Manchester City dilihat berdepan tugas sukar mempertahankan
kejuaraan liga yang mereka menangi musim lalu selepas terpaksa berkongsi mata
ketika berdepan Liverpool di gelanggang sendiri Ahad lalu. Keputusan seri 2-2
itu menyaksikan skuad bimbingan Roberto Mancini kini ketinggalan sembilan mata
di belakang United, dan mereka sepatutnya berterima kasih kepada Pepe Reina
kerana kegopohannya menyebabkan Sergio `Kun’ Aguero berjaya menjaringkan gol
penyamaan di penghujung perlawanan. Apakah kelebihan sembilan mata yang
dimiliki membuatkan anak-anak buah Sir Alex Ferguson cukup selesa ketika ini? Musim
lalu, United mencipta jurang lapan mata ke atas City ketika saingan liga
memasuki bulan terakhir tetapi di penghujung saingan Mancini dan barisan
pemainnya berpesta di Stadium Etihad selepas `Kun’ Aguero menjaringkan gol kemenangan
lewat permainan ke atas QPR. Gol itu menyebabkan United terpaksa menyerahkan
gelaran yang mereka menangi musim sebelumnya (musim 2010-11) kepada pasukan
yang dilabelkan Sir Alex Ferguson sebagai `jiran yang bising’ itu. Memang pahit
untuk diterima terutamanya apabila memikirkan kejuaraan yang awalnya disangka sudah
berada dalam genggaman tiba-tiba terlepas pada perlawanan terakhir liga menerusi
hanya perbezaan jaringan. Selepas perlawanan menentang Liverpool, Mancini biarpun
kecewa tetapi tetap yakin yang pasukannya mampu memadamkan kelebihan sembilan
mata milik The Red Devils
memandangkan perjalanan liga masih panjang dengan baki 13 perlawanan perlu
diharungi. Mungkin juga situasi musim lalu membuatkan Mancini melihat masih ada
sinar buat pasukannya mempertahankan kejuaraan mereka, biarpun penjaga golnya
Joe Hart mengatakan jurang sembilan mata terlalu besar untuk mereka kejar. Apakah
City masih berpeluang mempertahankan kejuaraan mereka di mana situasi musim
lalu berulang semula? Untuk itu mari kita lihat jadual perlawanan-perlawanan
yang perlu diharungi United dan City selepas ini. Misi City menghambat United
bermula hujung minggu ini apabila mereka akan berkunjung ke Stadium St Mary
bagi berdepan Southampton. The Saints berjaya
keluar dari zon penyingkiran dan memberikan aksi terbaik mereka pada separuh
masa kedua ketika berdepan United di Old Trafford, Khamis lalu. Jika mereka
mampu mengulangi aksi yang sama ketika bertemu United, mereka bakal memberikan
masalah buat City Ahad nanti apatah lagi ketika beraksi di halaman sendiri di
bawah kendalian pengurus baru mereka, Mouricio Pochettino.
Tugas berat sekali lagi menanti City selepas
itu apabila mereka akan bertemu kelab di tangga ketiga liga, Chelsea pada 24
Februari di gelanggang sendiri. Perlawanan ini penting buat kedua-dua kelab
kerana City perlukan kemenangan dalam usaha mereka terus menghambat United
manakala Chelsea pula mahu mengukuhkan kedudukan mereka dalam kelompok empat
teratas bagi merebut slot ke Liga Juara-Juara musim hadapan. Ketika ini The Blues sedang disaingi hebat
Tottenham Hotspurs, Arsenal dan Everton. Selepas itu City akan berdepan Aston
Villa (2 Mac, gelanggang lawan) dan Wigan (9 Mac, gelanggang sendiri), dua
perlawanan yang sepatutnya tiada masalah untuk mereka menangi. Tugas getir
kembali menanti City apabila mereka akan berkunjung ke Goodison Park pada 16
Mac untuk berdepan Everton, lawan yang tentunya bakal memberikan masalah besar buat
juara bertahan itu. Mereka akan bermain di gelanggang sendiri bertemu Newcastle
United (30 Mac) dan kemudiannya berdepan perlawanan derby menentang United di Old Trafford pada 6 April yang mungkin
menjadi perlawanan penentu kejuaraan musim ini. Selepas bertemu United, City
akan bermain dua perlawanan di gelanggang sendiri menentang West Brom (13
April) dan West Ham (27 April). Swansea City menanti mereka di Stadium Liberty
pada 4 Mei dan kemudiannya City akan sekali lagi bermain di gelanggang lawan
berdepan Reading (12 Mei) sebelum menutup kempen liga menentang Norwich City
(19 Mei) di gelanggang sendiri. Perlawanan paling besar buat City selepas ini
tentunya pada 6 April di Old Trafford yang akan memberikan gambaran jelas siapa
bakal muncul juara musim ini. Sebelum perlawanan derby Manchester ini, United akan bermain tiga perlawanan di
gelanggang sendiri membabitkan pertemuan menentang Everton, Norwich dan Reading
manakala perlawanan di gelanggang lawan pula membabitkan pertemuan menentang
QPR, West Ham dan Sunderland (tidak mengikut urutan tarikh sebenar perlawanan).
United sepatutnya mengambil peluang dari enam perlawanan ini (menentang
Everton, Norwich, Reading, QPR, West Ham dan Sunderland) untuk menutup terus peluang
City mempertahankan kejuaraan mereka sebelum pertembungan derby pada 6 April berlangsung. Bermula hujung minggu ini, City
mesti memperolehi keputusan positif di Stadium St Mary atau jika tidak Mancini
mungkin terpaksa mengakui bahawa perjuangan mereka untuk mempertahanakan
kejuaraan liga bakal berakhir. Apakah `Misi 20' United boleh dicapai atau keajaiban akan sekali lagi menyebelahi City musim ini? Glory Glory Manchester United!!! – A.J
Tiada ulasan:
Catat Ulasan