06 Februari 2013

TRAGEDI MUNICH....DALAM KENANGAN


6 Februari merupakan tarikh yang akan sentiasa diingati oleh penyokong-penyokong United tidak kira dari pelosok mana sekalipun mereka berada. Hari itu, tepat jam 3:04 petang 55 tahun yang lalu, berlakunya tragedi hitam yang mengorbankan 21 nyawa termasuk lapan pemain dan tiga kakitangan kelab bolasepak Manchester United di Munich. Dalam cuaca sejuk, pesawat yang dinaiki pemain-pemain dan kakitangan kelab terhempas di ibu kota Jerman itu selepas gagal dalam percubaan kali ketiga untuk berlepas. Ketika itu skuad Manchester United di bawah kendalian Matt Busby baru saja selesai mengharungi perlawanan Piala Eropah (sekarang Liga Juara-Juara) menentang kelab Yugoslavia, Red Star Belgrade yang berkesudahan kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan seri 3-3. Ketika dalam perjalanan pulang ke England, pesawat British European Airways Flight 609 yang dinaiki mereka singgah di Munich untuk mengisi minyak. Meskipun dua kali percubaan sebelumnya untuk berlepas gagal, krew penerbangan memutuskan melakukan percubaan kali ketiga namun ianya berakhir dengan tragedi apabila pesawat tersebut kemudiannya merempuh pagar, pokok dan gudang menyimpan bahan bakar. Sebelum berlakunya letupan susulan, kapten pasukan, James Thain dan penjaga gol, Harry Gregg berjaya menyelamatkan beberapa penumpang termasuk rakan sepasukan mereka, Bobby Charlton dan Dennis Viollet. Wartawan, Frank Swift meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital manakala Matt Busby terselamat meskipun mengalami kecederaan yang agak parah.

Duncan Edwards yang mengalami kecederaan parah meninggal dunia di hospital 15 hari kemudian. Tragedi ngeri itu meninggalkan kesan yang cukup besar ke atas pemain, pihak pengurusan dan penyokong-penyokong United sendiri. Kehilangan lapan pemain utama, beberapa lagi pemain cedera manakala pengurus pasukan, Matt Busby sendiri bertarung untuk hidup menyebabkan Manchester United ketika itu seolah-olah seperti tinggal nama untuk dikenang generasi seterusnya. Bagaimanapun, Matt Busby bangkit membina semula pasukannya sepertimana dia bangkit untuk hidup dari tragedi hitam tersebut dan berjaya mengemudi United menjulang trofi Eropah sepuluh tahun kemudian. Siapa sangka Manchester United yang hampir lumpuh sepuluh tahun sebelumnya berjaya mara ke perlawanan akhir Piala Eropah edisi 1968, dan menewaskan Benfica yang ketika itu diperkuatkan pemain terbaik dunia, Eusebio. Lebih manis lagi, apabila skuad juara ini turut dibarisi Bobby Charlton dan Bill Foulkes, dua pemain yang terselamat dari tragedi ngeri di Munich sepuluh tahun lalu. Hari ini, selepas 55 tahun berlakunya tragedi Munich, mereka-mereka yang terkorban tetap dikenang dan peristiwa itu akan terus diingati sebagai salah satu titik paling hitam pernah berlaku dalam sejarah kelab…SELAMAT JALAN BUSBY BABES.

Senarai Pemain dan Kakitangan United Yang Terkorban Dalam Tragedi Munich 1958:

Geoff Bent
Roger Byrne
Eddie Colman
Duncan Edwards
Mark Jones
David Pegg
Tommy Taylor
Liam Whelan
Walter Crickmer (Setiausaha Kelab)
Tom Curry (Jurulatih)
Bert Whalley (Jurulatih)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan