28 April 2013

PREVIEW: ARSENAL lwn MANCHESTER UTD



Mala mini, Arsenal akan menyambut kedatangan juara Liga Perdana musim ini, Manchester United di Stadium Emirates. Semua mata pastinya tertumpu kepada kelibat Robin Van Persie yang kembali semula ke kubu The Gunners itu buat pertama kali selepas menyertai United musim panas lalu. Ramai yang menjangkakan Van Persie akan diberikan sambutan `luar biasa’ dari penyokong-penyokong Arsenal malam ini selepas pemain berusia 29 tahun itu membuat keputusan mengejut meninggalkan Stadium Emirates dengan menyertai United. Tambah memilukan apabila penyokong-penyokong The Gunners terpaksa menyaksikan pemain-pemain mereka memberikan penghormatan `guard of honour’ kepada Van Persie dan rakan-rakan sepasukannya sebelum perlawanan. Lupakan dulu layanan yang bakal diberikan penyokong-penyokong Arsenal kepada bekas wira mereka itu dan mari tumpukan pada perlawanan yang bakal berlangsung malam nanti. Selasa lalu, Van Persie mempamerkan prestasi menakjubkan apabila jaringan hatriknya ke atas Aston Villa di Old Trafford membantu United mengesahkan kejuaraan liga musim ini sekaligus menamatkan perlumbaan mengejar kejuaraan biarpun saingan masih berbaki 4 perlawanan untuk ditamatkan. Selepas mengalami kemarau jaringan lebih 700 minit, Van Persie menjaringkan gol menerusi sepakan penalti ketika berdepan Stoke City, meneruskan momentum jaringan apabila menghasilkan gol penyamaan ketika menentang West Ham dan meledak hatrik di Old Trafford Selasa lalu. Menyedari dirinya bakal menjadi perhatian penyokong-penyokong dan benteng pertahanan Arsenal, Van Persie tetap tenang sambil meletakkan fokus utama membantu United meraih tiga mata penuh dalam perlawanan ini. Dengan pencabar terdekatnya, Luis Suarez menjalani penggantungan 10 perlawanan, Van Persie yang sudah menjaringkan 24 gol setakat ini berpeluang cerah mempertahankan anugerah kasut emas yang dimenanginya musim lalu. United sudah sah memenangi kejuaraan liga buat kali ke-20, dan skuad Sir Alex kini mengalihkan tumpuan mereka untuk memadam rekod pungutan 95 mata yang dilakukan Chelsea pada musim 2004-05.

Berbekalkan 84 mata yang sudah dikumpul United setakat ini, mereka berpeluang melakar rekod baru pungutan mata Liga Perdana jika menang kesemua baki empat perlawanan selepas ini. Bagaimanapun misi United bakal berdepan tentangan sengit Arsenal yang sedang berjuang memburu slot ke saingan Liga Juara-Juara musim depan. Jika diambilkira prestasi Arsenal sejak kebelakangan ini yang menang 8 dari 10 perlawanan terakhir mereka, Sir Alex sudah pasti menjangkakan tugas getir bakal menanti pasukannya. Arsene Wenger bagaimanapun tidak dapat menurunkan penyerang utamanya, Olivier Giroud yang menjalani penggantungan perlawanan kerana layangan kad merah ketika berdepan Fulham minggu lalu. Pengendali dari Perancis itu nampaknya terpaksa memutuskan siapa yang bakal diletakkannya di barisan hadapan sama ada Theo Walcott, Gervinho ataupun Lukas Podolski. Di bahagian tengah, Wenger boleh meletakkan harapan di bahu Jack Wilshere selepas pemain itu direhatkan minggu lalu manakala Per Mertesacker dan Laurent Koscielny akan terus membentuk kombinasi di bahagian tengah pertahanan berikutan prestasi baik yang dipamerkan kedua-duanya sejak kebelakangan ini. Bagi Sir Alex pula, beliau kini sudah bebas dari sebarang tekanan berikutan trofi liga yang sudah sah menjadi milik pasukannya tetapi itu bukan bermakna beliau akan mengambil mudah perlawanan ini. Sir Alex dijangka tetap menurunkan skuad terkuatnya malam ini apatah lagi ketika berdepan bekas seteru lamanya, Arsene Wenger. Terlepas aksi di Old Trafford Selasa lalu, Rio Ferdinand dan Nemanja Vidic dijangka kembali memperkuatkan benteng tengah United, manakala Phil Jones mungkin di tolak ke atas (bahagian tengah). Michael Carrick yang berdepan masalah kecederaan kecil sebelum perlawanan menentang Villa dikhabarkan sudah pulih sepenuhnya dan bakal mengemudi bahagian tengah United. Apapun status United dan Arsenal ketika ini, pertembungan kedua-dua pasukan itu tetap dinanti dengan penuh minat dan menarik untuk disaksikan biarpun aksi tidak sepanas sepuluh tahun lalu ketika nama-nama besar seperti Roy Keane dan Patrick Vieira masih bermain. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

