03 Februari 2013

REVIEW: KEMENANGAN HATRIK KE ATAS THE COTTAGERS


Manchester United melengkapkan kemenangan hatrik ke atas Fulham musim ini selepas mereka menewaskan skuad kendalian Martin Jol di Craven Cottage awal pagi tadi. Sebelum ini United sudah mencatat dua kemenangan ke atas The Cottagers, kali pertama pada saingan liga di Old Trafford dan kali kedua ketika menyingkirkan lawan di pusingan keempat Piala FA seminggu lalu. Gol kemenangan lewat permainan Wayne Rooney memastikan United meraih tiga mata sekaligus menghadirkan tekanan buat pencabar terdekat, Manchester City yang akan berdepan Liverpool hari ini. Babak pertama permainan menyaksikan kedua-dua pasukan mencipta beberapa peluang terbaik bermula dari tandukan Nani diminit ke-8 yang berjaya ditepis Mark Schwarzer. Tindakan susulan yang cuba dilakukan Patrice Evra selepas itu menyaksikan percubaannya sekadar singgah di palang gol. Tiga minit selepas itu giliran tuan rumah pula menguji gawang United, namun rembatan voli menarik John Arne-Riise berjaya ditepis keluar David de Gea.  Peluang terbaik sekali lagi dicipta tuan rumah kali ini menerusi Bryan Ruiz namun rembatan penyerang antarabangsa Costa Rica itu sekadar singgah tiang gol. Selepas Ruiz, tiba pula giliran Rooney yang menyaksikan percubaannya diminit ke-32 tersasar ke tiang gol meskipun Schwarzer sudah tertewas. Tempo perlawanan yang rancak tiba-tiba terganggu berikutan lampu limpah stadium terpadam diminit ke-43 dan perlawanan terpaksa dihentikan selama kira-kira 12 minit.

Babak kedua menyaksikan United masih menguasai permainan namun buntu untuk menghasilkan sebarang jaringan. Menyedari pasukannya perlukan gol, Sir Alex Ferguson mengeluarkan Antonio Valencia diminit ke-66 dan memasukkan Javier Hernandez untuk menambah sengat di barisan serangan. Bintang veteran, Ryan Giggs merakamkan penampilan ke-650 untuk United dalam aksi liga apabila dibawa masuk menggantikan Tom Cleverey sembilan minit kemudian. Rooney akhirnya memecah kebuntuan apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan diminit ke-79. Selepas menyumbangkan dua gol ketika bertemu Southampton, Khamis lalu, Rooney sekali lagi menemui sentuhan jaringannya apabila bijak melepaskan rembatan rendah ke sebelah kiri gawang lawan yang gagal sama sekali diselamatkan Schwarzer. Gol itu menyebabkan Fulham bangkit memberikan tekanan kepada benteng United untuk memburu gol penyamaan. Peluang terbaik mereka hadir menerusi tandukan Chris Baird tetapi berjaya diselamatkan Rafael da Silva di atas garisan gol. Di masa kecederaan situasi hampir sama berulang apabila Philipe Sanderos pula menyaksikan tandukannya dikeluarkan Robin Van Persie. Kemenangan ini menyaksikan United melebarkan kedudukan di tangga teratas kepada sepuluh mata sekurang-kurang untuk tempoh 24 jam sebelum City turun menentang Liverpool hari ini. Glory Glory Manchester United!!!

Statistik Perlawanan Fulham - United:

Gol: 0 – 1
Sepakan Sudut: 5 – 8
Percubaan Tepat: 8 – 8
Percubaan Tersasar: 7 – 5
Kekasaran: 8 – 15
Offside: 2 – 5
Kad Kuning: 1 – 1
Penguasaan Bola: 50% - 50%

Tiada ulasan:

Catat Ulasan