Tepat 111 tahun yang lalu (26 April 1902),
kelab yang beraksi di Divisyen 2 England, Newton Heath FC telah menukar nama
mereka. Bermula dengan nama Newton Heath L&YR FC, kelab tersebut ditubuhkan
pada 1878 oleh para pekerja depot keretapi Lanchashire dan Yorkshire, Newton
Heath. Pangkalan pertama kelab itu terletak di North Road (sekarang Northampton
Road) di Newton Heath dan mereka kekal bermain di sana selama 15 tahun hingga 1893.
Ketika ini kawasan tersebut sudah dibangunkan menjadi pusat perniagaan di
bandaraya Manchester (North Manchester Business Park). Bagaimanapun kedudukan
North Road sendiri kurang ideal kerana pemain-pemain terpaksa berjalan hampir 2
km dari kawasan penempatan mereka di Three Crowns semata-mata untuk menukar pakaian.
Memasuki musim 1893, kelab ini bersaing di peringkat Football League dan
kemudiannya mengugurkan perkataan L&YR dari nama mereka kepada hanya Newton
Heath FC. Pada September 1893, pihak pengurusan kelab akhirnya memutuskan
berpindah ke C Layton, kira-kira 4 km dari pangkalan lama mereka di North Road.
Berpindah ke tempat baharu nampaknya tidak menyelesaikan masalah kelab kerana
kedudukan pangkalan mereka yang betul-betul berada di tengah-tengah kawasan industri
(kini kawasan ini menjadi tempat
meletakkan kenderaan Manchester Velodrome). The
Heathens (gelaran Newton Heath FC) bagaimanapun tetap kekal bertahan di
pangkalan baharu mereka hingga memasuki abad baharu. Selepas 24 tahun
ditubuhkan, kelab akhirnya mengalami masalah kewangan di mana hutang mereka
mencapai lebih 2,500 Pound hingga menyebabkan kelab berdepan ancaman muflis.
Tidak mahu berdiam diri, kapten pasukan ketika itu, Harry Stafford cuba
menyelamatkan kelabnya dengan memujuk seorang usahawan arak tempatan John H
Davies melabur untuk Newton Heath.
Perbincangan mereka bermula ketika Davies
ingin membeli anjing peliharaan Stafford tepi ditolak. Stafford kemudiannya
menceritakan tentang masalah kewangan yang melanda kelabnya dan mencadangkan
agar Davies menyelesaikan tunggakan hutang kelab. Stafford turut menawarkan
jawatan presiden kelab menjadi milik Davies jika beliau bersetuju melabur.
Tawaran itu akhirnya diterima Davies dan ketika mesyuarat awal pengurusan kelab
diadakan, beliau mencadangkan agar perubahan warna jersi dengan memilih warna
merah dan putih menggantikan warna hijau dan kuning. Bukan setakat perubahan
warna jersi, Davies juga mahukan agar nama Newton Heath ditukar. Pada mulanya
nama Manchester Central dan Manchester Celtic berada dalam senarai untuk
dipertimbangkan tetapi akhirnya pihak pengurusan kelab bersetuju menggunakan
Manchester United sebagai nama baharu kelab. Andy Mitten dalam bukunya berjudul
“The Man Utd Full Story” diterbitkan pada 26 April 1902 menjadi titik permulaan
Newton Heath mula dikenali dengan nama baru mereka iaitu Manchester United.
Nama baru memberikan tuah buat kelab apabila mereka menamatkan saingan liga
Divisyen 2 di tangga kedua sekaligus menempah tempat ke Divisyen 1 pada 1906.
Dua tahun selepas itu (1908) Manchester United meraih gelaran liga pertama mereka
dan musim berikutnya mereka menang pula kejuaraan Piala FA buat pertama kali.
Hingga kini The Red Devils sudahpun menang
kejuaraan liga sebanyak 20 kali, 11 kejuaraan Piala FA, 4 kejuaraan Piala Liga,
3 kejuaraan Liga Juara-Juara dan beberapa lagi kejuaraan utama. Glory Glory
Manchester United!!! – A.J
Tiada ulasan:
Catat Ulasan