18 Mei 2013

IMBAS KEMBALI MOMEN INDAH SI LAGENDA, DAVID BECKHAM


David Beckham merupakan individu yang cukup menarik perhatian, baik ketika beraksi di atas padang mahupun kehidupannya di luar padang. Sejak melakukan penampilan pertama sebagai pemain profesional pada tahun 1995, pemain yang memiliki kepakaran tendangan percuma ini meninggalkan banyak kenangan manis buat kita semuanya terutamanya penyokong-penyokong Manchester United. Memulakan karier dan membesar bersama Manchester United, Beckham berpindah ke Real Madrid, AC Milan, LA Galaxy dan menamatkan kariernya bersama juara Ligue 1, Paris St Germain (PSG). Khamis lalu, Beckham secara rasmi mengumumkan persaraannya dari arena bolasepak sekaligus menamatkan impiannya untuk beraksi semula bersama United dan menamatkan kariernya di sini (Old Trafford). Sepanjang perjalanan kariernya, Beckham memenangi enam trofi Liga Perdana, dua Piala FA, satu Liga Juara-Juara, dua trofi MLS (Major League Soccer) dan terakhir menjuarai Ligue 1 bersama PSG. Hebat di atas padang menerusi sepakan percuma dan hantaran-hantaran silangnya, Beckham juga cukup terkenal di luar padang. Kehidupan Beckham di luar padang setaraf selebriti terkenal Hollywood terutamanya selepas dia berkahwin dengan bintang pop terkenal Victoria Adams. Nasib Beckham mungkin tidak sebaik Paul Scholes dan Gary Neville (rakan-rakannya dari Class of 92) yang kekal dan menamatkan kerjaya mereka di Old Trafford tetapi percayalah, Becks tetap diiktiraf sebagai lagenda Manchester United untuk sumbangan hebatnya sepanjang 10 tahun (1993 hingga 2003) menyarung jersi The Red Devils. Untuk itu marilah kita sama-sama mengimbas kembali momen-momen (dalam bentuk bergambar) yang ditinggalkan Beckham sepanjang 18 tahun karier profesionalnya yang penuh gemilang. Selamat Bersara Becks…GLORY GLORY MANCHESTER UNITED!!! – A.J


1. Becks menjaringkan gol dari tengah padang ketika pertemuan menentang Wimbledon dalam saingan liga. Gol menakjubkan itu berlaku pada Ogos 1996. Menyedari penjaga gol lawan sudah terkeluar dari posisinya, Becks melepaskan tendangan lambung jarak jauh yang terus menerjah gawang The Dons. Gol ini diingati antara gol tercantik pernah dihasilkan dalam dunia bolasepak.


2. Prestasi cemerlangnya bersama United menyebabkan Becks dipilih menganggotai skuad kebangsaan England. Penampilan pertama Becks untuk skuad The Three Lions hadir pada 1 September 1996 ketika berdepan Moldova dalam saingan kelayakan Piala Dunia.


3. Becks dipilih memenangi anugerah Pemain Muda Terbaik 1997. Penghargaan individu ini membuktikan kualiti Becks sebagai pemain bolasepak bukan sekadar bersandar pada populariti dan ketampanan wajahnya semata-mata.


4. Becks dan Victoria mengumumkan pertunangan mereka pada 1998.


5. Becks menjulang trofi Liga Juara-Juara pada 1999. Musim 1998-99 jelas musim terbaik Becks sepanjang kariernya kerana dia berjaya membantu United menang kejuaraan treble (Liga Perdana, Piala FA dan Liga Juara-Juara).


6. Becks menjaringkan gol penting menerusi sepakan percuma ke gawang Greece pada 2001. Gol itu juga memastikan England layak ke pusingan akhir Piala Dunia 2002.


7. Bukan setakat menikmati puncak keriernya bersama United pada awal 2000, kerana saat itu juga Becks berada di puncak populariti. Becks bukan hanya dianggap sebagai pemain bolasepak tetapi juga selebriti.  


8. Selepas muncul wira dengan memastikan England layak ke pusingan akhir Piala Dunia 2002, Becks mengalami kecederaan serius hingga menjejaskan peluangnya beraksi bersama skuad kebangsaan di Korea dan Jepun.


9. Konfrontasi di bilik persalinan menyebabkan kening Becks tercedera. Meskipun pada awalnya kedua-dua belah pihak (Becks & Sir Alex) cuba menyembunyikan sesuatu, namun akhirnya kebenaran terbongkar juga. Dalam keadaan marah, Sir Alex dilaporkan menendang boot hingga menyebabkan kening Becks tercedera. Insiden ini juga menyebabkan jodoh lagenda itu bersama United berakhir pada 2003.


10. Becks berhijrah ke Sepanyol dengan menyertai Real Madrid pada musim panas 2003.


11. Selepas empat tahun bersama Madrid, Becks akhir mengambil keputusan berhijrah ke Amerika Syarikat dan bemain untuk LA Galaxy di MLS.


12. Sepanjang bersama LA Galaxy, Becks sempat beraksi bersama AC Milan sebanyak dua kali sebagai pemain pinjaman. Becks gembira dengan cabaran baru di Milan dan sedia menebus kontraknya namun tidak mendapat keizinan dari pihak pengurusan Galaxy.


13. Becks mengakhiri karier lima tahunnya bersama Galaxy dengan membantu kelab itu menjulang Piala MLS pada 2012.


14. Becks muncul pemain England pertama yang berjaya memenangi kejuaraan liga di empat negara berbeza. Kejuaraan Ligue 1 merupakan trofi terakhir yang dimenanginya sebelum mengumumkan persaraan bersama Paris St Germain. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan