25 April 2013

KEJUARAAN LIGA KE-20...SATU PERJALANAN YANG PANJANG



Manchester United akhir berjaya memastikan gelaran juara Liga Perdana buat kali ke-20 selepas menewaskan Aston Villa awal pagi Selasa lalu. Kejayaan epik United itu bagaimanapun bukanlah diraih dengan jalan mudah, sebaliknya skuad kendalian Sir Alex Ferguson terpaksa menempuh jalan yang panjang dan mencabar. Kegagalan musim lalu nyata menjadi pengajaran berguna kepada barisan pemain The Red Devils hingga mereka tampil begitu perkasa musim ini, jadi tidak hairanlah mengapa juara musim lalu, Manchester City ketinggalan 16 mata di belakang. Memenangi perlawanan-perlawanan penting adalah kunci utama kejayaan United selain konsistensi sepanjang musim membolehkan mereka mengatasi pesaing-pesaing lain. Tidak dinafikan kejayaan merampas kembali trofi Liga Perdana dari tangan City dibantu oleh skuad besar dan mantap yang dimiliki Sir Alex, namun itu tidak bermakna mereka diberi laluan mudah. United berdepan krisis kecederaan sejak awal musim terutamanya di benteng pertahanan hingga pada satu ketika memaksa Michael Carrick diletakkan sebagai pemain pertahanan tengah. Ketiadaan Nemanja Vidic, Chris Smalling, Jonny Evans dan Phil Jones secara serentak menyebabkan gawang David de Gea mudah dibolosi lawan tetapi mujurlah kekurangan ini di imbangi dengan ketajaman barisan penggempur United yang diketuai Robin Van Persie dan Wayne Rooney. Kehadiran Robin Van Persie musim panas lalu meninggalkan impak yang bukan sedikit kepada barisan serangan United. Memang benar seorang pemain tidak mewakili kekuatan sesebuah pasukan tetapi kehadiran penyerang berusia 29 tahun itu memberikan pengaruh besar kepada perjalanan United dalam saingan liga musim ini. Di awal pendakian United ke puncak liga, mereka dibantu kesilapan juara bertahan musim lalu, City yang sekadar mencatat keputusan seri ketika menentang Stoke City di gelanggang lawan. Pada masa yang sama, United berpesta gol menewaskan Wigan Athletic 4-0 di Old Trafford. Kemenangan 3-2 ke atas Chelsea di Stamford Bridge pada bulan Oktober menjadi antara detik penting bagi United musim ini. Kemenangan pertama United dalam tempoh lapan tahun ke atas The Blues di Stamford Bridge cukup menguji kekuatan mental anak-anak buah Sir Alex dan kejayaan itu seolah-olah memberikan petanda awal bahawa trofi liga akan kembali semula ke Old Trafford.

Van Persie membuktikan mengapa Sir Alex sanggup mengeluarkan belanja sebesar 24 juta Pound bagi seorang pemain yang sudah berusia 29 tahun apabila menyumbat gol ke gawang bekas kelabnya, Arsenal di Old Trafford pada bulan November. Dalam perlawanan itu United berjaya menewaskan The Gunners 2-1 dan mereka mula mengukuhkan cengkaman di kelompok teratas liga. Kekuatan mental barisan The Red Devils memang tidak perlu dipertikaikan dan mereka membuktikannya sepanjang musim ini. Beberapa kali United ketinggalan dan kemudiannya bangkit untuk memenangi perlawanan. Pertembungan di Villa Park adalah contoh terbaik. Meskipun pada satu ketika, ketinggalan dua gol menerusi jaringan Andreas Weimann, United melakukan kebangkitan menakjubkan dan akhirnya membawa pulang tiga mata penuh dalam perlawanan itu. Javier Hernandez merapatkan kedudukan menerusi gol di awal babak kedua sebelum pemain tuan rumah, Ron Vlaar menyumbat bola ke gawang sendiri. Ketika tempoh permainan sebenar berbaki tiga minit untuk ditamatkan, Hernandez menamatkan impian Villa untuk sekurang-kurangnya berkongsi mata apabila menjaringkan gol kemenangan United. Kejayaan memenangi perlawanan-perlawanan penting adalah antara kunci utama mengapa United begitu sukses musim ini. Pertembungan derby Manchester di Stadium Etihad pada 9 Disember adalah bukti terbaik. Ketika itu persaingan di tangga teratas antara United dan City begitu sengit dengan jurang mata yang rapat. Dua gol dari Wayne Rooney seolah-olah memberikan gambaran bahawa United akan menang mudah perlawanan itu tetapi City bangkit menerusi gol dari Yaya Toure dan Pablo Zabaleta untuk menyamakan kedudukan. Van Persie sekali lagi muncul sebagai watak pemisah apabila sepakan percumanya dimasa kecederaan memberikan United kemenangan berharga di gelanggang keramat City itu. Gol kemenangan Van Persie itu juga menyaksikan rentetan rekod tanpa kalah City di gelanggang sendiri sejak Disember 2010 lebur manakala United pula berjaya melebarkan kedudukan di tangga teratas kepada enam mata. Ketika satu demi satu pemain United yang mengalami kecederaan kembali ke pangkuan pasukan, City selaku pencabar terdekat pula mengalami nasib berbeza. Mereka terpaksa menelan hakikat hilang khidmat kapten pasukan yang juga merupakan tonggak di benteng pertahanan, Vincent Kompany selama dua bulan akibat kecederaan.

Ketiadaan Kompany menyaksikan pertahanan City seperti hilang haluan hingga mengakibatkan pada satu ketika mereka ketinggalan 15 mata di belakang United. Perjudian Roberto Mancini menurunkan Kompany yang baru cergas ketika pertemuan menentang Southampton di gelanggang lawan memakan diri apabila mereka tewas 1-3 kepada skuad kendalian Mouricio Pochettino. Kekalahan City di Stadium St Mary pada 10 Februari itu merupakan antara detik penting yang menyumbang kepada kejayaan United menjulang kejuaraan liga musim ini. Kemuncak kegagalan City berlaku ketika mereka tewas 0-2 kepada Everton di Goodison Park pada 16 Mac biarpun The Toffees pada satu ketika terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Steven Pienaar di perintah keluar padang. Ketika City semakin goyah, United pula meluncur laju walaupun perjalanan mereka menuju kejuaraan diganggu dengan kekalahan 1-2 kepada City di Old Trafford dan keputusan seri yang dicatatkan mereka ketika berdepan West Ham di Boleyn Ground. Meskipun pada satu ketika mengalami kemarau jaringan, Van Persie kembali menemui sentuhan gol apabila meledak ketika berdepan Sunderland namun gol itu akhirnya disahkan sebagai gol sendiri Titus Bramble. Penalti yang disempurnakan Van Persie ke gawang Stoke City akhirnya menamatkan kemarau 754 minit tanpa jaringan penyerang berbisa itu. Van Persie memilih waktu dan tempat yang tepat untuk melengkapkan musim gemilang buat dirinya apabila meledak hatrik ke gawang Aston Villa, Selasa lalu. Kemenangan 3-0 yang diraih United di halaman sendiri itu menamatkan  perlumbaan merebut kejuaraan musim ini selepas City tewas 1-3 kepada Tottenham Hotspurs dua hari sebelumnya. Meskipun belum secara rasmi dikalungkan dengan pingat kejuaraan liga, ini adalah kejayaan paling manis dalam karier Van Persie sejak berhijrah ke England pada 2004. United sudahpun sah meraih kejuaraan liga buat kali ke-20 manakala Van Persie pula akhirnya berjaya memenuhi impian menjulang trofi Liga Perdana buat pertama kali selepas menunggu sekian lama. Kejayaan tidak datang dengan mudah dan memerlukan kerja keras serta pengorbanan yang bukan sedikit. Musim lalu, United menamatkan saingan tanpa sebarang trofi utama tetapi mereka bangkit dengan begitu bergaya musim ini biarpun terlepas dua lagi trofi yang menjadi sasaran di awal musim (Liga Juara-Juara dan Piala FA). Menamatkan musim 2012-13 dengan hanya satu trofi selaku juara Liga Perdana yang juga merupakan kejuaraan ke-20 dalam sejarah kelab bukanlah satu kegagalan tetapi kejayaan yang perlu dibanggakan. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Tiada ulasan:

Catat Ulasan