26 April 2013

HARI INI DALAM SEJARAH: 26 APRIL 1902, NEWTON HEATH SECARA RASMI DIKENALI DENGAN NAMA MANCHESTER UNITED




Tepat 111 tahun yang lalu (26 April 1902), kelab yang beraksi di Divisyen 2 England, Newton Heath FC telah menukar nama mereka. Bermula dengan nama Newton Heath L&YR FC, kelab tersebut ditubuhkan pada 1878 oleh para pekerja depot keretapi Lanchashire dan Yorkshire, Newton Heath. Pangkalan pertama kelab itu terletak di North Road (sekarang Northampton Road) di Newton Heath dan mereka kekal bermain di sana selama 15 tahun hingga 1893. Ketika ini kawasan tersebut sudah dibangunkan menjadi pusat perniagaan di bandaraya Manchester (North Manchester Business Park). Bagaimanapun kedudukan North Road sendiri kurang ideal kerana pemain-pemain terpaksa berjalan hampir 2 km dari kawasan penempatan mereka di Three Crowns semata-mata untuk menukar pakaian. Memasuki musim 1893, kelab ini bersaing di peringkat Football League dan kemudiannya mengugurkan perkataan L&YR dari nama mereka kepada hanya Newton Heath FC. Pada September 1893, pihak pengurusan kelab akhirnya memutuskan berpindah ke C Layton, kira-kira 4 km dari pangkalan lama mereka di North Road. Berpindah ke tempat baharu nampaknya tidak menyelesaikan masalah kelab kerana kedudukan pangkalan mereka yang betul-betul berada di tengah-tengah kawasan industri (kini kawasan ini  menjadi tempat meletakkan kenderaan Manchester Velodrome). The Heathens (gelaran Newton Heath FC) bagaimanapun tetap kekal bertahan di pangkalan baharu mereka hingga memasuki abad baharu. Selepas 24 tahun ditubuhkan, kelab akhirnya mengalami masalah kewangan di mana hutang mereka mencapai lebih 2,500 Pound hingga menyebabkan kelab berdepan ancaman muflis. Tidak mahu berdiam diri, kapten pasukan ketika itu, Harry Stafford cuba menyelamatkan kelabnya dengan memujuk seorang usahawan arak tempatan John H Davies melabur untuk Newton Heath.

Perbincangan mereka bermula ketika Davies ingin membeli anjing peliharaan Stafford tepi ditolak. Stafford kemudiannya menceritakan tentang masalah kewangan yang melanda kelabnya dan mencadangkan agar Davies menyelesaikan tunggakan hutang kelab. Stafford turut menawarkan jawatan presiden kelab menjadi milik Davies jika beliau bersetuju melabur. Tawaran itu akhirnya diterima Davies dan ketika mesyuarat awal pengurusan kelab diadakan, beliau mencadangkan agar perubahan warna jersi dengan memilih warna merah dan putih menggantikan warna hijau dan kuning. Bukan setakat perubahan warna jersi, Davies juga mahukan agar nama Newton Heath ditukar. Pada mulanya nama Manchester Central dan Manchester Celtic berada dalam senarai untuk dipertimbangkan tetapi akhirnya pihak pengurusan kelab bersetuju menggunakan Manchester United sebagai nama baharu kelab. Andy Mitten dalam bukunya berjudul “The Man Utd Full Story” diterbitkan pada 26 April 1902 menjadi titik permulaan Newton Heath mula dikenali dengan nama baru mereka iaitu Manchester United. Nama baru memberikan tuah buat kelab apabila mereka menamatkan saingan liga Divisyen 2 di tangga kedua sekaligus menempah tempat ke Divisyen 1 pada 1906. Dua tahun selepas itu (1908) Manchester United meraih gelaran liga pertama mereka dan musim berikutnya mereka menang pula kejuaraan Piala FA buat pertama kali. Hingga kini The Red Devils sudahpun menang kejuaraan liga sebanyak 20 kali, 11 kejuaraan Piala FA, 4 kejuaraan Piala Liga, 3 kejuaraan Liga Juara-Juara dan beberapa lagi kejuaraan utama. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

25 April 2013

KEJUARAAN LIGA KE-20...SATU PERJALANAN YANG PANJANG



Manchester United akhir berjaya memastikan gelaran juara Liga Perdana buat kali ke-20 selepas menewaskan Aston Villa awal pagi Selasa lalu. Kejayaan epik United itu bagaimanapun bukanlah diraih dengan jalan mudah, sebaliknya skuad kendalian Sir Alex Ferguson terpaksa menempuh jalan yang panjang dan mencabar. Kegagalan musim lalu nyata menjadi pengajaran berguna kepada barisan pemain The Red Devils hingga mereka tampil begitu perkasa musim ini, jadi tidak hairanlah mengapa juara musim lalu, Manchester City ketinggalan 16 mata di belakang. Memenangi perlawanan-perlawanan penting adalah kunci utama kejayaan United selain konsistensi sepanjang musim membolehkan mereka mengatasi pesaing-pesaing lain. Tidak dinafikan kejayaan merampas kembali trofi Liga Perdana dari tangan City dibantu oleh skuad besar dan mantap yang dimiliki Sir Alex, namun itu tidak bermakna mereka diberi laluan mudah. United berdepan krisis kecederaan sejak awal musim terutamanya di benteng pertahanan hingga pada satu ketika memaksa Michael Carrick diletakkan sebagai pemain pertahanan tengah. Ketiadaan Nemanja Vidic, Chris Smalling, Jonny Evans dan Phil Jones secara serentak menyebabkan gawang David de Gea mudah dibolosi lawan tetapi mujurlah kekurangan ini di imbangi dengan ketajaman barisan penggempur United yang diketuai Robin Van Persie dan Wayne Rooney. Kehadiran Robin Van Persie musim panas lalu meninggalkan impak yang bukan sedikit kepada barisan serangan United. Memang benar seorang pemain tidak mewakili kekuatan sesebuah pasukan tetapi kehadiran penyerang berusia 29 tahun itu memberikan pengaruh besar kepada perjalanan United dalam saingan liga musim ini. Di awal pendakian United ke puncak liga, mereka dibantu kesilapan juara bertahan musim lalu, City yang sekadar mencatat keputusan seri ketika menentang Stoke City di gelanggang lawan. Pada masa yang sama, United berpesta gol menewaskan Wigan Athletic 4-0 di Old Trafford. Kemenangan 3-2 ke atas Chelsea di Stamford Bridge pada bulan Oktober menjadi antara detik penting bagi United musim ini. Kemenangan pertama United dalam tempoh lapan tahun ke atas The Blues di Stamford Bridge cukup menguji kekuatan mental anak-anak buah Sir Alex dan kejayaan itu seolah-olah memberikan petanda awal bahawa trofi liga akan kembali semula ke Old Trafford.

Van Persie membuktikan mengapa Sir Alex sanggup mengeluarkan belanja sebesar 24 juta Pound bagi seorang pemain yang sudah berusia 29 tahun apabila menyumbat gol ke gawang bekas kelabnya, Arsenal di Old Trafford pada bulan November. Dalam perlawanan itu United berjaya menewaskan The Gunners 2-1 dan mereka mula mengukuhkan cengkaman di kelompok teratas liga. Kekuatan mental barisan The Red Devils memang tidak perlu dipertikaikan dan mereka membuktikannya sepanjang musim ini. Beberapa kali United ketinggalan dan kemudiannya bangkit untuk memenangi perlawanan. Pertembungan di Villa Park adalah contoh terbaik. Meskipun pada satu ketika, ketinggalan dua gol menerusi jaringan Andreas Weimann, United melakukan kebangkitan menakjubkan dan akhirnya membawa pulang tiga mata penuh dalam perlawanan itu. Javier Hernandez merapatkan kedudukan menerusi gol di awal babak kedua sebelum pemain tuan rumah, Ron Vlaar menyumbat bola ke gawang sendiri. Ketika tempoh permainan sebenar berbaki tiga minit untuk ditamatkan, Hernandez menamatkan impian Villa untuk sekurang-kurangnya berkongsi mata apabila menjaringkan gol kemenangan United. Kejayaan memenangi perlawanan-perlawanan penting adalah antara kunci utama mengapa United begitu sukses musim ini. Pertembungan derby Manchester di Stadium Etihad pada 9 Disember adalah bukti terbaik. Ketika itu persaingan di tangga teratas antara United dan City begitu sengit dengan jurang mata yang rapat. Dua gol dari Wayne Rooney seolah-olah memberikan gambaran bahawa United akan menang mudah perlawanan itu tetapi City bangkit menerusi gol dari Yaya Toure dan Pablo Zabaleta untuk menyamakan kedudukan. Van Persie sekali lagi muncul sebagai watak pemisah apabila sepakan percumanya dimasa kecederaan memberikan United kemenangan berharga di gelanggang keramat City itu. Gol kemenangan Van Persie itu juga menyaksikan rentetan rekod tanpa kalah City di gelanggang sendiri sejak Disember 2010 lebur manakala United pula berjaya melebarkan kedudukan di tangga teratas kepada enam mata. Ketika satu demi satu pemain United yang mengalami kecederaan kembali ke pangkuan pasukan, City selaku pencabar terdekat pula mengalami nasib berbeza. Mereka terpaksa menelan hakikat hilang khidmat kapten pasukan yang juga merupakan tonggak di benteng pertahanan, Vincent Kompany selama dua bulan akibat kecederaan.

Ketiadaan Kompany menyaksikan pertahanan City seperti hilang haluan hingga mengakibatkan pada satu ketika mereka ketinggalan 15 mata di belakang United. Perjudian Roberto Mancini menurunkan Kompany yang baru cergas ketika pertemuan menentang Southampton di gelanggang lawan memakan diri apabila mereka tewas 1-3 kepada skuad kendalian Mouricio Pochettino. Kekalahan City di Stadium St Mary pada 10 Februari itu merupakan antara detik penting yang menyumbang kepada kejayaan United menjulang kejuaraan liga musim ini. Kemuncak kegagalan City berlaku ketika mereka tewas 0-2 kepada Everton di Goodison Park pada 16 Mac biarpun The Toffees pada satu ketika terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Steven Pienaar di perintah keluar padang. Ketika City semakin goyah, United pula meluncur laju walaupun perjalanan mereka menuju kejuaraan diganggu dengan kekalahan 1-2 kepada City di Old Trafford dan keputusan seri yang dicatatkan mereka ketika berdepan West Ham di Boleyn Ground. Meskipun pada satu ketika mengalami kemarau jaringan, Van Persie kembali menemui sentuhan gol apabila meledak ketika berdepan Sunderland namun gol itu akhirnya disahkan sebagai gol sendiri Titus Bramble. Penalti yang disempurnakan Van Persie ke gawang Stoke City akhirnya menamatkan kemarau 754 minit tanpa jaringan penyerang berbisa itu. Van Persie memilih waktu dan tempat yang tepat untuk melengkapkan musim gemilang buat dirinya apabila meledak hatrik ke gawang Aston Villa, Selasa lalu. Kemenangan 3-0 yang diraih United di halaman sendiri itu menamatkan  perlumbaan merebut kejuaraan musim ini selepas City tewas 1-3 kepada Tottenham Hotspurs dua hari sebelumnya. Meskipun belum secara rasmi dikalungkan dengan pingat kejuaraan liga, ini adalah kejayaan paling manis dalam karier Van Persie sejak berhijrah ke England pada 2004. United sudahpun sah meraih kejuaraan liga buat kali ke-20 manakala Van Persie pula akhirnya berjaya memenuhi impian menjulang trofi Liga Perdana buat pertama kali selepas menunggu sekian lama. Kejayaan tidak datang dengan mudah dan memerlukan kerja keras serta pengorbanan yang bukan sedikit. Musim lalu, United menamatkan saingan tanpa sebarang trofi utama tetapi mereka bangkit dengan begitu bergaya musim ini biarpun terlepas dua lagi trofi yang menjadi sasaran di awal musim (Liga Juara-Juara dan Piala FA). Menamatkan musim 2012-13 dengan hanya satu trofi selaku juara Liga Perdana yang juga merupakan kejuaraan ke-20 dalam sejarah kelab bukanlah satu kegagalan tetapi kejayaan yang perlu dibanggakan. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

23 April 2013

REVIEW: MALAM GEMILANG BUAT UNITED & RVP


Manchester United akhirnya mengesahkan kejuaraan liga musim ini milik mereka selepas membenam Aston Villa 3-0 awal pagi tadi. Berbaki empat perlawanan dan dengan kelebihan 16 mata di tangga teratas, tiada apa-apa lagi yang mampu dilakukan kelab tangga kedua, Manchester City untuk menghalang United dari menjulang trofi liga buat kali ke-20. Robin Van Persie nampaknya memilih detik dan tempat terbaik untuk melakar sejarah baru dalam kariernya apabila hatrik sumbangannya di hadapan penyokong sendiri memberikan kejuaraan Liga Perdana pertamanya sejak menyertai Arsenal dari Feyenoord pada 2004. Mimpi ngeri tewas dengan hanya perbezaan jaringan kepada City sekaligus terlepas trofi liga kepada jiran setempat mereka itu musim lalu menjadi panduan kepada Sir Alex dan barisan pemainnya hingga menjadikan The Red Devils begitu kejam musim ini. Di awal musim, Sir Alex berjanji kesilapan musim lalu tidak akan berulang kembali dan keyakinan pengendali berpengalaman itu tambah menebal apabila beliau berjaya membawa keluar Robin Van Persie dari Arsenal. Ketika itu arahan pertama yang dikeluarkan Sir Alex kepada pemainnya ialah memastikan mereka tidak lagi tewas dengan perbezaan jaringan. Barisan pemain United akhirnya membuktikan kepada pencabar-pencabar mereka musim ini terutamanya City bahawa mereka pasukan yang jauh berbeza berbanding skuad musim lalu. United menjaringkan 78 gol musim ini jauh meninggalkan City yang menjaringkan 59 gol dengan hampir sepertiga jaringan United disumbangkan Van Persie. Ramalan ramai pihak bahawa kelibat Van Persie akan menjadi faktor penentu kepada perlumbaan merebut kejuaraan musim ini menjadi kenyataan. Awal pagi tadi Van Persie membuktikan mengapa Roberto Mancini begitu marah terhadap pihak pengurusan City berikutan kegagalan mereka bersaing dengan United dalam perebutan mendapat tandatangannya musim panas lalu. Kemenangan 3-0 ke atas Aston Villa di gelanggang sendiri dengan penyerang antarabangsa Belanda itu menjaringkan hatrik mengesahkan gelaran liga kali ini adalah milik mutlak United.

Sejak awal permainan, keinginan untuk menjulang kejuaraan liga ke-20 memberikan motivasi cukup besar buat kesebelasan utama United. Mereka mengasak sejak minit pertama dan benteng pertahanan pelawat yang diketuai Ron Vlaar akhirnya roboh seawal minit ke-3 apabila Van Persie mudah menolak masuk bola hantaran Ryan Giggs dari sebelah kiri. Sepuluh minit kemudian, Van Persie menambah kelebihan United apabila rembatan voli menariknya selepas menerima hantaran jauh Wayne Rooney menewaskan Brad Guzan buat kali kedua. Van Persie melengkapkan malam gemilang buatnya apabila diminit ke-33, dia menyumbat gol ketiganya di mana Giggs sekali lagi memainkan peranan selaku pengumpan. Meskipun begitu tajam di separuh masa pertama, barisan penggempur United terutamanya Van Persie gagal menambah sebarang gol di separuh masa kedua dan keputusan akhirnya kekal 3-0 selepas pengadil perlawanan Anthony Taylor meniup wisel penamat. “84 mata dengan baki 4 perlawanan lagi untuk diharungi adalah sesuatu yang fantastik”, itulah ayat pertama yang keluar dari mulut Sir Alex sebaik tamat perlawanan awal pagi tadi. Selepas mengalami kekecewaan yang cukup besar musim lalu kerana gagal memenangi sebarang trofi utama, United bangkit dengan bergaya musim ini walaupun terlepas dua lagi kejuaraan utama (Liga Juara-Juara dan Piala FA). Sir Alex sudahpun memenangi kejuaraan liga ke-13 buat dirinya dan kini fokusnya beralih kepada usaha memecahkan rekod pungutan mata semusim milik Chelsea pada baki empat perlawanan selepas ini. Chelsea memenangi kejuaraan liga musim 2004-05 selepas mengumpul 95 mata, tetapi United boleh menutup saingan musim ini dengan bergaya jika menang kesemua baki empat perlawanan mereka dan mengumpul 96 mata sekaligus memadam rekod The Blues itu. United sudah pun mengesahkan bahawa gelaran liga musim ini milik mereka, dan sebelum memikirkan apakah mereka mampu mengumpul 96 mata sebaik musim berakhir mari kita meraikan kejayaan menjulang trofi liga buat kali ke-20. Misi 20 akhirnya tercapai…GLORY GLORY MANCHESTER UNITED!!! – A.J

