Sementara itu Sir Alex
Ferguson yang baru-baru ini merungut berikutan barisan pemainnya terpaksa berdepan
jadual ketat bagi memenuhi tuntutan hak penyiaran televisyen dijangka tidak
akan melakukan rombakan besar ke atas pasukannya. Ryan Giggs dijangka mengambil
alih peranan Micael Carrick yang mengalami kecederaan sementara Ashley Young
pula berpeluang disenaraikan selepas pulih dari kecederaan lutut. Selain
Carrick, dua lagi nama yang dipastikan akan terlepas aksi ini ialah Phil Jones
(serangan virus) dan Darren Fletcher (masalah usus). Dengan tumpuan barisan The Red Devils yang mungkin sedikit
terganggu berikutan terpaksa berdepan jadual perlawanan yang padat terutama menjelang
pertemuan getir menentang Real Madrid dalam saingan Liga Juara-Juara pertengahan
minggu ini, Everton boleh mengambil kesempatan untuk merampas kedudukan tangga
kelima liga dari Arsenal. Glory Glory Manchester United!!! – A.J
Fakta Perlawanan:
- United hanya tewas sekali dari 12
perlawanan di gelanggang sendiri musim ini.
- United menjaringkan 32 gol ketika beraksi
di gelanggang sendiri dalam saingan liga musim ini, kurang satu jaringan dari
kelab yang menduduki tangga pertama, Arsenal.
- Everton tewas dua kali dalam enam
perlawanan terakhir mereka menentang United.
- Rekod bolos Everton sedikit lebih baik
berbanding United musim ini yang menyaksikan gawang mereka dibolosi sebanyak 30
kali manakala United pula sebanyak 31 kali.
- Gol penyamaan lewat permainan Steven
Pienaar di Goodison Park musim lalu, mengancam misi United menjulang kejuaraan
liga ke-20. United akhirnya gagal mempertahankan kejuaraan mereka selepas tewas
menerusi perbezaan gol kepada Manchester City.
Barisan Kemungkinan United:
David De Gea, Rafael da Silva, Rio Ferdinand, Jonny Evans, Patrice Evra, Antonio Valencia, Tom Cleverley, Ryan Giggs, Nani, Wayne Rooney & Robin Van Persie
Barisan Kemungkinan Everton:
Tim Howard, Phil Jagielka, Johnny Heitinga, Sylvain Distin, Leighton Baines, Kevin Mirallas, Darron Gibson, Leon Osman, Steven Pienaar, Marouane Fellaini & Victor Anichebe
Tiada ulasan:
Catat Ulasan