28 April 2013

PREVIEW: ARSENAL lwn MANCHESTER UTD



Mala mini, Arsenal akan menyambut kedatangan juara Liga Perdana musim ini, Manchester United di Stadium Emirates. Semua mata pastinya tertumpu kepada kelibat Robin Van Persie yang kembali semula ke kubu The Gunners itu buat pertama kali selepas menyertai United musim panas lalu. Ramai yang menjangkakan Van Persie akan diberikan sambutan `luar biasa’ dari penyokong-penyokong Arsenal malam ini selepas pemain berusia 29 tahun itu membuat keputusan mengejut meninggalkan Stadium Emirates dengan menyertai United. Tambah memilukan apabila penyokong-penyokong The Gunners terpaksa menyaksikan pemain-pemain mereka memberikan penghormatan `guard of honour’ kepada Van Persie dan rakan-rakan sepasukannya sebelum perlawanan. Lupakan dulu layanan yang bakal diberikan penyokong-penyokong Arsenal kepada bekas wira mereka itu dan mari tumpukan pada perlawanan yang bakal berlangsung malam nanti. Selasa lalu, Van Persie mempamerkan prestasi menakjubkan apabila jaringan hatriknya ke atas Aston Villa di Old Trafford membantu United mengesahkan kejuaraan liga musim ini sekaligus menamatkan perlumbaan mengejar kejuaraan biarpun saingan masih berbaki 4 perlawanan untuk ditamatkan. Selepas mengalami kemarau jaringan lebih 700 minit, Van Persie menjaringkan gol menerusi sepakan penalti ketika berdepan Stoke City, meneruskan momentum jaringan apabila menghasilkan gol penyamaan ketika menentang West Ham dan meledak hatrik di Old Trafford Selasa lalu. Menyedari dirinya bakal menjadi perhatian penyokong-penyokong dan benteng pertahanan Arsenal, Van Persie tetap tenang sambil meletakkan fokus utama membantu United meraih tiga mata penuh dalam perlawanan ini. Dengan pencabar terdekatnya, Luis Suarez menjalani penggantungan 10 perlawanan, Van Persie yang sudah menjaringkan 24 gol setakat ini berpeluang cerah mempertahankan anugerah kasut emas yang dimenanginya musim lalu. United sudah sah memenangi kejuaraan liga buat kali ke-20, dan skuad Sir Alex kini mengalihkan tumpuan mereka untuk memadam rekod pungutan 95 mata yang dilakukan Chelsea pada musim 2004-05.

Berbekalkan 84 mata yang sudah dikumpul United setakat ini, mereka berpeluang melakar rekod baru pungutan mata Liga Perdana jika menang kesemua baki empat perlawanan selepas ini. Bagaimanapun misi United bakal berdepan tentangan sengit Arsenal yang sedang berjuang memburu slot ke saingan Liga Juara-Juara musim depan. Jika diambilkira prestasi Arsenal sejak kebelakangan ini yang menang 8 dari 10 perlawanan terakhir mereka, Sir Alex sudah pasti menjangkakan tugas getir bakal menanti pasukannya. Arsene Wenger bagaimanapun tidak dapat menurunkan penyerang utamanya, Olivier Giroud yang menjalani penggantungan perlawanan kerana layangan kad merah ketika berdepan Fulham minggu lalu. Pengendali dari Perancis itu nampaknya terpaksa memutuskan siapa yang bakal diletakkannya di barisan hadapan sama ada Theo Walcott, Gervinho ataupun Lukas Podolski. Di bahagian tengah, Wenger boleh meletakkan harapan di bahu Jack Wilshere selepas pemain itu direhatkan minggu lalu manakala Per Mertesacker dan Laurent Koscielny akan terus membentuk kombinasi di bahagian tengah pertahanan berikutan prestasi baik yang dipamerkan kedua-duanya sejak kebelakangan ini. Bagi Sir Alex pula, beliau kini sudah bebas dari sebarang tekanan berikutan trofi liga yang sudah sah menjadi milik pasukannya tetapi itu bukan bermakna beliau akan mengambil mudah perlawanan ini. Sir Alex dijangka tetap menurunkan skuad terkuatnya malam ini apatah lagi ketika berdepan bekas seteru lamanya, Arsene Wenger. Terlepas aksi di Old Trafford Selasa lalu, Rio Ferdinand dan Nemanja Vidic dijangka kembali memperkuatkan benteng tengah United, manakala Phil Jones mungkin di tolak ke atas (bahagian tengah). Michael Carrick yang berdepan masalah kecederaan kecil sebelum perlawanan menentang Villa dikhabarkan sudah pulih sepenuhnya dan bakal mengemudi bahagian tengah United. Apapun status United dan Arsenal ketika ini, pertembungan kedua-dua pasukan itu tetap dinanti dengan penuh minat dan menarik untuk disaksikan biarpun aksi tidak sepanas sepuluh tahun lalu ketika nama-nama besar seperti Roy Keane dan Patrick Vieira masih bermain. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Tiada ulasan:

Catat Ulasan