Statistik Perlawanan United – Villa:

Jaringan: 3 – 0
Sepakan Sudut: 5 – 3
Percubaan Tepat: 5 – 5
Percubaan Tersasar: 5 – 3
Kekasaran: 10 – 6
Kad Kuning: 1 – 0
Kad Merah: 0 – 0
Offside: 3 – 1 

22 April 2013

PREVIEW: MANCHESTER UTD lwn ASTON VILLA



Satu lagi kemenangan bakal menyaksikan Manchester United dinobatkan sebagai juara liga musim ini dan yang paling manisnya kejuaraan ke-20 (jika berjaya menewaskan Aston Villa) buat The Red Devils akan disahkan di gelanggang sendiri. Kekalahan pencabar terdekat, Manchester City kepada Tottenham Hotspurs semalam membuka ruang buat United menamatkan perlumbaan merebut kejuaraan musim ini di hadapan penyokong-penyokong mereka sendiri. Motivasi United yang mahu melengkapkan misi menjulang kejuaraan liga buat kali ke-20 mereka bakal menjadi mimpi buruk buat Villa yang cuma dipisahkan 3 mata dari zon penyingkiran. Dalam keghairahan mahu mengesahkan kejuaraan, United sepatutnya sedar bahawa Villa mampu memberikan ancaman kepada mereka selepas skuad Paul Lambert itu berjaya mengutip 10 mata dari lima perlawanan terakhir. Villa berjaya menewaskan Stoke City di gelanggang lawan tetapi terlepas peluang mengutip mata penuh di gelanggang sendiri apabila sekadar seri ketika berdepan Fulham minggu lalu. Bagi menghidupkan peluang terus beraksi di saingan Liga Perdana musim depan, Lambert tidak punya pilihan lain selain dari membariskan barisan terbaiknya dalam perlawanan ini. Lambert yang sedar skuadnya berdepan situasi buruk menyeru anak-anak buahnya bermain seperti biasa selain cuba mengelak dari sebarang tekanan. “Old Trafford akan menjadi tempat yang fantastis untuk bermain bolasepak apatah lagi bermain menentang juara. Jika anda tidak menikmati permainan anda di sana, ia adalah sesuatu yang merugikan”, kata Lambert. Selain usaha mengelak dari terjerumus ke zon penyingkiran, Villa mendapati rekod mereka ketika beraksi di Old Trafford agak buruk meskipun berjaya memaksa United bekerja keras pada pertemuan di Villa Park, November lalu. Dalam perlawanan itu, mereka berjaya mendahului United dengan 2 gol menerusi jaringan Andreas Weimann tetapi dihampakan oleh kebangkitan hebat pelawat sebelum Javier Hernandez menjaringkan gol kemenangan di penghujung permainan.

Sementara itu, Ashley Young akan terlepas aksi menentang bekas kelabnya berikutan masalah kecederaan yang menyebabkan dia terpaksa diketepikan pada baki saingan musim ini. Lambert pula menerima khabar gembira dengan kemungkinan Gabriel Agbonlahor boleh disenaraikan meskipun mengalami kecederaan pangkal paha ketika pertemuan menentang Fulham minggu lalu. Agbonlahor yang menjadi sandaran Lambert untuk memburu gol sudah kembali menjalani latihan sejak beberapa hari lalu. Jika ada pemain lawan yang perlu diberikan perhatian khusus benteng pertahanan United, sudah pasti Agbonlahor adalah orangnya. Pemain itu menjaringkan gol tunggal perlawanan ketika Villa menewaskan United di Old  Trafford pada Disember 2009. Kemenangan yang diraih Villa itu merupakan satu-satunya kemenangan yang dicapai mereka ke atas United dari 32 perlawanan dalam semua kejohanan. Perlawanan awal pagi esok juga menjadi pentas terbaik buat Agbonlahor memburu gol ke-60 untuk Villa sekaligus menyamai pencapaian yang pernah dilakukan Dwight Yorke. Menjaringkan gol ke-60 ke gawang United adalah penghormatan besar yang pastinya diburu penyerang berusia 27 tahun itu. Selepas tewas 1-2 kepada City di gelanggang sendiri 9 April lalu, United perlu mengelak dari sebarang kejutan jika tidak mahu rekod tewas dua perlawanan berturut-turut di Old Trafford yang dialami mereka pada tahun 2002 berulang kembali. Dengan kejuaraan liga yang hampir dalam genggaman, The Red Devils mungkin mengalih tumpuan mereka untuk memecahkan rekod pungutan mata Chelsea pula. Berbekalkan 81 mata yang sudah dikumpul mereka, United boleh memecahkan rekod pungutan 95 mata milik Chelsea yang dilakukan mereka pada musim 2004-05 jika menang kesemua baki lima perlawanan selepas ini. Wayne Rooney dijangka melakukan penampilan ke-400 buat United dalam perlawanan ini, dan berbekalkan rekod 9 gol yang dijaringkannya ketika berdepan Villa, Rooney pasti menjadi tumpuan barisan pertahanan pelawat. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

19 April 2013

MUSIM MUDAH BUAT UNITED?



