13 Mei 2013

REVIEW: MALAM PENUH EMOSI...


Perlawanan terakhir buat Sir Alex Ferguson dan Paul Scholes di Old Trafford berakhir dengan cukup manis selepas Rio Ferdinand menyumbat gol kemenangan di penghujung permainan. Sepertimana lazimnya United di bawah kendalian Sir Alex (menghasilkan gol-gol di penghujung babak permainan), Rio memilih tempat dan detik yang tepat untuk memberikan hadiah paling berharga buat pengendali lagenda itu dan juga rakan sepasukannya, Scholes yang mengumumkan persaraan buat kali kedua hujung musim ini. Ramai di kalangan penyokong-penyokong United begitu teruja menanti perlawanan ini kerana ia merupakan perlawanan terakhir buat dua lagenda (Sir Alex dan Scholes) itu di Theatre of Dreams. Swansea hadir dengan misi mahu merosakkan pesta United dan menamatkan kemarau tanpa kemenangan ke atas The Red Devils sejak Januari 1982. Bagaimanapun misi anak-anak buah Michael Laudrup di Old Trafford tampak akan berakhir dengan kekecewaan selepas Javier Hernandez meletakkan United di hadapan menerusi tolakan mudah enam minit sebelum tamat babak pertama. Bagaimanapun Michu berjaya menyamakan kedudukan ketika permainan babak kedua baru berlangsung empat minit selepas memanfaatkan hantaran dari sebelah kanan Nathan Dyer. Tidak mahu pesta di Old Trafford dirosakkan oleh anak-anak buah Laudrup, Sir Alex melakukan sedikit perubahan dengan mengeluarkan Danny Welbeck, Herandez dan Paul Scholes. Kehadiran Antonio Valencia, Ryan Giggs dan Anderson nyata mengubah rentak permainan United apabila mereka mula memberikan tekanan lebih kuat kepada benteng pertahanan pelawat. Ketika ramai yang menjangkakan perlawanan ini akan berkesudahan dengan keputusan seri, Rio muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan ketika masa sebenar permainan berbaki tiga minit untuk ditamatkan. Gol kemenangan itu berpunca dari sepakan sudut Robin Van Persie yang tepat menuju ke arah Rio dan kemudiannya disudahkan pemain pertahanan itu menerusi satu sepakan voli kencang. Gol itu memang cukup bermakna buat Rio, bukan saja kerana ia gol kemenangan tetapi juga merupakan gol pertamanya dalam tempoh lima tahun. Akhirnya misi menghadiahkan kemenangan buat Sir Alex dan Scholes pada perlawanan terakhir mereka di gelanggang sendiri berhasil dan pesta di Old Trafford berterusan apabila upacara penyampaian trofi Liga Perdana dilakukan selepas tamat perlawanan.

Sukar untuk digambarkan dengan kata-kata apabila menyaksikan ini adalah kali terakhir kita dapat menyaksikan kelibat Sir Alex dan Scholes di Theatre of Dreams. Musim depan kita tidak akan dapat menyaksikan lagi aksi-aksi dua lagenda itu di tengah dan tepi padang. Sir Alex akan menjalan tugas barunya dalam lembaga pengarah manakala Scholes pula akan menyaksikan aksi bekas rakan-rakan sepasukannya dari tempat duduk penonton. Sebaik selesai upacara penyampaian trofi, beberapa pemain United yang ditemuramah pemberita mengambil kesempatan merakamkan penghargaan buat Sir Alex dan antaranya ialah Michael Carrick dan Phil Jones. Menurut pemain tengah itu, tiada mana-mana individu yang mampu menggantikan tempat Sir Alex selepas lebih 26 tahun pengendali itu duduk di kerusi pengurus United. “Saya bersyukur kerana berkesempatan bermain di bawah kendalian Sir Alex dan kelab yang besar ini. Beliau adalah seorang pengurus dan lelaki yang luarbiasa. Pendekatannya untuk pasukan dan sikapnya yang sentiasa laparkan kejayaan membuatkan beliau tiada penggantinya. Hingga kini masih ramai orang yang memberitahu saya bahawa beliau akan pergi dan pengurus baru akan tiba. Ini adalah minggu yang cukup aneh”, kata Carrick. Bagi pemain pertahanan, Phil Jones pula, keputusan Sir Alex mengumumkan persaraannya Rabu lalu merupakan berita sedih buat dirinya. Jones yang dibeli Sir Alex dari Blackburn Rovers dua tahun lalu mengakui dia terhutang budi dengan pengendali itu. “Beliau pengurus yang fantastik. Anda boleh membicarakan perkara-perkara positif tentang dirinya tetapi tetap tidak akan cukup untuk menggambarkan apa yang beliau berikan kepada saya secara personal. Ucapan terima kasih dari saya pun tidak akan cukup untuk membalas budinya”, kata Jones. Malam semalam adalah malam yang cukup luarbiasa dan penuh emosi buat penyokong-penyokong United. Kita bergembira kerana kelab menjulang trofi liga buat kali ke-20 tetapi dalam masa yang sama kita kehilangan dua tokoh berpengaruh, ikon dan lagenda serentak. Musim depan tiada lagi keriuhan suara Sir Alex dari tepi padang memberikan arahan kepada pemain-pemainnya selain aksi-aksi penuh emosinya terutama ketika membantah keputusan pegawai perlawanan. Di tengah padang pula, kita pasti merindui kelibat Scholes ketika menyusun gerakan-gerakan ke kubu lawan, percubaan-percubaanya dari luar kotak penalti dan terjahan-terjahan kerasnya bagi mematikan gerakan lawan. Selamat bersara Sir Alex Ferguson dan Paul Scholes…kami pasti merindui anda berdua. Glory Glory Manchester United!!! – A.J  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan