Satu lagi kemenangan bakal menyaksikan
Manchester United dinobatkan sebagai juara liga musim ini dan yang paling
manisnya kejuaraan ke-20 (jika berjaya menewaskan Aston Villa) buat The Red Devils akan disahkan di
gelanggang sendiri. Kekalahan pencabar terdekat, Manchester City kepada
Tottenham Hotspurs semalam membuka ruang buat United menamatkan perlumbaan
merebut kejuaraan musim ini di hadapan penyokong-penyokong mereka sendiri. Motivasi
United yang mahu melengkapkan misi menjulang kejuaraan liga buat kali ke-20
mereka bakal menjadi mimpi buruk buat Villa yang cuma dipisahkan 3 mata dari
zon penyingkiran. Dalam keghairahan mahu mengesahkan kejuaraan, United sepatutnya
sedar bahawa Villa mampu memberikan ancaman kepada mereka selepas skuad Paul
Lambert itu berjaya mengutip 10 mata dari lima perlawanan terakhir. Villa
berjaya menewaskan Stoke City di gelanggang lawan tetapi terlepas peluang
mengutip mata penuh di gelanggang sendiri apabila sekadar seri ketika berdepan
Fulham minggu lalu. Bagi menghidupkan peluang terus beraksi di saingan Liga
Perdana musim depan, Lambert tidak punya pilihan lain selain dari membariskan
barisan terbaiknya dalam perlawanan ini. Lambert yang sedar skuadnya berdepan
situasi buruk menyeru anak-anak buahnya bermain seperti biasa selain cuba
mengelak dari sebarang tekanan. “Old Trafford akan menjadi tempat yang
fantastis untuk bermain bolasepak apatah lagi bermain menentang juara. Jika
anda tidak menikmati permainan anda di sana, ia adalah sesuatu yang merugikan”,
kata Lambert. Selain usaha mengelak dari terjerumus ke zon penyingkiran, Villa
mendapati rekod mereka ketika beraksi di Old Trafford agak buruk meskipun
berjaya memaksa United bekerja keras pada pertemuan di Villa Park, November
lalu. Dalam perlawanan itu, mereka berjaya mendahului United dengan 2 gol
menerusi jaringan Andreas Weimann tetapi dihampakan oleh kebangkitan hebat pelawat
sebelum Javier Hernandez menjaringkan gol kemenangan di penghujung permainan.
Sementara itu, Ashley Young akan terlepas
aksi menentang bekas kelabnya berikutan masalah kecederaan yang menyebabkan dia
terpaksa diketepikan pada baki saingan musim ini. Lambert pula menerima khabar
gembira dengan kemungkinan Gabriel Agbonlahor boleh disenaraikan meskipun
mengalami kecederaan pangkal paha ketika pertemuan menentang Fulham minggu
lalu. Agbonlahor yang menjadi sandaran Lambert untuk memburu gol sudah kembali
menjalani latihan sejak beberapa hari lalu. Jika ada pemain lawan yang perlu
diberikan perhatian khusus benteng pertahanan United, sudah pasti Agbonlahor
adalah orangnya. Pemain itu menjaringkan gol tunggal perlawanan ketika Villa
menewaskan United di Old Trafford pada
Disember 2009. Kemenangan yang diraih Villa itu merupakan satu-satunya
kemenangan yang dicapai mereka ke atas United dari 32 perlawanan dalam semua
kejohanan. Perlawanan awal pagi esok juga menjadi pentas terbaik buat
Agbonlahor memburu gol ke-60 untuk Villa sekaligus menyamai pencapaian yang
pernah dilakukan Dwight Yorke. Menjaringkan gol ke-60 ke gawang United adalah
penghormatan besar yang pastinya diburu penyerang berusia 27 tahun itu. Selepas
tewas 1-2 kepada City di gelanggang sendiri 9 April lalu, United perlu mengelak
dari sebarang kejutan jika tidak mahu rekod tewas dua perlawanan berturut-turut
di Old Trafford yang dialami mereka pada tahun 2002 berulang kembali. Dengan
kejuaraan liga yang hampir dalam genggaman, The
Red Devils mungkin mengalih tumpuan mereka untuk memecahkan rekod pungutan
mata Chelsea pula. Berbekalkan 81 mata yang sudah dikumpul mereka, United boleh
memecahkan rekod pungutan 95 mata milik Chelsea yang dilakukan mereka pada
musim 2004-05 jika menang kesemua baki lima perlawanan selepas ini. Wayne
Rooney dijangka melakukan penampilan ke-400 buat United dalam perlawanan ini,
dan berbekalkan rekod 9 gol yang dijaringkannya ketika berdepan Villa, Rooney pasti
menjadi tumpuan barisan pertahanan pelawat. Glory Glory Manchester United!!! –
A.J
Tiada ulasan:
Catat Ulasan