Manchester United meraih kejuaraan liga pertama mereka pada tahun 1907-08 dan dari tempoh tersebut hingga 1986, mereka hanya berjaya memenangi enam kejuaraan divisyen utama sehinggalah individu bernama Alexander Chapman Ferguson (Sir Alex) mengambil alih jawatan pengurus dari Ron Atkinson (pada 1986). Musim 1992-93 Sir Alex berjaya mengemudi United menjulang trofi liga buat pertama kali dalam tempoh 26 tahun sejak kali terakhir Sir Matt Busby melakukannya pada 1967. Keputusan seri 2-2 yang diraih United ketika menentang West Ham awal pagi semalam mungkin merencatkan sedikit perjalanan mereka menuju puncak kejuaraan liga musim ini. Bagaimanapun The Red Devils masih memiliki kelebihan selesa di tangga teratas dan hanya perlu mengutip 6 mata dari baki 5 perlawanan terakhir (itupun jika City menang kesemua baki perlawanan mereka) sekaligus mengesahkan kejuaraan liga ke-20 mereka. United ketika ini memiliki kelebihan 13 mata di tangga teratas berbanding pencabar terdekat Manchester City tetapi skuad kendalian Roberto Mancini itu memiliki kelebihan satu perlawanan dalam tangan. City akan berdepan tugas getir hujung minggu ini di mana mereka terpaksa berdepan Tottenham Hotspurs di White Hart Lane dan jika anak-anak buah Mancini tewas dalam perlawanan ini, United boleh menamatkan perlumbaan merebut kejuaraan liga di Old Trafford 23 April ini. United akan berdepan kelab kelompok bawahan liga, Aston Villa di Old Trafford awal pagi Selasa dan mereka sepatutnya tidak berdepan sebarang masalah untuk meraih tiga mata penuh. Jika City tewas di White Hart Lane Ahad ini manakala United pula mengutip tiga mata penuh ke atas Aston Villa dua hari kemudian persaingan akan berakhir dan United akan dinobatkan sebagai juara liga musim ini. Andainya perlumbaan merebut kejuaraan liga musim ini berakhir selepas tamat perlawanan United-Villa, apakah saingan musim ini yang paling mudah buat United? Untuk melakukan penilaian, kita perlu melihat pelbagai sudut, bukan hanya sekadar perbezaan jurang mata yang besar. Bolasepak mengalami perubahan yang cukup besar terutamanya dalam tempoh 10 tahun terakhir dan Liga Perdana tidak terkecuali merasai tempiasnya. Kuasa wang kini memainkan peranan utama dan revolusi ini boleh dikatakan bermula sejak Roman Abramovich mengambilalih Chelsea pada 2003. Dengan kuasa wang yang dimiliki Abramovich, beliau membawa masuk pengendali berwibawa, Jose Mourinho yang juga merupakan pemenang Liga Juara-Juara dari FC Porto menggantikan Claudio Ranieri pada 2004. Selepas itu bintang-bintang besar masuk ke Stamford Bridge bagai air yang mengalir. Didier Drogba, Joe Cole, Frank Lampard, Petr Cech, Ricardo Carvalho, Fernando Torres dan Michael Essien adalah sebahagian dari nama-nama besar yang pernah dan masih bermain untuk The Blues. Dibarisi bintang-bintang ternama dunia dalam skuadnya, Mourinho akhirnya berjaya menghadiahkan Chelsea trofi liga buat pertama kali dalam tempoh 50 tahun (musim 2004-05) dan berjaya mempertahankan kejuaraan liga musim berikutnya. Limpahan wang juga menyebabkan Liga Perdana menjadi tarikan dan diwarnai dengan kehadiran pemain-pemain ternama dunia dari pelbagai benua sekaligus menyebabkan pesaingan semakin sengit tahun demi tahun. Jadi bagaimana kita mahu mengukur sama ada saingan musim ini adalah antara yang termudah buat United?

