19 April 2013

MUSIM MUDAH BUAT UNITED?



Manchester United meraih kejuaraan liga pertama mereka pada tahun 1907-08 dan dari tempoh tersebut hingga 1986, mereka hanya berjaya memenangi enam kejuaraan divisyen utama sehinggalah individu bernama Alexander Chapman Ferguson (Sir Alex) mengambil alih jawatan pengurus dari Ron Atkinson (pada 1986). Musim 1992-93 Sir Alex berjaya mengemudi United menjulang trofi liga buat pertama kali dalam tempoh 26 tahun sejak kali terakhir Sir Matt Busby melakukannya pada 1967. Keputusan seri 2-2 yang diraih United ketika menentang West Ham awal pagi semalam mungkin merencatkan sedikit perjalanan mereka menuju puncak kejuaraan liga musim ini. Bagaimanapun The Red Devils masih memiliki kelebihan selesa di tangga teratas dan hanya perlu mengutip 6 mata dari baki 5 perlawanan terakhir (itupun jika City menang kesemua baki perlawanan mereka) sekaligus mengesahkan kejuaraan liga ke-20 mereka. United ketika ini memiliki kelebihan 13 mata di tangga teratas berbanding pencabar terdekat Manchester City tetapi skuad kendalian Roberto Mancini itu memiliki kelebihan satu perlawanan dalam tangan. City akan berdepan tugas getir hujung minggu ini di mana mereka terpaksa berdepan Tottenham Hotspurs di White Hart Lane dan jika anak-anak buah Mancini tewas dalam perlawanan ini, United boleh menamatkan perlumbaan merebut kejuaraan liga di Old Trafford 23 April ini. United akan berdepan kelab kelompok bawahan liga, Aston Villa di Old Trafford awal pagi Selasa dan mereka sepatutnya tidak berdepan sebarang masalah untuk meraih tiga mata penuh. Jika City tewas di White Hart Lane Ahad ini manakala United pula mengutip tiga mata penuh ke atas Aston Villa dua hari kemudian persaingan akan berakhir dan United akan dinobatkan sebagai juara liga musim ini. Andainya perlumbaan merebut kejuaraan liga musim ini berakhir selepas tamat perlawanan United-Villa, apakah saingan musim ini yang paling mudah buat United? Untuk melakukan penilaian, kita perlu melihat pelbagai sudut, bukan hanya sekadar perbezaan jurang mata yang besar. Bolasepak mengalami perubahan yang cukup besar terutamanya dalam tempoh 10 tahun terakhir dan Liga Perdana tidak terkecuali merasai tempiasnya. Kuasa wang kini memainkan peranan utama dan revolusi ini boleh dikatakan bermula sejak Roman Abramovich mengambilalih Chelsea pada 2003. Dengan kuasa wang yang dimiliki Abramovich, beliau membawa masuk pengendali berwibawa, Jose Mourinho yang juga merupakan pemenang Liga Juara-Juara dari FC Porto menggantikan Claudio Ranieri pada 2004. Selepas itu bintang-bintang besar masuk ke Stamford Bridge bagai air yang mengalir. Didier Drogba, Joe Cole, Frank Lampard, Petr Cech, Ricardo Carvalho, Fernando Torres dan Michael Essien adalah sebahagian dari nama-nama besar yang pernah dan masih bermain untuk The Blues. Dibarisi bintang-bintang ternama dunia dalam skuadnya, Mourinho akhirnya berjaya menghadiahkan Chelsea trofi liga buat pertama kali dalam tempoh 50 tahun (musim 2004-05) dan berjaya mempertahankan kejuaraan liga musim berikutnya. Limpahan wang juga menyebabkan Liga Perdana menjadi tarikan dan diwarnai dengan kehadiran pemain-pemain ternama dunia dari pelbagai benua sekaligus menyebabkan pesaingan semakin sengit tahun demi tahun. Jadi bagaimana kita mahu mengukur sama ada saingan musim ini adalah antara yang termudah buat United?

Untuk itu kita perlu melihat baki lima perlawanan yang harus dimainkan United musim ini. Dari lima baki perlawanan itu, United masih perlu berdepan dua pasukan handal yang berada di kelompok atas iaitu Chelsea dan Arsenal. Lupakan dulu Chelsea serta Arsenal dan mari kita lihat pula lawan yang akan dihadapi United Selasa ini iaitu Aston Villa. Villa yang bergelut untuk mengelak dari zon penyingkiran mungkin lawan yang boleh dianggap mudah tetapi kita perlu imbas kembali apa yang berlaku penghujung musim lalu. Villa ketika ini sebenarnya berada dalam situasi hampir sama seperti apa yang dialami Wigan Athletic musim lalu. Ketika ramai pihak meramalkan United tidak berdepan masalah untuk mengutip tiga mata penuh ketika berdepan Wigan di gelanggang lawan, The Latics sebaliknya melakukan kejutan apabila berjaya menewaskan United menerusi gol tunggal Shaun Maloney. Kemenangan yang diraih oleh anak-anak buah Roberto Martinez itu menjadi turning point kebangkitan mereka dan Wigan akhirnya berjaya keluar dari zon penyingkiran. Jurang mata kemudiannya semakin mengecil apabila United tewas 2-4 kepada Everton dan di akhir musim, trofi liga yang pada awalnya hampir pasti menuju ke Old Trafford akhirnya beralih ke Eastlands. Jadi United sepatutnya tidak memandang rendah lawan yang dihadapi selepas ini tidak kira apa status mereka jika tidak mahu malapetaka musim lalu berulang kembali. Jika United berjaya menjulang trofi liga dengan kelebihan 13 mata itu sebenarnya bukanlah margin terbesar yang pernah mereka raih. Margin terbesar yang diraih United selaku juara liga berlaku pada musim 1955/56 di bawah kendalian Sir Matt Busby. United ketika itu berjaya menjulang kejuaraan liga selepas mencipta jurang 16 mata berbanding kelab di tangga kedua Blackpool tetapi musim 1998-99 masih kekal sebagai musim paling gemilang United apabila mereka mencipta sejarah dengan menjulang kejuaraan treble. Jika 10 atau 20 tahun dahulu saingan merebut kejuaraan liga biasanya didominasi oleh dua pasukan tetapi kini situasi itu tidak lagi berlaku. Di England, sejak beberapa musim terakhir  akan ada sekurang-kurang lima pasukan yang berpotensi menjulang trofi liga di mana City muncul kuasa baru yang menghangatkan lagi persaingan selepas kelab tersebut diambilalih jutawan dari Timur Tengah. Sekali lagi kuasa wang memainkan peranan utama apabila dengan limpahan barisan bintang yang dimiliki Mancini, beliau akhirnya berjaya mengemudi City menjulang trofi liga buat pertama kali dalam tempoh 44 tahun. City menambahkan lagi jumlah kelab yang menjadi pilihan untuk menjulang trofi liga tetapi persaingan paling sengit mungkin berlaku pada musim 2007-08. Ketika itu tiga kelab di tangga teratas (United, Chelsea dan Arsenal) menamatkan saingan liga dengan kelebihan hanya 2 mata antara satu sama lain. Liverpool yang berada di tangga keempat pula, 11 mata di belakang United tetapi mereka muncul pencabar musim berikutnya apabila berjaya memaksa United bersaing hingga ke penghujung musim sebelum tewas dengan perbezaan 4 mata. Musim lalu saingan memang tidak dinafikan begitu dramatik apabila juara terpaksa ditentukan hingga ke perlawanan terakhir liga tetapi persaingan hanya melibatkan dua pasukan iaitu City dan United. Arsenal di tangga ketika ketinggalan 19 mata diikuti Chelsea (ketinggalan 25 mata).  Jadi perkara yang paling mengesankan musim ini ialah United melonjak begitu jauh meninggalkan City manakala kelab-kelab pencabar lain seperti Chelsea, Arsenal dan Tottenham sekadar bersaing untuk merebut slot automatik ke Liga Juara-Juara.

