18 Mei 2013

PREVIEW: WEST BROM lwn MANCHESTER UTD



Sir Alex Ferguson akan memimpin Manchester United sebagai pengurus buat kali terakhir malam ini. Selepas tempoh 26 tahun menerajui United, pertembungan menentang West Bromwich Albion di The Hawthorns akan menjadi perlawanan perpisahan buat pengurus lagenda United itu. Pertembungan dengan anak-anak buah Steve Clarke dianggap istimewa bukan saja kerana ia merupakan perlawanan terakhir buat Sir Alex tetapi juga merupakan perlawanan ke-1500 sebelum beliau bersara sekaligus menutup tirai 26 tahun pengabdiannya selaku antara individu paling berkuasa di Old Trafford. Ada banyak sebab untuk pemain-pemain United menang perlawanan ini, bukan hanya sebagai hadiah perpisahan kepada bos mereka tetapi tiga mata yang dikutip memastikan mereka menyamai rekod 91 mata yang pernah dilakukan skuad juara treble musim 1998/99. United berpeluang cerah meraih tiga mata penuh malam ini bersandarkan rekod baik mereka ke atas The Baggies dalam 13 pertemuan terakhir. United hanya gagal memungut mata penuh sebanyak dua kali, selain menang enam perlawanan liga di The Hawthorns. Jika Steve Clarke dan anak-anak buahnya berhajat merosakkan perlawanan terakhir Sir Alex, mereka sepatutnya merenung kembali rekod United ketika beraksi di gelanggang lawan sejak November tahun lalu.

Untuk rekod United tidak tewas sejak November lalu setiap kali beraksi di gelanggang lawan dan bakal turun dalam perlawanan ini dengan kekuatan hampir penuh. Hanya Ashley Young, Darren Fletcher dan Rafael da Silva sahaja dipastikan berada dalam senarai kecederaan manakala lain-lain pemain sedia beraksi pada perlawanan terakhir liga musim ini. Sementara itu, tugas sukar bakal menanti tuan rumah selepas mengalami penurunan prestasi sebaik bermulanya tahun baru. Mereka gagal mengekalkan prestasi baik di awal musim yang menyaksikan barisan Steve Clarke pernah berada di kelompok empat teratas. Selepas meraih hanya satu kemenangan dari lapan perlawanan terakhir mereka, jelas ini bukanlah waktu terbaik buat skuad tuan rumah menyambut kunjungan United. Bukan hanya berdepan prestasi buruk, Clarke juga kemungkinan besar tidak dapat menurunkan pemain pertahanannya Steve Reid yang mengalami kecederaan lutut. Jika Reid gagal diturunkan, Clarke mungkin menggunakan Billy Jones sebagai pengganti. Selain itu Marc Antoine Fortune sudah boleh diturunkan selepas tamat menjalani penggantungan. Bagi penyokong-penyokong United anda sepatutnya tidak terlepas perlawanan ini dan saksikan buat kali terakhir Sir Alex berada di bangku pengurus United. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Barisan Kemungkinan West Brom:

Ben Foster, Billy Jones, Gareth McAuley, Jonas Olsson, Liam Ridgewell, Youssouf Mulumbu, Claudio Yacob, Romelu Lukaku, James Morrisson, Chris Brunt & Shane Long

Barisan Kemungkinan United:

Anders Lindegaard, Chris Smalling, Phil Jones, Jonny Evans, Alexander Buttner, Michael Carrick, Tom Cleverley, Antonio Valencia, Robin Van Persie, Shinji Kagawa & Javier Hernandez

Tiada ulasan:

Catat Ulasan