Untuk itu kita perlu melihat baki lima perlawanan yang harus dimainkan United musim ini. Dari lima baki perlawanan itu, United masih perlu berdepan dua pasukan handal yang berada di kelompok atas iaitu Chelsea dan Arsenal. Lupakan dulu Chelsea serta Arsenal dan mari kita lihat pula lawan yang akan dihadapi United Selasa ini iaitu Aston Villa. Villa yang bergelut untuk mengelak dari zon penyingkiran mungkin lawan yang boleh dianggap mudah tetapi kita perlu imbas kembali apa yang berlaku penghujung musim lalu. Villa ketika ini sebenarnya berada dalam situasi hampir sama seperti apa yang dialami Wigan Athletic musim lalu. Ketika ramai pihak meramalkan United tidak berdepan masalah untuk mengutip tiga mata penuh ketika berdepan Wigan di gelanggang lawan, The Latics sebaliknya melakukan kejutan apabila berjaya menewaskan United menerusi gol tunggal Shaun Maloney. Kemenangan yang diraih oleh anak-anak buah Roberto Martinez itu menjadi turning point kebangkitan mereka dan Wigan akhirnya berjaya keluar dari zon penyingkiran. Jurang mata kemudiannya semakin mengecil apabila United tewas 2-4 kepada Everton dan di akhir musim, trofi liga yang pada awalnya hampir pasti menuju ke Old Trafford akhirnya beralih ke Eastlands. Jadi United sepatutnya tidak memandang rendah lawan yang dihadapi selepas ini tidak kira apa status mereka jika tidak mahu malapetaka musim lalu berulang kembali. Jika United berjaya menjulang trofi liga dengan kelebihan 13 mata itu sebenarnya bukanlah margin terbesar yang pernah mereka raih. Margin terbesar yang diraih United selaku juara liga berlaku pada musim 1955/56 di bawah kendalian Sir Matt Busby. United ketika itu berjaya menjulang kejuaraan liga selepas mencipta jurang 16 mata berbanding kelab di tangga kedua Blackpool tetapi musim 1998-99 masih kekal sebagai musim paling gemilang United apabila mereka mencipta sejarah dengan menjulang kejuaraan treble. Jika 10 atau 20 tahun dahulu saingan merebut kejuaraan liga biasanya didominasi oleh dua pasukan tetapi kini situasi itu tidak lagi berlaku. Di England, sejak beberapa musim terakhir  akan ada sekurang-kurang lima pasukan yang berpotensi menjulang trofi liga di mana City muncul kuasa baru yang menghangatkan lagi persaingan selepas kelab tersebut diambilalih jutawan dari Timur Tengah. Sekali lagi kuasa wang memainkan peranan utama apabila dengan limpahan barisan bintang yang dimiliki Mancini, beliau akhirnya berjaya mengemudi City menjulang trofi liga buat pertama kali dalam tempoh 44 tahun. City menambahkan lagi jumlah kelab yang menjadi pilihan untuk menjulang trofi liga tetapi persaingan paling sengit mungkin berlaku pada musim 2007-08. Ketika itu tiga kelab di tangga teratas (United, Chelsea dan Arsenal) menamatkan saingan liga dengan kelebihan hanya 2 mata antara satu sama lain. Liverpool yang berada di tangga keempat pula, 11 mata di belakang United tetapi mereka muncul pencabar musim berikutnya apabila berjaya memaksa United bersaing hingga ke penghujung musim sebelum tewas dengan perbezaan 4 mata. Musim lalu saingan memang tidak dinafikan begitu dramatik apabila juara terpaksa ditentukan hingga ke perlawanan terakhir liga tetapi persaingan hanya melibatkan dua pasukan iaitu City dan United. Arsenal di tangga ketika ketinggalan 19 mata diikuti Chelsea (ketinggalan 25 mata).  Jadi perkara yang paling mengesankan musim ini ialah United melonjak begitu jauh meninggalkan City manakala kelab-kelab pencabar lain seperti Chelsea, Arsenal dan Tottenham sekadar bersaing untuk merebut slot automatik ke Liga Juara-Juara.

Keputusan Sir Alex mendapatkan Robin Van Persie musim panas lalu adalah antara faktor mengapa United begitu dominan musim ini. Van Persie menjaringkan gol-gol penting buat United musim ini dan awal pagi semalam, penyerang antarabangsa Belanda itu sekali lagi memainkan peranan penting di bahagian hadapan apabila menyumbat gol penyamaan di Boleyn Ground. Pada pusingan pertama liga, United menewaskan empat kelab besar (Chelsea, Liverpool, Manchester City dan Arsenal) walaupun rekod mereka sedikit tercalar selepas tewas 2-3 kepada Tottenham di gelanggang sendiri. Meskipun sukses membenam empat pencabar yang dianggap terkuat di pusingan pertama namun United juga mendapati 19 perlawanan yang diharungi mereka adalah tempoh yang cukup perit terutamanya selepas melihat benteng dibolosi gol demi gol. Situasi di bahagian belakang akhirnya kembali normal selepas beberapa pemain pertahanan yang mengalami kecederaan kembali pulih hingga pada satu ketika menyaksikan gawang David de Gea tidak dibolosi dalam 6 perlawanan berturut-turut. Sir Alex pada awalnya yakin United mampu mengutip hingga 100 mata musim ini tetapi kekalahan kepada City dan keputusan seri di Boleyn Ground menyebabkan angka 100 terlepas dari jangkauan. Bagaimanapun statistik jaringan United musim ini adalah tertinggi berbanding pasukan-pasukan lain di Liga Perdana apabila mereka sudah menjaringkan 75 gol. Statistik jaringan terbaik yang pernah dirakamkan United masih kekal milik skuad 1998-99 apabila mereka menjaringkan 97 gol semusim. Dengan baki 5 perlawanan yang tinggal adalah mustahil buat skuad musim ini memadam rekod tersebut tetapi barisan The Red Devils musim 2012-13 akan tetap dikenang dengan melakar sejarah tersendiri menjulang kejuaraan liga buat kali ke-20. Sejak menduduki kerusi pengurus di Old Trafford 27 tahun lalu, pencabar Sir Alex datang silih berganti. Ketika United tewas dalam saingan merebut kejuaraan liga kepada Blackburn Rovers pada musim 1994-95, The Red Devils bangkit bergaya musim berikutnya. Ketika itu Sir Alex melakukan rombakan besar dalam skuadnya dengan menampilkan beberapa pemain muda seperti Paul Scholes, David Beckham, Gary Neville, Phil Neville dan Nicky Butt hingga mengundang kritikan lagenda Liverpool, Alan Hansen. Hansen ketika itu secara sinis mengatakan bahawa “Anda tidak akan memenangi apa-apa bersama budak-budak”, tetapi United menang trofi liga dua musim berturut-turut (musim 1995-96 & 1996-97). Pada tahun 1998 selepas Arsenal muncul juara berganda, Arsene Wenger melaungkan bahawa era baru bolasepak England sudah bermula tetapi Sir Alex membawa United menang kejuaraan treble setahun selepas itu. Ketika Mourinho menyertai Chelsea dan membawa mereka menang dua trofi liga berturut-turut (musim 2004-05 dan 2005-06) serta mencatatkan rekod baru pungutan mata Liga Perdana, mereka dengan angkuh mengatakan bahawa mereka akan menguasai dan memenangi trofi liga selama 10 tahun lagi. Bagaimanapun United menang kejuaraan liga tiga musim berturut-turut selepas itu dan juga Liga Juara-Juara (pada 2008). Pencabar datang silih berganti dan mereka boleh berkata apa saja yang mereka mahukan. Bagaimanapun mereka mungkin terlupa bahawa kata-kata mereka akan menjadikan Manchester United lebih kuat selepas mengharungi tempoh yang sukar. Adakah musim ini merupakan musim paling mudah buat United? Anda sendiri menilainya…GLORY GLORY MANCHESTER UNITED!!! – A.J

14 April 2013

PREVIEW: STOKE CITY lwn MANCHESTER UTD



Manchester United akan menuju ke Britannia Stadium malam ini dengan misi mahu bangkit dari siri dua kekalahan mereka. Disingkir Chelsea pada saingan Piala FA dan kemudiannya tewas 1-2 kepada Manchester City, Selasa lalu, barisan The Red Devils tidak punya banyak pilihan kecuali menang perlawanan ini. United kini memiliki kelebihan 12 mata selaku pendahulu dengan baki tujuh perlawanan untuk diharungi, dan selepas berdepan pengalaman pahit musim lalu, Sir Alex Ferguson akan menuntut barisan pemainnya bangkit mencari kemenangan semula. Meskipun pencabar terdekat, Manchester City berjaya mengecilkan jurang pendahulu milik United kepada 12 mata, skuad The Red Devils masih menjadi pilihan utama untuk menjulang trofi liga buat kali ke-20. Bagi Stoke City pula, mereka nampaknya kian terdesak dalam perjuangan mengelak dari zon penyingkiran selepas mencatat hanya satu kemenangan dari 13 perlawanan. Minggu lalu Stoke mensia-siakan peluang ketika beraksi di halaman sendiri apabila tewas 1-3 kepada Aston Villa sekaligus meletakkan mereka hanya tiga mata dari zon penyingkiran. Tony Pulis sedar, pemain-pemainnya perlu menggunakan perlawanan menentang United malam ini untuk mengutip mata bagi mengelak The Potters dari terus tercicir. Dalam situasi kian terdesak, Pulis berdepan masalah kecergasan pemain sayapnya Matthew Etherington yang bergelut dengan masalah kecederaan belakang tetapi pemain itu dijangka tetap diturunkan malam ini. Masalah kecederaan turut menimpa pertahanan mereka apabila Marc Wilson berdepan masalah hamstring tetapi Glen Whelan dijangka kembali dalam kesebelasan utama selepas mula menjalani latihan minggu ini.

Sir Alex terpaksa mengugurkan nama Ashley Young dari senarai pemain yang akan dibawanya ke Stadium Britannia berikutan kecederaan buku lali yang dialaminya ketika menentang City Selasa lalu. Pemain sayap antarabangsa England itu disahkan akan berehat sekurang-kurangnya selama dua minggu. Ketua pasukan, Nemanja Vidic kembali menjalani latihan tetapi Sir Alex tidak akan merisikokan kecergasan pemain pertahanan itu dengan menurunkannya pada perlawanan ini. Jonny Evans dijangka mengisi kekosongan yang ditinggalkan Vidic dan akan membentuk gandingan bersama Rio Ferdinand di benteng tengah United. Meskipun ketandusan jaringan, Sir Alex akan terus meletakkan kepercayaan terhadap Robin Van Persie di barisan hadapan selaku penggempur bersama-sama Wayne Rooney. Van Persie sudahpun mengharungi 685 minit permainan tanpa sebarang gol selepas begitu cemerlang mencetak gol demi gol buat United di awal musim. United perlu berwaspada terutamanya ketika berdepan pasukan seperti Stoke yang cuba mengelak dari zon penyingkiran. The Potters pasti akan menggunakan sebaik-baiknya baki tujuh perlawanan mereka untuk berjuang habis-habisan mengekalkan tempat mereka dalam saingan elit Liga Perdana musim depan. Pulis perlu segera memperbaiki masalah barisan hadapan pasukannya selepas mereka hanya menjaringkan dua gol dari enam perlawanan, kedua-duanya menerusi sepakan penalti. United memiliki rekod cemerlang setiap kali berdepan Stoke dimana mereka hanya membenarkan skuad kendalian Pulis meraih satu mata dari sembilan perlawanan. Jadi peluang buat United menang perlawanan ini adalah tinggi. Glory Glory Manchester United!!! – A.J