14 April 2013

PREVIEW: STOKE CITY lwn MANCHESTER UTD



Manchester United akan menuju ke Britannia Stadium malam ini dengan misi mahu bangkit dari siri dua kekalahan mereka. Disingkir Chelsea pada saingan Piala FA dan kemudiannya tewas 1-2 kepada Manchester City, Selasa lalu, barisan The Red Devils tidak punya banyak pilihan kecuali menang perlawanan ini. United kini memiliki kelebihan 12 mata selaku pendahulu dengan baki tujuh perlawanan untuk diharungi, dan selepas berdepan pengalaman pahit musim lalu, Sir Alex Ferguson akan menuntut barisan pemainnya bangkit mencari kemenangan semula. Meskipun pencabar terdekat, Manchester City berjaya mengecilkan jurang pendahulu milik United kepada 12 mata, skuad The Red Devils masih menjadi pilihan utama untuk menjulang trofi liga buat kali ke-20. Bagi Stoke City pula, mereka nampaknya kian terdesak dalam perjuangan mengelak dari zon penyingkiran selepas mencatat hanya satu kemenangan dari 13 perlawanan. Minggu lalu Stoke mensia-siakan peluang ketika beraksi di halaman sendiri apabila tewas 1-3 kepada Aston Villa sekaligus meletakkan mereka hanya tiga mata dari zon penyingkiran. Tony Pulis sedar, pemain-pemainnya perlu menggunakan perlawanan menentang United malam ini untuk mengutip mata bagi mengelak The Potters dari terus tercicir. Dalam situasi kian terdesak, Pulis berdepan masalah kecergasan pemain sayapnya Matthew Etherington yang bergelut dengan masalah kecederaan belakang tetapi pemain itu dijangka tetap diturunkan malam ini. Masalah kecederaan turut menimpa pertahanan mereka apabila Marc Wilson berdepan masalah hamstring tetapi Glen Whelan dijangka kembali dalam kesebelasan utama selepas mula menjalani latihan minggu ini.

Sir Alex terpaksa mengugurkan nama Ashley Young dari senarai pemain yang akan dibawanya ke Stadium Britannia berikutan kecederaan buku lali yang dialaminya ketika menentang City Selasa lalu. Pemain sayap antarabangsa England itu disahkan akan berehat sekurang-kurangnya selama dua minggu. Ketua pasukan, Nemanja Vidic kembali menjalani latihan tetapi Sir Alex tidak akan merisikokan kecergasan pemain pertahanan itu dengan menurunkannya pada perlawanan ini. Jonny Evans dijangka mengisi kekosongan yang ditinggalkan Vidic dan akan membentuk gandingan bersama Rio Ferdinand di benteng tengah United. Meskipun ketandusan jaringan, Sir Alex akan terus meletakkan kepercayaan terhadap Robin Van Persie di barisan hadapan selaku penggempur bersama-sama Wayne Rooney. Van Persie sudahpun mengharungi 685 minit permainan tanpa sebarang gol selepas begitu cemerlang mencetak gol demi gol buat United di awal musim. United perlu berwaspada terutamanya ketika berdepan pasukan seperti Stoke yang cuba mengelak dari zon penyingkiran. The Potters pasti akan menggunakan sebaik-baiknya baki tujuh perlawanan mereka untuk berjuang habis-habisan mengekalkan tempat mereka dalam saingan elit Liga Perdana musim depan. Pulis perlu segera memperbaiki masalah barisan hadapan pasukannya selepas mereka hanya menjaringkan dua gol dari enam perlawanan, kedua-duanya menerusi sepakan penalti. United memiliki rekod cemerlang setiap kali berdepan Stoke dimana mereka hanya membenarkan skuad kendalian Pulis meraih satu mata dari sembilan perlawanan. Jadi peluang buat United menang perlawanan ini adalah tinggi. Glory Glory Manchester United!!! – A.J 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan