18 Mei 2013

PREVIEW: WEST BROM lwn MANCHESTER UTD



Sir Alex Ferguson akan memimpin Manchester United sebagai pengurus buat kali terakhir malam ini. Selepas tempoh 26 tahun menerajui United, pertembungan menentang West Bromwich Albion di The Hawthorns akan menjadi perlawanan perpisahan buat pengurus lagenda United itu. Pertembungan dengan anak-anak buah Steve Clarke dianggap istimewa bukan saja kerana ia merupakan perlawanan terakhir buat Sir Alex tetapi juga merupakan perlawanan ke-1500 sebelum beliau bersara sekaligus menutup tirai 26 tahun pengabdiannya selaku antara individu paling berkuasa di Old Trafford. Ada banyak sebab untuk pemain-pemain United menang perlawanan ini, bukan hanya sebagai hadiah perpisahan kepada bos mereka tetapi tiga mata yang dikutip memastikan mereka menyamai rekod 91 mata yang pernah dilakukan skuad juara treble musim 1998/99. United berpeluang cerah meraih tiga mata penuh malam ini bersandarkan rekod baik mereka ke atas The Baggies dalam 13 pertemuan terakhir. United hanya gagal memungut mata penuh sebanyak dua kali, selain menang enam perlawanan liga di The Hawthorns. Jika Steve Clarke dan anak-anak buahnya berhajat merosakkan perlawanan terakhir Sir Alex, mereka sepatutnya merenung kembali rekod United ketika beraksi di gelanggang lawan sejak November tahun lalu.

Untuk rekod United tidak tewas sejak November lalu setiap kali beraksi di gelanggang lawan dan bakal turun dalam perlawanan ini dengan kekuatan hampir penuh. Hanya Ashley Young, Darren Fletcher dan Rafael da Silva sahaja dipastikan berada dalam senarai kecederaan manakala lain-lain pemain sedia beraksi pada perlawanan terakhir liga musim ini. Sementara itu, tugas sukar bakal menanti tuan rumah selepas mengalami penurunan prestasi sebaik bermulanya tahun baru. Mereka gagal mengekalkan prestasi baik di awal musim yang menyaksikan barisan Steve Clarke pernah berada di kelompok empat teratas. Selepas meraih hanya satu kemenangan dari lapan perlawanan terakhir mereka, jelas ini bukanlah waktu terbaik buat skuad tuan rumah menyambut kunjungan United. Bukan hanya berdepan prestasi buruk, Clarke juga kemungkinan besar tidak dapat menurunkan pemain pertahanannya Steve Reid yang mengalami kecederaan lutut. Jika Reid gagal diturunkan, Clarke mungkin menggunakan Billy Jones sebagai pengganti. Selain itu Marc Antoine Fortune sudah boleh diturunkan selepas tamat menjalani penggantungan. Bagi penyokong-penyokong United anda sepatutnya tidak terlepas perlawanan ini dan saksikan buat kali terakhir Sir Alex berada di bangku pengurus United. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Barisan Kemungkinan West Brom:

Ben Foster, Billy Jones, Gareth McAuley, Jonas Olsson, Liam Ridgewell, Youssouf Mulumbu, Claudio Yacob, Romelu Lukaku, James Morrisson, Chris Brunt & Shane Long

Barisan Kemungkinan United:

Anders Lindegaard, Chris Smalling, Phil Jones, Jonny Evans, Alexander Buttner, Michael Carrick, Tom Cleverley, Antonio Valencia, Robin Van Persie, Shinji Kagawa & Javier Hernandez

IMBAS KEMBALI MOMEN INDAH SI LAGENDA, DAVID BECKHAM


David Beckham merupakan individu yang cukup menarik perhatian, baik ketika beraksi di atas padang mahupun kehidupannya di luar padang. Sejak melakukan penampilan pertama sebagai pemain profesional pada tahun 1995, pemain yang memiliki kepakaran tendangan percuma ini meninggalkan banyak kenangan manis buat kita semuanya terutamanya penyokong-penyokong Manchester United. Memulakan karier dan membesar bersama Manchester United, Beckham berpindah ke Real Madrid, AC Milan, LA Galaxy dan menamatkan kariernya bersama juara Ligue 1, Paris St Germain (PSG). Khamis lalu, Beckham secara rasmi mengumumkan persaraannya dari arena bolasepak sekaligus menamatkan impiannya untuk beraksi semula bersama United dan menamatkan kariernya di sini (Old Trafford). Sepanjang perjalanan kariernya, Beckham memenangi enam trofi Liga Perdana, dua Piala FA, satu Liga Juara-Juara, dua trofi MLS (Major League Soccer) dan terakhir menjuarai Ligue 1 bersama PSG. Hebat di atas padang menerusi sepakan percuma dan hantaran-hantaran silangnya, Beckham juga cukup terkenal di luar padang. Kehidupan Beckham di luar padang setaraf selebriti terkenal Hollywood terutamanya selepas dia berkahwin dengan bintang pop terkenal Victoria Adams. Nasib Beckham mungkin tidak sebaik Paul Scholes dan Gary Neville (rakan-rakannya dari Class of 92) yang kekal dan menamatkan kerjaya mereka di Old Trafford tetapi percayalah, Becks tetap diiktiraf sebagai lagenda Manchester United untuk sumbangan hebatnya sepanjang 10 tahun (1993 hingga 2003) menyarung jersi The Red Devils. Untuk itu marilah kita sama-sama mengimbas kembali momen-momen (dalam bentuk bergambar) yang ditinggalkan Beckham sepanjang 18 tahun karier profesionalnya yang penuh gemilang. Selamat Bersara Becks…GLORY GLORY MANCHESTER UNITED!!! – A.J


1. Becks menjaringkan gol dari tengah padang ketika pertemuan menentang Wimbledon dalam saingan liga. Gol menakjubkan itu berlaku pada Ogos 1996. Menyedari penjaga gol lawan sudah terkeluar dari posisinya, Becks melepaskan tendangan lambung jarak jauh yang terus menerjah gawang The Dons. Gol ini diingati antara gol tercantik pernah dihasilkan dalam dunia bolasepak.


2. Prestasi cemerlangnya bersama United menyebabkan Becks dipilih menganggotai skuad kebangsaan England. Penampilan pertama Becks untuk skuad The Three Lions hadir pada 1 September 1996 ketika berdepan Moldova dalam saingan kelayakan Piala Dunia.


3. Becks dipilih memenangi anugerah Pemain Muda Terbaik 1997. Penghargaan individu ini membuktikan kualiti Becks sebagai pemain bolasepak bukan sekadar bersandar pada populariti dan ketampanan wajahnya semata-mata.


4. Becks dan Victoria mengumumkan pertunangan mereka pada 1998.


5. Becks menjulang trofi Liga Juara-Juara pada 1999. Musim 1998-99 jelas musim terbaik Becks sepanjang kariernya kerana dia berjaya membantu United menang kejuaraan treble (Liga Perdana, Piala FA dan Liga Juara-Juara).


6. Becks menjaringkan gol penting menerusi sepakan percuma ke gawang Greece pada 2001. Gol itu juga memastikan England layak ke pusingan akhir Piala Dunia 2002.


7. Bukan setakat menikmati puncak keriernya bersama United pada awal 2000, kerana saat itu juga Becks berada di puncak populariti. Becks bukan hanya dianggap sebagai pemain bolasepak tetapi juga selebriti.  


8. Selepas muncul wira dengan memastikan England layak ke pusingan akhir Piala Dunia 2002, Becks mengalami kecederaan serius hingga menjejaskan peluangnya beraksi bersama skuad kebangsaan di Korea dan Jepun.


9. Konfrontasi di bilik persalinan menyebabkan kening Becks tercedera. Meskipun pada awalnya kedua-dua belah pihak (Becks & Sir Alex) cuba menyembunyikan sesuatu, namun akhirnya kebenaran terbongkar juga. Dalam keadaan marah, Sir Alex dilaporkan menendang boot hingga menyebabkan kening Becks tercedera. Insiden ini juga menyebabkan jodoh lagenda itu bersama United berakhir pada 2003.


10. Becks berhijrah ke Sepanyol dengan menyertai Real Madrid pada musim panas 2003.


11. Selepas empat tahun bersama Madrid, Becks akhir mengambil keputusan berhijrah ke Amerika Syarikat dan bemain untuk LA Galaxy di MLS.


12. Sepanjang bersama LA Galaxy, Becks sempat beraksi bersama AC Milan sebanyak dua kali sebagai pemain pinjaman. Becks gembira dengan cabaran baru di Milan dan sedia menebus kontraknya namun tidak mendapat keizinan dari pihak pengurusan Galaxy.


13. Becks mengakhiri karier lima tahunnya bersama Galaxy dengan membantu kelab itu menjulang Piala MLS pada 2012.


14. Becks muncul pemain England pertama yang berjaya memenangi kejuaraan liga di empat negara berbeza. Kejuaraan Ligue 1 merupakan trofi terakhir yang dimenanginya sebelum mengumumkan persaraan bersama Paris St Germain. 

16 Mei 2013

ALASAN MENGAPA ROONEY HARUS PERGI


Mutakhir ini ramai yang meramalkan bahawa karier Wayne Rooney bersama Manchester United menuju penghujung jalan. Selepas Sir Alex mendedahkan bahawa Rooney meminta supaya United menjualnya musim panas ini, tiada apa yang boleh diharapkan penyokong-penyokong United kecuali menghitung hari-hari terakhir bekas pemain Everton itu di Old Trafford. Jika memang benar Rooney mahu meninggalkan United, apakah keputusan yang diambilnya itu tepat? Ini bukanlah kali pertama Rooney meminta untuk dijual kerana bintang England itu pernah melakukannya pada 2010. Selepas ditawarkan dengan kontrak baru yang lumayan, Rooney akhirnya melakukan  pusingan U dalam tempoh 24 jam dan kekal bersama United hingga sekarang. Walau bagaimanapun situasi kali ini tampak berbeza apatah lagi selepas Sir Alex sendiri mengumumkan pengundurannya dari kerusi pengurus United. Tambah memburukan keadaan buat Rooney, David Moyes yang memang diketahui pernah berkonfrontasi dengannya sebelum ini akan mengganti tempat Sir Alex. Mungkin anda beranggapan saya agak keterlaluan jika mengatakan inilah waktu yang tepat untuk Rooney meninggalkan United. Saya ada alasan untuk berkata begitu atas beberapa sebab yang saya fikirkan logik antaranya ialah faktor jaminan dalam kesebelasan utama, peranan yang dimainkan sejak tibanya Robin Van Persie, tekanan media, David Moyes dan hubungannya dengan penyokong-penyokong. Jika ada benar-benar penyokong setia United anda tentunya mengikuti perkembangan Rooney baik di dalam mahupun luar padang serta sikapnya. Rooney bukan seorang individu yang penyabar di mana nalurinya mudah terusik jika kehendaknya tidak dipenuhi dan salah satunya ialah tampil dalam kesebelasan utama. Musim ini, Rooney hanya tampil sebanyak 26 perlawanan dalam saingan liga dan menjaringkan 12 gol. Enam perlawanan Rooney masuk sebagai pemain gentian, manakala lima perlawanan lagi dia tidak berjaya menghabiskannya selama 90 minit. Atas alasan apa sekalipun, sejak akhir-akhir ini Rooney sudah mula tersisih, jadi adalah lebih baik jika dia mula mencari kelab baru yang memang memerlukan tenaganya, sekaligus memenuhi keinginannya bermain dalam setiap perlawanan. Di awal musim ketika Sir Alex menandatangani Robin Van Persie dari Arsenal, ramai pihak menjangkakan bahawa kombinasi Rooney dan Van Persie mampu mengulangi semula kehebatan gandingan maut Dwight Yorke dan Andy Cole dari skuad juara treble 1999. Walau bagaimanapun saya boleh katakan bahawa ramalan itu sebenarnya tidak menjadi kenyataan, bahkan kehadiran Van Persie sebenarnya membuatkan kedudukan Rooney sebagai penyerang utama semakin tersisih.

Musim ini Rooney lebih banyak bertindak sebagai pengumpan dengan kawasan permainannya lebih banyak berlegar di bahagian tengah. Dengan adanya Shinji Kagawa, kedudukan Rooney ketika ini benar-benar terancam dan jika Moyes menandatangani beberapa pemain baru musim panas ini, tiada jaminan untuk Rooney disenaraikan dalam kesebelasan utama. Untuk itu, Rooney harus mencari kelab baru yang mana persaingan tidak begitu sengit seperti Arsenal contohnya. Sejak menyertai United pada 2004, Rooney menjadi perhatian media-media di England, kebanyakkan laporan-laporan yang mereka terbitkan tentang Rooney lebih banyak berunsur negatif. Tekanan demi tekanan yang diberikan media di England sedikit sebanyak mempengaruhi prestasi Rooney di atas padang. Hanya ada satu cara sahaja untuk Rooney keluar dari belenggu ini, iaitu berhijrah ke luar negara. Bermain dengan kelab luar akan menghindarkan Rooney dari perhatian media-media England yang cukup terkenal dengan “kekejaman” mereka. Tanpa tekanan keterlaluan dari media, pemain yang memiliki sikap panas baran tetapi berbakat besar seperti Rooney mampu menterjemahkan prestasi terbaiknya di atas padang dan menjadikan dia lebih matang. Faktor hubungan Rooney dengan pengurus baru United, David Moyes juga perlu diberikan perhatian sewajarnya. Meskipun kedua-duanya mengakui hubungan mereka kembali jernih selepas terjejas teruk berikutan penerbitan autobiografi Rooney, tetapi ramai yang percaya ikatan (hubungan) itu tidak skuat dulu. Kedatangan Moyes musim panas ini bagi menggantikan Sir Alex mungkin mencetuskan semula sengketa lama dan jalan terbaik buat kedua-duanya terutama Rooney ialah keluar dari Old Trafford bagi mengelakkan konfrontasi di bilik persalinan. Akhir sekali faktor yang boleh mendorong Rooney memilih jalan keluar ialah hubungannya dengan penyokong-penyokong United. Seperti yang sudah saya sebutkan di atas, ini adalah kali kedua Rooney meminta supaya dirinya dijual. Tindakan kali kedua yang dilakukan Rooney pasti mengundang perseteruan dengan penyokong-penyokong United dan bibit-bibit awal sudah kelihatan semasa upacara penyerahan trofi Liga Perdana, Ahad lalu. Rooney diejek penyokong-penyokong ketika dia menerima medal kejuaraan. Beberapa pemain senior United juga diberitakan kurang senang dengan tindakan terbaru Rooney hingga dikhuatiri boleh menjejaskan keharmonian pasukan. Jadi tindakan paling bijak yang boleh dilakukan Rooney ketika ini ialah dengan memilih jalan keluar, satu tindakan yang dilihat bagus buat pasukan dan juga kariernya sendiri. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

15 Mei 2013

WAZZA KELUAR...CR7 MASUK?


Sir Alex Ferguson sudahpun mengumumkan pengundurannya secara rasmi, dan kini tumpuan terarah pula kepada Wayne Rooney. Kelmarin Sir Alex mendedahkan keinginan Rooney meninggalkan Old Trafford sekaligus mengesahkan spekulasi yang bertiup kencang sebelum ini tentang masa depan penyerang antarabangsa England itu bersama United. Atas sebab itu jugalah mengapa Rooney tidak disenaraikan ketika United berdepan Swansea City kerana Sir Alex berpendapat Rooney “tiada hati” untuk bermain. Jika diambilkira reaksi penyokong-penyokong United terhadap Rooney semasa upacara penyampaian trofi Liga Perdana Ahad lalu, kita mungkin sudah boleh menjangkakan bahawa musim ini mungkin menjadi musim terakhirnya di Old Trafford. Pergolakan yang melanda karier Rooney sejak akhir-akhir ini mungkin berpunca dari peranan baru yang dimainkannya dalam kesebelasan utama sejak ketibaan Robin Van Persie musim panas lalu. Pada usia 27 tahun, Rooney sebenarnya berada dalam tempoh matang bagi seorang pemain dan dengan bakat yang dimilikinya tidak sukar untuk mencari kelab besar yang mahukan khidmatnya. Rooney boleh bermain di mana-mana liga terbaik sekitar Eropah dan jika dia benar-benar mahu keluar dari Old Trafford, namanya akan berada dalam senarai teratas pengurus-pengurus kelab besar untuk ditandatangani. Kontrak Rooney bersama United akan berakhir pada 2015 tetapi tiada tanda-tanda positif menunjukkan bekas penyerang Everton itu akan menghabiskan kontraknya di Old Trafford. Walaupun Sir Alex menegaskan United tidak akan membiarkan Rooney pergi manakala penggantinya, David Moyes pula melemparkan pujian dengan mengatakan bahawa Rooney antara pemain kelas dunia yang dimiliki United, itu semua tidak akan meredakan sebarang spekulasi tentang masa depan pemain itu. Jika Rooney mahu menamatkan kariernya di Old Trafford musim panas ini, David Moyes tidak perlu melihat terlalu jauh bagi mencari pengganti bekas anak didiknya itu semasa di Goodison Park.


Semua tumpuan kini sebenarnya sedang terarah kepada bintang yang lebih besar. Menurut laporan Neil Ashton dari Daily Mail, Manchester United ketika ini sangat yakin dapat membawa pulang superstar Portugal, Cristiano Ronaldo ke Old Trafford. Spekulasi tentang kepulangan Ronaldo sudah berleluasa hampir sepanjang musim ini, terutamanya selepas dia kembali semula ke Old Trafford buat pertama kali Mac lalu sejak berpindah ke Santiago Bernabeu pada 2009. Ketika itu Ronaldo berjaya membantu Real Madrid layak ke peringkat suku akhir Liga Juara-Juara selepas menyingkirkan United menerusi agregat 3-2. Biarpun menjaringkan gol kemenangan Madrid, Ronaldo diberikan sambutan hangat oleh penyokong-penyokong United dan dihadiahkan sehelai t-shirt khas penampilan ke-1000 Ryan Giggs yang ditandatangani pemain-pemain United. Ketepikan dahulu faktor keakraban Ronaldo dengan penyokong-penyokong United kerana bintang itu punya banyak sebab untuk mempertimbangkan hasratnya menyarung semula jersi United. Meskipun Sir Alex tidak lagi menguruskan United, tetapi lagenda itu boleh memainkan peranannya dalam lembaga pengarah untuk memancing Ronaldo. Jika Rooney dijual musim panas ini, United juga akan memiliki aliran wang masuk yang besar hasil dari penjualannya dan boleh digunakan bagi mendapatkan Ronaldo. Bukan sekali dua kita mendengar keluhan Ronaldo yang mengatakan bahawa dia tidak mendapat sokongan dari penyokong-penyokong Madrid ketika beraksi di Bernabeu. Di Old Trafford situasinya jauh berbeza apabila namanya sering dilaung-laungkan penyokong-penyokong United meskipun dia tidak lagi beraksi untuk United. Liga Perdana mempunyai tarikan dan kekuatan tersendiri terutama dari segi kewangan. Jika perpindahan Ronaldo (ke Old Trafford) berjaya dimuktamadkan ia pastinya melibatkan jumlah wang yang besar, dan sekiranya Ronaldo benar-benar mahu keluar dari Bernabeu, tiada tempat yang paling sesuai buatnya melainkan Old Trafford. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

13 Mei 2013

AMANAT TERAKHIR DARI SEORANG LAGENDA


Suasana penuh emosi mewarnai perpisahan Sir Alex Ferguson dan Paul Scholes di Old Trafford malam tadi. Selepas berjaya menewaskan Swansea City 2-1, yang juga merupakan perlawanan terakhir buat Sir Alex dan Scholes bersama United di Old Trafford, pengendali lagenda itu menyampaikan ucapan perpisahannya kepada pemain dan penonton-penonton yang membanjiri Theatre of Dreams. Sir Alex yang berjaya membawa United memenangi 38 trofi sepanjang lebih 26 tahun berkuasa di Old Trafford berkata, “Sebelum bercakap panjang lebar, saya ingin menyampaikan penghormatan untuk Paul Scholes yang akan bersara hari ini. Dia adalah salah seorang pemain hebat yang pernah dimiliki kelab ini. Saya juga mendoakan Darren Fletcher agar cepat sembuh dan kembali menyertai pasukan. Saya ingin memberitahu kepada anda semua bahawa selama kita berdepan saat-saat mengecewakan di sini, kelab sentiasa menyokong saya. Lembaga pengarah, staf dan semua pemain juga memberikan sokongan kepada saya. Tugas kalian sekarang ialah melakukan perkara yang sama kepada pengurus yang baru. Jika kalian mengingati gol-gol yang dramatik, kekecewaan dan waktu-waktu indah, itu sebenarnya adalah pengalaman yang luarbiasa. Saya sangat bertuah kerana berkesempatan bekerjasama dengan pemain-pemain terbaik di negara ini. Pemain-pemain ini telah memenangi liga dengan cara yang cukup fantastik. Jadi ucapan selamat untuk anda semua. Kepada Manchester United, terima kasih saya ucapakan. Bukan hanya kepada staf, tetapi anda semua. Anda semua adalah perkara paling hebat pernah terjadi dalam hidup saya. Terima kasih”. Begitulah amanat terakhir dari sang lagenda untuk semua yang menyokong beliau khasnya dan Manchester United secara keseluruhannya. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

REVIEW: MALAM PENUH EMOSI...


Perlawanan terakhir buat Sir Alex Ferguson dan Paul Scholes di Old Trafford berakhir dengan cukup manis selepas Rio Ferdinand menyumbat gol kemenangan di penghujung permainan. Sepertimana lazimnya United di bawah kendalian Sir Alex (menghasilkan gol-gol di penghujung babak permainan), Rio memilih tempat dan detik yang tepat untuk memberikan hadiah paling berharga buat pengendali lagenda itu dan juga rakan sepasukannya, Scholes yang mengumumkan persaraan buat kali kedua hujung musim ini. Ramai di kalangan penyokong-penyokong United begitu teruja menanti perlawanan ini kerana ia merupakan perlawanan terakhir buat dua lagenda (Sir Alex dan Scholes) itu di Theatre of Dreams. Swansea hadir dengan misi mahu merosakkan pesta United dan menamatkan kemarau tanpa kemenangan ke atas The Red Devils sejak Januari 1982. Bagaimanapun misi anak-anak buah Michael Laudrup di Old Trafford tampak akan berakhir dengan kekecewaan selepas Javier Hernandez meletakkan United di hadapan menerusi tolakan mudah enam minit sebelum tamat babak pertama. Bagaimanapun Michu berjaya menyamakan kedudukan ketika permainan babak kedua baru berlangsung empat minit selepas memanfaatkan hantaran dari sebelah kanan Nathan Dyer. Tidak mahu pesta di Old Trafford dirosakkan oleh anak-anak buah Laudrup, Sir Alex melakukan sedikit perubahan dengan mengeluarkan Danny Welbeck, Herandez dan Paul Scholes. Kehadiran Antonio Valencia, Ryan Giggs dan Anderson nyata mengubah rentak permainan United apabila mereka mula memberikan tekanan lebih kuat kepada benteng pertahanan pelawat. Ketika ramai yang menjangkakan perlawanan ini akan berkesudahan dengan keputusan seri, Rio muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan ketika masa sebenar permainan berbaki tiga minit untuk ditamatkan. Gol kemenangan itu berpunca dari sepakan sudut Robin Van Persie yang tepat menuju ke arah Rio dan kemudiannya disudahkan pemain pertahanan itu menerusi satu sepakan voli kencang. Gol itu memang cukup bermakna buat Rio, bukan saja kerana ia gol kemenangan tetapi juga merupakan gol pertamanya dalam tempoh lima tahun. Akhirnya misi menghadiahkan kemenangan buat Sir Alex dan Scholes pada perlawanan terakhir mereka di gelanggang sendiri berhasil dan pesta di Old Trafford berterusan apabila upacara penyampaian trofi Liga Perdana dilakukan selepas tamat perlawanan.

Sukar untuk digambarkan dengan kata-kata apabila menyaksikan ini adalah kali terakhir kita dapat menyaksikan kelibat Sir Alex dan Scholes di Theatre of Dreams. Musim depan kita tidak akan dapat menyaksikan lagi aksi-aksi dua lagenda itu di tengah dan tepi padang. Sir Alex akan menjalan tugas barunya dalam lembaga pengarah manakala Scholes pula akan menyaksikan aksi bekas rakan-rakan sepasukannya dari tempat duduk penonton. Sebaik selesai upacara penyampaian trofi, beberapa pemain United yang ditemuramah pemberita mengambil kesempatan merakamkan penghargaan buat Sir Alex dan antaranya ialah Michael Carrick dan Phil Jones. Menurut pemain tengah itu, tiada mana-mana individu yang mampu menggantikan tempat Sir Alex selepas lebih 26 tahun pengendali itu duduk di kerusi pengurus United. “Saya bersyukur kerana berkesempatan bermain di bawah kendalian Sir Alex dan kelab yang besar ini. Beliau adalah seorang pengurus dan lelaki yang luarbiasa. Pendekatannya untuk pasukan dan sikapnya yang sentiasa laparkan kejayaan membuatkan beliau tiada penggantinya. Hingga kini masih ramai orang yang memberitahu saya bahawa beliau akan pergi dan pengurus baru akan tiba. Ini adalah minggu yang cukup aneh”, kata Carrick. Bagi pemain pertahanan, Phil Jones pula, keputusan Sir Alex mengumumkan persaraannya Rabu lalu merupakan berita sedih buat dirinya. Jones yang dibeli Sir Alex dari Blackburn Rovers dua tahun lalu mengakui dia terhutang budi dengan pengendali itu. “Beliau pengurus yang fantastik. Anda boleh membicarakan perkara-perkara positif tentang dirinya tetapi tetap tidak akan cukup untuk menggambarkan apa yang beliau berikan kepada saya secara personal. Ucapan terima kasih dari saya pun tidak akan cukup untuk membalas budinya”, kata Jones. Malam semalam adalah malam yang cukup luarbiasa dan penuh emosi buat penyokong-penyokong United. Kita bergembira kerana kelab menjulang trofi liga buat kali ke-20 tetapi dalam masa yang sama kita kehilangan dua tokoh berpengaruh, ikon dan lagenda serentak. Musim depan tiada lagi keriuhan suara Sir Alex dari tepi padang memberikan arahan kepada pemain-pemainnya selain aksi-aksi penuh emosinya terutama ketika membantah keputusan pegawai perlawanan. Di tengah padang pula, kita pasti merindui kelibat Scholes ketika menyusun gerakan-gerakan ke kubu lawan, percubaan-percubaanya dari luar kotak penalti dan terjahan-terjahan kerasnya bagi mematikan gerakan lawan. Selamat bersara Sir Alex Ferguson dan Paul Scholes…kami pasti merindui anda berdua. Glory Glory Manchester United!!! – A.J  

12 Mei 2013

PREVIEW: MANCHESTER UNITED lwn SWANSEA CITY



Malam nanti, Manchester United akan bermain buat kali terakhir di gelanggang sendiri musim ini. Sebagai penyokong setia, kita sudah pasti menanti perlawanan ini dengan satu tujuan, iaitu mahu menyaksikan upacara penyerahan trofi Liga Perdana di akhir perlawanan. Selepas mengumumkan persaraannya Rabu lalu, perlawanan menentang Swansea City ini juga adalah perlawanan terakhir buat Sir Alex Ferguson di Old Trafford sebagai pengurus. Sebagai menghargai peranan besar yang telah dimainkannya selama 26 tahun, para pemain United sendiri meminta agar trofi itu diserahkan kepada Sir Alex, bukan kepada kapten pasukan sebagaimana lazimnya. Jangan lupa juga, ini merupakan perlawanan terakhir buat seorang lagi lagenda United, Paul Scholes yang sah akan bersara buat kali kedua hujung musim ini. Sebagai penghormatan buat pemain tengah itu, Scholes dijangka berada dalam kesebelasan utama United malam ini. Berbalik kepada pertemuan United dan Swansea malam ini, skuad The Red Devils sudah pasti mahu menghadiahkan kemenangan buat Sir Alex pada aksi terakhir di Old Trafford. 

United gagal meraih mata penuh pada dua perlawanan terakhir mereka apabila diikat Arsenal 1-1 (di Emirates) dan kemudiannya tewas kepada Chelsea 0-1 (di Old Trafford). Perlawanan ini tentunya menghadirkan emosi yang bukan sedikit buat penyokong-penyokong United dan pemain-pemain pula sudah pasti terdorong untuk menghadiahkan kemenangan buat dua lagenda itu (Sir Alex dan Scholes) di hadapan penyokong sendiri sebagai hadiah perpisahan. Bukan hanya faktor Sir Alex dan Scholes, kerana The Red Devils juga punya misi lain untuk dilaksanakan mereka. Jika menang dua perlawanan terakhir liga musim ini, United akan menyamai pencapaian memungut 91 mata yang dilakukan skuad musim 1999/00 ketika mereka menjulang trofi liga 13 tahun lalu. Skuad kendalian Michael Laudrup pula pincang selepas beberapa pemain mereka yang dibelenggu kecederaan. Michael Vorm, Chico Flores, Michu, Ronald Lamah dan Ki Sung-Yeung dijangka terlepas aksi malam ini manakala United pula kekal tanpa khidmat Ashley Young, Danny Welbeck dan Darren Fletcher, manakala Rafael da Silva pula digantung perlawanan kerana layangan kad merah yang diterimanya minggu lalu. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Fakta Perlawanan:

- Swansea tidak pernah menewaskan United dalam lima pertemuan terakhir mereka.

- Sejak 1931, kedua-dua pasukan sudah bertemu sebanyak sembilan kali di Old Trafford. Dalam sembilan pertemuan itu, The Swans tidak pernah sekalipun meraih kemenangan di Theatre of Dreams.

- Kali terakhir Swansea menewaskan United ialah pada 30 Januari 1982 dengan keputusan 2-0.

- United hanya menang dua dari enam perlawanan terakhir mereka di Liga Perdana.

- Semasa pertemuan menentang Chelsea, United gagal menjaringkan sebarang gol. Ini merupakan kali pertama United gagal menjaringkan gol dari 67 aksi terakhir Liga Perdana di Old Trafford.

- United menjaringkan lima gol hasil jaringan sendiri pemain lawan musim ini. Ini juga merupakan catatan tertinggi berbanding pasukan lain musim ini.

- Swasea cuma menang dua dari sembilan perlawanan terakhir mereka di Liga Perdana.

- Kemenangan yang diraih Swansea ke atas Wigan minggu lalu mengakhiri kemarau tanpa kemenangan tujuh perlawanan mereka.

- Musim ini, skuad Michael Laudrup mencatat enam keputusan seri tanpa jaringan sekaligus catatat tertinggi berbanding pasukan lain.

Barisan Kemungkinan United:

David de Gea, Phil Jones, Rio Ferdinand, Nemanja Vidic, Patrice Evra, Antonio Valencia, Michael Carrick, Paul Scholes, Shinji Kagawa, Robin Van Persie & Chicharito

Barisan Kemungkinan Swansea:

Gerhard Tremmel, Angel Rangel, Ashley Williams, Garry Monk, Ben Davies, Leon Britton, Jonathan de Guzman, Wayne Routledge, Pablo Hernandez, Nathan Dyer & Itay Shechter