Keputusan Sir Alex mendapatkan Robin Van Persie musim panas lalu adalah antara faktor mengapa United begitu dominan musim ini. Van Persie menjaringkan gol-gol penting buat United musim ini dan awal pagi semalam, penyerang antarabangsa Belanda itu sekali lagi memainkan peranan penting di bahagian hadapan apabila menyumbat gol penyamaan di Boleyn Ground. Pada pusingan pertama liga, United menewaskan empat kelab besar (Chelsea, Liverpool, Manchester City dan Arsenal) walaupun rekod mereka sedikit tercalar selepas tewas 2-3 kepada Tottenham di gelanggang sendiri. Meskipun sukses membenam empat pencabar yang dianggap terkuat di pusingan pertama namun United juga mendapati 19 perlawanan yang diharungi mereka adalah tempoh yang cukup perit terutamanya selepas melihat benteng dibolosi gol demi gol. Situasi di bahagian belakang akhirnya kembali normal selepas beberapa pemain pertahanan yang mengalami kecederaan kembali pulih hingga pada satu ketika menyaksikan gawang David de Gea tidak dibolosi dalam 6 perlawanan berturut-turut. Sir Alex pada awalnya yakin United mampu mengutip hingga 100 mata musim ini tetapi kekalahan kepada City dan keputusan seri di Boleyn Ground menyebabkan angka 100 terlepas dari jangkauan. Bagaimanapun statistik jaringan United musim ini adalah tertinggi berbanding pasukan-pasukan lain di Liga Perdana apabila mereka sudah menjaringkan 75 gol. Statistik jaringan terbaik yang pernah dirakamkan United masih kekal milik skuad 1998-99 apabila mereka menjaringkan 97 gol semusim. Dengan baki 5 perlawanan yang tinggal adalah mustahil buat skuad musim ini memadam rekod tersebut tetapi barisan The Red Devils musim 2012-13 akan tetap dikenang dengan melakar sejarah tersendiri menjulang kejuaraan liga buat kali ke-20. Sejak menduduki kerusi pengurus di Old Trafford 27 tahun lalu, pencabar Sir Alex datang silih berganti. Ketika United tewas dalam saingan merebut kejuaraan liga kepada Blackburn Rovers pada musim 1994-95, The Red Devils bangkit bergaya musim berikutnya. Ketika itu Sir Alex melakukan rombakan besar dalam skuadnya dengan menampilkan beberapa pemain muda seperti Paul Scholes, David Beckham, Gary Neville, Phil Neville dan Nicky Butt hingga mengundang kritikan lagenda Liverpool, Alan Hansen. Hansen ketika itu secara sinis mengatakan bahawa “Anda tidak akan memenangi apa-apa bersama budak-budak”, tetapi United menang trofi liga dua musim berturut-turut (musim 1995-96 & 1996-97). Pada tahun 1998 selepas Arsenal muncul juara berganda, Arsene Wenger melaungkan bahawa era baru bolasepak England sudah bermula tetapi Sir Alex membawa United menang kejuaraan treble setahun selepas itu. Ketika Mourinho menyertai Chelsea dan membawa mereka menang dua trofi liga berturut-turut (musim 2004-05 dan 2005-06) serta mencatatkan rekod baru pungutan mata Liga Perdana, mereka dengan angkuh mengatakan bahawa mereka akan menguasai dan memenangi trofi liga selama 10 tahun lagi. Bagaimanapun United menang kejuaraan liga tiga musim berturut-turut selepas itu dan juga Liga Juara-Juara (pada 2008). Pencabar datang silih berganti dan mereka boleh berkata apa saja yang mereka mahukan. Bagaimanapun mereka mungkin terlupa bahawa kata-kata mereka akan menjadikan Manchester United lebih kuat selepas mengharungi tempoh yang sukar. Adakah musim ini merupakan musim paling mudah buat United? Anda sendiri menilainya…GLORY GLORY MANCHESTER UNITED!!! – A.J

Tiada ulasan:

Catat Ulasan